Sewaktu dibimbing arwah kartunis Rejabhad lebih 20 tahun dahulu beliau selalu ingatkan menangi hati editor dahulu untuk mendapat tempat di dalam sesebuah penerbitan. Ini belum dinilai lagi mutu karya. Kata arwah jika mengirim karya seeloknya lampirkan sekali surat yang bunyinya ala begini, " Salam Tuan editor, bersama surat ini saya lampirkan karya saya sebanyak.....semoga tuan dapat mempertimbangkan untuk disiarkan sekiranya memenuhi mutu...bla..bla...". Kata beliau, " jika hendak meminang anak dara orang haruslah berbahasa dahulu kepada orang tua yang menjaganya". Pak Jab memang tinggi dan berbunga bahasanya.
Masa terus berubah. Hari ini pos karya sudah menggunakan emel, bukan pakai setem lagi. Setakat pengalaman aku menjadi editor Gedung Kartun, kartunis veteran Madsen masih mengirim kartun dengan pos siap lampiran surat seperti yang diajar Pak Jab. Madsen masih menggunakan mesin taip.
Hari ini jika aku menghantar katun atau tulisan aku juga akan menggunakan intro rasmi biarpun editor penerbitan itu kenalan yang rapat. Ini kerana aku menghormati atas tiket peranan kawan aku. Di luar kami minum dan bersembang aku-engkau tetapi dalam hal menghantar karya aku menganggap mereka seorang yang berkaliber dan dihormati. Kartunis Jonos pernah bersungut apabila ada 'mamat' menghantar email di syarikat penerbitan kami bekerja dahulu dengan tujuan meminta kerja dengan bunyi "Salam bro. Ada kerja kosong tak? Kalau ada bagaimana gua mahu kerja di situ?"
Hari ini aku menjadi penerbit bebas dan ramai juga menghantar karya ke majalah tak berkala, Posto terbitan kami. Ya! Ada mereka tidak aku kenali dan tidak pernah membaca Posto. Ini juga masalah kerana bagaimana mahu menghantar jika kita tidak tahu apa konsep sesuatu penerbitan itu? Dan dalam kirimannya mereka membahasakan diri "aku", "gua" dan menujukannya kepada "bro". Bagaimana tu?
Lainlah jika kawan-kawan baik yang tiap hari bergurau, makan-minum serta tidur. Mereka ini juga bolehlah dianggap penggerak Posto. Tetapi jika mereka ini yakni Hishamuddin Rais, Adam adli, Sidiqin Omar, Wahyudi (sekadar menyebut beberapa nama) terlambat hantar terpaksa ditinggalkan juga. Setakat ini komitmen memang baik.
Tetapi Lim Hong Siang dan Faizal Riduan biarpun kawan rapat masih menggunakan ayat rasmi ketika mengirim karya.
Kata orang, kualiti apa yang hendak dipersembahkan adalah perkara penting menjadi keutamaan tetapi pendekatan yang salah juga boleh mempengaruhi kegagalan untuk menawan.
Hubaya hubaya!