Thursday, November 29, 2018

Mat Kondom punya kisah

Semalam jumpa dia. Kali terakhir jumpa dia masa hari Mahathir angkat sumpah di Istana Negara ketika aku meninjau rakyat berhimpun di tepi jalan menuju ke istana.

"Lu sekarang dah tak berapa kutuk Najib ya? " Tanya dia. Dia panggil aku 'lu' saja. Takpe,  'gua' ok.

Aku mengangguk. "Sebab dia dah tak ada kuasa. Jadi inilah masanya dia diheret ke muka pengadilan yang kita sama sama percaya telah berlaku reformasi. " Jawab aku ringkas.

Betul. Aku dah tak kutuk BN. Kini masa untuk membuktikan penyelewengan yang didakwa selama ini mereka lakukan. Dan aku menjadi mata bersedia mengkritik kerajaan baru pula. Tapi dia ini memang hari hari bantai Umno,  bantai PAS di media sosial.

"Ok,  brader. Gua tak boleh lama. Ada kerja. " Dia meminta diri. Sambil membetulkan kemeja lengan panjangnya yang sedikit berkedut,  dia yang siap berdasi tergesa gesa berlalu.

Dia sudah jadi pegawai di kerajaan sekarang. Dia yang dulu bila kita tulis kaw kaw kutuk BN,  hanya berbisik,  "Aku setuju dengan kau tapi tak boleh nak tunjuk". Dia yang dulu bila nak pergi demonstrasi siap tanya dulu ramai tak SB,  ada FRU tak. Dia yang duduk belakang belakang dengan muka pucat.  siap sedia nak lari. Dia, si main selamat. Play Safe. Dialah Mat Kondom.



 

Wednesday, November 28, 2018

Ketat, tegang, keras dan cepat terpancut

Sejak kecil aku terdedah dengan ajaran agama di sekeliling aku dengan nada yang keras dan tegas. Aku takut sebab seperti kita ini sebaik sahaja buka mata di waktu pagi sehinggalah hendak tutup mata untuk tidur pada malamnya,  sentiasa diperhatikan oleh makhluk yang ditugaskan untuk memantau apakah aku akan sedang dan telah melakukan kesalahan dan dosa.

Apakah aku akan jadi insan yang kamil disebabkan aku ikhlas atau aku diupah dengan ganjaran nikmat syurga atau aku tak mahu jadi jahat sebab aku telah ditakut takutkan dengan azab sengsara?

Tanpa upah dan hukuman,  apa aku akan jadi? Bagaimana fitrah keikhsanan aku dapat dicungkil tanpa sogokan semua ini? Berkesankah jiwa aku diajak menjadi intan tanpa gertak dan belaian?

"Sahaja aku solat..... Kerana Allah Ta'ala. " ajar Ustaz.

Kerana Allah Ta'ala. Bukan kerana lain. Bukan kerana ditakutkan atau disogokkan.

Innasolati,  wanusuki,  wamahyaya wamamati lillahi rabbil alamiin.

Tiada sebab lain,  ikhlas keranaNya,  kata Pak Guru.

"Nikmatnya akan sampai apabila kita berada di syurga nanti,  apabila segala permintaan kita pasti ditunaikan Allah atas balasan kita berbuat baik semasa hayat kita di dunia. " Kata Pak Guru.

"Semua permintaan kita ditunai? "Tanya aku yang baharu saja akil baligh.

Pak Guru mengangguk.

"Bolehkah saya meminta untuk menjadi Tuhan? "

Pak Guru mengelap matanya. Sejak itu aku diasingkan daripada kumpulan kami.

Sunday, November 25, 2018

Kau jangan naik!

Bila melihat sebuah kejayaan,  aku gemar melihat di sebalik perayaan itu.  Siapa di belakang tabir yang sama sama menggalas tugas sehingga kejayaan dikecapi.
Bila penyerang menjaringkan gol kita puja dia tetapi terlupa siapa yang melorongkan bola. Tanpa kawan sejati, tanpa heroin, tanpa crook,  hero bukan sesiapa.

Bila dengar lagu kita puja penyanyi dan terlupa siapa penggubah lagu,  penulis senikata, pemuzik. Filem yang hebat siapakah teraju utamanya.

Tapi ada orang yang sudah lepas naik berasa takut dengan bakat bakat baru yang difikir boleh menumbangkannya.  Dia ada pengaruh untuk menyekat mereka kalaupun tidak membunuh potensi mereka sebelum mereka naik. Rasa tergugat dan terancam. Dia tutup  ruang. Tak bagi orang lain naik.

Kenapa harus jadi begini? Kenapa masih ada Habil dan Qabil?

Lepas dia,  dia. Lepas dia,  dia. Lepas dia,  dia saja. Orang lain dia tak peduli.  Dia tak dapat dia bising.

Kadangkala rasa macam kita lahir di negara yang salah dan jadi kaum yang salah. Hahahha!

Ayuhlah,  sama sama naik. Jangan sekat orang,  bunuh orang atau lepaskan tengkuk sendiri. Ada pengaruh,  payungkan orang yang baru nak naik. Baru kita boleh bercakap tentang hendak majukan negara dalam apa juga lapangan.

Bukannya lepas dia,  dia. Lepas dia,  dia. Lepas dia,  dia.  Lepas dia.....

Saturday, November 17, 2018

Khitan, Khatan dan Langau



Saya nampak isu khatan anak perempuan ini lalu depan mata. Saya buat tak tahu saja. Malu nak campur. Takkanlah kita sibuk berkelintau dengan perkara perkara macam ni. Tapi sebab ada langau langau yang tak ada sangkut paut turut sibuk menghurung,  saya meluat.

Saya pernah ada dua anak perempuan. Istimewa pula tu. Saya cuak juga dulu bila isteri  kata nak khatankan mereka. Takut saya anak-anak saya yang kurang upaya itu kesakitan. Tapi isteri saya adalah ibu kedua mereka. Takkanlah dia bangang tak sayang anak anak saya. Dia ibu lagilah kuat cintanya kepada anak anak. Takkanlah dia bangang  sebagaimana saya bangang sebab tak faham bagaimana rupanya keadaan sunat perempuan tu. Bila selesai,  barulah saya faham dan saya tahu. Ia bukan potong habis terus. Jadi,  dalam bab sunat budak perempuan saya tak bangang lagi. Saya nampak dan saya dah tahu. Jika ada anak perempuan lagi,  saya ok sahaja untuk buat.

Juga dulu ada desakan untuk mengiktiraf jenayah jika ibubapa memakaikan tudung kepada anak perempuan bawah umur. Bagi peribadi saya,  jika saya ada anak perempuan bawah umur saya tidak memakaikan lagi tudung tetapi saya sangat sangat menghormati jika ada ibubapa yang memilih untuk memakaikan tudung sejak awal jika mereka percaya itu adalah didikan awal. Saya hormati sangat sangat. Yang marah,  tak perlulah sampai minta perkara ini diiktiraf sebagai jenayah. Anggaplah ini hak asasi mereka berkeluarga. Nanti bila besar,  anak anak ini akan memilih sendiri. Macam saya,  ibubapa saya cukup anti lelaki berambut panjang. Tak tahu kenapa. Semasa remaja saya sangat patuh kepada mereka. Hari ini, saya pilih berambut begini sebab saya suka.

Berbalik kepada  isu khitan anak perempuan,  soal ia tuntutan Islam ke,  budaya Arab ke,  budaya Melayu ke,  biarlah lingkungan-lingkungan ini yang berbicara. Yang tak ada kena mengena janganlah jadi langau. Seeloknya begitulah kalau kita menghormati kepercayaan antara satu sama lain. Isu tudung tadi pun,  seeloknya yang tak berkenaan usahlah jadi langau.

Ini pandangan peribadi sayalah. Di facebook  saya,  saya yang kawal. Maka jika ada langau yang menyibuk nyibuk pasal kepercayaan dan amalan orang lain yang dia tak terlibat tapi dia memperlekehkan,  menghinanya maka saya akan nyahkan dari senarai friend. Sebab saya sangat menghormati kepercayaan orang lain dan tidak akan menyibuk akan amalan mereka.  Dia nak halalkan punai dia sodok kunyit,  saya tidak campur. Budaya sial nombor 4 yang mereka percaya sehingga  menggantikan nombor  3A di papantanda jalan,  alamat rumah,  tingkat lif itu,  saya tidak ada masalah. Akidah saya tidak akan terpesong dengan kepercayaan yang tak ada kena mengena dengan kepercayaan saya.

Apa yang saya katakan di atas bukan untuk diheret ke medan yang lebih besar. Saya hanya bercakap untuk ruang facebook saya sendiri yang mana saya ingin mengatakan saya sangat menghormati budaya dan amalan kepercayaan orang lain tetapi sangat menyampah dengan mereka yang menjadi langau menyibuk dengan kepercayaan dan amalan saya. Itu sahaja. Bab berbeza pandangan politik dan isu lain,  saya ok.

Friday, November 16, 2018

Menukar sudutpandang


Bertahun tahun kita taksub politik. Tak ada yang lebih penting selain politik. Bergaduh dengan keluarga,  saudara mara,  kawan kawan hanya kerana berbeza pandangan. Kita sahaja yang betul. Orang yang tak ambil tahu pasal politik kita kata mereka tak hirau pasal masa depan generasi dan anak cucu sendiri.

Kita baca kitab agama,  dengar ceramah agama,  sembang dengan kawan sealiran.  Kita saja yang betul.  Lain daripada yang kita faham semuanya salah,  sesat dan bidaah. Israeliyat,  falsafah Yunani kuno...

Bukan politik saja,  bukan agama saja. Apa juga yang kita pegang bertahun tahun dengan mata hanya pandang ke satu arah saja dan itulah pemandangan yang paling betul walaupun adakalanya sudut itu kotor atau busuk,  tapi yang itu itu sahajalah.

Kita telah terperangkap dalam kancah berapi yang menarik kita masuk ke dalamnya. Bukan kancah yang menarik kita tetapi kita yang menjerumuskan diri dengan rela. Kita terlupa menukar sudutpandang. Cuba toleh sedikit dari pusat penglihatan selama ini,  tengok betul betul. Eh! Dunia ini terlalu luas. Cantiknya lebih saujana daripada sudut  yang kita ralit tengok selama ini. Rasakan dan nikmati keindahan sudut sudut lain. Baru kita akan menghargai kehidupan, hargai diri,  hargai orang lain. Dan kita pun raikan hidup.

Penumpuan kena tajam. Fokus,  fokus. Macam bertinju. Sesaat mata berkelip penumbuk lawan pun sampai. Block kena sentiasa bersedia. Mata tepat tak berkelip walaupun diacah acah.

Hidup ini indah. Layan afaalNya. Faham afaal. Cukup sedap dan sangat mengasyikkan.  Kalau banyak sangat mengutuk boleh tersilap terkutuk pula AfaalNya.

Thursday, November 15, 2018

Baran dan marah marah

Siapa yang tak baran waktu darah muda penuh mengalir dalam tubuh?  Aku pun baran juga dulu. Pantang ada yang menguji,  cepat betul nak menyinga,  nak bertempik. Hebat betul rasa diri. Lagi pulak bila kita rasa kita di pihak yang boleh menang ikut celah mana pun. Lagilah kuat rasa.

Kita baran sebab kita rasa yakindiri dengan keupayaan kita berhadapan dengan orang yang kita rasa boleh makan.  Jarang kita berhadapan dengan orang yang sama baran. Jarang buku bertemu ruas.

Mengapa boleh baran?  Sebab selalunya pada kebanyakan keadaan kita sebenarnya orang biasa yang gemar ketawa, gembira dan baik?  Siapa yang mempengaruhi sikap kita?  Diri sendiri,  keluarga,  tempat kerja,  persekitaran dan apa kecenderungan kita dalam berfikir. Politik?  Hahhaha... Itu tempat orang Bermuka muka. Tak payah masuk. Politik macam candu. Kuat tarikan untuk kita masuk dalam kancahnya yang menyala nyala tu.

Masa baran kitalah hebat. Orang kita tengking.  Bini kita sekeh. Anak kita jerkah. Mak bapak kita jegil.

Baran. Tak ada apa yang hendak dibanggakan dengan sikap itu. Roda kehidupan berputar.  Bila sampai masa turun,  yang baran asyik tampar bini akhirnya akan terlantar lemah tak bermaya dan bini yang ditampar itulah yang menjaga kencing berak kita. Mana gagahnya kita?  Menangislah hari hari kita sebab menyesal. Itupun nasib baik bini tak campak kita tepi longkang dan cari orang lain. Baran kononnnn!

Tapi marah marah perlu ada. Kita marah bila kita diperlekehkan. Kita marah kita ditipu. Kita marah bila kita dibuli,  dipijak,  ditindas. Lalu dengan kemarahan kita bangkit bersuara dan bertindak.  Tindakan yang kita rasa berbaloi untuk meredakan api kemarahan kita. Ada orang menjadikan kemarahan sebagai suatu pemangkin untuk dia bangun berjaya. Untuk membuktikan yang dia bukan seperti apa yang diperkatakan sehingga membuat dia marah. Ada yang hancur dalam bertindak kerana membalas dendam. Kemarahannya diterjemahkan dalam bentuk membunuh potensi diri.

Pernahkah kita membuat orang lain marah? Wajarkah?


"Jangan buat macam tu,  Mat. Tuhan marah. "

Tuhan pun marah? Samakah marah kita dengan kemarahan Tuhan. Jika sifat amarah adalah nafsu paling rendah martabatnya bagi insan dalam pendakian menuju makam makam lawamah,  mulhamah,  mutmainah,  mardhiah,  radiah dan kamaliah,  bagaimana dengan marah Tuhan?

Itu cerita lain,  bang. Berselak selak berlapis lapis berangkai rangkai...

Monday, November 12, 2018

Penghujung masa

Masa (ya,  masa) remaja dulu memang aku nakal dan banyak bertanya kepada orang orang yang aku rasa mampu menjawab tentang arah hidup. Tentang perjalanan usia seseorang menuju destinasi sehinggalah akhir kemaujudannya atas dunia ini. Betapa 'masa' dan manusia memang bersahabat baik. Akrab walkarib.

"Sampai bila kita akan hidup di akhirat itu? Tak kiralah di syurga ataupun neraka. " Tanya aku kepada Pak Jomo.

"Kekal selamanya. " Katanya dengan nada bergetar. Aku tahu Pak Jomo kurang menggemari bicara bercampur campur antara zapin dan ngajat walaupun keduanya sejenis tarian..

"Apakah kekal kehidupan kita sama ertinya dengan kekal 'baqa' sifat Allah? " Tanya aku. "Bukankah tiada yang kekal melainkan Dia? " Betah aku.

Pak Jomo diam. Dia melayan asap kreteknya.

"Adakah kita menyamai sifat sifatnya sedangkan dalam 20 sifatnya terdapat sifat bersalah salahan iaitu takkan sama dengan makhluknya?"

Pak Jomo diam. Kali ini tidak berkutik langsung.

"Apa penghujung hidup? " Tanya aku.

"Mati. " Jawabnya.

"Apa penghujung mati? " Tanya aku lagi kepanasan.

"Hidup. " Jawabnya.

Ahhhhhhhh...  Berpusing pusing.

"Apa penghujung masa? Apa penghujung kekal? " Aku meracau memprovok.

"Keabadian. " Jawab Pak Jomo pendek sambil mengelap matanya yang digenangi air.

"Bagaimana keabadian? " Tanyaku lagi.

Pak Jomo diam membiarkan suara aku hilang ditelan gelap malam bawah pokok belimbing besi itu. Aku terhinggut hinggut memekup muka.

Langit terus sepi menyembunyikan mana awal dan mana hujungnya angkasa.


Sunday, November 11, 2018

Bagiku agamaku...

Suatu petang sedang aku duduk menghirup kafein, kalori dan lemak (kopi), datang tiga pemuda berpakaian 'masjid' menyapa memberi salam. Aku jawab dan mempersilakan mereka duduk semeja. Tiada masalah.

Tiga kawan yang baik budi bahasa ini memulakan cerita dengan bertanya hal hal biasa sebelum masuk ke dalam tajuk yang menjadi maksud asal kedatangan mereka. Bercerita tentang kehidupan beragama,  menjalankan syariat dan beribadah kepada Allah, tuhan yang Maha Esa. Cantik dan aku suka. Kisah-kisah Nabi yang pernah aku baca dan dengar diputarkan semula oleh mereka dengan baik. Aku setuju. Kesimpulannya mereka mengajak aku menuju ke jalan yang mereka pilih iaitu mementingkan kehidupan abadi dan tidak memberatkan hidup dengan mencari harta dunia. Aku setuju.

Tapi aku menyatakan perlu juga menjadi kaya di dunia kerana ia ada dalam laungan azan,  Marilah Menuju Kejayaan. Kejayaan akhirat mestilah tetapi kekayaan dunia wajib juga sebab ia boleh juga menjadikan kejayaan di akhirat. Itu seruan azan,  kataku.

"Dan dirikanlah sembahyang serta tunaikan zakat. Banyak ayat datang solat berkembar dengan zakat maknanya penting untuk bayar zakat. Bukan zakat fitrah je tapi zakat perniagaan,  barang kemas,  pertanian, harta. Maknanya kena kaya." kata aku.

"Bila kaya baru mampu bersedekah. Tapi tangan kanan memberi,  tangan kiri tak tahu. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Saidina Othman pun kaya dan kaya macam dialah boleh bantu orang lain."

"Jadi,  Haiya alal falah. Aqimussolata wa atazzakata,  juga adalah seruan untuk mencari kebahagiaan dunia sama ada material atau spiritual. "

Itu sebahagian. Ada ayat lain lagi.... Tentang kekayaan hakiki. Cerita lain kali.

Tiga sahabat bersetuju. Aku,  kita dan mereka, seperti berjuta insan dan makhluk lain sama mencari makna kehidupan. Mencari dan mencari rahasia yang tidak pernah sembunyi malah sentiasa terbuka selagi nafas tidak putus,  nyawa tak berhenti dan nafsu belum mati. Wallahua'lam.
Jumpa apa yang dicari?  'Apa' yang dicari? 'Jumpa' apa?  Berani kata dah jumpa?

Wednesday, November 7, 2018

Cinta

Cinta adalah anugerah mistik Yang Maha Pencipta betul punya ajaib. Mainan perasaan yang cukup cukup hebat. Lemah kuat insan terpukul dengan cinta.

Dari cinta,  terbit sayang,  rindu,  benci,  dendam,  cemburu,  dengki,  khianat. Dari cinta muncul belaian,  dambaan,  asyik. Demi cinta kita gila. Kewarasan jadi pertaruhan.

Entahlah apa makna cinta sejati,  apa pula cinta abadi. Yang nyata manusia rasa dirinya wujud kerana adanya cinta. Penangan cinta. Rasakan letupan di dada,  gemuruh di jiwa. Apa manifestasi cinta?  Apa penghujungnya rindu? Kisah cinta agung selalunya berakhir dengan tragedi. Betulkah? Apakah kebahagiaan sampai mati bukan cinta agung?

"Kau cinta siapa? "
"Tuhan. "
"Wow!  Hebat. "
"Cinta kepada Tuhan adalah cinta sejati. "
"Bagaimana kau kata kau cinta Tuhan sedangkan ada makhluk ciptaan Tuhan itu kau benci dan hinakan? Kekasih apa kau? "


Dia diam. Menunduk.


Sembang lebat poket habat!

Kata orang ikutlah resam padi makin berisi makin tunduk. Makin banyak ilmu, makin banyak harta makin merendah diri. Sebenarnya dalam kehidupan sebenar ramai orang kaya yang baik, merendah diri dan membantu. Disebabkan wayang selalu menggambarkan sebaliknya kita pun mengecop kebanyakan orang kaya itu sombong. Yang teruk rupanya kita. Dahlah miskin, busuk hati pulak.

Kata orang juga, sekilas ikan di air dah tau jantan betina. Ini falsafah orang lama yang tinggi ilmu firasat mereka. Mereka ini ilmu penuh di dada, perjalanan hidup menjadikan mereka matang berpengalaman. Gerak tubuh kita pun dia boleh baca. Jadi, kita yang darah setampuk pinang, kail panjang sejengkal tak usahlah membongak. Sembang lebat padahal habatttt...

Budak-budak baru kenal ilmu ketuhanan biasanya termasuk dalam golongan tahu sedikit tapi cepat benar nak pancung orang. Orang ajak sembahyang terus dia buka silat tanya dah kenal diri ke tidak? Kau sembahyang ikut imam, imam pulak ikut siapa? Ewahhh...

Rileks brader. Ada ilmu, disiplinnya tak payah nak didebat walaupun ada orang suka berdebat bab kebenaran sampai tegang tegang urat leher. Itu dah tewas dengan nafsu mahu jadi hebat, orang lain salah dan lemah. Ada ilmu amalannya hanya untuk dilayan penuh nikmat je. Duduk diam diam tarik nafas, senyum dan kenyang. Tau tau meresap ghaib ke keabadian.

"Mana Tuhan? Mana?" Tanya Mat Supi. Sedap dia bila semuanya tak melawan.

"Kenal diri rata rata kenal tuhan yang nyata!" Tempik dia lagi.

"Jadi di mana sebenarnya?" Tiba tiba masuk Pak Tua menyoal Mat Supi.

"Al insanu sirri wa ana sirruhu." Balas Mat Supi.

"Ya tapi tunjuklah mana sir, mana insan, mana ana?" Soal Pak Tua. "Kalau insan-sirr-ana itu satu, cabut nafasmu sekarang. Takkan ana hidup pakai nafas?" Duga Pak Tua.

Mat Supi diam tak tahu nak konar mana. Itulah, setakat main pusing pusing ayat je dah tergolek. Belum masuk dalam lagi.

Tuesday, November 6, 2018

Semuanya untuk orang

Apa yang kita buat bukan untuk orang lain?  Kita berpakaian untuk menjaga mata orang lain? Kita pergi ke sesebuah majlis,  untuk ambil hati pihak lain? Ada perkara yang kita kena terpaksa buat demi orang lain. Kita tak berlaku jujur?  Hey... Nanti dulu.

Terpaksa sembahyang bila berkumpul beramai ramai supaya tak dilihat teruk? Atau masa tu kita di rumah bakal mertua. Takkan azan berkumandang kita buat buat pekak je ye tak? Paling gelabah bila bakal pak mertua suruh jadi imam. Mampuih!  Mujur ada Surah Al Asr dan dan Qulhuwallahu Ahad. Buat modal jadi imam. Disuruh pula bacakan doa. Belasah je doa dalam Bahasa Melayu. Itu lebih mudah semua orang faham daripada berpuluh tahun hafal doa Arab tapi tak faham pun. Berpuluh tahun baca Yaasin setiap malam Jumaat tapi bila ditanya apa ceritanya surah tersebut kita terkelip terbangak.

Hidup perlukan orang lain. Hidup memang menuntut kita sesekali berpura pura. Wajah kita sendiri adalah topeng kulit yang melindungi isi,  tulang,  lemak, lendir dan tengkorak. Terkoyak sedikit kulit muka kita dah malu dilihat hodoh.

Tetapi yang mana satu diri sebenar diri? Bila tangan hilang,  kaki dipotong,  kulit muka disiat,  kita masih lagi kita. Kita masih lagi dipanggil dengan nama kita. Jadi mana sebenarnya kita?

Err...  Jika kita ada nama,  siapa yang bubuh nama kita? Nama kita sendiri pun mak ayah bagi.
Ah!  Melalut pulak. Atau....  Kau dapat apa yang aku cuba sampaikan?

Friday, November 2, 2018

Mengatasi rasa rendah diri

Aku antara orang yang rasa kurang yakin diri dulu. Rasa rendah diri yang cukup  punya rendah bukan main main sebab aku berbadan kecil.


Sejak sekolah rendah sampai tingkatan lima aku tergolong dalam kalangan budak bertubuh kecil. Muka pun macam budak. Ini membuat aku rasa susah nak ke depan walaupun badan kecil selalu kena duduk atau berdiri paling depan.

Tapi kawan sekelas sekolah rendah perlukan aku apabila bab mengaji sebab aku pandai mengaji. Dan aku terer main tayang (galah panjang). Main bolasepak ke hapa ke,  aku terkebelakang. Sekolah menengah pun macam tu. Cuma aku tak pernah teruk dibuli.

Nak mengorat pun malu. Lekeh betul aku. Pemalu pun tahap teruk. Bila masuk maktab,  aku rasa rupa aku yang macam budak budak buat aku rasa susah nak pergi. Maklumlah nak jadi cikgu muka kena matang. Cuma,  aku ada sedikit keberanian untuk tidak tunduk dengan 'ragging'.  Aku berani untuk tidak patuh bila ada yang cuba tarik aku ke tepi dan nak mempersendakan aku.

Pada masa yang sama aku diserang fobia bila aku sering diburu jantan jantan yang berselera dengan muka anak ikan aku. Ini satu lagi dilema. Ya,  kita berasa rendah diri kerana kita rasa kekurangan pada diri kita sedang orang lain kita nampak melebihi dari apa yang kita ada.

Tapi segalanya berubah bila kita dah kenal diri kita rata rata. Siapa kita,  hakikat kewujudan kita. Peranan kita. Bila dah berumahtangga dan berkeluarga, isteri dan anak anak bantu aku jadi orang yang lebih yakin. Yakin menempuh cabaran bersama. Mereka yang sentiasa menemani telah membantu aku jadi orang yang tidak lari.

Berani bukanlah bermakna redah atau langgar apa saja. Walaupun memang pada tahap usia tertentu kita akan ada masanya rasa gagah,  ghairah dan panas cepat marah,  itu bukanlah suatu yang hendak dibanggakan. Ada kalanya malu pula bila mengingatkan zaman panas dan gopoh. Tetapi berani dengan bertanggungjawab.

Rendah diri akan kecewakan kita. Nanti kena buli. Merendah diri tidak mengapa. Jangan rasa besar diri pulak ye tak? Semua kita tahu,  semua kita betul.

Tuhan jadikan setiap kita dengan sebuah bekal. Setiap kita ada bekal sendiri untuk digunakan dalam mengharungi hidup. Kita kena korek dan cungkil apa isi dalam bekal itu. Kadang kadang kita sangka kita boleh buat sesuatu tapi sebenarnya itu bukan bidang yang telah dibekalkan. Kita gagal. Tak mengapa kerana kita dalam proses mencari dan mengenalpasti. Sehinggalah kita berjumpa.

Hidup ini memang tentang cari dan jumpa,  dapat dan hilang. Sehingga kita sendiri pun akan 'hilang'. Yakinlah dengan arah yang kita akan hilang itu.

Thursday, November 1, 2018

Makna 'Kawan'

Bolehkah kita hidup tanpa teman? Tanpa kawan? Ada orang kata boleh asalkan ada Internet.  Maksudnya dia tetap memerlukan 'kawan'. Tanpa kawan,  syurga pun tak ada makna. Adam dah duduk dalam syurga pun sunyi,  mohon minta ditemani.

Kawan bagaimana kita ada? Bagaimana kita boleh berkawan?  Kata orang, kawan ketawa senang dicari,  kawan menangis payah. Soalnya,  adakah kita juga seorang kawan yang dicari?  Nak tahu kawan yang baik ialah dia ada ketika kita susah. Tapi kita adakah sewaktu kawan kita susah?

Kawan yang baik yang berani tegur kita walaupun teguran itu menyakitkan. Ada masanya yang menjatuhkan kita,  yang khianat adalah kawan juga. Atau kita sebenarnya yang khianati kawan? 

Kita dibiasakan dengan empat sahabat Rasulullah. Abu Bakr,  Ali,  Umar dan Othman. Empat sahabat setia yang berbeza karektor tetapi cukup memantapkan gandingan. Abu Bakr sampai digelar As Siddiq. Iya saja apa yang Nabi kata. Ali pula adalah pintunya,  jika Rasulullah itu kota ilmu. Dikatakan pula jika ada Nabi selepas Muhammad,  Umarlah (ada juga pertikaian orang akan hal ini,  tapi itu bab lain).  Othman yang kaya raya tetapi sanggup bersama dalam kesusahan.

Kerana duit persahabatan putus. Kerana perbezaan politik kawan lari. Kerana nak buat bisnes MLM kawan menyorok. Macam macam. Ketika menebas,  kita seorang. Bila durian dah luruh,  ramai datang mengaku sama sama sejak awal.

Soalnya mana lebih penting, kawan yang ramai atau kawan sikit tapi baik?

Kata pujangga sufi,  kawan yang baik ialah yang semakin hari semakin rapat menghampiri kita.

"siapa,  pak? "

"kematian. "