Cara memesan buku SURAT UNTUK ANAK

Cara memesan buku SURAT UNTUK ANAK
dapatkan!

Thursday, April 26, 2012

Jemputan Ya Qadzial Hajat!

Kami dengan sukacitanya menjemput tuan/puan/datuk/datin/tan sri/tun hadir ke majlis perkahwinan anak perempuan kami Cik Bersih dengan pasangannya Encik 3.0 pada 28 April, Sabtu di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Aturcara majlis: 8 pagi - kedatangan tetamu tak kira vip atau tidak 11 pagi - duduk dan bantah Turut memeriahkan majlis: - Persembahan kawad polis dan fru - pertunjukan water cannon Semoga kehadiran tuan/puan/datuk/datin/tan sri/tun dapat memeriahkan lagi upacara ini. Sila datang serba kuning kerana semua tetamu adalah raja sehari

Sunday, April 22, 2012

Nafas kebebasan

Kebebasan Tdak berhuruf dan bersuara Ia adalah nafas Yang dihirup dan dihembus - Tiananment Square Beijing 17 April 2012

Wednesday, April 18, 2012

Beijing-musim bunga-tren-berak terbuka

Musim bunga sekarang. Sakura kembang mekar, kuning-merah-biru-putih dan hijau pucuk di mana-mana dan menyegarkan mata. Debunga yang berterbangan ditiup angin dingin menggatalkan muka. Musim panas bakal tiba. Baru tiga minggu lepas dingin dan botak, entah bila pohon-pohon ini tetiba bertunas mengeluarkan bunga. Di sini aku baru menghargai itu semua kerana di tanah leluhur sendiri aku tidak sedar lantaran ia malar hijau...
An-Nur diserang batuk jangkitan kuman pada paru-paru, biasa berlaku di Malaysia lalu di sini dia dibawa ke hospital berlainan kerana Erkang Hospital tidak punya kelengkapan cukup. An-Nur dibawa ke sebuah hospital kanak-kanak yang...masyaallah! Terlalu padat sehingga tiada wad. Hanya ditempatkan di wad kecemasan, katilnya rapat-rapat hanya sedepa dan tidak privasi. Selama dua hari kami di situ tak baring, hanya duduk di kerusi bulat. Pesakit-pesakit lain terlalu ramai. Oleh kerana Beijing juga China mengamalkan dasar tak ramai anak, maka sudah tentulah anak yang sakit di wad adalah kesayangan ibu ayah,atuk nenek,pak mak mertua,sepupu sepapat,ipar duai belaka. Berhimpunlah semuanya. Bila malam kerusi penuh orang tidur taktermasuk yang datang menghantar anak sakit lagi. Meja kaunter pun dijadikan tempat tidur, ada yang lelap di muka pintu wad...
Suatu hari seorang budak dimasukkan ke wad ini dan hanya sedepa dengan kami. Dia tak sedar selepas kena sawan. Satu jam doktor dan pegawai kesihatan cuba beri bantuan pernafasan- gagal. Anak kecil ini pulang ke rahmatullah. Kami yang sedepa dengannya dapat meilhat saat demi saat peristiwa itu. Raungan ibunya dan ibu saudaranya merentap hati. Ramai juga menangis melihat drama ini.
Kami memohon keluar kerana tidak selesa di sini. Aku tak boleh terima malah masih trauma dengan tabiat mereka yang berak di tandas awam tak tutup pintu. Pintu ada tapi itula tabiat mereka. Siap hisap rokok lagi dan yang lain menunggu berbaris. Aku trauma setiap kali nak masuk bilik air aku akan teringat benda ini. Rupanya kata Sham, orang perempuan pun sama juga. Berak tak tutup pintu. Nampaklah apa yang terlayut dan apa yang merah...bluwekkkk!!
Kami pindah ke hospital tentera yang standard seperti hospital serdang...
Hanya Sham dibenarkan jaga An-Nur dan aku tumpang tidur rumah Anna dan Zack-mujur dekat jika naik tren.
Aha! Sabri bagi aku kad ala touch n go untuk aku naik tren dan aku sudah pandai sekarang. Aku dah nampak tempat-tempat yang aku akan lawati dengan tren seperti Tiananment Square, Forbidden City, Beijing Zoo yang ada panda dan macam-macam lagi...Oh ya! Bestnya ke mana destinasi hanya 2 yuan bersamaan sehinggit....cuba bayang dari Gombak ke Shah Alam sehinggit atau dari Klang ke KLCC sehinggit? Walaupun bertukar lebih dari saru tren...kad itu boleh juga digunakan untuk naik bas...kita?
Tembok besar? Belum pergi lagi....aku masih belum puas nikmati musim bunga...

Naik keretapi pusing kota beijing
Nampak amoi comel berak tak ada dinding....
Jeng jeng jeng

Saturday, April 14, 2012

Rusuhan seni

Bob lokman membazir je masuk Pas? Dayangku Intan masuk PKR okey ke? Di bawah ni aku petik bahagian tengah tulisan dan pandangan aku tentang golongan artis sertai politik dan menyebelahi Pakatan Rakyat. Selebihnya sila ke http://merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=12948

Kebobrokan sistem pemerintahan di Malaysia yang semakin parah mendorong rakyat bangkit berani untuk menuntut perubahan. Rakyat Malaysia masih menaruh kepercayaan perubahan itu mampu dilakukan di dalam pilihanraya maka sokongan mereka beralih kepada parti politik alternatif. Tuntutan perubahan ini juga turut melibatkan golongan seniman, karyawan ataupun selebriti dunia hiburan tanahair. Fenomena ini dapat dilihat jelas sejak akhir-akhir ini apabila golongan ini sudah berani tampil di atas pentas-pentas program anjuran Pakatan Rakyat. Ramai juga yang mengisytiharkan diri menyertai partai politik. Ini suatu perkembangan yang sangat baik. Kehadiran mereka yang memang mempunyai tarikan dan pengaruh kepada masyarakat sebelum ini seakan menjadi katalis untuk terus berjuang dan menjadi bonus untuk sesebuah partai politik meraih sokongan. Sayangnya penyertaan hangat mereka kemudiannya menjadi sejuk setelah beberapa ketika dan impaknya pula tidaklah mencetuskan sebuah gelombang. Ini kerana kebanyakan mereka yang menyertai Pakatan Rakyat mengambil langkah yang serupa dengan ahli politik yang sedia ada iaitu berceramah. Mereka kebanyakannya telah pun tidak aktif lagi berkarya dan sebahagiannya pula ketika berceramah lebih banyak menceritakan "kejahilan" mereka pada masa lalu sebelum "kembali ke pangkal jalan" menyertai parti politik Pakatan Rakyat.

Seni dan glamour dua benda berbeza. Seni itu suci. Rasulullah S.A.W berpesan kepada sahabatnya Hassan bin Tsabit sang penyair, "Musuh menyerang dengan busur dan panah. Seranglah mereka dengan syair-syair kamu". Mesej yang cuba disampaikan oleh Rasulullah ini jelas - bukanlah suatu dosa menjadi seniman malah bakat istimewa kurniaan Allah itu wajib digunakan sepenuhnya untuk memperjuangkan kebenaran. Yang salah dan sesat adalah silap seniman itu sendiri lantaran gagal dan hanyut dengan pujian seta sanjungan yang mengkhayalkan. Allah menjadikan manusia dengan sejuta keistimewaan dan dengan keistimewaan itulah ia wajib dimanfaatkan oleh insan yang dipertanggungjawabkan sebagai khalifah pentadbir alam. Seni adalah anugerah yang ajaib. Dalam sesebuah peperangan, lagu dan muzik akan dimainkan untuk menaikkan semangat. Malah ketika hari raya Idul Fitri di zaman Rasulullah, acara tarian pedang dipersembahkan sebagai sebuah persembahan kebudayaan. Rombongan hijrah Rasulullah ke Madinah juga telah disambut oleh penduduknya dengan nyanyian diiringi pukulan tabuh dan rebana. Begitulah pengaruh seni dan budaya di dalam kehidupan.

Iklan je nih...acu cube gi baca kat link yang diberi.

Wednesday, April 11, 2012

Cerpen Kak Ijat Kampung Lembah

Cerpen ini telah tersiar dua minggu lepas di akhbar Suara Keadilan edisi 60.

Kak Ijat melangkah laju-laju. Kakinya terasa berat. Amat payah rasanya membawa tubuh yang gempal gedempol itu tetapi digagahkannya juga.

"Kak Ijat gila! Kak Ijat gila!"

Suara sekumpulan kanak-kanak menyorak mengejeknya semakin rancak. Kak Ijat geram tetapi dia tidak mahu melayan. Langkahnya dicepatkan lagi. Kali ini lebih laju rentaknya.

"Kak Ijat gila! Kak Ijat gila! Mooo...Mooo..." sorak mereka lagi. Seorang kanak-kanak paling kecil yang berbogel berlari memintasnya dengan jari telunjuk kedua belah tangan diletakkan di kepalanya sambil berbunyi, "Moooo....."

Kak Ijat menahan sabar. Kalau diikutkan hati mahu ditempelengnya budak itu. Dia terus berlari-lari anak menuju rumahnya. Gaya larinya yang sumbang itu mengundang ketawa kecil sekumpulan warga kampung Lembah Berpantai yang bersidai di warung kopi tepi jalan. Kak Ijat membiarkan suara ketawa mereka dan ejekan kanak-kanak itu berlalu. Dia mahu segera sampai ke rumah.

Sesampai di rumah banglo mewahnya dia meluru ke dalam bilik, menghempaskan tubuh ke atas katil dan menangis terhinggut-hinggut. Bunyi keriut katil yang tersiksa dengan berat badan Kak Ijat berselang-seli dengan esak tangisnya.

"Mengapa orang kampung Lembah Berpantai ini sangat dengkikan aku? Salahkah aku menjadi kaya? Bukankah abangku Tok Najik penghulu kampung ini? Mestilah kekayaannya disalurkan kepadaku? Mengapa mesti dengki?" Raungnya seorang diri. Diramas-ramasnya bantal yang bersarung gambar kartun lembu. "Tak cukup abangku menjadi sasaran fitnah mereka kononnya takutkan bini, aku pun dijadikan mangsa. Dasar Melayu tak habis-habis hasad dengki." Rengusnya sambil memancutkan saki baki air sirih di dalam mulut.

Tidak! Tiba-tiba dia berpendapat bukan itu sebabnya dia dituduh gila. Bukan sebab abangnya atau kakak iparnya Kak Ros yang kuat berboros. Tetapi kerana hobi peliknya yang selalu dibuatnya sejak akhir -akhir ini. "Apa yang mereka sibuk? Aku hanya melayani hobiku untuk isi kesunyian. Suamiku jarang pulang kerana sibuk menguruskan perniagaan di Singapura. Anak-anak sudah bekerja di ibu kota. Mereka pun tidak menghalang hobiku."

Ini semua Razifi punya angkara. Dia yang menghebohkan ke seluruh kampung Lembah Berpantai tentang hobi peliknya. Razifi, pemuda yang bekerja di stesen minyak hujung pekan itu memang suka mengendapnya. Sudahlah mengendap, dihebohkannya pula hobi peliknya sehingga habis seisi kampung tahu dan menuduhnya gila. Kak Ijat tahu sebenarnya yang mengarahkan heboh-heboh itu ialah Haji Nuar, paman Razifi yang dengki dengan abangnya dan ingin merebut jawatan penghulu. Disuruhnya Razifi menfitnah Kak Ijat untuk menekan Tok Najik. Kak Ijat pasti. Heboh-heboh ini sampai juga ke kampung seberang, kampung Dalam Pantai. Ustazah Nurul Ijah yang comel itu pun turut mencanangkannya. Kak Ijat bengang tetapi tidaklah bengang seperti dia bengang terhadap Cik Kamilah, sahabat baiknya sendiri. Cik Kamilah menghasut kaum wanita seluruh kampung Lembah Berpantai supaya pulaukan Kak Ijat. Katanya hobi Kak Ijat menjejaskan imej wanita kampung itu. Kemana-mana mereka pergi orang akan ketawakan kampung mereka. Cik Kamilah mahu Kak Ijat letak jawatan sebagai Ketua Wanita kampung Lembah Berpantai.

Zrappp!!
Tiba-tiba persis kilat Kak Ijat bangun. Dia mahu semua ini berakhir. Dia mahu bersemuka dengan Razifi untuk menyelesaikan semua ini. Kak Ijat mengumpulkan kemarahannya dan melangkah menuju ke rumah Razifi selepas mengenakan selendang merah pusakanya.

Sesampai sahaja di halaman rumah Razifi, Kak Ijat terus menjerit, " Hey Razifi! Budak derhaka tak sedar diri! Berlagak kau sekarang ya? Kalau aku tak rekomen kau kerja di stesen minyak tu jangan harap kau boleh kerja di situ! Tak guna!" Jerit Kak Ijat sambil menyingsing lengan bajunya. Razifi yang sedang bersantai menonton rancangan Rajalawak di Parlimen menerusi kaca televisyen hanya tersengih. Kak Ijat terus membebel entah apa-apa. Sesekali dia menyelak kainnya. Jiran-jiran mula keluar meninjau sambil ketawa. Anak-anak kecil mula berkumpul bersorak-sorak. Ibu Razifi, Kak Zurai hanya tersengih di sebalik langsir jendela.
Kak Ijat puas. Suara anak-anak kecil dan ketawa jiran sudah tidak berkesan di hatinya lagi. Kemarahannya sudah dilempiaskan. Dia kini menuju ke rumah Cik Kamilah.

"Hoi Kamilah! Aku tahu kau mahu ambil jawatan aku. Kau sengaja buruk-burukkan aku. Kau lupakah abang aku penghulu? Kau lupa kakak ipar aku Kak Ros lebih penghulu daripada abang aku? Kalau dia mahu aku terus jadi ketua apa yang kau boleh buat?" Kak Ijat menjerit tidak memberi peluang Cik Kamilah membalas. Kaum wanita yang tadi berkumpul berlonggok bersama Cik Kamilah terdiam. Lama kelamaan mereka sepakat menjerit, "Hidup Kak Ijat! Kami sokong Kak Ijat! Mooooo!!". Kaum wanita itu berlari mencium tangan Kak Ijat, meminta maaf. Cik Kamilah tersenyum kelat.

Kak Ijat tersenyum seronok. Hidungnya kembang. Hatinya puas. Dilapnya peluh berbau rempah kari yang mengalir dari dahinya. Perhitungannya sudah selesai. Kini dia melangkah pula ke bendang. Dia tidak sabar untuk mengecap nikmat hobi barunya. Dia tidak peduli jika mereka kata dia gila. Suaminya tidak marah. Anak-anaknya tidak kisah.

"Mooooo!" Kak Ijat melaung sebaik sahaja sampai ke bendang. Dua tiga kali melaung, tiba-tiba muncul dari semak-semak empat ekor lembu kesayangannya. Lembu-lembu itu menggesel manja apabila Kak Ijat menggosok tubuh mereka. Kak Ijat kemudian menunggang salah seekor lembu yang paling gemuk dan mengarahkannya berjalan pulang ke rumah. Lembu-lembu yang lain mengikut dari belakang dengan patuh. Kak Ijat menyanyi riang. Orang-orang kampung Lembah Berpantai tersenyum-senyum memerhati. Kak Ijat tidak peduli. Biar mereka kata dia gila. Biarkan. Dia mahu cepat sampai ke rumah melayani hobi baharunya- TIDUR DENGAN LEMBU-LEMBUNYA.







Tuesday, April 10, 2012

RonaCHINA di sina...

Sabtu lalu 7 April, An-Nur genap 9 tahun...menyambut tanpa kakaknya.
Di rumah umi Anna dan Abi Zack kesayangan An-Nur hampir 200 tetamu hadir terdiri dari staf kedutaan dan keluarga, pelajar-pelajar kita dari Peking University dan Foreign University. Tak ketinggalan mak angkat Korea An-Nur, Kim dengan segerombolan kawan-kawan senegaranya seramai 17 orang. Sangat meriah...nyanyian lagu keraian dalam Bahasa Inggeris, Melayu dan Korea.

Selain itu, aku sedang membuat sebuah komik thriller. Sehari satu mukasurat, satu jam diperuntukkan untuk melukis sewaktu menemani An-Nur di klinik akupunktur. Target komik 60 mukasurat dengan konsep aku, konsep Ronasina....sekarang baru 10 mukasurat ( letiihhhh...)
Sambil-sambil tu aku asah skil karikatur dengan melukis kawan-kawan di sini bersama anak mereka. Meh! Nikmati foto-foto di bawah:-

Bersama ibu dan bapa angkat An-Nur- Ummi Anna dan Abi Zack

Awek-awek student yang membantu di dapur...
Di bawah, foto Kim mak angkat Annur dari Korea

Tetamu dari kedutaan dan keluarga mereka yang sangat ramah. Di bawah ini Nadia, student sini yang kebetulan tinggal di taman sebelah kami di Kajang
Bawah: segerombolan kawan-kawan Kim dari Korea...17 orang ke semuanya...

Acara makan durian (foto bawah) selepas tetamu pulang. Limited edition...

Harijadi Katr, budak Russia. Aku hadiahkan lukisan karikatur...
karikatur Duma dan anaknya Ebrehur dari Belarus
Doktor Akupunktur Annur yang kami panggil Taifoo
Komik thriller dalam pembikinan, moga aku tak malas menyudahkannya. Dijangka 60 mukasurat...
Awek-awek student di sini yang terrer cakap mandarin
Atas: bila orang Malaysia jumpa Korea jawapannya gamat. Bawah: solat...Tuhan ada juga di China...
Bawah: Ching, Diana dan Wai Yi dari Peking University. Orang Pahang, Johor dan Penang...jumpa student Melayu kat sini habis semuanya cakap Mandarin. Kami melopong...

Abi Zack dengan balak-balak yang menuntut di sini. Semua ni boleh cakap Mandarin wooo..
Peh! Meriahkan?
Wo ai ni!

Friday, April 6, 2012

Berapa kati?

Berapa kati ilmu yang perlu kita ada
Supaya diiktiraf cukup ilmu
Untuk bercakap
Tentang agama?

Lakom dinukom waliyadin...

Tuesday, April 3, 2012

Ada kepala- guna!

Apabila si Buddhi Hekayat menulis status di facebook menyatakan tiada apa yang baru dalam tulisan buah fikiran Dr.Asri bagi mereka dan kawan-kawan di Institut Kajian Dasar, aku setuju. Resam orang kita ialah malas belajar, mengkaji apatah lagi menghayati. Segala halatuju hidup sendiri harus bergantung dengan pendapat orang lain. Jika orang yang dikagumi berkata A mereka akan mata A. Jika Ustaz Azhar Idrus main gitar sewaktu berceramah, mereka bersorak gembira dan kagum dengan ustaz yang multitalented tapi mencebik sewaktu kawan aku menyanyi dengan gitar di program ceramah. Apabila Tukar Tiub kata Yahudi tak semua jahat yang jahat itu zionis ramai tuduh dia sesat tapi apabila Haji Hadi kata yang kita lawan hanya zionis sebab Rasulullah dulu pun berurusniaga dengan Yahudi mereka akur. Hanya menunggu pendapat dari idola aje. Orang lain salah. Mudah sangat menilai orang lain hancur...kurang-kurang Tukar Tiub kena ISA pun tetap tegar sebab tidak tunduk dengan makhluk dan percaya dengan kebenaran yang dipegangnya. Kita? Dengar perkataan ISA pun menggugil batu ladung.
Jangan salah sangka atau jadi bodoh menuduh aku anti Dr Asri, Ustaz Azhar Idrus atau Haji Hadi tetapi aku anti orang yang malas belajar dan sombong, memandang rendah orang lain hanya kerana zahir orang lain nampak lekeh. Azazil dulu paling alim woi tapi kena tendang dari syurga sebab 'abawastakbar'- takbur!
Kesimpulannya ialah kita sendiri kena cari ilmu sebab menuntut ilmu itu fardhu kerana akhirnya kita sendirilah yang akan menentukan sama ada sesuatu perkara itu benar atau tidak walaupun disampaikan oleh sesiapa pun.
Iqra' itu bacalah! Apa maksud bacalah? Bukankah Rasulullah itu buta huruf tak reti baca tetapi mengapa ayat pertama menyuruh kita baca? Takkan Rasulullah tak amalkan ayat Qurat sedangkan menurut Aisyah akhlak Rasulullah itu adalah Al Quran?
Rasulullah menyeru kita 'Baca' hakikat. Hakikat diri kita. Kewujudan kita.hubungkait kita dengan Rabbul Izzah. Menggali rahasia. Kerana diri kita inilah lubuk ilmu.
Ops! Cukup dulu...untuk santai, sila baca cerpen 'Gua Tujuhkalitujuh' aku di ruangan cerpen website Jalantelawi.com mengisahkan seorang lelaki terjaga dari tidaksedarnya dan mendapati dirinya di dalam gua. Malangnya dia tidak kenal siapa dirinya lagi dan cuba mencari...
Tujuh kali tujuh bermaksud perjalanan insan menuju kesempurnaan harus merentasi tujuh martabat nafsu. Dari amarah ke lawamah menuju malhamah lalu ke mutmainah.kemudian mardhiah ke radhiah dan akhirnya ke kamaliah. Perjalanan ini memerlukan tujuh sifat maani iaitu kudrat,iradat, ilmu,hayat,sama,basar,kalam. So pergi baca yek?

Boleh juga baca artikel aku di merdekareview.com/bm yang bertajuk: wahai muhyiddin! Sistem pendidikan kita lahirkan zombi

Atau beli Suara Keadilan baru edisi 60 dengan cerpen satira aku "Kak Ijat Kampung Lembah".
Produktif tak aku?

Wa ai ni!

P/s jika ejaan aku silap, abaikan. Menaip guna iPad memang susah. Aku pun macam Melayu lain, pemalas nak betulkan kesalahan. Sekian adanya. Selamat naik harga minyak.