Kawan,
Spring sudah bermula. Rerumput kering sudah hijau semula dek sentuhan salji minggu lepas. Hanya setetes saja kasih didamba, dedaunan di jejari yang lama kehausan mula segar. Pokok-pokok perang dan botak sudah menguning, bunga-bunga memutih.
Aku sudah dapat rasa terik mentari tetapi angin masih sejuk. Sesekali aku keluar merayau seorang, menaiki bas meninjau sekeliling. Adakalanya khayalan di dalam bas terganggu dek sms Encik Pyanhabib yang tak habis-habis menganjing aku dengan pekasam dan petai. Tak mengapa. Ada ubi ada batas.
Kawan,
Aku sengaja tidak mahu ke Badaling Great Wall lagi walaupun hanya 60 km sahaja dari kampung Daniufang, tempat tinggal kami. Walhal kalau nak pergi, sekarang pun boleh. Tapi biar...biar keinginan menjadi dendam. Lagipun strategi menjeleskan Kak Nashita, Faizal Riduan, Pyanhabib, Puspa atau Ju/Nikjidan mesti disusun betul-betul. Mesti dimulakan dengan foto jalan-jalan di bandarnya, foto main salji, kejap lagi foto musim bunga kemudian barulah ke Tembok Besar China. Tu belum kira ke Tiananmen Square dan Forbidden City. Ah! Aku mesti ke sana mencari tapak kaki abang Hasan Suyut.
An-Nur? Alhamdulillah. Tak sangka dia boleh gerakkan kakinya yang sejak lama lurus menegang. Sham punya keazaman yang kuat untuk belajar Mandarin. Kejayaan pertamanya apabila dia berjaya menghubungi Sun, si supir untuk membawa kami ke rumah Anna dan Zack di daerah Chaoyang. Sun faham apa yang dituturkan Sham. Hiyahhh! Oklah kan?
Waktu lapang aku melukis. Isham si Tukar Tiub suruh aku jual bakat aku di sana. Insyaallah! Tunggu sehingga lapang sedikit urusan kami.
Aku mengaku aku rindukan kamu semua...ada waktunya kami digigit pilu. Rindukan si dia...tapi hidup mesti terus!
Yang tinggal hanya kenangan. Air mata jadi teman.
Salam rindu, Wo Ai Ne.
-foto menyusul nanti-