Saturday, March 29, 2014

Pemilihan PKR: medan uji Azmin

Jika bercakap soal demokrasi, ya benar sesiapa sahaja ahli (anggota) Parti Keadilan Rakyat yang memenuhi syarat layak bertanding. Sama ada Wan Azizah, Anwar Ibrahim atau Nurul Izzah boleh bertanding kerusi presiden. Atau Razali dari Gombak pun. Tetapi seperti apa yang dipanggil KajangMove baru-baru ini yang menyaksikan Pilihanraya Kecil N25 Kajang berkesudahan dengan Wan Azizah menang, ia tetap ada semacam kelucuan dan tidak kena. Ya! Kalau hendak dicari lawaknya maka jadilah lawak. Jika hendak ditegakkan teori-teori demokrasi memang tiada apa salahnya. Seperti kita lihat KajangMove yang tenggelam lalu hilang punca apabila Wan Azizah muncul mengambil tempat Anwar yang hilang kelayakan dan hujah-hujah cuba mengolah persetujuan oleh pakar-pakar politik pro mereka, pemilihan kali ini juga seolah memberi tanda bahawa Anwar mahu menjaga legasinya di dalam parti tersebut. Apakah Anwar dan Azizah tidak membincangkan perkara ini? Apa yang cuba mereka lakukan atau pertahankan atau lindungkan?

Semua orang bercakap tentang Azmin yang cuba menguasai. Wan Azizah selama ini memang presiden yang 'senyap' dan suaranya adalah suara Ketua Umum. Wan Azizah dikatakan dalam proses mengundur diri dan memberi ruang untuk Anwar menerajui parti tetapi hukuman penjara yang menanti menyebabkan pelan berubah. Azmin boleh sahaja bertanding menentang Wan Azizah akan tetapi jika Anwar yang masuk, Azmin yang dikenali sebagai orang kanan yang paling setia akan beri laluan dan menyokong sepenuhnya. Jika kita ingat pemilihan parti sebelum ini pun berlaku perkara yang sama. Azizah selamat apabila Anwar saat akhir main drama meminta anggota parti keluarkan pandangan apakah beliau patut bertanding dalam keadaan undang-undang tidak membenarkan. Pungutan suara memberi keputusan jelas Anwar mesti diselamatkan dan mesti undur diri. Nasib lebih bertambah baik apabila seorang lagi calon Abdul Rahman Othman turut menarik diri di saat akhir. Berpelukan mereka dan bertepuk gamat seluruh anggota parti di dewan sekolah cina di Seremban ketika itu.

Kali ini Azmin tidak bertanding presiden dan mempertahankankan jawatan Timbalan Presiden. Seperti diajak bertarung di tengah gelanggang getir, enam nama menawar diri bertarung. Mata mula tertumpu ke arah musuh tradisi Azmin, Tan Sri Khalid Ibrahim. Dan kemasukan Tian Chua bersama Saifuddin Nasution dilihat bagai ada pakatan 'Lumberjack match'. Bersatu untuk memukul Azmin.

Inilah episod menarik PKR. Maka saya melihat pemilihan kali ini adalah medan menguji kekuatan Azmin. Walau banyak desas-desus Azmin mahu dipotong, hati kecil saya tetap berasakan Azmin adalah pakar strategi yang pintar. Azmin kuat. Itu saya rasa. Kita tunggu.

Wednesday, March 19, 2014

Wahai Muhyiddin! Sistem pendidikan kita lahirkan "Zombi"

artikel ini telah ditulis dua tahun lalu di merdekareview.com. pautannya ini; http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=12907


Baru-baru ini Muhyiddin Yassin yang entah mengapa masih tidak cukup dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri tetapi mahu terus jadi Menteri Pelajaran mengatakan sistem pendidikan kita lebih baik dari Amerika Syarikat, Britain atau Jerman.  Kita perlu menyambut kenyataan ini penuh seronok apatah lagi keputusan Sijil Perguruan Malaysia (SPM) sudah pun diumumkan minggu lepas dan seperti biasa, wajah-wajah sukses akan disiarkan di kaca televisyen dan akhbar tentang kehebatan pencapaian mereka.
Kecohlah sekolah dengan naik turun peratusan pencapaian pelajar, gred purata serta itu ini.  Guru-guru kelam-kabutlah menyiapkan laporan jika subjek yang mereka ajar jatuh prestasinya.  Akan dihempapkanlah segala kesalahan kepada mereka.  Jika peratus lulus sesebuah sekolah meningkat maka akan naiklah nama pengetua, sekolah dan guru-guru sekaligus menjadi batu loncatan kenaikan pangkat atau jawatan.

Nanti dulu!  Itu sahajakah yang difikirkan dalam sistem pendidikan kita?  Statistik, angka atau gred sahajakah?  Bagaimana dengan Falsafah Pendidikan Nasional yang objektifnya untuk melahirkan generasi yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI)?  Apakah sekadar menjadi hiasan mural di dinding sekolah atau maktab sahaja?  Jika seseorang pelajar mendapat 8A apakah itu petanda cemerlang tahap keintelektualan mereka?  Bagaimana jika pelajar ini sekadar menghafal fakta ataupun menyeludup masuk nota kecil (biasanya ini dipanggil membawa toyol) ke dalam dewan peperiksaan untuk ditiru?  Apa pula skala hendak digunakan bagi mengukur kecemerlangan emosi, rohani dan jasmani?

Inilah padahnya apabila sistem pendidikan juga dipolitikkan dengan tujuan untuk mencari nama.  Apabila bertukar sahaja seseorang ketua atau menteri maka akan berubahlah sesuatu dasar sedangkan dasar yang lama belum pun dapat dilihat kejayaannya.  Ikut kepala sahaja.  Sekejap PPSMI sekejap mansuh.  Sekejap aliran vokasional kemudian bertukar ke aliran teknik.  Lepas itu berpatah semula menjadi vokasional.  Tidak sampai tiga tahun diubah lagi.  Yang menjadi mangsa eksperimen tidak berfaedah ini adalah pelajar.

Dasar tidak konsisten ini dicacamerbakan lagi di peringkat sekolah apabila pengetua dan guru-guru menjadikan peratusan sebagai matlamat pengajaran.  Selain strategi untuk memajukan semua pelajar ada juga strategi "menyusun" pelajar di mana tumpuan sepenuhnya diberikan kepada pelajar-pelajar yang berpotensi mengharumkan nama sekolah.  Yang kurang berpotensi, kuranglah perhatiannya.  Hendak mendidik mereka menjadi seorang insan yang berprinsip, jati diri, mampu berfikiran kreatif dan kritis serta bertindak matang-tiada masa.  Beban tugas terlalu banyak.

Pelajar-pelajar yang keciciran akan terus tercicir.  Ibu bapa yang mampu boleh kemudiannya menghantar anak-anak yang kurang berjaya ini ke pusat pengajian swasta.  Asalkan ada duit.  Pusat pengajian swasta berlambak di pasaran meniagakan sekeping kertas dipanggil sijil.  Yang tidak mampu terus masuk ke alam pekerjaan, makan gaji.  Selamat!  Hanya sedikit yang berbakat berjaya menempuh hidup dengan berani tanpa mengikut arus perdana.

Pelajar-pelajar yang berjaya telah diskripkan oleh sistem pendidikan kita untuk melanjutkan pelajaran ke kolej atau universiti.  Disuruh mereka belajar dan mencari sekeping kertas bergulung bernama ijazah.  Beri mereka PTPTN untuk beli telefon bimbit, motorsikal atau apa-apa dan ikat mereka dengan AUKU.  (Sayugia disebutkan ada juga penuntut IPTA dan IPTS tidak tahu kewujudan AUKU dan apa tujuannya).  Ini kerana generasi ini telah dizombikan oleh sistem pendidikan kita yang didalangi orang politik, bukan hendak memajukan bangsa, negara dan agama tetapi untuk kepentingan sendiri sehingga generasi rosak berkecai.  Menjadi robot sekurang-kurangnya masih boleh bekerja mengikut apa yang diprogram, tetapi menjadi zombi langsung tidak berguna malah tambah merosakkan.

Kata orang Cina "Nang Bu Ti Nang, Kui Mu Ti Kui - Orang Bukan Orang, Hantu Bukan Hantu".  Teruskanlah berpolitik.  Marilah kita berbangga mempunyai seorang Menteri Pelajaran yang juga menduduki kerusi Timbalan Perdana Menteri dengan pencapaian pelajar yang ramai memperolehi A sebagaimana ramainya pelajar kita yang suka ponteng, buli pelajar lain, memukul guru, melibatkan diri di dalam gangsterisme, buang anak, lari dari rumah, dadah dan seribu satu masalah lagi.
*Ronasina dengan nama asalnya, Mohd Affandi Ramli adalah penulis dan kartunis, juga pengasas Kempen Hope2walk.

Tuesday, March 18, 2014

Kami dan Alleycats

Rock N Roll tidak sampai ke corong radio Malaysia biarpun dunia pada 70-80an bergegar dengan irama itu. Radio kita masih mainkan lagu-lagu pop. Band seperti Sweet Charity, The Unwanted, Black Dog Bone pun kita hanya tahu lagu cinta mereka. Masa itu band-band kelab seperti Flybaits, Carefree, Steps, Headwind, Freedom, Gingerbread, Sweet September dan lain-lain sangat popular.

Alleycats istimewa. Walaupun sudah punyai album tetapi Alleycats popular apabila lagu Senandung Semalam yang dibawa peserta pertandingan Bintang RTM iaitu Jamal Abdillah menjadi juara pada tahun 1979. Alleycats terasa dekat di hati kami kerana ia merakam peristiwa ketika itu. Apabila memutarkan kembali lagu-lagu lama Alleycats terasa hati ditusuk sayu. Bukanlah lagu Sekuntum mawar merah sebuah puisi, Kerana, Sekiranya kutahu, Cinta sambal belacan, Rayuan di puncak Genting dan puluhan lagu lain itu ada kena mengena dengan percintaan kami. Kami masih di sekolah rendah waktu itu. Bercinta pun tak pandai. Tetapi lagu-lagu itu merakam apa kami lalui ketika itu.

Mendengar Hingga Akhir Nanti mengingatkan kami yang baru berpindah ke rumah kos rendah tetapi belum dimasuki elektrik. Dengan bateri 'Eveready' besar enam biji, radio jiran kami memasang lagu itu. Kami yang masih di sekolah rendah terbahak-bahak mendengar bait "Cinta itu boleh diumpamakan bagai makan sambal belacan, kalau pedas hingga mengalir air mata tapi masih dimakan jua". Kami juga pelik dengar lagu Suatu Hari di Taman Haiwan. Mengapa ada rangkap "Burung-burung berkicauan mengibarkan sesayapnya pabila sang kancil merayu kepada kekasihnya, harimau cemburu kerna kesepian lalu ia meraung, si monyet bertempiaran". Tak faham tetapi terhibur dengan rangkap seterusnya " manusia melihat telatah si beruk yang sedang berdansa atau mungkin si beruk yang tertawa melihat ragam manusia".

Lagu Alleycats ada cinta, kritik sosial dan lagu rakyat. Irama joget, zapin, keroncong juga diadun dengan gaya tersendiri.

Di tangan penerbit Eric Yeo dan lagu gubahan M.Nasir dan lirik S.Amin Shahab dan komposer lain, lagu Alleycats malar segar (evergreen). Suara David Arumugam unik, mendayu boleh, serak ala rock boleh dan lunak. Suara Loganathan juga memikat. Ketika majalah hiburan sibuk menayang foto artis cun, seksi dan kacak, dua lelaki India berambut afro tonggak Alleycats menjadi ikon. Mereka menolak mitos yang comel sahaja boleh masyhur. Alleycats meruntuh tembok perkauman. Tiada prejudis perkauman apabila mendengar dan menonton Alleycats. Kesinambungan semangat muhibbah rakyat Malaysia melayan lagu Melayu dengan jujur berterusan berikutan muncul lagi penyanyi bukan Melayu seperti Royston Sta Maria dan Francisca Peter, Moses dan Chris Vadham, Ben Nathan, trio Kenny, Remy dan Martin.

Muzik dan lagu Melayu menyatukan kaum di Malaysia. Band-band pelbagai bangsa seperti Headwind, Freedom, The Revolvers sudah lama ada. Mendengar lagu kita tak perlu fikir fasal warna kulit, kepercayaan agama yang selalu dibakar. Alleycats dianggotai bukan Melayu tetapi masyhur ternama menyanyikan lagu Bahasa Kebangsaan. Alleycats seperti cermin wajah anak Malaysia.

Sunday, March 16, 2014

bomoh punya hal

bila timbul bab bomoh ni aku teringat dulu-dulu aku pernah ikut geng-geng kaki nombor jumpa bomoh minta nombor. bomoh pun suruh kami zikir satu mantera supaya 'jin' datang. semua kaki nombor berzikir. aku berdua dengan kawan baik aku bantai zikir dalam hati 'La Maujud Illallah'.
Satu apa tak keluar. sebelum balik, bomoh pesan kat ketua rombongan kami agar lain kali jangan bawak aku dan kawan baik aku tu. "kacau!" kata dia.
tau pulak tu!
kahkahkahkahkahkah!

Thursday, March 13, 2014

Tuesday, March 11, 2014

MH370: ada 'sesuatu'?

Benar, kita simpati dengan nasib penumpang MH370 tetapi kita yakin ada 'sesuatu' sedang berlaku. Sesuatu yang tidak baik. Menghurai dan menggali sesuatu itu bukan bermakna tidak menghormati sensitiviti keluarga. Kita sangat-sangat faham dan naluri kemanusiaan kita mengajak untuk mendoakan ke semua mereka tak kira apa bangsa dan agama.
Persoalannya keyakinan terhadap pesawat ini terhempas semakin terhakis dan belit-belit jawaban makin berselirat.
Saya curiga. Saya semakin percayakan teori konspirasi. Apabila teknologi bikinan manusia buntu kerana ia ciptaan manusia. Boleh buat dan boleh padam.
Adakah Malaysia menjadi mangsa permainan kuasa-kuasa besar? Saya tidak tahu tetapi syak wasangka mula tertitik di hati saya.

Bagaimanapun doa dipanjatkan untuk semuanya...

Monday, March 10, 2014

Saturday, March 8, 2014

Wan Azizah calon Kajang

Dari sumber dalaman, Dr Wan Azizah calon N25 Kajang

Calon wanita ganti Anwar di Kajang?

Sah Anwar tidak bertanding di N25 Kajang tetapi siapa bakal ganti? Kuat angin bertiup mengatakan Rafizi menggantikan kekosongan ini biarpun sebelum ini ketua AMK mengeluarkan kenyataan tiada layak sesiapa selain Anwar.

Jika Rafizi masuk bertanya orang Kajang apa ke jadahnya dia? Cikgu Lee Kim Sin lebih layak rasanya jika PRK ini bukan 'move' nak tukar Menteri Besar diingat, orang Kajang memang menyokong Pakatan Rakyat tetapi faktor pengundi Kajang yang menetap di luar apakah akan termagnet untuk balik mengundi nanti? Sukar.

Maka untuk mengimbangi calon wanita dari MCA Chew Mei Fun, PKR dijangka menurunkan calon wanita.

Calon wanita PKR ini kehebatan personalitinya mesti hampir setara Anwar.
Siapa? Jreengg!









Friday, March 7, 2014

Rupa-rupanya inilah KajangMove

KajangMove patutlah mengejutkan semua pihak termasuk pimpinan parti di dalam PKR sendiri apatah lagi PAS dan DAP. Rupa-rupanya ia bukan hanya soal Azmin-Khalid yang berselisih faham. Itu asbab permukaan. Baling sebiji batu untuk bunuh 3-4 ekor burung sekaligus termasuk Adun Kajang yang 'hancur' itu.

Memang Anwar licik. Kritikan terhadapnya yang cuba masuk Selangor bertukar kepada nada simpati.

Ramai menyangka keputusan mahkamah rayuan menjatuhkan Anwar bersalah adalah usaha regim menyekat Anwar mengemudi Selangor. Sebenarnya Anwar sudah terhidu semua ini. Lalu KajangMove dirangka. Semua terkejut. Tidak sedikit meramal krisis Anwar-Istana-Khalid-Umno berpanjangan sebaik Anwar menang PRK Kajang. Tetiba PRK ini tidak penting lagi. Anwar sama ada masih lagi calon atau tidak bukan perhitungannya. Ia rupanya sebuah gerakan yang disusun. Untuk mengempang momentum yang sudah lesu. Malam tadi di Kajang generasi reformasi 98 kembali turun. Generasi pasca 98 yang tidak melihat gelombang dahulu bersedia menyambutnya kali ini. 98 majoritinya Melayu tetapi hari ini ia disertai lapisan kaum. Reformasi2.0 diisytihar.

Bersediakah ribut ini melibas lagi berbanding dahulu ketika kedudukan sudah selesa? Dengan gangguan di internet dan media sosial?
Paling penting episod seterusnya apakah Anwar 'ke dalam" semula sedangkan jika kita masih ingat ucapan Anwar di stadium Kelana Jaya sebaik sahaja keluar dari persembunyian kedutaan Turki saat isu liwat Saiful ini mula-mula muncul "Saya jamin konspirasi 98 tidak akan berlaku lagi (tidak masuk penjara lagi)"?

Jika 98 gerakan reformasi tidak tersusun meskipun gempar umno juga tidak bersedia ketika itu dan akibatnya regim Mahathir tumbang, Pak Lah tergolek pada PRU12, Najib tubuh kerajaan 47% . Kali ini bagaimana? Cukup tersusunkah dan cukup bersediakah.


Sunday, March 2, 2014

Ketua AMK: Siapa lebih anak muda?

Parti Keadilan Rakyat (PKR) punya keunikan tersendiri. Mata-mata penggemar politik sering disorotkan drama-drama berepisod di dalam PKR.
Sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) juga punya pengkisahan sendiri yang menarik. Ezam Mohd Noor ketika menerajuinya telah (tanpa sengaja?) meletakkan satu piawai yang anak muda memang geraknya mesti menggegarkan. Anak muda sifatnya agresif, responsif dan penuh idea.
Masa pantas beredar. Era reformasi bertukar babak. Demonstrasi jalanan yang selalu dijadikan kayu aras mengukur keberanian melepasi era baru; era pasca menang pilihanraya. Dengan kata lain agenda reformasi (sepatutnya) sudah dibawa ke dewan rakyat mahu pun sidang negeri. Shamsul Iskandar sudah melepasi umur AMK dan hari ini ahli parlimen Bukit Katil. Pengkritik politik melihat anak muda PKR di bawah Shamsul lemau, malas, selesa dan berangan jadi orang besar. Laungan slogan reformasi semakin perlahan apatah lagi untuk menzahirkan slogan tersebut menjadi praktikal, sangat perlahan. Agaknya berjangkit dengan kelesuan pemimpin pemuda PAS. Kelemahan ini menyebabkan beberapa kumpulan berlaku dan bersaing sesama sendiri. Tidak boleh menunggu pemimpin anak-anak muda ini bergerak sendiri. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) diketuai Badrul Hisham Shaharin, Jingga13 di bawah Fariz Musa berputar keliling negara membawa isu masing-masing. Masing-masing bina kem dan kerap juga bertelagah sesama sendiri.
Tidak mahu berceloteh panjang, tiga anak muda menawarkan diri bertanding pada pemilihan kali ini. Amirudin Shari, Nik Nazmi dan Mohd Nazree Yunus. Kata seorang pemerhati politik "anak-anak muda debab" yang bertanding kali ini mesti pulihkan kembali imej AMK yang dilihat lembab, kurang bersifat anak mudanya, elitis tidak mesra rakyat dan pembodek Anwar Ibrahim.
Amirudin Shari telah melalui zaman perit reformasi. Bergaul rapat dengan kelompok Institut Kajian Dasar (IKD) yang 'banyak membaca' pimpinan Khalid Jaafar, pernah bersama kumpulan di bawah Hishamuddin Rais di Universiti Bangsar Utama (UBU) bersama rakan seangkatan Khairul Anuar Ahmad Zainuddin (Jonah), Rahmat Haron dan lain-lain. Penglibatan Amir juga di dalam seni ada. Amir pernah memegang peranan utama dalam teater Tok Ampoo persembahan UBU sekitar 2001. Hari ini menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Adun (Adun) Batu Caves dan punyai pengalaman menjaga perihal belia serta sukan dan permainan. Kepetahan berbahas memang diketahui umum sejak dulu. Cuma umum melihat ada Azmin di belakang Amir terutamanya mereka yang punya sentimen anti-Azmin. Tanpa imej Azmin di belakang, Amir dikatakan lebih hebat. Bahkan kata mereka Amir sudah sebelah kaki menang.
Nik Nazmi Nik Ahmad munculnya sama seperti Amir di dalam parti dan lingkaran sejarah reformasi. Ketika masih menuntut sudah menulis kolum di majalah Siasah keluaran IKD. Agak kurang pandai bergaul mesra tetapi terkenal sebagai 'budak pintar'. Satu-satunya calon yang menulis dan dua buah buku telah dihasilkan sementara sebuah buku 'Jiwa Merdeka' kompilasi tulisan anak muda AMK yang diterbitkan bulan lalu adalah suntingannya. Hari ini menjadi Adun Seri Setia dan Timbalan Speaker Dun Selangor.
Nazree Yunus dibawa Shamsul Iskandar ke dalam PKR. Kemasukannya dipandang penuh ragu kerana sebelum ini ahli Umno dan dikenali sebagai budak Ezam ketika menerajui sebuah NGO yang diasaskan Ezam -Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK). Nazree bertanding di Kuala Pilah pada PRU13 yang lalu dan punya keistimewaan sendiri. Menariknya barisan pasukan yang dikemukakan Nazree adalah anak muda yang kuat dalam era reformasi seperti Ginie Lim, disokong juga oleh Jonah dan Saifullah Zulkifli bekas pembantu Nik Nazmi. Jika sentimen bosan dengan 'YB' menebal, Nazree yang dilihat 'underdog' berpeluang menang.
Apa pun, anak muda yang mahu menjadi pemimpin tidak harus menghadkan gerakan membawa seberapa ramai menyertai parti tetapi mendidik anak muda di dalam parti menjadi anak muda yang punya ilmu dan jelas hala tuju perjuangan. Bukan sekadar berpolitik kepartian tetapi mestilah meresap masuk ke dalam lorong-lorong yang didiami anak-anak muda, juga menjayakan seni dan budaya. Jika tidak lebih hebat sekurang-kurangnya mereka setara tinggi dengan Suhaizan Kayat yang sudah mencuci imej 'poyo' pemuda PAS.

Foto dari kiri: Amir, Nazree dan Nik Nazmi