Wednesday, September 18, 2013

13 Bebas

13 yang dipenjara serta merta setelah hakim memutuskan dua tahun penjara Jumaat lalu kerana berhimpun pada 2009 membantah rampasan kuasa BN ke atas kerajaan Perak Pakatan Rakyat yang menang pada PRU13dibebaskan hakim Mahkamah Taiping pagi ini dengan kata-kata "Kebebasan 13 tak boleh dirampas". 13 yang dipenjara di Penjara Tapah sejak hari hukuman dijatuhkan dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM3000 setiap seorang dengan seorang penjamin sementara menunggu  rayuan berjalan.

chin peng


'Membaca' Posto

Membaca bukan sekadar memandang ke arah buku. Bukan juga melihat huruf-huruf yang disusun menjadi perkataan dan membentuk ayat menjadi cerita mahu pun isi sesebuah penyampaian. Bukan sekadar itu. Membaca; barangkali juga yang diseru oleh Jibril di Gua Hira' itu meminta kita menghayati dalam-dalam, meneliti dan merasainya. Itu yang saya rasa (baca: baca).

Membaca bagi saya adalah proses, melihat dengan mata dan deria lain turut berjemaah menaakul dan menafsirkannya. Jika ayat pertama Al Quran itu hanya menyuruh kita membaca dengan melihat huruf seperti apa yang saya katakan awal tadi maka gagal habislah insan dalam menuju kejayaan.

Posto diusahakan dengan mempunyai niat semurni itu malah dengan yakin membawa tagline 'Meletakkan Kembali ke Tempat Asal' iaitu jika membaca Posto amat sangat diharap pembaca meneliti setiap huruf, helaian, tulisan, ayat mahu pun foto di dadanya. Bagaimana tafsirannya terpulanglah, tiada siapa boleh mengacau pandangan peribadi. Asalkan kita masih kenal dan tahu menggunakan akal yang sejahtera.

Boleh juga menafsirkan Posto ini majalah apa sebenarnya. Agama, Budaya, Seni, Falsafah, Hiburan malah Politik. Boleh. Tetapi jika politik kacau yang selalu kita telan hari-hari di media itu, Posto mohon tidak terbabit. Adakalanya rimas, lelah, laeh dan 'cemuih' dengan adu domba dan retorik yang membuang masa. Banyak ruang lain yang perlu diteroka jika mahu bercakap tentang reformasi atau transformasi. Semuanya menuju kerosakan. Ia disebabkan sistem. Sistem sudah berulat.

Posto masih awal. Nafasnya bergantung kepada sambutan khalayak. Semangat memang kuat. Hanya tiga orang bekerja menghidupkannya. Di bilik, di kedai kopi, di tepi jalan sahaja operasinya. Kantung pun tidak mewah. Pusing-pusing sahaja wangnya. Mujur penulis-penulis nama besar yang menyumbang juga punya semangat setiakawan. Mahu memberi pandangan mereka untuk dihayati. Mahu bersama meneroka dan membuka ruang yang bukan baru, pernah juga diterokai sebelumnya oleh angkatan sebelumnya tetapi mati. Dan kami menyambungnya dengan cara yang kami mahu.

Membaca - kata bijak pandai jika kita lakukannya kita hanya membaca sebuah buku tetapi jika tidak membaca sebuah buku itu kita telah hilang sejuta ilmu. Posto kecil, jika anda membacanya anda hanya membaca sebuah majalah enam puluh lapan muka surat termasuk kulit tetapi jika anda tidak membacanya anda hilang sebuah rasa, pengalaman, pengetahuan dan perkongsian pandangan.

mengupas, mencari dan luka mencari isi...

Saturday, September 14, 2013

Dari Penjara Tapah

Dengan menganggap semua sudah tahu berita ini atau ringkasnya 13 rakyat Malaysia termasuk seorang wanita dihukum penjara dua tahun mandatori SERTA MERTA kerana berhimpun membantah rampasan kuasa di Perak oleh Najib Razak dan Barisan Nasional terhadap kerajaan Pakatan Rakyat yang menang dipilih rakyat pada PRU 2008. Ke semuanya dibawa ke Penjara Tapah.
Bad Latif , Kak Nashita serta anak-anak mereka Anas (belajar di Jordan,), Ammar, Asma dan Asiah akrabnya seperti keluarga kami sendiri. Mendengar berita ini kami terus menghubungi Kak Nash. Kami mengambil Ammar di rumah yang tidak ikut pada perbicaraan hari itu kerana bersekolah dan langsung mahu terus ke Tapah. Mujur Al Kerrango menumpangkan kami semua dengan van yang dipandunya. Selepas solat Jumaat kami bergerak dengan bekalan nasi arab kak Hasnah Al Amin Food Corner, seorang lagi kakak angkat kami. Hujan lebat dan dijangka kesesakan lalu lintas mungkin berlaku dan agakan itu tepat beberapa jam kemudiannya.
Kami minum di Pekan Tapah sementara menantikan Lan dan Ustaz, 'orang kita di Tapah' yang dikenali Al Kerrango menguruskan bilik sewaan. Kak Nashita bersama dua anaknya Asma dan Asiah sampai. Mereka kelaparan dan makan di sini. Dalam hati siapa bisa menelah kedukaan yang mereka rasa apabila ketua keluarga dipenjara tetapi semangat keluarga ini luar biasa. Bisa bergurau.


Kemudian salah seorang isteri yang dipenjara iaitu Puan Norlailawati isteri Haji  Isha Rizuan bersama anaknya juga singgah makan. Mereka juga mengambil keputusan bermalam di tempat sama. Kak Laila juga luar biasa tabahnya. Katanya Haji Isha menghidap kanser tiroid dan memerlukan ubat. Dia akan cuba memberi ubat. Kak Laila bercerita yang anaknya menghidap telesemia. Aku berasa pilu. Inikah harga sebuah pengorbanan? Tetapi Kak Laila masih boleh bercerita sambil ketawa.
Sham mengambil butir-butir isteri atau waris OKT.
 Kawan-kawan aktivis dari Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang dan seratanya menuju ke mari. Ayah Adam Adli yang mesra dipanggil 'Ayah' atau 'Ayah Halim' sampai bersama Abu Nawas yang ditemani anaknya.  Ayah Halim menginap bersama aku dan Al Kerrango. Kami ke pintu masuk Penjara Tapah. Yong, budak perempuan yang mengangkat tanda 'peace' dalam foto di bawah sanggup bermotosikal dari Kuala Lumpur ke Tapah menziarahi Kak Nashita. Yong aktif membantu Kelab Kartunis Indipenden dan dari situ akrab.
Pengawal pintu masuk Penjara Tapah mula bertanya kenapa kami di depan dan gamat mengambil foto. Dia tidak senang. Ayah Halim dan Al Kerrango berunding lembut. Aku sudah mula marah-marah. Ketua warder datang setelah dihubungi pengawal tersebut. Mereka mengatakan ini kawasan larangan tetapi setelah berunding dia akur dan pergi.

Kami makan di warung berdekatan di situ. Mat Samankati, Cenangau Daunkari, Imran Baihaqi, budak-bukak Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Perak, Singa Selatan, mahasiswa, aktivis-aktivis lain yang aku tak perasan mula berkumpul. Datuk Seri Nizar Jamaluddin memberi ucapan sokongan dan semangat. Antara lain beliau menyatakan alasan demi kepentingan awam dan menghormati institusi raja tidak ada kena mengena dengan apa yang dilakukan oleh 13 tahanan ini. Ini kezaliman.
Beberapa aktivis dari Kuala Lumpur dan sellatan Perak sampai lewat kerana kesesakan lebuhraya. Haizal, Eddy Gordo, Han's Tokey, Wasfi Why dan lain-lain pulang malam itu juga kerana punya urusan.

 Pagi Sabtu kami masuk ke dalam kawasan penjara. Seorang pelawat dibenarkan membawa lima orang. Sewaktu mendaftar Kak Nashita ditunjukkan dengan foto terbaru abang Bad,

"Inikah?" tanya pegawai.

"Bukan!" kata kak Nash.

"Abah botak!" jerit Asiah.

Kak Nashita kata ke semua mereka dalam kategori kolar merah iaitu kesalahan berat dan hanya boleh dilawati sekali dalam masa empat minggu. Aduh!

Entah apa malangnya, kad pengenalan aku tertinggal di rumah. Aku tak dapat masuk. Al Kerrango, Ayah Halim, Sham mengikut keluarga Kak Nashita dan Kak Norlailawati.


Al Kerrango mengakui turut menangis kerana sebak dan sedih apabila ke semua mereka bertemu. Biasalah, siapa yang tidak sedih. Dua tahun lama. Sekelip mata kehidupan hari ini sudah tidak sama dengan semalam. Dan begitu juga hari-hari mendatang.

Namun begitu mereka kuat. Kami juga pilu mengenangkan Puan Suhana satu-satunya wanita yang dipenjara. Dia ibu tunggal, bekerja sebagai pencuci di Masjid Ubudiah Kuala Kangsar dan mempunyai anak OKU. Mujurlah kakaknya sudi menjaga anak tersebut. Itulah ucapan kakaknya di luar pagar apabila kami semua sekali lagi berhimpun setelah keluar.

Di luar selain Pas kawasan tersebut dan negeri, aktivis-aktivis turut hadir. Kumpulan Kartunis Indipenden Zunar bersama isterinya Alin, Haili, Azman MatNoh, Shem dan isteri Noky, Lawrence, Azmie Taha  serta seniman Pyanhabib turut hadir.


"Teruskan perjuangan!" Pesan abang Bad dari dalam.

"Teruskan perjuangan!" pesannya lagi.





p/sTuanku Sultan,
patik berharap tuanku mengambil tahu akan kes ini. Ini tiada kena mengena dengan menghina institusi raja atau menghina tuanku. Mereka rakyat Malaysia yang berhimpun secara aman mengikut hak yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Di harap Tuanku ambillah tahu.

Thursday, September 12, 2013

Dengar! Tolong!

Hari ini kita menyaksikan sebuah kezaliman. Kita melihat demi kelangsungan sebuah kuasa, rakyat terpaksa menderita.
Keluarga saya iaitu saudara Abah Anas Ar Rembawi bersama 12 yang lain hari ini SERTA MERTA dihukum penjara dua tahun mandatori hari ini dan sekarang sedang bergari untuk terus dibawa ke penjara. Ini kes mereka berhimpun bantah Kudeta kerajaan Najib terhadap kerajaan PR di negeri Perak pada 2009. Hakim atas konon alasannya menjaga kepentingan awam dan menghormati institusi raja terus memberi hukum ini sekaligus demi menghormati sistem itu telah menyebabkan sebuah atau tiga belas keluarga kehilangan suami dan ayah apatah lagi mata pencarian. Inilah kezaliman yang maha apabila kejahatan politik telah menganiaya rakyat yang mengeluarkan suara.
Keluarga ini dengan isterinya Nashita Md Noor sangat rapat seperi adik-beradik dengan kami. Kak Nashita suri rumah sepenuh masa melakukan jualan kecil-kecilan secara bergerak. Ayuh hulurkan bantuan sokongan moral dan material apatah lagi anak-anak mereka masih belajar. Yang sulung Anas Latif menuntut di Jordan sementara yang lan Ammar, Asma dan Asiah bersekolah dengan didikan agama yang baik.

Akaun bank mereka maybank Nashita 162209939776

Tuesday, September 10, 2013

Posto - Memaknai semula hiburan

Dengan tagline 'Majalah Hiburan Alternatif' berbanding keluaran perdana sebelum ini yang muka depannya garang dan nampak politik, majalah Posto kedua ini mungkin bakal menimbulkan kemusykilan ramai mengapa ia dikatakan majalah hiburan?

Nanti dulu. Apa yang difikirkan apabila melihat perkataan hiburan? Sesuatu yang ringan, picisan dan tidak bermanfaat? Mungkin itu definisi yang lama disogokkan kepada kita. Hakikatnya hiburan adalah fitrah, naluri manusia amat memerlukannya. Ia penting kerana manusia perlukan peneman. Di dalam syurga sekalipun Adam duduk, tanpa teman untuk berhibur, syurga yang indah tak bererti apa pun. Maka itulah Hawa dicipta.

Posto cuba menjadi teman berhibur. Isu yang dibawanya adalah isu sekeliling. Berat atau ringan atau yang dekat tetapi tidak kita endahkan. Kita telah lama ditakutkan dengan label-melabel malah bahan bacaan pun menjadi mangsa label. Yang ini berat, itu ringan atau kadang-kadang sampai ke tahap apakah ia suci atau mungkin bahan bakar neraka labelnya.

Muka depan foto seniman jalanan (busker) atau disebut juga pengamen biasa kita lihat tetapi mata kita melihat mereka sebagai apa? Manusiakah mereka? Baik atau buruk? Bagaimana undang-undang melihat mereka? Sebab itu foto berwarna hitam putih. Itu penilaiannya. Jika hitam, hitamlah. Dan begitulah penilaian kita terhadap apa jua. Hitam dan putih. Foto itu sendiri membuka falsafah yang lebih besar. Tentang kita menilai sesuatu di hadapan kita. Siapa pula yang menilai kita? Muka depan Posto bak kesimpulan kepada semua isu yang dibawa di dalam keluaran kali ini. Tentang pendidikan yang bukan untuk menghafal tetapi untuk dihayati tulisan Lim Hong Siang yang pada mulanya terpaksa bertungkus lumus menguasai penulisan dan pertuturan dalam Bahasa Melayu demi untuk dicatatkan cemerlang di dalam sijil SPM. Tetapi hari ini beliau sedar ia lebih mudah apabila ada penghayatan. Juga tentang apa yang mahu diisi atas nama kemajuan? Gedung megah kota atau kesuburan jiwa? Tulisan Adam Adli bertanya tentang Membina Tamadun Dengan Kebodohan. Juga apa rasanya kita apabila melewati bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia pada Ogos dan September? Wak Dogol mencungkil persoalan ini. Dan banyak lagi isu. Termasuklah tempat Orang Kelainan Upaya dalam struktur komuniti kita tulisan Rosli Ibrahim, pemuda yang membaca banyak buku dengan gigih biarpun penglihatannya rosak. Kesungguhan beliau membaca dengan melekapkan buku yang tebal-tebal dekat dengan matanya itu sudah cukup memukul ego kita yang entah membaca atau tidak hatta sebuah buku pun pada tahun ini. Tentang 'cosa nostra' mafia Montreal oleh Mohd Faizal yang pernah menetap di sana. Cerpen ' Pintu Yang Mana Satu?'' oleh Aji Rondo. Sandy Indra Pratama menulis dari Jakarta tentang perlukah pendidikan yang memaksakan. Keletah manusia sekeliling yang kadangkala aneh lagi misteri dalam 'Siapa Jantan Itu?' oleh Hishamuddin Rais perihal dirinya yang sering terserempak dengan seorang 'mamat' aneh.

Itu hanya beberapa contoh. Ramai lagi penulis. Penulis-penulis di dalam Posto cuba mengajak kita berfikir dan merenung bahasa kehidupan. Foto hiasan juga menyampaikan ceritanya. Kita diajak melihat dengan dua mata. Zahir dan batin.

Namun jangan ketatkan fikiran. Bukankah Posto majalah hiburan? Bersedia menerima dengan terbuka. Posto juga sedang bergerak menuju arahnya. Khalayak jugalah yang mempengaruhi arah itu. Kita bersama. Berfikir, merenung dan berhibur.

Masih menganggap hiburan itu sesuatu yang kosong? ;-)

Awasi 16 September ini!



Monday, September 9, 2013

Posto semakin hampir

Posto isu 2 bakal di pasaran pertengahan September!



wawancara eksklusif dengan bekas aktivis mahasiswa/ aktivis amal/aktivis politik Syed Hamid Ali. Mengapa beliau kata " Harapkan yang terbaik, persiap keadaan yang terburuk!"

Busker bukan Pengemis - Wak Jono / Puspawati Rosman
Membina Tamadun Dengan Kebodohan - Adam Adli
Siapa Jantan Itu? - Hishamuddin Rais
Kudeta Mesir: Kelemahan Morsi atau kelicikan as-Sisi? - Ustaz Wan Ji
Legasi Mafia Montreal - Mohd Faizal yang pernah menetap di Montreal, Kanada
Pendidikan Tidak (Seharusnya) Memaksakan - Sandy Indra Pratama ( koresponden dari Jakarta)
Bahasa Melayu pasca 13 Mei 1969 - Hasni Abas bekas Presiden Kesatuan Sekerja DBP/ Setiausaha Gerakan Anti PPSMI

Lim Hong Siang bekas editor Bahasa Melayu Merdekareview.com menceritakan pendidikan memaksanya belajar Bahasa Melayu untuk lulus SPM dan hari ini dia fasih membaca, menulis dan bertutur. Baikkah ini?

Banyak lagi. Ulasan filem oleh Rahim Sabri wartawan Malaysiakini, Pyanhabib dengan catatan sinis, komik 'AKU' oleh aku..

Tunggu!!

Thursday, September 5, 2013

Mengapa kelopak mata aku lebam?

"jaga kesihatan!"
"jaga tidur, biar cukup"

"sapukan ini ke mata, atau itu di sini"
"minum ini, sedut itu"

Dan banyak lagi kata-kata nasihat kawan-kawan tak kurang juga mereka yang menjual produk kesihatan. Ya! Nasihat sebegitu banyak aku dengar. Bukan aku tak jaga kesihatan. Ia bukan soal menuruti saranan tersebut. Dan ia bukan semudah kata-kata. Selancar keluar dari mulut.

Aku terlibat dengan kerja kreatif. Menulis dan melukis. Menyunting. Sekaligus kerja ini menuntut bacaan, kajian dan penghayatan. Ia bukan kerja boleh berhenti sekejap-sekejap. Apabila mula bekerja sekurang-kurangnya dua jam mesti khusyuk tanpa gangguan. Kerja begini perlu masuk ke alam syok dan dzauk. Yang aku kenal seperti Hishamuddin Rais apabila tiba deadline menulis artikel dia tak keluar rumah, Zunar akan berkurung di biliknya melukis dan Faizal Riduan akan membaca serta menelaah pada larut malam ketika teman sepejabat sudah berdengkur di rumah.

Aku kena pastikan semua keperluan An-Nur dan Sham selesai setelah seharian. Penat. Selalunya selepas menyuap An-Nur makan aku akan baring merehatkan diri dan ketika berbaring sebelum tertidur itu aku ambil kesempatan mengangan-angankan rangka dan struktur tulisan atau merancang lakaran-lakaran. Jika ada idea, dalam baring-baring itu aku garap-garapkan di alam fikir, berbincang dengan diri sendiri dari sudut berbagai.

Larut malam baru boleh terjemahkannya. Sebab itu mata aku lebam walaupun memang adik-beradik aku semua mata begini. Bukan tak jaga kesihatan. Bukan tak amalkan nasihat dan saranan itu walaupun disiplin dan komitmen tidaklah baik sangat.

Tapi tuntutan kehidupan memang begitu.





Tuesday, September 3, 2013

Monday, September 2, 2013

malam ini

malam ini jam 8.30 di astro awani 501 - IN FOCUS kisah kami sekeluarga


juga di Kelab Bangsar Utama, Jalan Kemuja Bangsar atas Restoran Mydin - Forum 15 tahun Reformasi panelis: Hishamuddin Rais, Latheefa Koya, Jonah, Tian Chua.
moderator: Fathi Aris Omar atau Zulkifli Sulong


Ayuh!