Monday, November 12, 2018

Penghujung masa

Masa (ya,  masa) remaja dulu memang aku nakal dan banyak bertanya kepada orang orang yang aku rasa mampu menjawab tentang arah hidup. Tentang perjalanan usia seseorang menuju destinasi sehinggalah akhir kemaujudannya atas dunia ini. Betapa 'masa' dan manusia memang bersahabat baik. Akrab walkarib.

"Sampai bila kita akan hidup di akhirat itu? Tak kiralah di syurga ataupun neraka. " Tanya aku kepada Pak Jomo.

"Kekal selamanya. " Katanya dengan nada bergetar. Aku tahu Pak Jomo kurang menggemari bicara bercampur campur antara zapin dan ngajat walaupun keduanya sejenis tarian..

"Apakah kekal kehidupan kita sama ertinya dengan kekal 'baqa' sifat Allah? " Tanya aku. "Bukankah tiada yang kekal melainkan Dia? " Betah aku.

Pak Jomo diam. Dia melayan asap kreteknya.

"Adakah kita menyamai sifat sifatnya sedangkan dalam 20 sifatnya terdapat sifat bersalah salahan iaitu takkan sama dengan makhluknya?"

Pak Jomo diam. Kali ini tidak berkutik langsung.

"Apa penghujung hidup? " Tanya aku.

"Mati. " Jawabnya.

"Apa penghujung mati? " Tanya aku lagi kepanasan.

"Hidup. " Jawabnya.

Ahhhhhhhh...  Berpusing pusing.

"Apa penghujung masa? Apa penghujung kekal? " Aku meracau memprovok.

"Keabadian. " Jawab Pak Jomo pendek sambil mengelap matanya yang digenangi air.

"Bagaimana keabadian? " Tanyaku lagi.

Pak Jomo diam membiarkan suara aku hilang ditelan gelap malam bawah pokok belimbing besi itu. Aku terhinggut hinggut memekup muka.

Langit terus sepi menyembunyikan mana awal dan mana hujungnya angkasa.