Sunday, January 30, 2011

anak muda poyo

2011 adalah tahun pilihanraya jika masih percaya pilihanraya. anak muda yang mengetuai barisan depan dan percaya akan menawan putrajaya harus bergerak sekarang. jangan sibuk berpolitik. jangan sibuk nak jadi yb. jangan menempel di pentas ceramah tempat orang tua berlonggok terhangguk-hangguk menghibur hati. anak muda mesti turun ke tempat anak muda. ke sarang-sarang. di konsert dan gig, di litar rempit, di kampus, di mana-mana tempat anak muda melepak. jangan suruh mereka pakai kopiah atau baju hijau atau bagi bendera pkr. anak muda geli dengan parti politik. turunlah sebagai anak muda. jangan pakai baju batik seluar slack.
dekati anak muda jiran kita, pejabat, di lorong kedai berhampiran taman kita. jangan tak pandang mereka. jangan rasa kita lebih bersivik dari mereka. jangan ingat mereka liar.
anak muda kalau memboyot perut se'eh dan nampak elit akan dipulau. tunisia, mesir, yaman menyaksikan anak muda turun ke jalan. kalau kita turun demo dan tulis ini anjuran parti politik, anak muda malas campur kecuali yang memang ada kesedaran politik. ini untuk mengajak yang tidak tahu apa-apa.
runtuhkan rejim yang zalim!

Saturday, January 29, 2011

sapa mau coba?

sapa berminat bikin lagu dengan sajak di bawah ni? bikin dan susun musiknya. improvisasinya boleh dibikin kemudian. hantar dalam bentuk mp3 ke ronasina@gmail.com

tajuk: BOHONG

bohong bohong bohong

nama kau bohong

bin kau bohong

kerja kau berbohong

senyum kau bohong

tangis kau bohong

suka kau bohong

sedih kau bohong

cakap kau bohong

fatwa kau bohong

sumpah kau bohong

bohong kau bohong

berdiri kau bohong

duduk kau bohong

baring kau bohong

tiarap kau bohong

jaga kau bohong

tidur kau bohong

mimpi kau bohong

nyata kau bohong

kelipan mata kau bohong

nafas kau bohong

sendawa kau bohong

kentut kau bohong

degup jantung kau bohong

denyut nadi kau bohong

batuk kau bohong

bersin kau bohong

air mata kau bohong

air liur kau bohong

air peluh kau bohong

air mani kau bohong

hidup kau bohong

mati kau bohong

kalau tak bohong

bulan mentari bertembung

Friday, January 28, 2011

siri akhir: Jangan pandang kiri (siri tegak bulu kening)

bau hanyir seperti nanah dan darah kering kuat menusuk hidung. aku menekup mulut macam nak muntah. suara mengerang lelaki tersebut makin kuat.
" Mari aku hantar kau balik." kata Yut kepada suara tersebut.aku tak nampak apa-apa. "Kau sudah matikan?"

"Mati? Kenapa?" suaranya pelat cina. aku masih tak nampak apa-apa.
"Kau mati eksiden." kata Yut lagi.
"Eksiden..."suaranya mati seperti cuba mengingati sesuatu." Matiiiiiii!!! Huwaaaa!!" Tiba-tiba dia menjerit. Api pelita sumbu kapas berdarah meliuk lentok menjadikan suasana terang gelap. aku memandang dinding melihat bayang-bayang kami yang tersimbah akibat api pelita itu. bayang kelima-lima kami besar memenuhi dinding tersebut. Ah!! Aku nampak. Aku nampak bayang itu ada enam. bayang seperti seorang lelaki berdiri membongkokkan badannya.

"Mana Yi Yin? Mana Siew Fong?" tanya dia.
"Siapa?" tanya Yut. Lias, Kutan, Mat Korea dan aku hanya diam.
"bini dan anak aku....ya! Eksiden...aku nampak mereka mati.. aku pun mati..Waaa!!" dia meraung melolong. aku sangat seram.
"Tapi kenapa aku kat sini? Aku mahu jumpa mereka, kenapa aku ada di sini.." dia merintih. aku nampak hinggutan badannya melalui bayang-bayang di dinding.

"Aku boleh tolong tapi kau bagi nombor dulu.." pujuk Yut. "Tolong kami juga..aku akan tolong kamu.."

"Aku tak tau..aku tak tau.." kata dia.

"Bagi sajalah apa-apa nombor." rengus Yut. Setelah berkali-kali meminta, lembaga tersebut menyebut 6425 dan Lias menyalinnya di atas kertas. Mereka melepaskan nafas lega.

"Okey, sekarang kau balik." kata Yut.
"Balik mati? Rumah, duit sama harta aku macamana?" .."Aku tak mahu balik. aku takut jumpa tuhan, aku jahat sangat..aku tak mahu balikkk!!" Dia membentak-bentak. Suaranya bergema bagai dalam gaung.
Ah sudah! Tak nak balik. mampus! Aku teringat masa tingkatan 5 main spirit of the coin di asrama bila roh tak mahu balik. puas dipujuk tak mahu balik. akhirnya kawan kami histeria, angin ribut melanda dan kawan aku Nasir nampak hantu tinggi kaki berbulu berlari. kakinya saja lebih tinggi dari blok asrama.

"Balik segera!!" Pekik Yut.
"Tak mau.." dan lembaga ini ketawa sambil menyanyi lagu Cina. Suasana kelam-kabut. Kami semua sudah bangun. Suara ketawa dan menyanyi lagu cina makin kuat. Bayang-bayang di dinding mengecil membesar.
Kutan mengeluarkan kerambit dari saku seluar celoreng askarnya. "Aku tahu asalmu, pulang cepat atau aku bunuh kau!"
lembaga itu terus ketawa. Suara ketawa itu disambut oleh bunyi ketawa yang banyak dari luar rumah. aku makin menggelabah. seolah-olah rumah ini telah dikepung oleh sekumpulan hantu. riuh rendah ketawa berbagai nada bunyi menyahut-nyahut. mengilai-ngilai dan mengekeh-ngekeh.
Perempuan tadi tiba-tiba muncul di pintu. dia bergayut kaki di atas dan kepala di bawah. kedua-dua tangannya memegang loceng aiskrim dan dia membunyikan loceng aiskrim tersebut. (sehingga hari ini aku fobia dengan loceng aiskrim). Dia mengilai sambil menjelir-jelirkan lidahnya yang panjang. sama panjang dengan rambutnya yang menghurai ke lantai dan menjalar ke luar pintu. aku tak nampak mana penghujung rambutnya. sangat panjang hitam menggerbang. bunyi loceng amat membingitkan disulami ketawa cina mati eksiden tersebut dan sahut-sahutan dari luar. Perempuan ini seolah-olah mengepung kami agar kami tidak keluar. lutut aku lemah.
"Sial!" Kutan membaling kerambit ke arah bayang cina tersebut. suara raungan hantu cina tersebut makin kuat dan kuat. lama kelamaan bayang tersebut hilang bersama raungan pedih. kerambit terpacak di dinding. Kutan mencabutnya. dinding tersebut berlubang dan mengeluarkan cecair seperti nanah. baunya cukup busuk.
Perempuan tadi terus ketawa. kami tak boleh keluar kerana dia menghalang di depan pintu. loceng digoyangnya makin kuat. kedudukannya masih dalam keadaan bersuling. seekor kelawar sesat masuk ke dalam rumah. aku menyalakan sebatang lagi lilin. Mat korea mengetuk kelawar tersebut dengan lampu picit. pelita sumbu kapas terpadam.
Lias membaca ayat qursi "Allahula ilaha illa huwal hayyul qayyum.." perempuan tersebut terus ketawa."Hahahaha! Baca pun salahh! Hoii baru mau baca?" Dia mengilai menyanyi lagu "cucu-cucu tak dapat lari nenek tua dapat sakti". bulu roma aku kembang. aku menarik nafas mengumpul kekuatan. lutut yang lemah tadi sedikit pulih. Lias terus membaca ayat qursi tapi diejek oleh perempuan tersebut.
"wala ya'uduhu hifzuhuma wahuwal 'aliyyul adzim!" Lias mengulang sebanyak 3 kali dan perempuan tersebut terdiam.
Kami cuba merempuh tetapi tiba-tiba dia berpusing dan terus ketawa memainkan loceng. Cilaka!
Kali ini mat korea melangkah ke depan. Aku dengar dia membaca (walaupun perlahan) ayat 'kota tauhid'. Mat korea menggenggam penumbuk kanannya sambil mulutnya bersuara "kaf ha ya ain sad" dan sewaktu menggenggam penumbuk kirinya dia menyebut "ha mim ain sim qaf".
mat korea melepas penumbuk anginnya. perempuan terus ketawa makin kuat, kuat, kuat dan..akhirnya ketawa tersebut bertukar menjadi lolongan tangisan. perempuan itu ghaib dan suara ketawa riuh tiba-tiba lenyap. kami semua terduduk keletihan.
Yut mengisyarat telunjuknya."satu lagi". Yut berlari memanjat tiang seri naik ke alang dan menghentak atap zink. Kutan menurut dan mereka sama-sama menumbuk atap zink tersebut sehingga terbuka. kemudian mereka naik ke bumbung. kami semua mengikut. sampai di atas bumbung kami berdiri sebaris di atas tetulang bumbung mengahadap kiblat.
*"Fa ma hi yal ahan?" jerit mat korea
kami beramai-ramai menjawab,**"Ma'a!"
sambil berpegang tangan dan menjulang ke langit, kami melaungkan kalimah sakti "Kami tak besar dan kami tak kuat, bila bekerjasama semua jadi mudah!"

glosari
* fa ma hi yal ahan? - apa yang penting?
** Ma'a - kerjasama

Wednesday, January 26, 2011

part 2: jangan pandang kiri - siri tegak bulu kening

..sesekali 'perempuan' itu melempar batu-batu kecil ke arah kami sambil ketawa. kalau siang tadi aku bertekad akan mengambil kesempatan melihat bagaimana rupa hantu, malam ini aku gagal. aku cuma mendengar dan aku fikir lebih baik aku tak melihatnya.
rumah long peah jika bulan terang memang nampak seram. seisi kampung maklum akan hal itu. pokok kundang di belakang rumah yang tinggi jika malam bulan terang akan kelihatan seperti bentuk kepala monyet yang mengangakan mulut hendak menelan rumah tersebut.
kami menuju ke beranda.
sruuppp!!...
aku hanya terdengar bunyi sesuatu yang merangkak berlari di sebalik pokok puding.
"bajang tadi tu..botak macam toyol." mat korea berbisik sambil menguit telunjuknya ke lenganku. aku tak berapa mahir jenis-jenis hantu malah perkataan bajang pun dah lama aku tak dengar. mujur aku tak nampak.
perempuan tadi entah ke mana menghilang.
tengkuk aku rasa sejuk seperti ditiup seseorang. aku rasa yang lain pun seperti aku juga. kami masuk ke dalam rumah. lampu suluh kutan makin malap dan tiba-tiba terpadam. kutan mengetuk-ngetuk.
"celaka! bateri baru ni.."
dengan bantuan pemetik api, lias menyalakan lilin.
......

"ok, kita mula.." kata yut. aku hairan kenapa kaki ekor harus buat kerja2 ini padahal bukan kena pun.
"minggu lepas nyaris kena, miss satu mata je" kata lias siang tadi.
......

pelita bersumbu kapas darah orang mati kemalangan dinyalakan. aku tak mahu tulis mentera yang diratibkan tapi aku dan mat korea tak beratib dan tak pula baca ayat quran untuk kacau kerja sial ni seperti yang pernah kami lakukan. kami nak tengok sejauh mana akan terjadi. setakat ini aku rasa aku dah hampir demam dan sedikit kesal menyertai.

.......

angin kuat tiba-tiba menerpa daun tingkap. kami terkejut. lias meletak jari telunjuk ke bibir. ya! aku dapat dengar jelas suara lelaki mengerang kesakitan datang dari arah dapur yang gelap..semakin jelas dan semakin hampir..

(waktu menaip ni aku terasa sesuatu, stop dulu)

Monday, January 24, 2011

jangan pandang kiri.... (siri tegak bulu kening)

"malam ni kau ikut aku, diorang jadi pegi." kata mat korea. aku yang sesekali balik cuti semester takde pilihan.kawan2 seangkatan semua dah keluar kampung. tinggallah mat korea kaki tassawuf. tu pun terpaksa join mat-mat menurun nombor ekor.
malam ni gila sikit. Lias, Yut dan Kutan nak masuk memuja kat rumah arwah Long Peah. Long Peah ni dulu masa hidup diorang kata bela hantu raya. aku tak tau betul tak tapi Sadar anaknya yang baya lebih kurang kami akui sendiri. Sadar ni pun spesis hantu jugak, tak mati-mati sampai hari ni walaupun kaki fit.
aku nak ikut. sialnya depa boleh bekerjasama dengan Angah attendan hospital untuk dapatkan sikit darah orang mati eksiden kat unit icu. Angah bawak beberapa keping kapas yang basah darah diisi dalam botol.
kapas ini akan dijadikan sumbu pelita. mungkin roh orang mati ini akan datang malam ni menjerit kepanasan dan mereka akan minta nombor sebagai cagaran.
"ini malam mesti real Lup. minggu lepas aku ikut diorang pergi kat busut tepi sungai batu lapan. hantu macam frankenstein datang. haha!. muka pecah-pecah berdarah. pengsan Pok De nengok."

malam itu:
aku mengancing gigi teringat kata2 mat korea siang tadi. sejuk sungguh malam ni, jaket kulit rusa aku terasa nipis. apalah nak jadi malam ni. aku membonceng motor honda cup mat korea memandangkan dia je yang aku boleh harap. yang lain spesis hampeh.
sampai di halaman rumah yang dah tebal semaknya, kami menyimpan motorsikal bawah pokok jambu air. hisap rokok sebentar. gelap. lampu jalan dekat 100 meter jaraknya. sayup-sayup dengar suara tv dari rumah jiran-jiran dekat tepi jalan utama.
cengkerik, burung tukang dan nyamuk bikin musik latar. desing, degung, nyaring dan serun.
baru nak melangkah...PRAPPP! Sial...pelepah kelapa gugur.
aku terdengar seakan suara perempuan ketawa di atas pokok. kami berpandangan tapi buat-buat tak tahu. tak mahu layan. tak nak pandang.Kutan menyuluh ke atas. dia dah biasa dan berani. Kutan boleh tangkap ular pakai tangan je, aku pernah tengok waktu kami pergi masuk hutan cari landak dulu. aku dengan katak pun alah. ketawa itu sesekali ada, sesekali hilang. bunyinya mengejek....

(rileks dulu beb....minum kopi jap)

Sunday, January 23, 2011

sangap al poyo

mengapa aku tak boleh tulis? aku cuba tulis, lepas tu aku delete..macam2 isu..lepas tu rasa tak best..deleteeee...
mungkin aku kena rileks, jauhi duniawi...jauhi isu bodoh yang mengheret kita jadi bengap..

isu interlok, isu salam cikgu mala, semuanya menyuruh kita jadi bengap dan lupakan harga barang yang semakin melambung serta kos hidup yang makin membeban.

kita disuruh berfikir mengikut apa yang mereka tentukan. jika kita bising pasal harga barang, mereka akan hantar profesor kangkung untuk meyakinkan bahawa tindakan itu wajar. dan kita dilatih untuk menerimanya. ya, kenaikan adalah perlu. itulah 'latihan' untuk kita jadi orang yang patuh sebagaimana patuhnya kita berbaris2 bayar tol.

akhirnya hidup dan mati kita, pemikiran dan hala tuju kita diaturkan oleh mereka. kita jadi zombie.

(wah! aku menulis rupanya)

Friday, January 21, 2011

dotdotdot

mamat di atas ni cuba nak jadi macam-macam tapi tak jadi-jadi..haha! (gambar hiasan)


penat sejak keluar wad ni buat aku buntu nak tulis entry baru. sampai sham pun dok tanya mana entry..
kadang2 aku mengaku aku menulis ni untuk penuhi ketagihan korang yang menggemari blog ni. Arham 'Aru" pernah warning aku agar update segera blog sebelum dia mati ketagih. juga Zach Dechalora, Mr.Belo (happppaaa punya nama daa korang nii).
kalau tak tulis, aku risau brutalsolo, irwan, pena marhaen dan beberapa nama lain lagi akan mengamuk..haha! kalau tak tahan sangat pi kat fesbuklah brader..
(lihatlah betapa riaknya aku)

lalu aku menghindari berita-berita berat dan memenatkan untuk berehat. kerja pun dah seminggu tinggal. merdekareview dan suara keadilan akan mintak kartun..aduuhh!

banyak benda aku nak buat tahun ni rasanya.
di wad aku dah siap rangka skrip teater. satira yang payau. dah lama tak menulis skrip. last dulu skrip "musang" tapi tak dipentaskan. skrip aku dulu bertajuk "ehh.." pernah memenangi anugerah khas juri di festival teater pahang 2003. aha, aku pernah menang pelakon lelaki terbaik pekan teater pahang 2001 kau tau, jadi sila bodek aku sampai hidung aku kembang.
aku plan nak pentaskan skrip baru yang belum bertajukk ni. mungkin tajuknya "err..err" atau...entahlah.

itu hari fared ayam kata kalau ada kawan dia bikin filim dan perlukan watak mafia akan panggil aku..ceh! watak jual mapiau pun takde...

aku juga rasa nak letak semua karya aku bawah satu bumbung laman web. kartun, komik, lukisan,blog ni, wak jono, aku oku tulisan sham dan lain2.

aku juga nak buat banyak lukisan dan catan (painting).

aku nak hasilkan single rasanya. siap video klip sekali. agak2 ok tak?

harap buku antologi catatan aku - "universiti kaki lima"dapat dicetak tahun ni.

kalau semua ni berjaya aku lakukan, alangkah bestnya!

Tuesday, January 18, 2011

pasal 'AKU"


ya! banyak juga feedback pasal komik AKU itu dan ada yang menafsirnya dengan baik terutama di FB apabila ditanya mengapa matanya satu maka zulhadie menjawab orang yang tak jumpa agama maka satulah matanya kerana mata hatinya buta.
juga dengan pertanyaan - matahari tu dalam maknanya..peh!

ya..matahari sumber kehidupan. seperti kata loloq dalam lagu cinta sakti def-gab-c "langit pasangannya bumi, apa pasangannya mentari?" - ditinggalkan teka-tekinya begitu.
sebab itu dulu ada yang menyembah matahari dan kuasa 'solar' adalah tenaga yang paling selamat digunakan untuk kehidupan harian berbanding elektrik, petrol yang akan 'habis' dan mencemarkan.

wafianfusikum afala tufsirun..dan di dalam diri kamu ada segalanya mengapa tidak kamu telek?

memang dalam ihya'ulumuddin, imam ghazali menyatakan apa jua makhluk di bumi ini adalah cerminan diri manusia, malah binatang juga lahirnya untuk menjadi cermin bagi kita. melihat ular yang membelit seperti membawa watak manusia penipu.
itu analogi untuk menilai peribadi dan personafikasinya.

tetapi untuk mencari tuhan dan mengenalinya agak sukar jika kita mencarinya di luar. sebagaimana perkara pertama beragama adalah untuk mengenali Dia (awaluddin makrifatullah) maka untuk mengenal akan dia amatlah sukar kerana dia maha suci dan tidak dapat dilihat. wujud tapi tiada maujud. lalu bagaimana mengenal sesuatu yang ada tetapi tak nampak? bagai mencari 'lemak' dalam susu. bagaimana nak dipisahkan 'masin' dengan garam?

al insanu sirri wa ana sirruhu.. insan adalah rahsia dan akulah rahsianya..

maka ditinggalkan 'rahsia dirinya' ke dalam insan agar dapat kita kenal.

barangsiapa mengenal dirinya dia kenal akan tuhannya ( man arafa nafsahu fakad arafa rabbahu)

- di dalam diri itu ada segalanya. haiwan, malaikat, insan, iblis dan tuhan di dalam diri (siapa nak pertikaikan ini, sila khatam ihya ulumuddin dulu) sebab itulah manusia itu sebaik2 kejadian (lakad khalaqnal insana fi ahsani taqwim). segalanya ada di dalam diri. iblis enggan sujud Adam kerana dia gagal melihat 'hakikat' kejadian adam. dia tak nampak roh Allah dalam diri adam. (maka kutiupkan rohku ke dalam Adam..)..engkarlah dia.

cari diri cari diri cari diri..
attaqwaha hu na, hu na hu na...

* sila cari sendiri surah apa dan hadith qudsi riwayat mana..haha! buatlah kerja sikit ye dak?

Sunday, January 16, 2011

cahaya..

tak banyak aku boleh buat minggu ni, an-nur sesak nafas selasa lalu diikuti annisa khamisnya, maka kami berkampung di wad 5a hospital serdang.
dalam pada itu aku cuma sempat melukis dua adik beradik palestin yang menghidap telesemia..


dan melakar dengan pen dan marker sebuah komik..ini permulaan untuk sebuah 'perjalanan' karier aku..dah tua baru nak mula..




aku mahu jadi cahaya, kalaupun tak menerangi sekadar menghiasi cukuplah..

Thursday, January 13, 2011

Karyawan pengampu tidak relevan

artikel ini telah disiarkan di akhbar Citra Keadilan 11 januari 2011, dapatkan..

Penulis: Kulupsakah

Seniman adalah insan istimewa yang dikurniakan bakat untuk melahirkan
sesuatu mengikut kecenderungan mereka berdasarkan pemerhatian tajam
dan sensitif deria pengamatannya bagi dinikmati oleh manusia yang
lain. Karya yang dihasilkan adalah rakaman dari apa yang dilihat,
didengar atau dialami oleh dirinya ataupun masyarakat sekelilingnya.
Ekspresi ini diterjemahkan dalam bentuk puisi, lukisan, nyanyian,
catatan dan khalayak yang tidak mampu melahirkan karya turut dapat
berkongsi perasaan seterusnya menikmati apa yang dipersembahkan.
Karyawan yang jujur akan merakamkan realiti. Untuk itu, memerdekakan
jiwa dan tidak menjadi hamba kepada manusia lain adalah pra syarat
menjadi karyawan yang agung. Karya yang dihasilkan mestilah jujur dan
berpijak di bumi yang nyata. Karya yang jujur biasanya akan melangkaui
batas masa dan zaman. Ia bersifat malar segar dan menjadi pencetus
idea, diperdebatkan dan dihormati. Karya yang mengelak untuk bercerita
tentang realiti adalah karya yang gagal dan tipu. Potret Monalisa,
filem-filem P.Ramlee, Arabian Nights atau Mahabhrata akan dikenang
zaman berzaman antara karya 'berjiwa' yang lahir dari jiwa yang jujur.
Di Malaysia hari ini bilangan para karyawan boleh dikatakan menjangkau
ribuan orang. Pelukis, penulis, penyair, pencipta lagu, penyanyi,
pelakon dan bermacam-macam lagi terus aktif melahirkan karya mereka.
Persoalannya berapa ramai yang mencipta fenomena? Mengapa karya-karya
hari ini gagal diingat dan disambut khalayak? Kerana karyawan kita
hari ini gagal/ takut/mengelak untuk menceritakan realiti. Keluh kesah
rakyat di jalanan, warung kopi, rumah pangsa, setinggan, penjawat awam
tidak diangkat dengan betul. Cerita-cerita di televisyen bersifat
khayal. Kalau ada pun drama kisah orang miskin yang melampau sungguh
miskinnya tidak ada dialog " Bagaimana mak nak bayar yuran sekolah
kau, nak... yuran mahal. Dulu kata sekolah percuma tapi bohong
semuanya. Harga barang semakin melambung...bla..bla..". Dialognya
merapu entah apa-apa.
Awal 90an dulu, penulis sering menghadiri program baca sajak, teater
dan sebagainya yang dianjurkan oleh para seniman tanahair. Ketika itu
isu Perang Teluk, pembunuhan etnik di Bosnia-Herzegovina maka
bergegarlah pentas dan padang sajak-sajak garang membelasah Amerika,
Serbia atau pun Zionis. Tetapi ketika negara hari ini tunggang
langgang dengan isu rasuah, salah guna kuasa, pembaziran wang dan
sebagainya ke mana perginya suara-suara tajam ini menyorok? Malah
ketika isu Bahasa Melayu dibuli pun mereka ini memekakkan telinga dan
mengecutkan diri. Berapa ramai generasi hari ini ingat mereka yang
pernah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara selain A. Samad Said?
Siapa lagi yang lantang selain Dinsman, Azizi Abdullah dan Shahnon
Ahmad? Ke mana tenggelamnya mereka bersama buku-buku tak laku mereka
dan puisi-puisi bodek di akhbar-akhbar arus perdana? Takkan hanya
bercerita tentang sawah padi, kampung halaman saja? Cerita rakyat
ditembak polis bagaimana? Tidak terusikkah kesenimanan mereka apabila
orang asal Bakun dirampas tanah adat mereka?
Jangan salah faham! Ini bukan isu politik, ini isu rakyat. Kartunis
Zunar dilokap hanya kerana melukis tentang isu rakyat ketika
kartunis-kartunis lain masih melukis lembu mengayuh basikal atau ayam
bermain gitar. Zunar bukan kartunis politik tetapi kartunis rakyat.
Masalah di Malaysia kerana suka label melabel. Tetapi jika karyawan
menghasilkan karya politik, apa salahnya? Mengapa membelenggu dan
mecipta sempadan?
Setengah abad merdeka masih lagi disogokkan dengan lagu-lagu cinta
kecewa. Butakah mata penulis lirik dan komposer lagu dengan harga
barang yang semakin melambung dan kehidupan rakyat yang semakin
terjepit? Pekakkah mereka sehingga tak mampu mendengar riuh jentolak
meradak kampung Berembang, Chubadak dan Kerinchi yang sejengkal saja
dari pusat bandaraya? Tiadakah Iwan Fals (penyanyi Indonesia yang
lantang mengkritik dalam lagunya) versi Malaysia?Adakah lukisan atau
catan yang dihasilkan menggambarkan lanskap politik dekad ini atau
sibuk melukis conteng-conteng warna yang kononnya hebat dan jika tak
faham maka tidak berjiwa senilah kita? Melukis itu tidak mengapa tapi
itu sajakah? Tiadakah seorang karyawan filem membikin filem pejuang
kemerdekaan seperti Ahmad Boestamam atau Burhanuddin Helmi? Takut?
Kalau filem merdeka pasti sudah terbayang oleh kita filem itu pasti
akan memaparkan kisah perjuangan suci parti pemerintah sekarang. Tidak
bolehkah karyawan berfikir dari sisi lain bahawa tokoh yang disebut di
atas juga adalah pejuang? Barulah karya anda dilihat hebat,
kontroversial dan mengundang perdebatan yang akan menelurkan sejuta
ilmu. Jika dikritik atau dilabel dengan pro itu pro ini jawablah
sebagai seorang karyawan yang melihat dan menghayati sebagai seorang
karyawan. Bukan ahli politik atau pengampu.
Berbuat apa pun perlulah jujur termasuklah menghasilkan karya.
Menghasilkan karya mengampu demi menjaga periuk juga tidak ke mana
perginya. Buku tetap tak laku dan nama semakin tenggelam. Justeru itu
hari ini, karyawan generasi baru (ada juga yang lama) telah mengorak
langkah memecah tradisi. Mereka tidak lagi mengharap media arus
perdana. Mereka mencetak buku tulisan sendiri dengan kos semurah
mungkin. Seniman Fared Ayam, Rahmat Haron, Hishamuddin Rais dan
beberapa orang lagi terus berkarya di internet, pentas atau di
mana-mana ruang anti establishment. Fahmi Reza dan Amir Muhammad
mengutip dokumen-dokumen sejarah yang dicicirkan lalu bikin filem
pendek sendiri. Karya-karya ini akan berlegar di dunia maya dan akan
kekal sepanjang zaman kerana ia 'real' dan realiti akan selalunnya
relevan.

Monday, January 10, 2011

kita ini bodoh, jobo atau ngada-ngada?

siapa yang gariskan kod etika pakaian rasmi kita mesti berkot dan bertali leher di negara panas macam oven ni? kalau pakai gitu dikata smart dan kemas.ye ke? kemas menurut siapa?
kalau hari jumaat berbaju melayu lengkap bersamping. boss aku pernah menegur kawan sekerja aku kerana bercapal dan tidak berkasut. dia jawab baju melayu lengkap mestilah bersamping bersongkok dan bercapal. orang melayu dulu tak berkasut.
kah kah kah, kita keliru identiti.

siapa yang berkuasa pula menetapkan rambut panjang bagi lelaki adalah tidak sesuai untuk majlis rasmi? kalau kemas dijaga apa salahnya? teori mana pula ni? waktu aku berambut panjang hari itu ramai juga kawan/ saudara menegur tak senang dan sanggup menawarkan diri untuk memotong rambut aku. ambil berat dan sayang sungguh mereka dengan aku. anehnya, takde pulak mereka tawar diri nak tolong tengok2kan anak aku kalau sayang aku sangat..

paling bodoh dalam perkhidmatan awam tak boleh berjubah dan berkopiah putih. orang beragama sikh boleh pulak pakai turban dan ndia bebas pakai saree.
kenapa? ada yang jawab islam tak perlulah berkopiah atau berjubah, cukuplah menutup aurat dan berpakaian bersih.

jadi, masalahnya apa kalau berserban, berkopiah putih dan berjubah?
hahaha! korang taulah ye dak?

akhir kata,
aku bosan apabila pakaian kita pun ditentukan oleh orang lain yang rasa mereka berkuasa.

Sunday, January 9, 2011

di sini: kami di sini



sekeping foto seribu cerita. Lau Tek Hai (baju belang) telah tag gambar ini di fesbuk aku dan serta merta aku termangu. foto ini akan kekal menerawang di alam siber untuk zaman mendatang sebagaimana kita melihat foto-foto hitam putih dulu. ada beberapa perkara yang perlu aku ceritakan pada gambar ini.

1. telah tersebar ketika itu di email seluruh negara beberapa aksi kami sekeluarga berdemo sehingga masuk ke peti email aku sendiri. seorang artis wanita popular menelefon aku menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan kami. ada yang puji ada yang menyeranah. ada yang menuduh kami diperalatkan pihak tertentu dan ada pula kata kami memperalatkan anak-anak. ini semua adalah lawak bangsat. kami turun tidak mewakili mana-mana pihak,parti politik, kumpulan atau individu. kami turun sebagai kami, menyampaikan suara kami sendiri. tiada siapa taja, manipulasi, eksploitasi kami. tiada satu sen pun upah. tadak!

2. melihat annisa yang aku dukung membuat aku sayu. waktu ini annisa selalu sakit. banyak uang dibelanjakan sehingga kami jual kereta, senaraihitam bank dan macam-macam. pergi kerja pun naik basikal.basikal hilang jalan kaki. balik kerja aku jaga anak dan ambil upah jaga 3 orang anak jiran. Sham jual goreng pisang dan kuih - berpanas berhujan. meninggalkan kerjaya stabil dia. pernah sekali hujan dan angin kuat hampir menerbangkan payung, aku memegang payung tersebut dan payung itu membawa tangan aku masuk ke dalam kuali berminyak panas yang sedang menggoreng pisang. canteekk!
malam, bungkus nasi lemak dan hantar ke asrama. pinjam motor Roni, budak Madura. lepas tu abang teh Sham bagi pinjam motor jaguh setahun. lega sikit. boleh pergi pasar dengan mudah untuk beli pisang dan keledek. ada juga kawan2 menyindir ...ah! cibailah korang, kalau tolong bayar bil air aku takpe jugak nak kutuk aku pun tak marah..
akhirnya dapat juga beli kereta terpakai, boleh angkut annisa dan an-nur sekali niaga masuk mana2 pasar malam. tergoleklah budak dua orang tu petang sampai malam - kadang2 tak mandi - tapi annisa dan an-nur sangat lasak. gagah! sehingga hari ini kalau nak uang, kena kerja cari sendiri. jangan harap orang.

2. budak berbaju superman memegang speaker itu adalah budak unit amal yang selalu mengiringi pimpinan pas ke mana2. setelah lama tak jumpa, demo hari itu menemukan dia dengan kakak tirinya iaitu Sham.

3. di belakang Lau, Ghani Haroon - jiran kami. hari ini dia dan ezam sudah masuk umno kembali.

4. duduk belakang aku berbaju biri muda - sahabatku Tuah dan di sebelah kanannya - Farhan anak Fauzi Rahman.

5. yang sedang duduk menghadap aku bercakap (membelakangkan kamera) Lim Hong Siang -editor Merdekareview.com yang tulisan Bahasa Melayunya lebih baik dari orang Melayu..

apa lagi?

Thursday, January 6, 2011

kulupsakah the illusionist


aku mendekati sekumpulan pelajar tingkatan 5 yang sedang berbual. dua lelaki dan dua perempuan. aku sertai mereka.
"beri saya nombor tiga digit. 345 ke, 209 ke, apa saja."
mereka tertanya-tanya kenapa dan apa tujuan aku.
"131" budak lelaki kurus memberi nombor. aku mencatatkannya di atas kertas. kemudian di penjuru kanan kertas aku catat 2129.
"lagi?" pintaku lagi.
budak perempuan yang montel dalam keadaan takut-takut berani berkata "653".
aku mencatat 653 di bawah 131 tadi kemudian di bawah 653 aku tambah 346.
"lagi?" aku meminta lagi dan spontan saja seorang budak perempuan lagi memberi angka 865. aku mencatatnya di bawah 346 dan kemudian di bawah 865 aku catat 134. semuanya berlaku pantas.
"cuba campurkan 131+653+346+865+134". budak perempuan yang ada kalkulator mengira. tup tap tup...

"Allahh!!!" keempat-empat mereka terkejut kerana jawapannya sama seperti yang aku catat di penjuru kanan awal tadi. 2129!

"macamana cikgu boleh tau jawapan sebelum kami bagi nombor yang kami sendiri pilih?" tanya mereka.
"saya boleh baca fikiran kamu dan saya kawal mengikut kemahuan saya." kataku. mereka ketawa mengejek tak percaya lalu mereka mengajak mencuba nombor lain pula.
"987" kata budak lelaki itu dan aku mencatat di tepi 2985. setelah dicampur dengan nombor yang mereka beri sekali lagi mereka terkejut kerana jawapannya sama 2985.

"kan saya dah kata saya boleh baca fikiran kamu?" aku ketawa.

aku memang suka bermain dengan firasat sejak kecil. praktikalnya apabila telefonku berdering atau smsku berbunyi aku akan cuba meneka siapa. selalunya 7 dari 10 tekaanku tepat. aku dapat rasakan setiap kali aku yakin, jawapan itu pasti betul sebaliknya kalau ragu, telahanku akan salah. itu praktikal paling asas.

"ok, kalau betul cikgu terrer, cuba teka saya sedang fikir nombor apa sekarang?" budak perempuan kurus menduga. aku merenungnya dan menjawab "8".

"mak aiiii...cikgu macam david blaine. betullah kau!" jerit dia kepada kawan-kawannya. hah! aku boleh jadi nostradamus. aku bangun untuk pergi.

"nanti dulu cikgu, saya tak puas hati. saya pun nak cikgu teka nombor apa yang sedang saya fikirkan?" budak lelaki yang hanya ketawa dari tadi mula bersuara.

cis! aku merenung matanya.

"kau tidak fikir apa-apa sebenarnya." kataku.

budak itu ketawa."yelaahhhh siollll!!"

aku ketawa dan berlalu. mereka terus menjerit meminta aku tunggu. aku terus berjalan meninggalkan kumpulan itu.
pesan ibrahim pendek tiga kali aje...

Tuesday, January 4, 2011

aku: hari itu dan hari ini

hari itu

sedang makan di sebuah restoran. seorang jurujual buku agama dan motivasi pergi dari satu meja ke satu meja berkempen tentang kebaikan buku jualannya.sampai di meja aku dia terus berlalu tanpa menegur aku.

hari ini

melangkah masuk ke hypermarket saja terus disapa oleh promoter kad kredit, internet dan jurujual penapis air.

nota:

hari itu aku berambut panjang maka jurujual itu yakin aku tak perlu diagama dan dimotivasikan

hari ini aku berambut pendek maka aku layak menggunakan kad kredit, broadband dan penapis air.

gambar bogel artis dengan yb PR!

ron97 naik lagi malam ni. gembiranyaa!
caaayaaang najib!

p/s amboi koranggg..tengok tajuk laju je masuk.

Monday, January 3, 2011

kenapa blog pro PR makin kurang pembaca berbanding pro umno?

Mengapa terjadinya perkara seperti tajuk di atas?

kata Sham "semasa era reformasi dan PRU 2008 internet diguna hebat oleh rakyat setelah media arus perdana menggelapkan berita yang sebenar. blog, website menghentam BN tumbuh beribu-ribu dan kesannya meribut sehingga BN hampir tumbang. Mereka menyangka tv, akhbar dan jentera mereka kuat. rupanya dah ketinggalan zaman. blogger2 muncul menyerang mereka bagai tentera berkuda."

"lalu mereka mengubah strategi, mengupah blogger2 menangkis blogger PR yang berjuang secara sukarela. ada yang menyusup masuk ke blog2 sebagai pengomen anonymous."

persoalannya mengapa blog pro umno/BN berjaya mengatasi pro PR sekarang?

" bukan mengatasi. blog sudah ketinggalan zaman tapi mereka baru nak mula. pejuang-pejuang siber sudah beralih ke daerah yang lebih cepat iaitu di facebook dan twitter. lihat di sana lebih pantas dan ramai pengikut. mereka masih terkial2 di blog sedang blogger PR sudah menulis halhal kehidupan dah, bukan politik (macam aku)".

bijak gak hujah isteri aku.

Sunday, January 2, 2011

akibat bermulut capoi

johari kaki surau, ajk rasanya. selalu juga kami bersembang-sembang . pasal agama, dunia dan macam-macam. setelah lama tak jumpa dia, satu hari kami bertembung di restoran abang ben. kami bertegur sapa lebih kurang dan dia berlalu.

"apasal johari nampak susut je bang ben?" tanya aku.
"dia sewel sikit sekarang." kata abang ben sambil memainkan kuku jari kelingkingnya yang panjang. terasa geli pulak mengenangkan dia memasak di restorannya dengan kuku ala beruang itu.
"tulah..lama tak nampak dia tau-tau kurus je. sakit apa?" sebagai melayu, sifat jaga tepi coli orang ada juga dalam diri aku.

"gini..."muka abang ben tetiba bertukar serius sambil menyedut asap sempoerna. "satu malam dia dengan bini dia nonton forum agama kat tv pasal kawen cerai."

abang ben menyambung main kuku beruangnya. aku terbayang penyekehku hinggap di ubun-ubun dia. mujur cuma terbayang.

"johari tiba-tiba bergurau dengan bini dia, dia sudah menjerit aku ceraikan kau talak 754 kat bini dia. mereka suami isteri ketawa. esoknya bini dia tak sedap hati lalu bertanya ke pejabat agama kemusykilan tu. rupa-rupa jatuh talak. tu yang sewel tu. kah kah!" gelak abang ben. aku tak ingat aku gelak atau tak.

ini cerita beberapa tahun dulu. aku tak ingat jatuh talak 3 atau satu..tak tahu aku bab hukum dan aku tak ingat. sebab johari kemudiannya berpindah dan sepanjang berpindah aku pernah sekali terjumpa di ceramah pas tapi segan nak tanya.
brader, ini macam punya gurau jangan main ooo...