Saturday, August 31, 2013

Gedung Kartun dan Merdeka

Setiap kali menyambut 31 Ogos aku teringat peristiwa pada bulan kemerdekaan 2009. Ketika itu majalah politik keluaran Sepakat Efektif, Gedung Kartun muncul dengan edisi sulungnya. Dengan muka depan lakaran Jonos idea oleh Zunar, hasil diskusi kami semua yang terpaksa mengubah idea asal. Sepatutnya muka depan adalah lukisan Oly tentang roh Teoh Beng Hock - anak muda yang ditemui mati secara misteri di Plaza Masalam selepas dipanggil SPRM untuk soal siasat kes rasuah seorang pemimpin Pakatan Rakyat. Beng Hock hanya saksi tetapi kematiannya penuh tandatanya sehingga hari ini gagal menemui jawaban malah kenyataan-kenyataan pihak kerajaan sangat memualkan. Kes itu sangat hot sehingga di dalam Gedung Kartun keluaran itu ada pembongkaran dalam bentuk kartun tentang teka-tekinya.

Lukisan Oly itu didapati tidak sesuai menjadi muka hadapan dan ia diletakkan di bahagian dalam majalah. Kami berbincang dan akhirnya kami bersepakat bersetuju dengan idea cover seorang lelaki berbaju PM mengibarkan bendera sambil menjerit Merdeka. Seorang kanak-kanak bernama Dol Kerepek menegur lelaki tersebut bahawa bendera yang dikibarnya itu bukan bendera Malaysia sebaliknya bendera Mongolia. Kami iaitu aku, Zunar dan Jonos mengakui ini idea paling lekeh dan ringan tetapi tak disangka ia sangat berat dan bahaya untuk kerajaan.

Selain rakyat Malaysia mendapat pengetahuan baru iaitu begitu rupanya bendera Mongolia, perkara yang Kementerian dalam Negeri fikir lebih membahayakan adalah kehadiran sebuah majalah kartun berkonsep baru ~ mengkritik terang-terang tanpa belas kasihan.

Semuanya sejarah. Gedung kartun dirampas. Diharamkan. Ketua pengarang dan penerbitnya, Zunar didakwa, mengangkat terus namanya sebagai wira. Kartun mula diiktiraf senjata dalam dunia politik. Kerajaan selepas itu turut juga mengeluarkan dana menggunakan kartun sebagai alat propaganda politik.

Gedung Kartun perintis sejarah. Pemecah tradisi. Siri seterusnya dimulakan - Perak Darul Kartun. Isu Dalam Kartun vol 1, 2 dan 3 lalu terus diharamkan. Kali ini KDN menakut-nakutkan pencetak, pengedar dan penjual. Kerana mereka mendapati pengurusan semakin teratur, sambutan makin baik. Itulah puncanya majalah kartun melawan ini mati di negara merdeka. Kata Hishamuddin Rais kepada aku dulu, "jentera yang kau orang lawan terlalu besar!".

Ya! Dan hari ini, di tanah merdeka, bukan Gedung Kartun sahaja malah kita semua terus dibuli penguasa yang berasa besar.

muka depan Gedung Kartun


kartun atas oleh A.J dan bawah oleh aku. Ramai kawan memberitahu kartun ini bahaya dan menakutkan mereka.

 ilustrasi Jonos apabila semua rakyat Malaysia mudah dapat gelaran Datuk


kajian kes oleh aku tentang misteri Beng Hock

pegawai KDN dserbu pejabat dan rampas majalah


Kisah  pembesar negara ditangkap khalwat dengan penyanyi popular di Port Dickson gabungan idea aku/zunar/oly 'based on true story'.

Friday, August 30, 2013

promo! Selasa 3 September di Astro Awani 501

video

promo!

Ke mana roh merdeka kita hari ini?

31 Ogos yang tercatat di kalendar kita sebagai Hari Kebangsaan semakin lama semakin pudar roh dan ghairah untuk generasi hari ini meraikannya. Kalau ada perhimpunan pun untuk berhibur dengan bunga api, muzik dan nyanyian atau lepak bersama kawan-kawan, tidur lewat meraikan esoknya cuti am.
Apa sudah jadi? Ini persoalannya. Ini yang ditanya rakan saya dari Singapura semalam mengapa Kuala Lumpur seperti tidak ada apa-apa berlaku walhal Hari Kebangsaan adalah hari yang cukup bermakna bagi semua warganegara.

Apakah perbarisan dan perarakan sepanjang Jalan Raja berhadapan Dataran Merdeka yang dibuat bertahun-tahun sedikit pun tidak menjentik jiwa patriotisme kita? Atau aktiviti perbarisan sepanjang 1 kilometer yang sengaja dibuat khas untuk program tv sebagai propaganda 'gahnya kerajaan hari ini' itu bagi kita tak jauh beza dengan pertunjukan sarkis?

Ini kerana salah satu sebabnya ialah kebebalan kerajaan Barisan Nasional dan bengongnya Perdana Menteri membezakan antara negara dengan parti. Presiden Umno dan menteri-menteri dari parti komponen Barisan Nasional sering mencuri tempat yang ramai diduduki rakyat dan mengada-ngada mengaku itu tempat mereka. Ramainya hadirin meraikan malam 31 Ogos akan dilaporkan media pengampu sebagai tanda sokongan padu seluruh rakyat terhadap pemerintah. Apatah lagi Perdana Menteri dengan muka setebal buku biografi isterinya sering berucap seolah-olah berada di dalam dewan perhimpunan umno. Ucapan di padang, di stadium, di sekolah atau di ceruk tanah rancangan sering berbaur politik kepartian dan bukan sebagai Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada seluruh rakyat Malaysia. Sibuk mengutuk parti lawan dan menjerit-jerit tak tentu arah macam polong tercekik dedak.

Ini cuma sebahagian sebab rakyat bosan dan hilang semangat meraikan Hari Kebangsaan. Mengibar Jalur Gemilang dirasakan seperti menyokong Umno, menjerit Merdeka dikaitkan dengan Umno, malah paling teruk menyanyikan lagu Negaraku pun terasa seperti menyanyi lagu Umno.

Sedarlah Barisan Nasional, lebih 50% rakyat Malaysia meluat dengan kamu. Kamulah yang patut menjadi 'papan dart' untuk dilontarkan kesalahan kerana mematikan semangat majoriti rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan.

Sunday, August 25, 2013

Quote best

Beberapa 'quote' yang aku suka dalam filem The Bronx Tale lakonan/arahan Robert De Niro berdasarkan pengalaman sendiri Chazz Palminteri (memegang watak Sonny ketua samseng dalam filem ini) sewaktu kecil.

"The saddest thing in life is wasted talent" "You can have all the talent in the world but if you don't do the right thing - then nothing happens". "It was 1960 and doo-wop was the sound on the street"
Priest: don't be afraid, my son. No one is more powerful than god.
Calogero: i don't know about that, father. Your guy may be bigger than my guy up there, but my guy is bigger than your guy down here.
Priest: ya got a point

"is it better to be loved or feared? That's a good question. It's great to be both, but it's very difficult. But if i had my choice, i would rather be feared. Fear lasts longer than love"

"it don't take much strength to pull a trigger. But try and get up every morning, day after day and work for living. Let's see him try that then we'll see who the real tough is. The working man's the tough guy."

tak lama lagi

Dalam mencari isi adakalanya jari terluka. Majalah Posto!#2 akan muncul tak lama lagi.Temubual eksklusif dengan Syed Hamid Ali mengimbas aktiviti mahasiswanya dahulu dan politik masakini. Adam Adli bertanya tentang apa bentuk kemajuan? Hishamuddin Rais berkisah tentang zaman pelarian. Wan Ji kupas pasal Mesir. Wartawan Malaysiakini, Rahim Sabri ulas sebuah filem Barat.Mohd Faizal singkap Mafia Kanada.Lim Hong Siang cerita sedikit bagaimana dia fasih Bahasa Melayu. Apa lagi? Tunggu!

Friday, August 23, 2013

sirul dan azilah ada di mana-mana

terlepas hukuman dan kes senyap ni berlaku juga dalam parti-parti politik besar tanahair. kes laporan ada penyelewengan dalam pemilihan parti - senyap!
kes khianat janji dengan letak calon lawan geng sendiri dalam PRU13 dulu - senyap!
dan...... musuh banyak skandal dan kes jika join parti kita terus bersih


Wednesday, August 21, 2013

Nota untuk DPPas

Selain ke konsert Metallica, saya mencadangkan agar pemuda Pas meneruskan XpDC dakwah mak nyah, ayam dan tauke ayam di lorong-lorong tak jauh dari belakang bangunan ibu pejabat Pas. Saya sokong!

Wednesday, August 7, 2013

minal aidil wal faidzin

Salam Lebaran minal aidil wal faidzin!
Anda Sunni, Syiah, Wahabi, Wahdatul Wujud, Jabariah, Qadariah, Muktazilah, Buddha, Hindu, Kristian, Atheis...
Kita ada jiwa dan jasad. Kita ada cinta. Dengan kurnia cinta sang Pemilik kita hidup.
Bercintalah!

Tuesday, August 6, 2013

mari membaca. bow wow! bow wow!

                                                                                  Mira Sani's photo.

Ada nampak anjing kat depan tengah-tengah tu? Naahh... yang segak bergambar dengan anjing tu, semuanya kan tokoh-tokoh Islam yang tersohor. Mufti Kelantan Haji Wan Musa dan Dr Burhanuddin Al-Helmi tokoh besar PAS, dan Raja Kelantan pun ada situ. Silakan tengok gambar ni, diambil pada 1930an. Saya taipkan semula di sini dalam tulisan rumi : Gambar ini diambil sempena perbicaraan tentang masalah najis anjing. Yang duduk di sebelah kanan sekali ialah Haji Wan Musa, yang tengah Yang Teramat Mulia Raja Kelantan Yang Mulia Haji Abbas Taha, qadhi besar Singapura dan Haji Nik Mhd Sadiqi Haji Wan Musa.

Yang berdiri di sebelah kanan sekali ialah Yang Mulia Tengku Chik, Yang Mulia Doktor Burhanuddin Al-Helmi, Yang Berhormat Datuk Seri Diraja Kelantan dan Nik Mahmud.

Berikut adalah petikan dari tulisan Tn Hj Nik Abdul Aziz bin Hj Nik Hassan yang diterbitkan dalam buku 'Islam di Kelantan' terbitan Persatuan Sejarah Malaysia :

Raja Kelantan iaitu Tengku Ibrahim Ibnu Sultan Muhammad IV memanggil Hj Nik Abdullah bin Hj Wan Musa, seorang ulama lulusan Mekah dan juga anak kepada Mufti Kelantan (Hj Wan Musa), ke Istananya yang bernama Sri Cemerlang. Raja Kelantan yang ingin sangat memelihara anjing, bertanya kepada Hj Nik Abdullah sama ada anjing itu boleh dipelihara atau tidak, dan bagaimana jika terkena air liur anjing?

Hj. Nik Abdullah bin Hj Wan Musa menjawab bahawa 'kiranya binatang anjing itu difikir sangat perlu untuk keselamatan rumahtangga, maka binatang itu perlu pula dipelihara oleh anggota keluarga itu'.

Seterusnya, Hj Nik Abdullah bin Hj Wan Musa menjelaskan bahawa 'jika mengikut pendapat Imam Syafiii, anggota tubuh badan manusia yang terkena jilatan anjing wajib disamak, akan tetapi jika berpandukan pada pendapat Imam Malik pula, tidak harus disamak. Justeru, menurut Hj Nik Abdullah, orang ramai boleh memilih pandangan mana satu di antara kedua itu yang mereka mahu amalkan.

Bagi Hj Nik Abdullah, kesemua pandagan yang mewakili setiap mazhab empat iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafii dan Hanbali boleh diamalkan oleh orang ramai, walaupun dengan cara 'talfik' (campur aduk) di antara satu sama lain. Cuma apa yang beliau ingatkan ialah agar amalan mereka tidak terkeluar daripada lingkungan mazhab empat itu. Menurut beliau, perbezaan pendapat di antara ulama-ulama mujtahid mutlak itu hanya berasaskan daya ijtihad masing-masing berpandukan Al-Qur'an dan AL-Hadith . Tambahan pula, tiap-tiap Imam yang mengasaskan mazhab mereka masing-masing itu tidak menyalahkan pandangan-pandangan yang berbeza di antara mereka, dan tidak pula mewajibkan orang-orang kemudian supaya mengikuti kesemua pandangan mereka masing-masing'.

Bapa Hj Nik Abdullah iaitu bekas Mufti Kelantan Hj Wan Musa, Haji Abas Taha yang merupakan Qadhi Besar Singapura dan tokoh besar PAS iaitu Dr. Burhanuddin Al-Helmi adalah antara tokoh Islam yang menyokong pendapat Hj Nik Abdullah.

via Teuku Zacharyah Iskandar.
Admin FB : Anak Muda Bangkit Hancurkan UMNO

Salam Aidilfitri



Sunday, August 4, 2013

Subuh 25 Ramadhan

Kenyang dengan kelaparan
Adalah susah yang menyenangkan
Tahu faham dan kenal
Adalah kejahilan yang mencerahkan

- Saujana Impian, Kajang
25 Ramadhan

Hidup ini bukan mengutip seberapa banyak ikan di lautan untuk kujadikan lauk tetapi yang paling penting perahuku selamat pulang ke daratan.
Laut ini masin
Langit ini cerah
Mentarinya panas
Angin berbahang
Gelombangnya menggugat

Saturday, August 3, 2013

Puasa hari ini dan semalam

Hari ini berbuka di rumah dengan An-Nur. Sham di gerai jualan. Hujung minggu terakhir sebelum raya. Pekan Kajang sesak. Warga keluar mencari baju raya. Harap rezeki kami murah. Jam enam setengah sewaktu hendak keluar ke restoran berdekatan mencari makanan tiba-tiba teringat nasi beriyani kambing pemberian kakak aku dua hari lepas masih ada di dalam peti sejuk. Tak jadi keluar. Masukkan nasi beriyani dalam periuk nasi elektrik dan panaskan.

Semalam berbuka di Ampang dengan kawan-kawan aktivis. Sejak demonstrasi di Padang Merbok baru hari semalam aku keluar ke Kuala Lumpur bertemu mereka. Malas sangat keluar kerana sibuk menulis buku. Kajang ke Cheras ambil masa satu jam. Maklumlah hari terakhir persekolahan dan waktu pejabat habis kerja mahunya tak jem. Mujurlah An-Nur menemaniku. Kalau tidak berbakul-bakul sumpahan, makian beserta carutan aku zikirkan di tengah kesesakan lagi panas itu.

Lepas berbuka kami bersalam-salaman. Siapa jemaah berbuka puasa ni? Hehehe...syy! An-Nur dapat duit raya.
Dari Ampang, aku balik Kajang ikut bukit Hulu Langat. Jalan kosong. Aku lebih rela dari meredah jem. Aku tak sanggup bersesak. Itu kelemahan aku. Semua orang tahu seperti pertanyaan Adam Adli sebaik saja bersalam dengan aku, "Berapa banyak kau menyumpah tadi?"

Kalau sumpahan itu boleh ditukar menjadi duit, aku kaya.

Friday, August 2, 2013

Ramadhan tahun ini paling mencabar umat Melayu

Perang Badar yang disertai Rasulullah dan sahabat pada bulan Ramadhan sangat mencabar jika kita bayang-bayangkan. Kepanasan gurun pasir, bekalan makanan dan punca air yang sedikit. Diintai dan diancam musuh. Tenaga yang lemah berbanding hari biasa. Jiwa yang kental mengesakan Tuhan sebagai azimat.
Ini diakui jurulatih bolasepak negara, Rajagobal apabila skuad kebangsaan tewas dalam perlawanan (http://www.malaysiakini.com/news/237450 ).

Keimanan dan aqidah mulus umat Melayu berpuasa digoncang oleh sup bak kut teh sepasang 'cina' yang membuat lawak bodoh. Iman orang Melayu terlondeh. Ketika cuba menyarung semula iman tersebut, gedebuk! Anak-anak murid Melayu harus diselamatkan puasa mereka. Bawa pelajar bukan Islam makan di 'bilik bersalin' . Huh! Lega...

Ketepikan berita tembak-menembak. Itu tidak menggugat keimanan tetapi....tetapi jika ada muslim itu sendiri membela anjing dan sambut raya dengan anjing bahaya! Akidah Melayu dihina dan ditunjal-tunjal. Jabatan Jaga Agama dan Timbalan Menteri Perdana wajib mempertahankan iman kita kerana iman kita ini sangat garing.
Ternyata saban hari kian berat kehidupan umat Melayu. Cabaran ke syurga sangat berliku-liku semenjak dua menjak ini. Begitulah bertuahnya Melayu, kaum yang diistimewakan oleh Tuhan kerana semua bangsa, fahaman, agama lain mencemburui dan memusuhi umat Melayu.

Dan telah diwartakan syiah itu sesat terkeluar dari Islam. Semuanya untuk memastikan pahala umat Melayu berpuasa jitu, kukuh dan tidak dihina.

Syukur...

Thursday, August 1, 2013

aku, Tok dan anjing dalam rumah

"Jangan bela anjing dalam rumah nanti malaikat tak masuk." kata Tok.

Aku diam tidak menjawab. Aku tidak berminat membela haiwan apa pun.

"Jangan bela anjing di dalam rumah nanti malaikat tak masuk." ulang Tok lagi tetapi kali ini dia meletakkan telunjuknya di kiri dada sewaktu menyebut rumah.

"Anjing terkenal dengan sifat garang dan perengus. 'Rumah' adalah kalbu, tempat diamnya nafsu. Malaikat asalnya dari Nur." kata Tok.

"Maksudnya jangan simpan sifat garang dan perengus dalam kalbu nanti petunjuk tak masuk." kata Tok lagi. Tenang. Di kebun getah itu ada Kelabu, anjing peliharaan yang ditugaskan Tok untuk ia menjaganya.

"Tapi anjing juga setia dan baik Tok! Macam Qitmir dalam kisah tujuh pemuda Kahfi." kata aku.

"Tujuh pemuda adalah lambang tujuh martabat nafsu yang dibersihkan dengan tujuh sifat ma'ani. Qitmir adalah nafsu amarah yang dijinakkan. Gua adalah hati."

Dan Tok bangun mencari kurma untuk bersahur nanti.