Monday, February 24, 2014

Celaru taksub politik

Politik Malaysia tidak akan ke mana-mana untuk tempoh sepuluh tahun mendatang. Perubahan kerajaan yang diidam-idamkan penyokong Pakatan Rakyat dalam PRU13 yang lalu tidak kesampaian dan angan-angan kosong merapu itu terus didamba-dambakan pada pilihanraya yang akan datang. Dan pastinya akan terus tidak kesampaian.

Kerana apa? Kerana tidak ada garis perbezaan langsung walau sehelai rambut pemahaman hakikat bersiasah jika dibandingkan dengan penyokong umno. Kecelaruan pemikiran, serabut ideologi dan ketaksuban tahap dewa terhadap kepala parti yang dianuti menebal sekali. Bingkai pemahaman logikal terlalu sempit dan ketat.

Politik di Malaysia adalah politik isu. Naik turun gelombang di kertas graf keputusan pilihanraya banyak bergantung kepada isu, bukan kerana kecerdikan. Pemimpin politik terlalu sibuk mencaturi kedudukan mereka, jawatan apa di dalam parti, siapa nak disusun di dalam anak syarikat kerajaan negeri sehingga tiada masa mentarbiah ahli di bawah. Kalau ada pun kelas, bengkel, kursus atau sekolah seakan berbentuk indroktrinasi menyokong kem-kem tertentu.

Usah dicari rasional di dalam kamus politik kepartaian yang kecil dan kaku. Bertegang urat di leher menegakkan hujah-hujah hukum Tuhan di dalam Al Quran wajib dijalankan untuk mencegah kejahatan tetapi menerima masuk pula tokoh korup yang entah bila mengisytihar diri taubat dan memulangkan semula harta yang dicuri. Alasannya itulah tadi - sudah bertaubat. Boleh pula? Habis hukum Hudud untuk siapa? Pencuri-pencuri yang bukan ahli? Orang bersumpah Quran kita marah! Cuba perhatikan beberapa kejadian lagi yang dinilai 'double standard'.

Penyokong parti tidak kiralah ideologi apa pun yang kasihannya terlalu percaya kepala parti mereka ini sesuci sabun. Harapan terlalu tinggi disangkut di bahu mereka. Apa gerak yang mereka lakukan, huruf apa yang keluar dari pemimpin mereka bagi mereka pastilah tepat, benar dan strategi. Tidak boleh dakwa-dakwi. Melemparkan secara rambang jala tuduhan orang itu sesat orang ini bermasalah moral pun bagi mereka itu betul. Membuli pihak yang lemah, itu permainan.

Sebab itu selagi api reformasi atau revolusi tidak berlaku di MINDA terlebih dahulu, lupakan panggang. Jauh panggang dari api! Begini lagilah kita. Diperguna apabila perlu, memuja muji tak ingat esok, selepas itu seperti daun kari yang sebelum menggulai sangat dicari apabila gulai tersedia di meja hidang daun kari terlepek di dinding mangkuk.


Thursday, February 20, 2014

Orang besar datang kampung saya

Pada suatu hari Jumaat saya ke surau berjalan kaki kerana surau tidak jauh. Saya memang suke berjalan kaki kerana badan kita akan berpeluh dan ia baik untuk kesihatan. Apabila memasuki kawasan surau saya dapati jemaah lebih ramai daripada biasa. Saya pun berasa sangat hairan. Di beberapa sudut terlihat beberapa biji periuk besar dan meja hidangan. Ketika saya tertanya-tanya itu kedengaran suara pengumuman dari cencorong surau menyatakan ada jamuan rakyat selepas solat Jumaat. "Oh, patutlah " bisik saya kepada diri sendiri. Orang-orang besar negara datang ke kampung saya rupa-rupanya.

Selepas solat jamuan pun bermula. Jemaah dan kariah mengambil peluang menjamu selera. Yang jarang dilihat pun turut ada. Mungkin penyokong-penyokong dan pencukong-pencukong pembesar agaknya. Ahli jawatankuasa surau bersungguh-sungguh memastikan layanan yang diberi kepada tetamu di tahap terbaik. Jemaah dan penduduk berebut bersalam dengan pembesar-pembesar. Ada juga yang merakamkan gambar menggunakan telefon pintar mereka. Ada telefon pintar yang mahal dan ada yang murah dan tiada jaminan warranty. Wajah penduduk sangat gembira dan puas kerana dapat bertemu secara langsung dengan pembesar negara. Sesekali sendawa mereka terlepas.

Pembesar-pembesar memang dilayan dengan baik. Begitu juga beberapa watak masuk bingkai yang berdiri, duduk dan mengekor pembesar-pembesar ini, turut dilayan juga. Sesekali jelas terpancar kekembangan di hidung mereka kerana terasa dihormati.

Saya tidak berbaris untuk mengambil makanan kerana ibu saya berpesan balik segera selepas selesai solat. Saya pasti akan dapat melihat berita ini disiarkan di akhbar nanti dan pastinya penduduk kampung saya berasa sangat bangga akan kehadiran pembesar-pembesar negara ini. Ini pasti akan menjadi kenangan manis untuk semua. Ketika berjalan pulang saya sekali lagi berbisik "alangkah seronoknya jika tiap-tiap minggu ada jamuan rakyat percuma di semua tempat ibadah di kampung saya".


(350 patah perkataan)

Gambar hiasan

Thursday, February 13, 2014

Mimpi si ayah di malam kasih sayang

Malam tadi aku bermimpi Annisa kembali dan sangat dewasa. Katanya dia mahu menjaga An-Nur dan menyuapkan susu.

"Bolehkah kakak jaga adik ni?" Tanya aku.

"Bolehlah...mestilah boleh..." Katanya.

Dan mimpi silih berganti. Di dalam mimpi seterusnya aku disedarkan semuanya mimpi. Dan di dalam mimpi itu juga aku berasa sebak di dada yang amat.
Aku cuba lepaskan sebak yang terbuku di dada, tidak boleh.




Pandai politik-politik pandai

Ahli politiklah yang menentukan baik buruknya halatuju hidup kita ini. Merekalah yang membuat keputusan, apa yang terbaik untuk kita merekalah yang tahu. Agamawan juga tetapi agamawan pula berada di sebelah mana. Bersama pemerintah atau tidak. Dan akhirnya politik juga yang berkuasa.

Golongan yang malang ialah yang tidak sependapat dengan ahli politik. Untuk mempersudutkan lagi perbincangan ini, terus sahaja kita perincikan pemerintah sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR). BN walaupun hanya disokong 47% rakyat Malaysia terus memerintah melalui taktikal sementara suara PR makin kuat. Dengan perkembangan teknologi maklumat kedua kerajaan ini mempunyai kelebihan menyalurkan propaganda dan idealisme mereka.
Ahli politik memang adatnya begitu~ wajib bermuka tebal tidak ada rasa malu dan kasihan. Jika ada perasaan ini, baik jangan sertai politik atau jika masuk pun pasti dikerat.

Mengapa saya berpendapat sedemikian kerana ahli politik atau pemadatnya; seperti juga segelintir agamawan secara tidak silu melantik diri mereka memegang autoriti menentukan kebijaksanaan seseorang. Kita akan dilihat waras, genius, rasional selagi bersetuju dengan mereka, sama ada BN atau PR. Apabila kita tidak sealiran dengan pemikiran mereka yang kita rasa penuh kecelaruan, mereka yang mempunyai pentas dan media, yakni BN dan PR ini tadi, selain mempunyai penyokong tahap robot; akan membelasah rapat kita dengan label dan cop mohor tidak pandai, bodoh politik, tidak menghadami demokrasi dan entah apalagi. Diketuk-ketuknya gong-gong demagog. Entah bila masa kita lantik mereka menjadi penilai, entah!

Saya tidak mahu mengambil contoh BN. Kita semua sudah tahu betapa buruknya kelaku mereka. Memperbodohkan rakyat, menindas dan memburut memang kerja mereka. Takkanlah kita lupa bicara kangkung Najib, lawak Hasan Malek, Nazri Aziz, Zahid Hamidi apatah lagi sosok yang entah macam mana boleh duduk di Parlimen seperti dari Kinabatangan, mahupun Speaker Dewan sendiri. Memang bukan sahaja bodoh tetapi kuat membuli. Tetapi isu Pilihanraya Kecil di Kajang ini. Kita yang melihat kecelaruan maha kalut itu dikatakan bodoh. Sejak bila kebebasan berfikir, berbeda pendapat yang mereka perjuangkan itu dibuang dan dipam ke lubang jamban? Apa yang menyusahkan sangat jiwa mereka jika kita tidak mahu percaya langsung hujah-hujah yang kita rasa tidak jujur itu? Bodoh sangatkah kami dan bijak sangatkah anda? Ingat! Kami tidak perlu sangat anda tetapi andalah yang memerlukan kami yang bodoh ini untuk terus hidup.


Belum habis lagi...

Thursday, February 6, 2014

Yang Kejang di Kajang

Terlalu banyak persoalan, bukan jawaban biar seribu kali dijelaskan mengapa Anwar Ibrahim bertanding di Pilihanraya kecil Kajang. Mari amati persoalan-persoalan yang ditimbulkan di bawah yang mana saya petik dari twit Fathi Aris Omar - pengamal media, pemerhati politik dan penulis buku politik Patah Balek. Bahaskan jika boleh.

- PKR, Pakatan enggan akui dengan jujur. ini hasil kegagalan Anwar disiplinkan Khalid sehingga MB dan parti bawa haluan berbeza
 - PKR dakwa MB tidak rujuk parti dalam dasar-dasar tertentu dan juga dakwa Khalid banyak kali tidak hadir mesyuarat biro politik

1. Secara tersiratnya, apakah penyokong Pakatan faham bahawa bagi Anwar ertinya mengambil tugas MB?

2. Agak saya, kadang-kadang umum terkeliru sebab tiada mesej jelas Anwar ingin gantikan Khalid sebagai MB dalam projek
 3. Namun, jika bukan untuk gantikan Khalid sebagai MB, apa perlu bagi Anwar dan di mana pula tapak peluncuran ke Putrajaya?
 4. Saya fikir, Anwar malu-malu untuk buat tuntutan itu. Mungkin seelok-eloknya Khalid sendiri umum Anwar wajar menggantikannya
  5. Jika Anwar, Khalid tidak selesai arah tuju kerusi MB, mungkin juga PKR harus sedia jelaskan isu ini kepada umum di
 6. Jika tiada niat gantikan Khalid sebagai MB, apa perlu pilihan raya 23 Mac diadakan dalam keadaan wakil sedia ada dipaksa undur?
 7. Soalnya, kenapa perlu Khalid digantikan jika beliau seorang MB yang bagus tapi tidak cekap berpolitik, hadapi serangan BN?
 8. Tidak bolehkah Anwar, PKR dan Pakatan bantu Khalid hadapi asakan BN di Selangor? Kenapa perlu masuk melalui pintu ?
 9. Anwar bukan orang asing di Selangor. Beliau kini penasihat ekonomi negeri dan ketua umum PKR. Perlu apa lagi ?
 10. Tangguh umum penggantian MB selepas beri gambaran PKR tiada perancangan rapi atau ada niat lain tersirat
 11. Kenapa perlu fokus menang di kini, kemudian baru susun strategi tukar MB? Sedang Anwar tiada asas awal kosongkan kerusi itu
 12. PKR, Pakatan mesti telus bahawa mereka mahu ke Putrajaya. Untuk itu, Anwar harus gantikan Khalid sebagai MB melalui
 13. Untuk penggantian itu, kelemahan Khalid sebagai MB harus dijelaskan bagi beri kewajaran Anwar ambil alih selepas
 14. Mungkin Anwar, Pakatan dalam dilema untuk dedahkan siapa sebenarnya Khalid. Mungkin mereka risau reaksi balas?
 15. Pelan penggantian yang jelas dan telus penting diumum untuk pastikan penyokong Pakatan bersatu dalam serangan di
 16. Pelan ini, setahu saya, masih kabur dengan susun atur ayat justifikasi yang pelik-pelik. Lebih banyak soalan selepas jawaban
 17. Sepak terajang politik wajar diketepi dan pelan penggantian perlu dijelas. Jika Khalid harus undur, beliau harus akur dan umum awal
 18. Jika tiada pelan penggantian MB tidak diumum, spekulasi akan membiak. Media dan orang ramai terjebak dalam mainan politik. PKR rugi
 19. Orang media seperti saya suka spekulasi tetapi saya juga mahu fakta yang jelas; bukan penafian yang kemudian didapati palsu

Tuesday, February 4, 2014

Macai ada di mana-mana

Bayangkan hari ini seorang Adun Bn di Kedah letak jawatan dan seseorang tokoh umno tiba-tiba masuk nama bertanding di situ setelah sosek-sosek berita pecah semua itu kerana hendak menggantikan MB Kedah.

Apa reaksi penyokong Pakatan Rakyat? Sokong atau kutuk?

Ingat kes MP BN mengamuk bilamana MP Pakatan Rakyat minta potong elaun sedikit demi memahami derita rakyat? Penyokong PR tumpang kutuk. Tapi apabila gaji dan elaun Adun Selangor diumumkan naik gila-gila oleh MB, mereka gila-gila pertahankan. Macam-macam hujah. Berkerahak lendir kahak memutar ayat-ayat dalil.

Apabila anak menteri dan pemimpin umno bermewah-mewahan, kaw-kaw kutuk. Nazri lantik anak dia jadi pembantu, kutuk! Apabila YB Pas dari Perlis guna AP yang diberikan kepadanya untuk anak dia membeli kereta mewah maka sekali lagi macai....ya...macai PR bersilat putar cari kitab sirah.

Apabila BN keluar manifesto macai PR kutuk, bila aku sendiri dan teman OKU kritik, Manifesto PR ketepikan OKU kami dikutuk sebagai macai umno maka keluar lagi kuntau dalil 'Manifesto Bukan Janji'.
Ahahahahahahaiii!

Apabila Pemuda Pas nyatakan pendirian sokong PRk kajang tapi tak berbangkit isu Anwar jadi Mb Selangor budak-budak PkR melenting-lenting dengan hujah macam-macam.
Kih! Kih! Cuba tengok muka dalam cermin... Kerusi pun atas ehsan Pas...biarlah Pas pun ada pandangan. Berhujahlah dengan cara bijak.

Selagi Reformasi hanya jeritan kosong, dan pendewaan tahap Maha Sakti terhadap Anwar habislah! Lambatlah nak tawan Putrajaya atau jika tawan pun beginilah dapat pembodek-pembodek.

Maka suku tahun pertama 2014 di Selangor dihidangkan drama "Kau tak tahu apa kami tahu, tak boleh cerita". Sebelum tu, kita baru saja menang kita akan susun. Penggal lalu kita kata kita sedang rangka maka pelan ini akan dilaksana penggal kedua. Kemudian jika menang Anwar di Kajang timbul pula lepas tak lepas jadi MB. Lepas tu bungbangbungbNg lagi isu kedudukan dan jawatan orang-orang parti dalam GLC.

Sekolah anak OKU entahlaaahhhhh...
Usah haraplah dengan diorang niiiii....

Kita tak pandai, merekalah pintar...

Saturday, February 1, 2014

Anwar, Reformasi dan Kajang

Pemerhati politik dan orang-orang parti sependapat pilihanraya kecil (PRK) Kajang yang disertai Anwar Ibrahim adalah untuk menyelesaikan 'ribut dalam cawan' atau perang Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR). Beberapa isu di Selangor dikatakan diselesaikan hanya mengikut kepala Khalid sahaja. Khalid memang dilihat tidak mesra parti. Justeru banyak keputusannya mengecewakan parti dan dari segi kemenangan politik pun selalunya memberi impak negatif kepada parti. Rakyat tidak terasa sangat tetapi tidak mustahil perlahan-lahan impaknya akan sampai. Teori Anwar mesti masuk ke Selangor adalah antara strategi menawan Putrajaya hanya secebis nasi tambah. Itu kenyataan 'untuk memberitahu jiran bahawa kami baik-baik sahaja'. Jika keluarga kita bergaduh kita akan beritahu jiran-jiran yang nampak dan dengar bunyi-bunyi itu bahawa tiada apa-apa yang tidak elok. Semuanya beres demi kebaikan.

Saya secara peribadi tidak punya masalah apabila Anwar ingin bertanding di Kajang dan masalah saya langsung tidak akan ada jika Anwar disenaraikan sebagai calon Kajang pada Pilihanraya Umum ke 13 yang lalu. Bagi diri saya, Anwar atau sesiapa sahaja warganegara Malaysia termasuk saya, pembaca atau Arulchelvan setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia yang tak fasal-fasal menjadi papan dart untuk disumpit itu pun bebas bertanding di mana-mana asalkan memenuhi syarat. Beberapa teman mengatakan kepada saya prioriti kala ini ialah memenangkan Anwar pada PRK ini. Ya! Apalagi bukan? Tetapi bagi saya ini bukan soal prioriti mutlak, ini prioriti yang diada-adakan. Menurut pandangan saya PRK ini adalah jalan mudah untuk menyelesaikan masalah di peringkat atasan; iaitu memulangkan semula kepada rakyat yang mana kita tahu rakyat (khususnya rakyat Kajang jika anda baca rekod politik pilihanrayanya) tidak pernah khianat pada perjuangan. Kajang ini unik, pernah dimenangi PAS pada 1999, ditawan Barisan Nasional pada 2004 dan dirampas semula oleh PKR pada 2008 sehinggalah pada PRU13 yang lalu dengan majoriti yang padu.

Saya tidak menyenangi PRK Kajang kali ini kerana berpendapat memulangkan secara sengaja kepada rakyat masalah yang gagal ditangani pemimpin atasan tidak patut dijadikan amalan. Mengapa saya berkata sedemikian? Kerana saya cuba menyingkapnya lebih dari PRK ini. PRK adalah PRK, undi dan ada pemenang. Dan menurut pandangan saya tiada sebab Anwar tidak mampu menang di Kajang. Senang. Tetapi saya melihat gagalnya penghayatan ahli PKR sendiri terhadap agenda reformasi yang digagaskan oleh Anwar Ibrahim, Ketua Umum.

Sekali renung memang turunnya Anwar di Kajang seakan untuk melakukan agenda reformasi di Selangor. Dan memang itu pun. Anwar memang sentiasa relevan sebagai ikon reformasi. Tetapi 16 tahun slogan Reformasi itu dilaungkan tidak lebih hanya laungan tanpa roh. Semangat reformasi tidak menyerap kerana ahli PKR masih tidak berani memacu agenda reformasi itu melainkan terus mengharapkan Anwar sendiri. Ini diakui sendiri oleh ketua Angkatan Muda KeADILan yang mengeluarkan kenyataan sejurus selepas perletakan jawatan Lee Chin Cheh sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang iaitu 'tiada siapa yang layak di Kajang selain Anwar'. Sayap paling lantang di dalam parti itu telah secara sedar mengesahkan TIADA siapa di dalam parti itu punya keterampilan. Ini bukti pengesahan kegagalan agenda reformasi diserapkan ke dalam batang tubuh dan jiwa dalam perjuangan ahli (dalam PKR ahli dipanggil anggota) PKR.

Sebenarnya kesilapan bermula apabila Pengarah Pilihanraya dan jawatankuasanya memilih Lee Chin Cheh yang entah siapa-siapa bagi rakyat Kajang itu sebagai calon dalam PRU13 yang lalu. Jawatankuasa Pilihanraya Dun Kajang (JPRD Kajang) turun naik pejabat PKR Pusat merayu agar calon lama yang disokong penduduk dan menjalin kerjasama erat dengan PAS dikekalkan, tidak dilayan. Tetapi mood rakyat yang mahu menolak BN tidak kisah. PKR dengan kerjasama cukup kuat dari PAS Hulu Langat (hendak harapkan PKR Cabang Hulu Langat yang tak habis-habis berpolitik ala kampung entahlah! Rebut jawatan, kepingin peruntukan, berambisi nak jadi Ahli Majlis dan macam-macam lagi...) akhirnya menang. Tetapi seperti dijangka Adun baru ini tidak langsung cemerlang. Rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat bersungut dan bingung dengan Adun ini. Sehingga rakyat ada yang tetap mengadu dan menemui bekas Adun lama, Cikgu Lee Kim Sin dan kadangkala Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli (PAS) terpaksa menanggung kerja Adun. Lee Chin Cheh yang menjadi wakil rakyat asyik menghantar Pembantu Khas sebagai wakilnya ke mana-mana program. Wakil Rakyat pakai Wakil juga. Mungkin untuk mencuci tahi-tahi Khalid-Azmin, Lee Chin Cheh yang menyusahkan kepala perlu disingkirkan. Saya seronok manusia itu dibuang. Budaya dari parti Gerakan yang dianutinya untuk dia naik perlu dibunuh. Pengarah Pilihanraya patut mengakui kesilapan ini dan belajar darinya. Usahlah mengada-ada mengambil calon payung terjun yang seperti ini.

Kegagalan agenda reformasi dihayati anggota PKR yang saya maksudkan dituju juga kepada Adun-Adun PR yang tidak berani menyatakan dengan jelas pendirian mereka terhadap isu ini. Jalan yang mudah dan murah ialah apabila Yang Berhormat-Yang Berhormat yang telah dipilih oleh rakyat untuk mewakili mereka ini menjalankan tanggungjawab, membezakan antara menjadi orang parti dan menjadi wakil rakyat seketika mengusulkan di dalam dewan tentang isu ini. Saya telah mengajukan tetapi kata mereka susah. Ya! Memang susah jika masih ada perhitungan kepentingan sendiri, lalu jalan yang mereka nampak senang walaupun tidak murah ialah memulangkan semula kepada rakyat. Ikon reformasi digunakan untuk mengolah persetujuan, menyelamatkan kedudukan mereka dan sudah tentu juga membersihkan berak masam mereka. Turunnya Anwar ke Kajang dalam keadaan beliau sebagai Ketua Pembangkang Malaysia, mantan Timbalan Perdana Menteri juga pernah memangku jawatan Perdana Menteri jika mahu dibaca adalah sindiran paling tajam terhadap semua yang mendabik dada mendokong agenda reformasi bahawa pengorbanan harus sampai pergi ke ceruk paling busuk. Apalagi hinaan dan kutukan yang Anwar tidak kena demi membersihkan cirit birit orang lain? Pendokong reformasi khususnya wakil rakyat harus malu apabila hanya menjadi saksi sambil memuji-muji Anwar sedangkan mereka sepatutnya memainkan peranan menjadi agen semak dan imbang. Agenda reformasi harus berani mengkritik kawan juga. Benar, seribu malah sejuta musuh mudah dilawan tetapi berat melawan kawan nan seorang. Tetapi jiwa mesti besar. Mengkritik bukan menentang, menyokong bukanlah melulu. Tidak perlu sangat menyanjung kelicikan permainan seni peperangan (art of war) Anwar dan mengaitkannya dengan panglima zaman silam sedang kita duduk tersengih di tepi gelanggang. Seronok melihat tahi kita dibersihkan kerana kita tidak berani membersihkannya sendiri.

Inilah pengamatan saya. Bukan fasal PRK sangat. Tetapi agenda reformasi yang dilaung-laungkan itu. Menghempapkan semula kepada rakyat apabila wakil-wakil yang telah mereka pilih gagal menggunakan keupayaan mereka untuk mencari penyelesaian adalah tidak sehat, tidak patut dijadikan amalan kerana ia bukan sahaja membazir masa, tenaga dan wang malah memberikan justifikasi perjuangan melaksanakan agenda reformasi masih lolar dan jauh untuk direalisasikan.