Friday, May 31, 2013

Wira wira khayal

Perjuangan adalah melangkah ke dalamnya. Peperangan berlaku di medan tempur. Yang nyata lagi jelas. Boleh dipegang. Boleh dirasa. Dunia internet memberikan ruang baru atau dalam konteks perang yang disebutkan tadi, internet membuka medan tempur baru. Laman sosial seperti facebook, twitter, blog dan sebagainya hari ini adalah senjata era baru untuk menyerang.

Bayangkan tiba-tiba internet lenyap kembali dan hilang. Sudah tentu hari ini kita kuchalana. Menggagau dan nanar. Tak kita sedar dalam keberkesanan menyebar maklumat, hujah, senjata dalam bentuk teks, foto dan visual rupa-rupanya ia juga adalah dadah yang membuat kita jadi mat gian. Terlalu memerlukan dan membuat kita khayal. Ia memerangkap dan mengurung kita di dalam sel syok sendiri.

Benar keberkesanan internet dalam perang politik sangat berkesan tetapi keberkesanannya hanya untuk menambah info sahaja. Ia belum bergerak lagi. Peperangannya seperti bermain video game, kita puas jika menang tetapi kepuasan itu telah disimpan di situ. Tidak keluar. Ia di situ sahaja. Apabila kita memadamkan suis, tidak ada apa-apa berlaku. Lenyap lagi senyap.
Tidak dapat dinafikan sebaran info di dalam twitter memang menjadi. Tetapi jika 20 ribu pemegang akaun twitter mengulang tweet kita, ada 20 ribu lagi yang tidak langsung pernah merasakan kewujudan tweet kita. Di antara 20 ribu itu dipecahkan 20 ribu lagi setiap satu.
Ia masih tak nyata.

Kesimpulannya kita boleh menggunakan internet sebagai senjata berperang tetapi medan tempurnya adalah di luar. Terbentang di dunia nyata. Di tempat yang nampak. Bukan juga di pentas teater untuk kita laungkan di sinilah erti perjuangan yang sebenar tetapi ia di dunia realiti lagi hakiki.

Bersungut di laman sosial tentang itu ini, mengkritik ini itu, mencadangkan teori gini gitu hanya menambah gundah gulana atau inca binca di dalam jiwa sendiri. Diri sendiri akhirnya berkecamuk dan orang banyak akan melihat bahawa kita ini dalam nampak macam pandai rupanya gelojoh lagi bodoh.

Kitakah itu?

Toyol jadi kambing

Khir Toyo dakwa dirinya 'dikambinghitam'
2:12PM Mei 31 2013
Bekas menteri besar Selangor, Dr Khir Mohd Toyo mendakwa beliau dijadikan contoh untuk menunjukkan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telus dan mahu membanteras rasuah.

Dalam tulisan di blognya hari ini, Khir - yang dikekalkan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Rayuan semalam - berkata beliau sudah "putus harapan" dan pesimis sekalipun merancang untuk merayu kesnya di Mahkamah Persekutuan.

"Saya sudah tidak peduli lagi jika keputusan telah dibuat untuk memenjarakan saya sebagai ikon untuk menunjukkan kerajaan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ini telus dan mahu membanteras rasuah. Biarlah luncai terjun dengan labu-labunya," tulis Khir dalam blognya.

Semalam Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan bersalah terhadap Dr Mohd Khir bagi tuduhan rasuah yang berkaitan dengan pembelian dua lot tanah berharga dan sebuah rumah di Shah Alam, semasa menjadi penjawat awam.

"Semalam, peguam saya, Datuk Seri Shafee Abdullah bangun mengemukakan pertanyaan kepada tiga orang panel hakim hari ini, 'Apakah benchmark atau tanda aras untuk menyatakan pembelian ini merupakan satu pembalasan yang tidak mencukupi.'

"Pertanyaaan ini bukan sahaja tidak dijawab oleh Hakim Mahkamah Tinggi tetapi juga oleh tiga panel hakim Mahkamah Rayuan. Ini bermakna saya tidak mungkin mendapat sebarang perbicaraan yang munasabah pada akal logik," katanya.


Paparon - cepat isi borang Pas macam bekas MB Selangor sebelum-sebelum kamu.

Thursday, May 30, 2013

Tak takut lagi.

Ketakutan yang amat ketara bagi pemerintah zalim apabila rakyat berbeda keturunan dan berbagai lapisan mula bersatu
Ketakutan yang amat ketara bagi pemerintah zalim apabila orang-orang tua sudah sedar dan mula buka mata dari tidur lena
Ketakutan yang maha besar bagi pemerintah zalim apabila anak-anak muda sudah berani bangkit total melawan
Melawan kezaliman adalah tugas suci
Menegakkan kebenaran adalah tugas mulia
Jika Adam Adli, Hishamuddin Rais, Tian Chua, Haris Ibrahim, Tamrin dan Safwan ditahan
Seribu lagi muncul kerana
Adam Adli adalah kita Hishamuddin Rais adalah kita Tian Chua adalah kita Haris Ibrahim adalah kita Tamrin adalah kita Safwan adalah kita

Haiya alal falah!

Wednesday, May 29, 2013

Salut anak muda berani!

Safwan Anang (kiri) dan Adam Adli dua anak muda dalam gerakan mahasiswa yang sama naik, sama bersaing dan sama berani. Tidak sedikit mata mengecil mencemuh mereka kononnya perjuangan tak jelas, anak muda gopoh dalam mencari kemasyhuran.
Kalau gopoh memintas jalan, gopoh juga jatuh tersungkur. Kita masing-masing punya peranan dalam hidup ini. Dalam tuntutan menegakkan kebenaran dan melawan kezaliman ada seribu jalan dan sejuta cabang. Masing-masing keluar dari lubang masing-masing mengikut jalan sendiri dan keyakinan serta kepandaian sendiri. Lakukan peranan sendiri. Jika tidak berdaya usah perlekeh orang lain.
Aku yakin anak muda ini tahu dan sedar. Aku yakin mereka faham. Mereka sudah nampak apa yang diperjuangkan. Ketahanan adalah ujian terberat.
Waktu muda masa terbaik. Sudah berusia banyak beban, banyak kumpul harta, ada anak, badan lemah mulalah banyak halangan dan alasan.

Salut atas keberanianmu!

Paparon - bukan pejuang, hanya buat apa yang rasa mampu buat.

Tuesday, May 28, 2013

Monday, May 27, 2013

Saturday, May 25, 2013

GLC oh GLC!

Ah sudah! Apasal Anwar keluar kenyataan pimpinan PKR tak boleh sertai GLC?
Habislah halatuju GLC tersasar....tak ruggedlah Anwar niii...ini bukan zaman Khalifah, bukan zaman Aisyah yang apabila orang bagi harta untuk didermakan habis semua dia bagi orang sampai terlupa diri sendiri. Apalah Anwar ni...

Kami nak jugaaaaaa....masuklah nama kami. Barulah halatuju terus berada di landasan yang lurus lagi mustaqim.

Paparon - kihkihkihkihkihkihkih

Tuesday, May 21, 2013

dari Jinjang

jika kau mahu penjarakan kami
bina saja tembok jeriji sepanjang pesisir pantai
dari Perlis sampai Sabah
jika kau mahu kurung kami
dirikan saja tembok besar cina keliling Malaysia 
katakan pada tuhanmu kau mahu hidup selamanya
katakan pada tuhanmu kau mahu menggantikannya
jika kau mahu penjarakan tubuh kami
jika kau mahu cengkam fikiran kami
kau silap
kami akan ajar kamu apa itu tuhan
kami akan ajar kamu apa itu neraka
jika kau mahu penjarakan kami
bina saja tembok sepanjang pesisir pantai
jika kauu fikir kami akan takut
kau silap
kami akan keluar menembusi lubang-lubang angin
dan bangkit memancung kamu
aku harap kau boleh tidur malam ini
kerana selepas ini kau tidak mampu melakukannya lagi

https://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=aemaaKiDbQk
(21 Mei 2013 deklamasi spontan sempena solidariti untuk Adam Adli depan Lokap Berpusat Jinjang)

Adam masih kuat!


Hanya seorang peguam dibenarkan bersama ayah Adam Adli melawat Adam di Lokap Berpusat Kuala Lumpur, Jinjang pagi tadi.
Kata Encik Halim, "saya redha jika Adam ditahan seribu tahun pun demi perjuangan menegakkan keadilan."
Kata Adam dari balik tirai, "Teruskan perjuangan!"

foto: peguam Farhana Halim, dari wall peguam Murnie Hidayah Anuar
teks: Mandeep Singh

Monday, May 20, 2013

Anak Malaysia bersolidariti untuk Adam Adli!

Tembok rasisme sudah runtuh
Kau boleh main api perkauman dan kami tak heran
Kami bangun lawan kezaliman
Kerana kezaliman tidak kenal bangsa dan agama


(tabik untuk 'ayah' atau encik Abdul Halim, bapa Adam Adli yang tenang dan rela Adam ditahan biatpun seribu tahun jika perjuangannya adalah untuk menegakkan keadilan)















Sunday, May 19, 2013

Raja Perlis: Melayu sama Melayu pun gaduh


Raja Perlis: Melayu sama Melayu pun gaduh
9:55AM Mei 20 2013 
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mahu rakyat meneruskan agenda memperkukuhkan semula ikatan perpaduan yang tercalar selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Baginda bimbang melihat senario ketaksuban pemimpin politik tertentu terhadap parti sehingga sanggup mengabaikan kepentingan memelihara keharmonian kaum.
"Bersatu padulah antara kaum ... Melayu sama Melayu pun bergaduh," titah baginda pada majlis Jamuan Teh Kasih Rakyat Menjunjung Daulat sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-70 di Bukit Ketri dekat Kangar semalam.
Menurut baginda, PRU13 sudah berlalu dan tercatat dalam sejarah, sedangkan kerajaan yang terbentuk hasil proses demokrasi perlu disokong dan agenda memperkukuhkan perpaduan harus dipertahan.
Tuanku Syed Sirajuddin juga berharap rakyat menyokong kerajaan yang dipilih bagi meneruskan misi dan visi negara dan negeri termasuk Wawasan 2020 dan Perlis Maju 2015.

"Tanpa sokongan 100 peratus kepada kerajaan, ia menyukarkan pencapaian wawasan negara dan negeri," titah baginda.
Pada majlis itu, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Abdul Rashid menyampaikan bantuan berjumlah lebih RM1 juta kepada 33 penerima termasuk bakal usahawan, golongan miskin dan anak-anak yatim.
Sementara itu, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Bakri Ibni, 59, dikurniakan Pingat Cemerlang Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dan menerima sumbangan wang tunai RM2,000 serta sijil yang disampaikan Raja Perlis.
Tokoh bola sepak itu dipilih kerana jasa besar beliau terhadap pembangunan bola sepak negara dan negeri Perlis.
Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Menteri Besar Perlis, Azlan Man.

- Bernama

tuanku, cina sama cina pun bergaduh, yahudi sesama dia pun bertekak...
tuanku, Melayu kaya rembat tanah Melayu miskin macamana?
Melayu fitnah Melayu macamana?

Paparon - melayu sama melayu gaduh, bangla dapat ic

Saturday, May 18, 2013

trend anak muda

topi anak muda yang power!




Team Yusof Haslam shoot di Beijing pun pakai...







Adam Adli

Adam Adli dilokap petang Sabtu tadi ditahan di bawah Akta Hasutan. Kecil tetapi menggugat!



Friday, May 17, 2013

Perang Selangor: tentera ben Imam Ali vs Khalid al Walid Ibrahim

Perang Jamal atau apa? Itulah keadaan di Selangor. Dalam keadaan kerusi kurang dari parti Pakatan Rakyat yang lain, PKR terus berbalah tentang siapa pula exco Selangor dari parti. Sedikit kronologi, Pas memberikan kerusi MBkepada PKR sekiranya yang ditampilkan adalah MB sebelum ini, Khalid Ibrahim. DAP setuju. PKR atau lebih tepat, penyokong Timbalan PKR iaitu Azmin Ali mahukan Azmin. Sentimen rakyat menyebelahi Khalid dan akhirnya Khalid menang dalam pusingan pertama.

Hari ini perang pusingan kedua. Majlis Pimpinan Pusat PKR mahukan Azmin dilantik sebagai Exco Kanan untuk menyeimbang dan mengawal pentadbiran Khalid. Exco baru juga disaran menggantikan yang lama. Memetik kenyataan sumber MPP di website Antarapos.com:-

“Beliau (Azmin) juga berundur secara baik untuk memberi laluan kepada Khalid menjadi MB demi menjaga perpaduan dan kestabilan parti. Justeru ahli MPP berpendapat Azmin patut di lantik menjadi Exco kanan,” kata sumber itu.

Kenyataan ini bagi Paparon agak tidak profesional kerana berundur secara baik ini nampak berbunyi jahat. Harus diingat perkara paling pokok ialah kerusi ini ehsan Pas dan DAP. Itu bukan alasannya. Satu lagi alasan ialah antara faktor kejayaan Selangor juga adalah kerana Azmin adalah pengarah pilihanrayanya. Ini juga boleh dipatahkan. Kejayaan Selangor boleh juga dihujahkan kerana keyakinan rakyat Selangor terhadap imej Khalid. Benda ini seperti ayam dan telur. Ada hujah juga menyatakan bukan Khalid seorang saja menjayakan Selangor. Ia kolektif dengan barisan exco yang lain.

Tentang jawatan exco kanan ini ada pandangan menyatakan sepatutnya disandang oleh Pas atau DAP kerana kerusi mereka lebih banyak tetapi penyokong PKR.

Paparon setuju exco lama yang Khalid mahu kekalkan digantikan yang baru kerana ada di antaranya tidak efisien. Seperti Xavier dan Rodziah misalnya. Muka baru wajar diberikan atas semangat mahu berkhidmat demi rakyat Selangor dan bukannya mahu bina kem. Dengarnya YB Kajang pun intai mahu jadi exco. Sedar diri sikit kerana anda bertanding di kawasan yang telah siap segala jentera dan penyokong. Kerja anda senang sahaja. Paparon fikir duduk diam-diam ajalah!

Situasi exco ini mungkin menyebabkan Anwar serba salah antara Ben Ali atau Khalid Al Walid. Antara orang kanan kesayangan yang siddiq dan antara kehendak rakyat dan rakan parti. Wan Azizah nampaknya menyebelahi Khalid.

Ini perang Jamal atau perang apa?

Wednesday, May 15, 2013

Lawan pengkhianatan!

Tidak berbuat apa-apa ketika penipuan berlaku depan mata adalah lemah. Apatah lagi penipuan terang nyata melibatkan pengkhianatan. Apa lagi yang tidak jelas bilamana foto dan video pendatang Bangladesh turun mengundi, diberi kad pengenalan? Apa ini bukan bukti? Habis, ini apa? Biskut?

Umno dan Barisan Nasional sedang menggadai negara demi kuasa. Hutang sudah lebih RM550 bilion, warga asing diupah mengundi, tanah dirampas kaum dubuk lapar. Kita tidak bangun.

Sibuk mengutamakan kroni, kita tewas. Kita menuding jari kepada kawan kita. Khianat calon lain. Rampas kawasan kawan. Bergaduh tak dapat kedudukan walaupun dah menang pilihanraya.

Yang wajib diteruskan adalah melawan penipuan! Ajar rakyat negara ini sedang diniagakan! Bukan sebok dengan kerusi lagi! Dulu guna alasan 'bersabar, terima dengan baik jika anda pejuang' kepada calon tak terpilih, hari ini kita meroyan pula.

Jom lawan penipuan!

Paparon - maksud 'kita' tu bukan aku.

Tuesday, May 14, 2013

mari lawan rasisme bangang!

lawan dakyah perkauman yang bodoh!

design terbaru T-Shirt 'Say No To Racism' (Hitam) dan #SayaAnakMalaysia (Hitam dan Putih) sehelai RM20 (tambah RM6 harga pos). Bayar ke akaun Maybank Raja Rohaisham 162021363678 dan sertakan slip pembayaran bersama alamat pos ke kutubkhanah112@gmail.com

Rasisme mangkuk

Rasisme sengaja disemai untuk membawa kekacauan . Jangan terpengaruh. Ini kerana walaupun menang tetapi BN tahu hakikatnya dari lubuk hati mereka tak dapat nafikan sokongan terhadap mereka merudum. Ibarat orang tak puasa sambut raya, kemenangan tak berapa nak diraikan.

Memalukan apabila Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) terlibat dalam mangkuk jamban rasis yang BaNgang lagi memBaNgangkan ini. Cubaan memboikot produk Cina dilihat sangat keji. Islam anjuran Rasulullah SAW kah ini?

Paparon mencadangkan sesiapa yang ingin memboikot Cina perlu memakai tanda lencana supaya senang dikenali.

Kata kawan Paparon, Wani, si pemboikot jangan pergi Low Yat.

Paparon - segala kutukan kepada orang mengaku muslim tapi mangkuk.

Sunday, May 12, 2013

pakatan rakyat (huruf kecil) dan tak berpakatnya Pakatan Rakyat

PRU13 menyaksikan 'pakatan rakyat' (dengan ejaan huruf kecil) bukan Pakatan Rakyat (baca: gabungan tiga parti politik) berkongsi azam untuk menumbangkan regim umno dan Barisan Nasional. Rakyat telah berpakat memilih Pakatan Rakyat sebagai alternatif kepada Barisan Nasional yang lebih setengah abad menggigit dan memijak. faktor Anwar Ibrahim sebenarnya tak dapat dinafikan telah menanam keyakinan rakyat untuk melakukan perubahan.

Namun Pakatan Rakyat gagal menumbangkan Barisan Nasional biarpun angka peratusan dan undi popular menunjukkan mereka mengatasi. Ya! Tolaklah penipuan licik Suruhanjaya Pilihanraya. Sudah bertahun-tahun dibuktikan temberangnya badan konon bebas itu tetapi hakikat yang lain juga patut diterima ialah kegagalan Pakatan Rakyat berpakat seperti rakyat menyebabkan mereka tewas, kehilangan Kedah, gagal menawan kembali Perak malah ada nama-nama besar dalam politik tanahair tersungkur.

Terus menuju ke maksud tulisan ini apabila kecohnya isu siapa Menteri Besar Selangor. Pergeseran tercetus apabila PKR bergeser sama ada Khalid Ibrahim kekal atau Azmin Ali sebagai Menteri Besar yang baru. Berbagai hujah itu ini di mana-mana termasuk di kedai kopi, kedai dobi, twitter dan facebook membincangkan (lebih tepat bergaduh) siapa lebih layak. Terlupa mereka bahkan Pas pun tiba-tiba lupa mereka adalah pemilik asal kerana kelebihan kerusi. Di sini pujian harus diberikan kepada Pas kerana sedia mengorbankan kerusinya jika Khalid Ibrahim sudi menerajunya.

Kem Azmin mendakwa proses menentukan Menteri Besar ini tidak mengikut kaedah mesyuwarah, tidak menghormati dan melanggar kaedah biasa kerana perbincangan perlu diadakan. Zuraida di dalam temubual melalui telefon di Antarapos mengutuk pemimpin Pas seperti Dr Rani yang menyebut awal-awal Khalid Ibrahim calon sesuai. Kata Zuraida, mengapa gila kuasa? Biarlah perbincangan diadakan dahulu kerana kerusi itu kerusi PKR (di sini timbul tanda tanya siapa yang menentukan kerusi Menteri Besar Selangor milik PKR walaupun PKR kurang kerusi). Hujah ditimbulkan lagi dengan dakwaan sepatutnya PKR menang lebih tetapi Pas mengkhianati perjanjian di Dun Kota Damansara sementara PSM curang di Dun Semenyih.

Berbalik-baliklah isu dan pokok poin pergaduhan. Disambut pula Sany Hamzan dari Pas Hulu Langat bahawa PKR harus sedar itu kerusi Pas. Nah! Lihat. Apa pun pusingnya jelaslah, rakyat dan penyokong bawahan tidak pernah ada agenda selain menjatuhkan regim sehingga berperang dengan jentera BN bermati-matian pada hari PRU menahan pengundi hantu, menghalang peti undi haram. Rakyat dan ahli bawahan ikhlas. Yang di atas berkelakuan keanak-anakan. Inikah pemimpin?

Tentang apa yang dikatakan Azmin perlu ada mesyuwarah, itu betul. Tetapi ketika hendak memilih calon PRU adakah parti bermesyuarat dengan cabang? Atau mengutip sahaja laporan Ketua Cabang yang kadang-kadang belum tentu betul dan punya agenda tersendiri. Paparon sendiri menyaksikan sendiri 'game' dan tertutup dengan sombongnya pintu rundingan ketika membawa isu cikgu Lee disingkirkan dari Dun Kajang. Itukah keadilan, demokrasi yang Anwar tawarkan kepada rakyat?

Selasa ini dikatakan sah Khalid Ibrahim akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar dan disebut-sebut juga kali ini tanpa setiausahanya Faekah dan Arfa yang tidak disenangi orang-orang parti. Perisik politik juga melaporkan kem lain dari PKR cuba mencadangkan tiga nama untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor untuk pilih yang mana satu layak sebagai MB. Mereka ialah Nik Nazmi (Dun Seri Setia), Shuhaimi Shafiei (Dun Sri Muda) dan Azmin Ali (Dun Bukit Antarabangsa). Benar atau tidak, entah.

Bagaimanapun pemimpin parti politik Pakatan Rakyat harus meminta maaf kepada rakyat kerana berlakunya pergeseran yang menyebabkan kerugian. Keegoan telah meranapkan impian rakyat. Hadi Awang patut meminta maaf kerana memburukkan beberapa calon PKR dengan isu pil kuda dan ahli PSM sebagai sosialis yang sesat berasulkan Lenin dan Marx serta mengambil tindakan disiplin ke atas ahli Pas yang mengganggu calon dari Pakatan Rakyat yang lain. Jika dia selaku presiden yang mengeluarkan watikah, wajib memohon maaf. Zuraida juga mesti memohon maaf kepada anggota yang lain dan menarik kenyataan yang kerusi Menteri Besar Selangor adalah milik PKR. Itu pun jika mereka menghayati slogan pilihanraya Pakatan Rakyat iaitu 'Demi Rakyat'.

air mata raja


aku takut tengok besarnya jentera Raja Nong Chik ketika menentang Nurul Izzah untuk parlimen Lembah Pantai hari itu. Penyokong dia yakin menang besar. Bayangkan 3000 pengundi pos di Balai Polis Travers. Salut jentera PKR yang bermati-matian mengepung dan mengawal dari kekotoran.

Izzah menang.
Raja Nong Chik menang juga...
menang ngis..
kuikuikui

Lawak blackout hari Ahad



Saturday, May 11, 2013

Lekehnya kita

Masalah kita ialah kita selalunya meletakkan diri kita bawah dan rendah dari ahli politik yang konon mendakwa mereka pemimpin tanpa kita sedari mereka juga manusia biasa yang bekerja sebagai pekerja politik. Kita meletakkan standard bahawa ahli politik (yang kita sangka menjadi pemimpin kita) mestilah lebih baik dari kita. Jika kita merokok, mengorat, kaki minum, kaki clubbing, pelanggan rumah urut kita berharap pemimpin kita bukan seperti kita. Mereka yakni ahli politik ini kita anggap tidak akan ada ciri-ciri ini. Mereka tidak boleh berlawak, mereka mesti pakai kemas, standard mereka jatuh sedikit jika mereka merokok atau dilihat di kelab malam.

Harus diingat mereka ini ahli politik. Itu profesion mereka. Macam kita ini ada tukang kasut, pelukis, kerani atau pegawai tinggi. Ke semua manusia ini manusia biasa. Begitu juga artis, selebriti atau agamawan. Mereka bekerja.

Mereka ada keinginan berpacaran. Berkaraoke. Ketika di tempat kerja ada rakan sekerja atau kadang-kadang kita sendiri berlumba kerja untuk kenaikan pangkat, ahli politik juga tidak ketinggalan mahu menaiktaraf diri dengan kedudukan. Biasalah! Yang tak bolehnya, naik dengan menganiaya orang lain.

Ya! Persepsi kita dan harapan kita terlalu tinggi sehingga kita lupa mereka juga gian berbuat apa yang kita hendak buat. Mereka juga manusia.

Friday, May 10, 2013

siapa lompat?

"ada orang nak lompat."

"siapa? belah mana? BN lompat ke PR?"

"PR. BN pun ada juga...ini senarainya."
dan dia menyebut dua nama tapi tak sempat........

tuuut.....tuuuuuuuuuuuuuuuuuuutttt....

Thursday, May 9, 2013

Hantu-hantu politik

Saya percaya jumlah orang kita takutkan hantu jembalang sudah semakin berkurangan pada zaman ini. Hari ini kanak-kanak kurang keluar rumah. Hantu sukar nak sakat. Kalau keluar pun malam sudah tidak gelap lagi. Hantu barangkali keliru kerana siang dan malam hari ini sudah tidak banyak beza lagi. Waktu kecil-kecil dulu kalau di kampung saya, Sayong memang nesan kubur terpacak di tepi jalan, di depan-depan rumah. Saya biasanya akan memegang tangan kakak sulung saya untuk meminjam kekuatan ketika melintasi perkuburan ini.

Ketakutan terhadap hantu makin lama makin pudar apabila saya semakin dewasa. Ayah saya memang pantang dengar kami bercerita hantu. Ayah tidak mahu kami menjadi seorang yang penakut. Lama kelamaan saya jadi berani sedikit dan jika ada kes-kes hantu di mana-mana, saya pasti dipanggil untuk pergi menyiasat.

Tetapi hari ini saya kembali takut dengan hantu. Setiap waktu tak kira siang atau malam fikiran saya dihantui hantu-hantu. Apabila bergebang di kedai kopi cerita-cerita hantu yang dibualkan menyeramkan saya sehingga saya pulang ke rumah. Apabila melayari internet, hantu-hantu mula masuk ke laman sesawang yang saya singgah. Entahlah, mungkin hantu-hantu ini yang mengawal jari jemari saya untuk memetik kekunci ke laman hantu.

Saya jadi seram. Duduk, baring, berdiri, berak atau makan pun saya memikirkan hantu-hantu ini. Cerita-cerita seram hantu politik dahaga darah kuasa dan mencekik pangkat melemahkan lutut saya. Ketawa mengilai mereka sangat menyeramkan. Saya takut.

Saya mesti cuba menghindari hantu-hantu politik ini. Ancam mengancam, ejek mengejek, mengilai, mencekik kuasa, menghisap pangkat ini mesti saya atasi sebelum saya dirasuk menjadi seperti mereka.

Vampire jika kita digigit, kita juga akan menjadi vampire yang akan menggigit orang lain yang juga akan bertukar menjadi vampire dan seterusnya menggigit orang lain yang kemudiannya menjadi vampire lagi dan lagi dan lagi.....

Paparon - a'udzubillahiminassyaitonirrojim

bakal menteri kabinet najib muka-muka baru?

persoalan membelenggu rakyat Malaysia tentang pelantikan menteri kabinet baru selepas PRU13. siapakah yang bakal tersingkir? apakah Najib memberi ruang kepada Ketua Pemuda umno? apakah kem Muhyiddin dan Muhyiddin sendiri disunat oleh Bikmama?

Siapakah Menteri Wanita? muka baru atau jantan?

Paparon - jreeengggggg! (bunyi gitar yang di'tune' ikut sound kirk Hammet)

Ezam bantu Anwar lawan Azmin

Montreal Screwjob adalah tragedi hitam dunia gusti apabila tauke World Wrestling Federation, Vince McMahon menyingkirkan kejuaraan Bret The Hitman Hart kepada Shawn Michael Heartbreak Kid dengan taktik kotor. McMahon mengarahkan loceng dibunyikan ketika Shawn mengenakan teknik kunci kaki Sharpshooter (yang sebenarnya itu gerakan penamat Bret Hart) ke atas Bret Hart yang belum pun mengaku kalah. Peminat gusti membantah kemenangan ke atas Shawn yang merangkul talipinggang WWF penghujung 90an itu.

Semuanya bermula apabila Hitman tidak berpuas hati dengan layanan istimewa McMahon terhadap Heartbreak Kid yang sering mendapat perlawanan terakhir 'main event' sedangkan Hitman juara. Sentimen Amerika dimainkan, Shawn orang Amerika. Hitman kemudian dikhabarkan akan berpindah ke World Championship Wrestling (WCW) dan perbincangan sedang diadakan. Vince tahu penghijrahan itu tetapi masalahnya Hart masih memegang talipinggang tersebut. Lalu perlawanan menentang Shawn diadakan di negeri kelahiran Bret sendiri, di Kanada.

Semua itu sejarah. Hari ini mereka semua sudah berbaik. Di Malaysia politiknya begitulah. Hari ini Azmin sudah menyindir Anwar di twitternya. Ini kerana isu kerusi Menteri Besar. Jumaat ini Azmin akan mengadakan sidang akhbar. Apakah Azmin akan melepaskan jawatan dalam parti atau kerusi Dun Bukit Antarabangsa atau Parlimen Gombak? Apakah tweet-tweet itu isyarat bermulanya semboyan perang kepada Anwar yang menurut ramalan penganalisis sejak dahulu memang akan berlaku terutamanya di saat-saat genting tiba? Isu munculnya ibu Azmin di kaca televisyen tahun lalu dilihat oleh penganalisis sebagai bunga-bunga awal berpalingnya Azmin. Ini drama Montreal Screwjob abad ini. Siapa McMahon, siapa Hitman dan Shawn tidak jelas.

Dan, apakah pahlawan Anwar suatu ketika dahulu yang sangat memusuhi Azmin akan muncul kembali membela Anwar? Politik adalah gusti. Muhammad Taib pun boleh masuk Pas apatah lagi Ezam.

Foto: Bret Hart, Mc Mahon dan Shawn
Ezam Mohd Nor



Wednesday, May 8, 2013

Siapa MB Selangor?

Antara Azmin dan Khalid Ibrahim kini menjadi polemik di dalam PKR siapakah bakal meneraji kerusi Menteri Besar Selangor.
Jika diikut hirarki dalam parti, juga seperti amalan Umno yang melantik Presidennya menjadi Perdana Menteri kerana jawatan tertinggi, Azmin adalah Timbalan Presiden PKR dan Ketua Selangor.
Sementara rakyat Selangor sangat senang dengan prestasi Khalid Ibrahim.

Walaubagaimanapun kalau nak ikut hirarki, Pas lebih satu kerusi.

Jeng jeng jeng

Paparon - huyoo! Pemilihan parti PKR tahun ni lebih menarik dari PRU

Tuesday, May 7, 2013

Anwar gagal!

Penipuan PRU13 yang sangat jelas dan kotor menyaksikan gagalnya Pakatan Rakyat menumbangkan Barisan Nasional walaupun laporan risikan menyatakan kerajaan baru akan dibentuk.

Namun hakikat yang perlu ditelan ialah tiada satu kerajaan diktator jatuh melalui pilihanraya. Ini fakta.

Keputusan pilihanraya ini wajib ditolak. Jika diterima bermakna kita mengiktiraf penipuan ini. Setakat ini Anwar berulangkali menegaskan menolak keputusan PRU tetapi tidak sangat disambut oleh yang lain apatah lagi yang menang.

Sudah sedap menang, tipu pun tipulah. Di sinilah kita dapat lihat wajah sebenar apakah perjuangan itu hanya untuk mendapatkan kerusi dan jawatan atau benar-benar ingin menumbangkan sebuah rejim yang korup dan bobrok. Tiada suara mengajak protes sebuah penipuan.

Nahe! Nahe! Nahe!

Inilah dalil untuk mengukur sebuah keikhlasan. Ternyata Anwar nampak wajah sebenar kawan-kawan yang mengaku berjuang tetapi selesa apabila sudah menang.

salut untuk Tok Guru Nik Aziz

23 tahun menerajui Kelantan tanpa tercalit satu sen pun tuduhan penyelewengan rasuah dan salahguna kuasa,  Tok Guru Nik Aziz kali ini mengundurkan diri. Nik Aziz selama menjadi Menteri Besar bukan setakat menggembleng tenaga bersama para exco dan pimpinannya membawa Kelantan ke mercu kejayaan, malah Tok Guru satu-satunya Menteri Besar yang mendidik dan menyuburkan 'rohani' rakyat.

Jangan anda nafikan kemajuan Kelantan. Sila ke Kota Bharu. Kecuali anda penagih siaran televisyen BN dan anda bodoh, anda akan dapati Kelantan sungguh maju. Pengangkutan bas ekspresnya sentiasa penuh. Penerbangan Kota Bharu ke Kuala Lumpur pergi balik setiap hari penuh. Dalam keadaan kemajuan modenisasi, Kelantan masih mengekalkan adat tradisi. Rumah-rumah kampung masih terdiri. Kain batik dan semutar, dikir barat, wayang kulit, mak yong tetap ada. Juga industri makanan tradisional, perusahaan tekstil terus kekal.

Dan Tok Guru di rumah yang sederhana itulah dia tinggal. Bagi aku, ahli politik itu boleh cakap apa sahaja tentang perjuangan, berserak suara jeritkan kemiskinan, kuat melaungkan kesederhanaan tetapi untuk mengukur kejujuran laungan itu - lihatlah rumah mereka. Nafsu memiliki rumah inilah yang sukar ditahan dan rumahlah lambang peribadi sosok insan.

Salut untuk Tok Guru. Dia bukanlah sempurna tetapi siapa lagi pemimpin hari ini mampu menandinginya? Kekuatan rohaninya dikongsi seluruh rakyat.

Allah berkatimu!

Paparon - Bila Anwar nak kotakan janji bersara jika Pakatan Rakyat gagal tawan Putrajaya? Kita tidak sabar menunggu.

cina mengancam kedudukan?

media cuba membawa isu perkauman untuk mengheret ke arah 13 Mei. percaturan PRU biasanya akan 'mengganggu' kawasan Melayu tetapi kawasan cina tidak supaya DAP menang dan ini dilihat sebagai kuasa Cina cuba menguasai politik negara.
jangan sesekali kita melayan dan menjadi bodoh terpengaruh dengan isu perkauman.

jeritan Hidup Melayu atau Ketuanan Melayu hanya dijerit oleh yang bawah-bawah. Ketahuilah pemimpin dan pembesar negara Melayu Islam kita lebih suka cari awek atau bini dari bukan Melayu sama ada mat saleh, pakistan atau benggali.

kita juga yang bodoh.

Paparon - Ramai anak cina Malaysia di Beijing membantu kami dulu dan bermanja sebagai satu keluarga.

Selamatkan umno!

Walaupun BN masih memerintah dan umno mendominasi ternyata pengekalan Najib sebagai presiden akan menyebabkan parti itu rapuh dan gagal mendapat sokongan. Najib dengan skandalnya serta imej Rosmah yang bukan saja tidak disenangi rakyat Malaysia tetapi majoriti ahli Umno akan menjadi liabiliti.
Melantik Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah untuk menutup mulut Mahathir yang sentiasa mengancam tidak membantu kedudukan dan kestabilan umno sebaliknya lebih membuat ia bertambah parah.
Umno patut mengusulkan agar Muhyiddin mengambilalih tampuk presiden sekaligus jawatan Perdana Menteri.
Ini hakikat.

Paparon - selamatkan penyamun!

Sunday, May 5, 2013

Kenapa PR gagal menang?

Analisisnya panjang. Sudah tentulah kerana lapan tuntutan Bersih terhadap SPR itu tidak dipenuhi. Senarai pemilih tak bersih, dakwat, undi pos, pengundi hantu, akses media dan sebagainya. Itu semua tahu.

Ternyata kemasukan pengundi hantu sedikit sebanyak dapat dipatahkan petugas. Cuma taktik pengundian awal dan undi pos gagal dikekang.

Tapi,
Kelemahan pentadbiran kerajaan PR Kedah telah menyumbang kepada kegagalan besar kemenangan sehinggakan kawasan selamat seperti Pendang kalah, Kulim-Bandar Baharu tewas. Nama-nama hebat Mat Sabu, Saifuddin Nasution, Mahfuz kalah. Bukan sedikit orang menegur kelemahan ini tetapi kedegilan menteri besar dan penyokong membuta tuli untuk mengambil iktibar akhirnya memusnahkan impian.

Juga pertindihan calon PR akibat tamak dan besar kepala merugikan. Kebebalan ini tak boleh dimaafkan.

Hari ini sudah ada desas-desus penyokong Pas minta kerusi MB Selangor kerana jumlah kerusi banyak. Kecemerlangan Tan Sri Khalid Ibrahim bukan soalnya tetapi kerusi banyak membuatkan mereka menuntut.

Bayangkan jika PR menang Putrajaya apa yang nak dituntut?
Mujur kalah.

Padan muka!

Paparon - berbangga Selangor mantap sukar digugat

Surat dari kawan kepada aku

Kawan,
Usah bersedih. Kalah menang bukan urusan. Tugas kita lawan. Berbanggalah kau tidak terpedaya dengan silau emas palsu yang dihampar depan mata. Kehebatan kau itu aku kagum. Doakan agar aku tetap bersamamu. Aku ini kecil.

Kawan,
Rasulullah ditawarkan hebat kemewahan harta dunia oleh musuh asalkan baginda berhenti melawan tetapi baginda tolak. Kita kecil sahaja tetapi kecil kita biarlah sekecil burung yang tidak dapat mengangkat setimba air namun menggunakan paruh mengumpul air untuk membantu memadamkan api yang cuba membakar Ibrahim alaihissalam.

Kawan,
Kita insan lemah. Tak terdaya kita menentang jentera. Tetapi kita ada senjata. Kita ada maruah. Sehina-hina akhlak ialah apabila kita sengaja membutakan mata hati untuk melihat dusta depan mata.

Kawan,
Sekecil-kecil kita, berdoalah agar kita terus bertahan. Lawanlah lagi biarpun pedih dan tersisih.

Kawan,
Ajarkan anak-anak kita agar bermaruah. Biar susah, biar terpisah, kita ada maruah.
Moga kita terus tabah. Sesungguhnya di hati ini amat menghormati pendirian kamu.

Jangan silap. Ini bukan bunyi lemah. Ini bukan bunyi menyerah. Ini isyarat untuk terus menggempur, ini isyarat terus bangun. Ini amaran untuk lawan dan kawan. Kita sentiasa terus memasang mata.

Kita tidak akan membiarkan tanah ini seinci pun dipijak kezaliman. Kita terus lawan.

Selagi ada semangat, nyawa dalam diri. Kita lawan!





Dari aku,
Kawanmu yang sama kecil sama sama melawan

Terkini lagi!

P141 Sekijang: Saluran 2 Sek Seg Hwa:
PKR-184
BN-94
Rosak 4

Sek Ong Pong, saluran 1 Kg Baru Ampang:
PKR-226
BN-57
Rosak-6

Lagi terkini!

Keputusan tak rasmi pertama

Parlimen Pandan: Taman Bukit Teratai saluran 7: PKR 481, Gajah 17, BN 155

Guan Eng - menang

Terkini!

Saratok, Sarawak PKR menang!
P.205 Saratok - 39 peti undi
BN-2418
PKR-3769
Bebas-86
Rosak-61

Pendang, Kedah Mat Sabu jelas menang!


Foto: pengkhianat

Friday, May 3, 2013

Dari sebuah kem di sempadan Selangor-Negeri Sembilan

"Sudah sedia semua?" tanya seorang lelaki berpakaian kemas dan seperti ketua di dalam kumpulan tersebut.

"Sedia!" jawab mereka beramai-ramai.

"Hafal nombor kad pengenalan kamu, hafal Negaraku, Rukunegara. Sudah?" tanya ketua itu lagi.

"Sudah, bah. Senang ba itu!" jawab mereka lagi.

"Bagus! Esok jangan nampak gelabah. Tenang dan yakin!" pesan sang ketua yang dari dekat jelas nampak tanduk di dahi.

Mereka sudah bersedia. Di kem ini. Untuk membuat sesuatu esok.
Sang ketua, si pengkhianat tersenyum dengan habuan yang diterima.

ABU yang mana?


“Geram betul aku dengan si anu itu. Entah kenapa dia sakit hati sangat dengan aku sampai kenaikan pangkat aku pun gagal disebabkan sabotaj daripada dia. Perangai mengalahkan Abu Jahal!” Rongos rakan Paparon sewaktu kami duduk minum-minum di sebuah restoran. Paparon hanya diam. Yang Paparon fikirkan bukan masalah yang dirungutnya itu tetapi entah mengapa tiba-tiba fikiran Paparon terkesan dengan nama Abu Jahal yang disebutnya. ABU ini slogannya memang menjadi fenomena dalam iklim politik tanahair hari ini. Asalkan Bukan Umno atau ‘Anything But Umno’. Dan slogan ABU ini entah mengapa bertingkah dengan nama Abu Jahal yang rakan Paparon rungutkan sebentar tadi. Bertingkah menari dan menjadi satu. Tidak semena-mena watak kenalan yang diceritakan oleh kawan Paparon  tadi tenggelam kerana Paparon lebih tertarik dengan watak Abu Jahal itu dan entah mengapa fikiran  Paparon mula menyelak watak-watak ‘Abu’ di sekeliling Rasulullah S.A.W dahulu. Oh! Bukan juga slogan ABU yang Paparon nyatakan tadi. Dalam sejarah Nabi Muhammad berjuang, watak ‘Abu- Abu’ ini begitu hebat dan menyumbang banyak dalam siri usaha baginda menegakkan Islam tidak kira watak itu jahat atau pun baik. Dan watak-watak itu Paparon rasakan tidak mati malah terus wujud sehingga hari ini.
Paparon teringatkan Abu Lahab, paman Rasulullah sendiri yang cukup-cukup menentang dakwah Rasulullah. Digambarkan perwatakannya cukup ganas malah gelaran Abu Lahab itu sendiri membawa maksud api kemarahan yang cukup marak. Kebenciannya terhadap gerakan Rasulullah sangat kuat dan sentiasa cuba menzalimi Baginda S.A.W dengan seribu satu perancangan kotor. Watak Abu Lahab ini diabadikan oleh Allah di dalam Al Quran sebagai salah satu surah dan di dalam surah itu Allah mencerca Abu Lahab.
Seorang lagi paman Rasulullah, Abu Talib berbeza pula wataknya. Abu Talib pemimpin dan pelindung Bani Hasyim, sangat dihormati sehingga kaumnya segan untuk mengganggu Rasulullah dek kerana keperibadian Abu Talib itu sendiri. Abu Talib begitu menyayangi Rasulullah, melindunginya dan mengakui kebenaran apa yang disampaikan Muhammad S.A.W tetapi sehingga ke akhir hayat, Abu Talib tetap kekal dengan pegangannya dan tidak memeluk Islam. Puas Rasulullah memujuknya di perbaringan saat nyawa di hujung hidung tetapi sia-sia.
Ingatan Paparon beralih kepada pemimpin utama Bani Quraisy dari suku Bani Abdu Syams iaitu Abu Sufyan bin Harb. Awalnya beliau sangat menentang Rasulullah dan sentiasa berusaha untuk menggagalkan usaha Rasulullah akan tetapi apabila hidayah tiba, Abu Sufyan memeluk Islam dan benar-benar menjadi pejuang membela Islam. Keberanian dan sungguh-sungguh Abu Sufyan membela Islam begitu terbukti sehinggakan beliau kehilangan matanya di dalam Pertempuran Yarmuk dan beliau akhirnya dikenang sebagai salah seorang panglima Islam di dalam sejarah zaman berzaman.
Abu Jandal bin Suhail, di dalam kedudukannya yang masih baharu memeluk Islam terpaksa kembali semula ke Mekah, ke pangkuan kafir kerana kehendak perjanjian Hudaibiyyah yang dimeterai antara Baginda S.A.W dengan Suhail bapa kepada Abu Jandal sendiri. Abu Jandal telah disiksa dengan hebat, diuji keimanannya dan ketika berjaya melepaskan diri dari siksaan kaum bapanya, Rasulullah dan sahabat dengan sayu dan hiba meminta Abu Jandal kembali ke Mekah seperti dijanjikan walaupun Abu Jandal merayu untuk bersama Islam. Pengorbanan Abu Jandal agak berbeza kerana terpaksa murtad. Adakah watak Abu Jandal pada hari ini? Terpaksa murtad demi keharmonian sebuah perhubungan kekeluargaan?
Ahh! Apa yang hendak dikhabarkan lagi terhadap Abu Bakr As Siddiq, sahabat karib Rasulullah yang telah bersama ke mana sahaja tidak kira ketika zaman susah apatah lagi pada waktu senang, sama-sama bersembunyi diburu musuh bahkan bukti keakraban beliau terhadap Rasulullah dikuatkan dengan menyerahkan puterinya Aisyah untuk diperisterikan Rasulullah. Apa sahaja yang dikatakan Rasulullah adalah benar belaka tanpa ragu-ragu walaupun ketika terjadinya peristiwa Isra’ dan Mikraj yang sangat mencabar akal waras manusiawi.
Selembar demi selembar nama-nama sahabat yang lain seperti Abu Dzar, Abu Hurairah dan lain-lain mengetuk jemala. Paparon cuba mencari hubung kait watak-watak ini dengan diri Paparon dan watak-watak persekitaran Paparon yang hidup pada hari ini. Bahkan ketika kawan Paparon merungut di awal cerita Paparon ini tadi Paparon tidak pasti di manakah kedudukan diri Paparon . ‘Abu’ yang manakah Paparon pada hari ini di dalam kehidupan yang serba mencabar dan menuntut pendirian yang tegap? Abu Sufyankah  atau Abu Talib? Atau terawang-awang tidak menjadi apa pun, hanya seperti abu terbakar (bukan Abu Bakr) yang ringan ditiup taufan puting beliung? Kalian juga bagaimana? Abu (bukan slogan ABU) yang mana?

Paparon - tulisan asalnya adalah untuk dimuatkan di dalam kolum yang diberikan kepada Paparon di dalam majalah Milenia pada Januari 2013 lalu tapi majalah tu tutup kedai.....

Sembahyang kat mana pun mahu tanya ka?

Membaca balasan surat terbuka oleh Dr Nasir presiden Parti Sosialis Malaysia yang dikirimkan kepadanya oleh orang-orang yang berasa lebih alim dan menganut sebuah parti politik yang dirasakan sudah hebat berada di jalan lurus sangat mengesankan.

Dr Nasir menjelaskan sebaiknya tentang pertanyaan mereka di masjid mana dia sembahyang, teringat juga Paparon akan seorang calon PKR yang menyebar cerita pesaingnya Syed Hamid Ali tidak ke surau dan membela anjing di rumah. Dijawab secara sinis Syeh Hamid "Bukan setakat anjing, babi pun ada bela!".

Inilah penyakit angkuh dan berasa alim yang hinggap di dada-dada mereka yang berasa lebih Islam daripada orang lain. Sibuk dengan amal ibadah orang lain, menilai melalui paras dan luaran, sentiasa skeptik pada orang yang tak berpakaian 'alim'.

Malulah pada Syeikh Bahaudin Naqsyahbandi, ulama besar tapi buat kerja part time cuci tandas dan bayangkan tandas zaman dulu jenis tandas angkut. Ini pernah ditulis seseorang yang menyaksikan sendiri Nik Aziz membuat kerja ini. Kerja ini untuk membuang ego di dalam diri. Malah zaman tariqat berkembang suatu masa dulu, syarat pertama melangkah ke tariqat ialah mesti pergi menyamar jadi pengemis setahun. Rasakan diri dimaki dihina, uji keangkuhan dalam dada. Kalau tak tahan, lari sebelum belajar alif lagi.

Hari ini belajar agama main dengar-dengar ceramah aje atau baca buku. Ustaz facebook pun banyak, ikut saja fatwa-fatwa facebook dan sudah rasa hebat.

Pernahkah merasai dan mengalami pengalaman kerohanian? Faham apa Paparon maksudkan?

Begini, sebelum tanya orang lain solat di mana, tanya dulu diri sendiri di mana qasad taarud dan taayin dalam solat kita?
Di mana tujuh ayat Al Fatihah itu kau letakkan pada diri?
Apa hubungan 13 rukun solat dengan tujuh anggota, lima indera dan satu jiwa? Campurkannya jadi tak 13?

Tanya diri kita dulu....
Jangan sebok solat orang...
Selamat mengundi!

(dikemaskini) Mari duduk fikir sebentar

Teringat ungkapan Syed Hamid Ali yang wawancaranya bakal dimuatkan di dalam majalah Posto! isu kedua nanti. Kata beliau " Harapkan yang terbaik tetapi buat persiapan untuk yang terburuk."

Mari kita duduk sebentar dan berfikir. Pejam mata dan jujurkan hati. Mari melihat bumi yang nyata dan jangan campur adukkan dengan harapan. Kita memang menaruh harapan. Berharap sahaja yang masih belum dikenakan bayaran waktu ini.

Kita sudah tentu mahukan terbaik tetapi soalnya bagaimana menangani jika berlaku sebaliknya? Di atas kertas memang nampak mudah. Pakatan Rakyat menang. Rata-rata tempat yang kita pergi memang sangat jelas ketara sokongannya. Slogan 'Ini Kalilah!' menggusarkan Najib dan suku sakatnya.

Ini soal maut dan kiamat karier. Ini soal menghantar Barisan Nasional ke dacing timbangan sebelum dihumban ke neraka jahanam sehingga tiada lagi kedengaran suara-suara mereka. Yakinkah anda peralihan ini lancar? Maksudnya mereka akur menyerah kuasa dan mengambil kerusi pembangkang. Atau bermaksud fail-fail jenayah mereka akan dibuka.

Jangan campurkan harapan dalam membuat analisis. Mari berfikir, catatkan analisis anda apa bakal berlaku dua hari lagi? Apakah harapan anda bersubahat dalam analisis? Apakah kita jujur?

Paling penting apa persiapan kita?
Cuba catatkan dan bandingkannya dengan realiti yang menanti beberapa jam lagi.

bn sampai tua

janganlah tuduh melulu
aku bukanlah kacang hantu
kalau nak gelar gelarlah aku
mat umno

orang kata kita tak betul
sebab kita gila bn
tapi aku tak peduli aku akan bn sampai tuaaaaaaaaaaaaaaaaaaa

Thursday, May 2, 2013

goncang 30 saat untuk tahan lama


SPR: Goncang dakwat 30 saat untuk tahan lama
 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan bahawa kesan dakwat kekal yang dicalit di jari pengundi tidak akan hilang sehingga tempoh lima hingga tujuh hari.

Setiausahanya Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata dakwat itu sudah diuji, diluluskan penggunaannya oleh Kementerian Kesihatan, Jabatan Kimia dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Dalam kes pengundi awal yang membuat laporan polis dan menyebar gambar kesan dakwat itu hilang dari jarinya, beliau berkata ia disebabkan petugas SPR tidak mengikuti peraturan yang dinyatakan di botol dakwat itu yang memerlukan ia digoncang 30 saat sebelum digunakan.

Menurutnya, jika digunakan mengikut peraturan yang ditetapkan di botol dakwat itu, kesannya pasti tidak akan hilang sepenuhnya walaupun ia cuba ditanggalkan dengan pelbagai cara seperti menggunakan cuka, pencuci, minyak atau apa jua.

"...jika dilihat betul-betul kepada kes yang disebar di laman sosial itu, kesan dakwat memang tidak tanggal sepenuhnya, masih kelihatan di celah-celah kuku, tak boleh tanggal sepenuhnya," katanya dalam sidang media di Pusat Media SPR di Putrajaya hari ini.

Kamaruddin turut menunjukkan demonstrasi penggunaan dakwat itu di samping mengedar senarai peraturan yang perlu diikuti kerani atau petugas SPR di pusat mengundi nanti.

Antaranya ialah botol dakwat perlu digoncang setiap dua jam, selama 30 saat sebelum dibuka penutupnya, dan jari pengundi yang hendak dicalit perlu bersih serta kering dan ia perlu dicalit di keseluruhan ruas pertama hingga ke kuku dan bahagian bawah jari.

Dalam demonstrasi itu, usaha seorang petugas media yang cuba menghilangkan kesan dakwat yang digunakan pada hari pengundian awal, tidak berhasil meskipun beliau telah menggunakan beberapa bahan pencuci.

Kamaruddin berkata cubaan sesetengah pihak untuk menanggalkan sepenuhnya kesan dakwat itu secepat mungkin dengan menggunakan pelbagai cara, mungkin mempunyai motif tertentu atau mungkin juga mereka menyimpan niat tidak baik terhadap SPR.

Mengenai pengundi awal, beliau berkata pada Selasa lepas ia sebanyak 83.3 peratus iaitu 200,979 orang daripada 272,387 pengundi.

Bernama



Paparon - Goncang 30 saat mana pulak tahan lama?

Kamilia dah mula cerdik

Kamilia: Hanya calon Bebas benar-benar telus
3:33PM Mei 2 2013
Hanya pemimpin Bebas boleh bertindak sebagai "agen rakyat" rakyat yang betul-betul telus kerana tidak terikat dengan dasar-dasar parti yang dianggotainya, kata bekas naib ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim.

Beliau yang meletakkan jawatan daripada Umno untuk bertanding calon bebas di Kuala Kangsar berkata, pemimpin Bebas jika terpilih berhak memilih mana-mana dasar yang dirasakan lebih bermanfaat untuk disokong di Parlimen.

"Ini akan membolehkan parlimen membuat dasar yang menguntungkan kesemua rakyat Malaysia tanpa melibatkan kepentingan mana-mana pimpinan parti," katanya.

Kamilia pada 20 April - hari penamaan calon - membuat keputusan mengejutkan bertanding sebagai calon Bebas di Kuala Kangsa menentang calon partinya dari BN Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad dan Idham Lim (PAS) dalam pertembungan tiga penjuru.

Sejurus sahaja disahkan sebagai calon, beliau mengumumkan keluar Umno dan melepaskan semua jawatannya dalam parti Melayu itu sebagai tanda protes terhadap pemilihan calon oleh BN yang tidak meletakkan pemimpin tertinggi Wanita sebagai calon.

Menulis di Facebook beliau, Kamilia menjelaskan, kehadiran calon-calon Bebas hendaklah dilihat sebagai sinar baru dalam senario politik Malaysia yang mampu bertindak sebagai kuasa pengimbang di Parlimen.

"Kebanyakan negara-negara maju di dunia telah pun mengarah ke senario ini termasuklah Malaysia yang menyaksikan kehadiran 270 calon Bebas dalam PRU13, tertinggi dalam sejarah," katanya lagi.

Beliau juga mengkritik, senario politik Malaysia yang menyaksikan sikap taksub kepada perjuangan parti, ditambah dengan sentimen bangsa atau perkauman

"Situasi ini menyebabkan rakyat hanya diberi 2 pilihan iaitu Parti A atau Parti B, yang menjuruskan kepada senario memilih 'lebih baik syaitan yang anda kenali dari malaikat yang anda tidak kenali'," sindirnya.

Dalam masa yang sama Kamilia juga mengkritik peranan pari yang cenderung mengikut kehendak pucuk pimpinan semata-mata manakala anggotanya pula menjadi mangsa pembasuhan minda.


Paparon - duduk luar umno baru cerdik sikit. Dah tua-tua kalau bangang, buruk.

Husam TPM

Ada ura-ura jika PR tawan Putrajaya, Husam Musa akan jadi TPM. Paparon rasa ini gandingan kacak abad ini.

Paparon- wow!

Wednesday, May 1, 2013

Yo yo oo lagi

Bapa Saiful tukar lagi, dakwa anak diliwat Anwar
3:10PM Mei 1 2013
Bapa Mohd Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim sekali lagi menukar kenyataannya dengan mendakwa dakwaan liwat ke atas anaknya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2008 benar-benar berlaku.

Azlan mengaku kejadian ke atas anaknya itu bukan konspirasi politik seperti kenyataannya beberapa bulan lalu.

"Kejadian liwat yang dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah benar dan ia bukan satu konspirasi politik untuk menjatuhkan DSAI (Anwar)," katanya.

Beliau juga menarik balik permohonan maaf kepada Anwar sekeluarga dan mengumumkan keluar PKR serta-merta.

Azlan pada 8 Mac lalu mengejutkan banyak pihak apabila memohon maaf kepada Anwar dan mendakwa anaknya dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab, termasuk seorang pegawai perdana menteri dalam kes Liwat II.

'Petunjuk dari solat Istikharah'

Dalam kenyataannya sebelum ini, Azlan, 60, mendakwa semua kenyataan akhbar yang dikeluarkan anaknya dan beliau sendiri dirancang dan disediakan pegawai khas di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan peguam Zamri Idrus.

Beliau malah merayu kepada seluruh rakyat Malaysia "bangun bersatu menentang kezaliman ini dan bekerja keras agar kebenaran akan muncul" serta berdoa agar Allah memenangkan perjuangan Anwar dan Pakatan.

Dalam sidang media hari ini, Azlan dilapor menjelaskan, tindakannya sebelum ini dibuat akibat terpengaruh dengan beberapa pihak dan tidak timbul soal ganjaran.

"Kebetulan nak pilihan raya saya tampil buat keterangan. Saya ada buat solat istikharah mohon petunjuk dan pedoman. Bersedia hadapi tohmahan orang sekeliling," katanya yang mengaku sudah insaf.

Beliau juga menegaskan, tindakannya mengadakan sidang akhbar pada hari ini atas kesedaran sendiri, keinsafan dan bukan disuruh, dipengaruhi mahupun dipujuk oleh sesiapa.

Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari tahun lepas daripada tuduhan meliwat Saiful, yang merupakan pembantunya pada 26 Jun 2008 di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Jabatan Peguam Negara telah merayu terhadap keputusan itu dan Mahkamah Rayuan akan mendengar kes pada 22 Julai.

Paparon- percaya lagi kat mangkuk-mangkuk..haaa