Wednesday, January 4, 2017

kita dan masa

Lama tak menulis di blog. Masih ada lagikah orang membaca blog di tahun 2017, tiga tahun menuju 2020?

Aku beginilah, melayan hidup. Jalan dan jalan, sesekali menoleh. Jangan banyak menoleh, jangan lama termenung. Boleh luka. Luka pun kerana diri sendiri yang memegang berlari, sendiri yang gores, sendiri luka. Jangan rosakkan dan.jangan lemah. Jalan terus! 

Ya, An Nur sudah meninggal dunia pada 24 November lalu mengikut jejak kakaknya Annisa yang pergi pada 22 Disember 2011. Sekarang aku dan Sham berdua ke mana sahaja. Mengisi masa yang terlalu banyak lompong. 

Dua hari selepas An Nur meninggal dunia kami keluar dan tidak pulang ke rumah selama tiga hari. Macam nomad. Tidur hotel, tidur studio, tidur di Kelab. Sampai tidur di rumah Yudi. Sampai hari ini kami seperti pengembara yang menyerahkan keadaan dan selera, malam ni kita nak tidur mana? Sini? Baiklah! 

Sayu? Jangan tanya. Sabar? Tak perlu ajar. Betul, bukan sombong. Aku dah tahu hakikat. Aku tak gusar. Aku sangat bahagia.Tapi melayan semua perasaan sama ada suka, suka, pedih, manis yang singgah di dada adalah melayan nikmat karunia Yang Maha Kuasa.
Kesempurnaan bermaksud lengkap semua rasa. Sedap kalau rasa semua!

Kita semua akan 'tiada'. Sebab asalnya juga kita ini dari tiada kepada ada. Apa maksud ada dan tiada, kekal dan baqa, wujud dan maujud, adalah bahagian suratan masing-masing menafsirinya. Satu untuk engkau, satu untuk aku. 

Apa yang berlaku, jujur aku kata aku telah dikhabarkan awal lagi di dalam rencana akal fikiran ini. Dah diterangkan di papan cerita dalam minda. Cuma yang perlu dipersiapkan adalah apabila masanya sampai apa yang perlu dibuat. 

Jom! Jalan.