Tuesday, October 13, 2015

Siapa lagi berpeluk selain Hadi dan Ibrahim?

Saya adalah seorang yang tidak boleh  menerima sesuatu perkara dengan mudah dan cepat pula membenarkan sesuatu perkara walaupun ia datang dari sumber yang kita dokong . Atas sebab itulah saya selalu disingkirkan dan menyingkir dalam sesebuah organisasi walaupun ada yang saya sendiri pengasas awalnya. Ini kerana saya perlu melihat adil dan rasional tentang duduk sesuatu perkara sebelum mengikut setuju  dengan sesuatu yang dihidangkan.
Semalam hangat tersiar di media sama ada arus perdana mahupun alternatif foto Presiden PAS dan Presiden NGO PERKASA berpeluk dan kebanyakan media ini melaporkan kedua pihak setuju membentuk sebuah kerjasama. Saya melihat ia digambarkan oleh media bahawa berpeluknya Hadi Awang dan Ibrahim Ali adalah simbol berpadunya dua pertubuhan mewakili orang Melayu (PERKASA) dan Islam (dalam PAS) yang selama ini sangat berbeza fahaman dan ideologi. Seakan kedua pertubuhan ini bersetuju bergabung dalam kerja politik. Saya tidaklah kisah. Biasalah NGO bergabung dengan parti politik malah penggabungan dua parti politik menjadi satu pun sudah biasa. Cuma keliru kerana akaun facebook rasmi PAS melaporkan mereka bersetuju bersama PERKASA dalam beberapa isu (rujuk foto). Yang mana satu? Bergabung menjadi satu atau bersama dalam sesuatu isu sahaja? Jika bergabung terus pun saya tidak kisah tetapi jika bersetuju bersama dalam sesuatu isu ini menyamai konsep Konsensus Nasional anjuran Anwar Ibrahim dahulu. Kita boleh rujuk perutusan Hari Kemerdekaan Anwar Ibrahim dahulu mengenai Konsensus Nasional yang dipersetujui bersama oleh pimpinan PAS yang kini keluar menubuhkan Parti Amanah Negara. Konsensus Nasional menyarankan boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja sama ada pihak kerajaan atau pembangkang dalam mencari penyelesaian yang baik sesuatu isu. Boleh rujuk sedikit petikan dari blog Khalid Samad di foto. Maknanya dalam sesuatu perkara untuk mencari kebaikan, boleh jugalah berpeluk dengan musuh.
Jika benarlah PAS dan PERKASA berpeluk dengan semangat yang sama seperti Konsensus Nasional, ia biasa sahajalah. Tetapi bagaimana pula dengan pelukan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor dalam isu pembinaan lebuhraya EKVE yang memusnahkan hutan serta kawasan tadahan air dan mempunyai lima buah tol? Ironinya manifesto pilihanraya dan Buku Jingga Pakatan Rakyat menolak tol dan beberapa pimpinan parti dari Pakatan Rakyat sebelum ini lantang memprotes pembinaan lebuhraya KIDEX. Mengapa membisu atau tidak nampak pelukan di belakang lensa kamera kot? Tambah ironi lagi bila ada ahli parlimen Parti Keadilan Rakyat menjadi Director Of Board dalam syarikat konsesi lebuh raya sedangkan manifesto pilihanraya Pakatan Rakyat ke arah mahu hapuskan tol. Ini pelukan juga bukan? Apakah pelukan Hadi Awang dan Ibrahim Ali tidak sama dengan 'pelukan ghaib' politikus pembangkang dengan Dr Mahathir yang menibai Perdana Menteri Najib dalam isu 1MDB. Mereka setuju berpeluk dengan Mahathir walhal Mahathir jugalah yang mengajar semua kebejatan ini? Bagaimana pula pelukan dengan Muhammad Taib yang menyertai PAS dulu dan kini masuk pula PKR? Bolehkah berpeluk sedangkan dulu merekalah yang membongkar rasuah bekas Menteri Besar Selangor itu?
Sebab itulah saya masih terus memikirkan dan mencari makna sebuah pelukan. Apakah apabila melihat sebuah pelukan anda berasa gembira, marah atau cemburu?
Dan yang mana anda pilih. Pelukan terang-terang, pelukan ghaib, berpeluk di depan atau berpeluk di belakang? Sedapkah berpeluk di dalam gelap?

Monday, October 5, 2015

Hal biasa atau kita sedang dirobotkan?


"Welcomeeee..."
Sambut pelayan restoran francais itu dengan nada berlagu mesra disambut oleh rakan pelayan yang lain. Semua pelanggan yang melangkah masuk akan disambut dengan ucapan mesra berlagu seperti itu. Sama.
"Hai selamat datang...." sambut pekerja di meja 'cashier' apabila aku masuk ke sebuah dari berpuluh atau beratus buah kedai pasar mini francais 24 jam itu. Begitu juga apabila pelanggan lain masuk, disapa mesra dengan ucapan aluan seperti itu juga.
"Hai selamat datang. Makan sini atau bungkus?" Tanya pelayan restoran 'fast-food' francais dari luar negara itu. "Terima kasih. Sila datang lagi. Hai selamat datang. Makan sini atau bungkus?" Ucap dia sebaik selesai urusan dan terus bertanya kepada pelanggan seterusnya. Seperti yang ditanyakan kepada pelanggan-pelanggan sebelumnya. Sama.
Aku pasti anda semua biasa dengan suasana seperti ini. Nampak seperti sungguh mesra dan sangat menyenangkan bukan? Tetapi tidak bagi aku. Ah! Mungkin anda akan berkata aku terlalu mengambil serius tentang perkara remeh-temeh. Kenapa  pula aku tak senang? Kerana kita bukan robot, kita manusia yang mempunyai sentuhan kasih dan peribadi untuk mengikat antara satu sama lain. Kemesraan tidak boleh diprogram atau dirobotkan dengan satu kaedah yang sama dan digunapakai kepada semua orang. Yang penting keikhlasan. Dari keikhlasan terbit perasaan mesra sebenar dan saling menghormati, menghargai. Robot manusia ini telah diberikan buku panduan (manual) yang tidak boleh mereka ubah. Apakah mereka tidak boleh mengubah, tak berani mengubah atau terlalu sibuk sangat? "Hai selamat datang" atau "Welcomeeee" ini diucapkan kepada kakak, adik kecil, pak cik, aci, apek, ah so, lebai, atuk atau opah. Semua sama. Apakah keadilan bermaksud semua dapat sama?
Sewaktu aku tinggal di Jakarta kerap juga ke restoran dan pasar mini francais yang sama dengan di sini. Sangat terasa perbezaannya. Layanan yang lain macam punya mesra, mungkin skrip juga diberikan sebagai asas tetapi tidaklah semua dengan "Hai!". Kalau wanita yang dilihat sudah jadi ibu mereka memanggil mesra "Bun" singkatan Bunda, untuk lelaki  yang dihormati "Bapak" dan berbagai panggilan mesra. Ini disusuli dengan bahasa tubuh yang penuh santun, membongkokkan diri dengan dua tapak tangan dilekap dan dibawa ke bawah dagu seperti sembah hormat. Ya, ini di restoran fast-food dan pasar mini sama yang pelanggannya jauh lebih ramai sedang beratur. Sekali lagi aku terfikir apakah aku terlalu mengambil serius atau perkara sebegini isu remeh sahaja? Atau bagi pelanggan di Jakarta itu pun perkara biasa yang tidak ada apa apa makna?
Kemudian pernahkah anda apabila memesan makanan, pelayan yang menghantar makanan terus berlalu tanpa memastikan keperluan anda dicukupkan atau tidak seperti sudu dan garfu sudah disediakan atau tidak. Jika tiada, dia akan ambilkan. Aku selalu alami. Itu belum bab lain, baru bab memesan. Dan ini selalunya berlaku pada restoran orang 'kita'. Lepas meletakkan makanan yang kita pesan di atas meja, terus belah. Berapa kali anda mendengar ucapan "Selamat menjamu selera?". Kalau ada, mungkin kita boleh kenduri sedekah pisang ke masjid. Sebenarnya ini hal enteng atau 'common sense', yang boleh difikirkan sendiri tanpa perlu memerah otak. Enteng. Entah apa guna matapelajaran Tatarakyat, Sivik, Moral dan Agama sewaktu di sekolah dulu, entah. Atau di rumah memang dengan mak ayah dulu pun begitu agaknya. Lama-kelamaan deria rasa kita pun mati dan tidak boleh mengesan budi lagi kerana sudah terbiasa dengan robot manusia. Kerana kita juga sedang diprogram. Perlahan-lahan kita turut sama menjadi robot kalaupun tidak menjadi zombie.

Sunday, October 4, 2015

Dalam bertenang, apalagi yang hilang?

Dalam bertenang, apalagi yang hilang?

Aku sedang duduk bertenang sekarang. Baru sahaja sampai di rumah setelah selesai urusan di Kuala Lumpur. Biasanya jika ada urusan awal pagi esoknya di ibukota, malam sebelumnya aku akan menumpang tidur di Kuala Lumpur. Sebab aku benci kesesakan jalan raya. Dalam perjalanan pulang ke Kajang tadi aku melihat kesesakan jalan raya yang teruk sebelah jalan menuju pusat bandar. Aku bersyukur kerana tidak terlibat bersama ribuan mereka yang bertahun-tahun melalui rutin sebegitu. Memandu ke tempat kerja di pusat bandar adalah sesuatu yang menakutkan aku.
Aku bersyukur. Aku harap mereka yang sedang bersesak itu akan sentiasa di dalam keadaan segar dan bersemangat untuk bekerja atau berkhidmat setelah sangat lelah dan capek tersengguk-sengguk di jalan raya. Aku rasa dosa paling besar yang telah kerajaan lakukan, konon atas nama kemajuan-imej-prestij ialah menghapuskan perkhidmatan bas mini juga bas awam lain dan menggantikannya dengan bas kota syarikat kroni. Bukan tidak bagus dasar untuk menaiktaraf kemudahan pengangkutan awam tetapi tanpa kajian dan dengan mendadak ternyata ia semakin lama makin memburukkan kesesakan. Ramai pengusaha bas mini dan konduktor hilang mata pencarian. Bas kota yang menampilkan pemandunya  berimej kemas dan berpakaian seragam itu memang jauh hebat berbanding abang 'rockers' pemandu bas mini atau kakak konduktor yang 'rugged'. Bas imej canggih itu memang jauh bezanya dengan bas yang berbau setanggi diiringi muzik yang kuat tetapi warga kerja di kota sudah lali. Bas mini dulunya sangat banyak, tiket pun murah dan cepat. Warga kota tidak kisah berasak-asak, bersempit-sempitan menghidu bau ketiak. Kecekapan perkhidmatan bas mini yang 'sempoi' ini memudahkan warga kerja di pusat bandar merancang masa bila hendak bertolak dan pukul berapa hendak pulang. Bas imej baru itu tiada konduktor dan ini telah menutup satu peluang pekerjaan. Bayaran tambangnya pula mahal, 90 sen kena bayar di mesin yang tidak reti memulangkan baki jika kita masukkan duit seringgit. Bas 'angkat imej' ini akhirnya gagal. Aku pernah dengar bekas pengusaha bas mini menggelarkan mereka lanun. Ternyata tahun demi tahun  perkhidmatan pengangkutan awam bertambah buruk sehinggalah ia terkubur. Kalau pun ada tren, tiketnya mahal dan itu pun masih belum sampai ke tempat kerja. Hendak tak hendak, tiada pilihan kena pandu kenderaan sendiri juga. Bas mini telah hilang, pengangkutan awam yang murah dan efisien telah jadi sejarah.
Apalagi yang hilang? Bila aku cerita tentang tambang mahal tadi ia memang benar. 90 sen mahal waktu itu. Bas mini tambangnya 50 sen untuk mana-mana destinasi sehala. Kemudian naik menjadi 60 sen. Ada bas mini berhawa dingin dengan tiket 70 sen tetapi warga kota kurang berminat. Bas mini ini selalunya tidak penuh. Orang suka berasak-asak juga. Entah kenapa ahli korporat sangat sakit hati melihat imej berasak-asak ini dan ingin menakluki perniagaan yang mungkin dia melihat wang masuk berasak-asak juga. Oh, apalagi yang hilang ya? Dahulu gaji permulaan 'standard' untuk pekerja am sama ada pelayan restoran, pomen, buruh ialah RM300 sebulan. Aku bekerja sebagai pomen waktu itu, selepas tamat tingkatan lima. Dari Wangsa Maju ke Petaling Jaya aku perlu naik dua bas. Baru seringgit. Balik seringgit. Sebelum balik, habis kerja aku melepak di warung. Minum teh dan roti canai. Baru seringgit. Makan tengah hari atau malam walaupun nasi berlauk ayam masih RM2.50. Ertinya walaupun gaji RM300 cuma tetapi marjinnya besar. Masih tidak kisah untuk belanja kawan. Hari esoknya kawan pula belanja kita. Menonton wayang dan sebagainya. Bayangkan hujung minggu acara paling meriah berkawad di pasar malam Jalan Tuanku Abdul Rahman. Sampailah masa aku masuk maktab perguruan. Maknanya dalam serba sederhana kita juga menghargai persahabatan. Hari ini setiap individu punya bebanan bil sendiri. Untuk bil telefon bimbit yang entah apa pelan data yang hendak dilanggan, dengan minyak kereta, tol, duit parkir (sebab tidak lagi ada bas mini terpaksa bawa kenderaan sendiri). Makan minum bayar sendiri sebab nak simpan duit beli 'top up' untuk berlaman sosial atau 'chatting' dengan orang di alam maya walaupun kawan organik ada depan mata (termasuklah aku pada hari ini, juga terjebak). Jarang kawan nak belanja kecualilah dia orang politik yang hendak bertanding jawatan. Nak hantar duit ke kampung tak mampu lagi. Hendak belanja pak saudara, mak saudara dan anak buah silap-silap 'instalment' kereta tersangkut. Sentuhan peribadi sesama sendiri di dunia nyata pun semakin hilang. Ajak kawan-kawan mengeteh tetapi masing-masing dengan gajet.
Ini bukan perkara kecil. Ia akan berkait-kait menjadi budaya amalan hidup dan terus berkembang. Bermula dari rumah, bila kita berlumba di dalam kesibukan entah apa apa ini lama kelamaan banyak yang hilang. Anak diasuh amah. Aku pernah menonton sebuah rancangan bagaimana ibu bapa gagal menjawab soalan tentang apakah makanan kegemaran anak, warna kegemaran, lagu atau sebagainya sebaliknya amah lebih berjaya menjawab tepat. Untuk menghiburkan anak yang jarang dapat berbual, hujung minggu kita bawa anak bersarapan pagi di luar. Anak-anak memesan makanan masing-masing termasuklah si kecil yang masih tak mampu makan banyak. Kita sedang mengajar anak untuk membazir dan tidak menghargai. Kita lupa kecil-kecil dulu mak kita bagi makanan sama rata mengikut keupayaan kita. Yang kecil dapat kecil, yang besar dapat mengikut usia. Hari ini makanan itu terbiar tapi ah! Kita yang bayar, apa salahnya.
Apalagi yang hilang? Aku duduk bertenang. Memikirkan semula ini semua. Apakah aku mengambil terlalu serius semua ini? Aku berdoa dan berharap sangat agar masa kita untuk duduk bertenang masih ada dan tidak hilang.
-Foto bas mini dari The Star