Wednesday, April 7, 2010

lalu kenapa?

hari ni adik genap 7 tahun..

" Kalaulah dia normal, dah tentu dia darjah 1 sekarang." kata dia.

" Mengapa kalau dia tak darjah 1?" tanya aku.

dia diam..

Tuesday, April 6, 2010

rumah pink itu..

sudah tiga minggu aku lihat
operasi rumah merah jambu itu terhenti
ada notis penutupan perniagaan
dan pintu berkunci
tertanya-tanya aku
ke mana perginya taukeh reban dan ayam-ayamnya
di syurgakah mereka?




-Brickfield 3 April 2010

terima kasih tuan!

tulisan ini tersiar di akhbar Sinar Harian hari ini Selasa 6 April 2010 ruangan Cetusan muka surat N15 kolum Bicara Selasa Rahman Shaari. Juga di Sinar Harian Online di sini. Terima kasih tuan di atas ulasan membina dan bersifat universal.


Isu sindiran dalam kartun 'Katak'
Oleh - Rahman Shaari
Perkara di atas ialah judul buku kartun. Orang penting di belakang penerbitan buku tersebut ialah Zunar.
Kulit hadapan buku ini memuatkan gambar enam makhluk separuh manusia separuh katak, dan seorang manusia berkaca mata (si kaca mata) dan bermisai. Dapat dikatakan kulit buku ini membayangkan masalah besar si kaca mata, kerana terlalu besar penyokong harapannya telah melompat. Makhluk separuh manusia separuh katak itu kelihatan riang. Mereka berada di sekitar manusia lain yang ketawa dengan gigi panjang-panjang.
Pelukis mungkin bermaksud menyindir manusia separuh katak, tetapi tujuan tersebut teranjak ke makna lain. Kita dapat mentafsirkan betapa si kaca mata gagal menjaga orang-orang harapannya, dan mereka dengan gembiranya bertukar menjadi manusia katak. Demikianlah isu dalam kartun – 'Katak'.
Di kulit buku juga terdapat pemberitahuan bahawa sebuah kisah fitnah akan disiarkan di halaman 3 – 15. Apabila kita membaca halaman-halaman tersebut, kita menemukan kisah yang telah diketahui umum, hanya pendekatannya berbeza sedikit. Halaman 17 memuatkan kisah dua orang yang bergelar Tun berbual-bual. Tun yang berhidung panjang bertanya tentang tindakan paling bodoh yang dibuat oleh Tun berhidung besar. Tun yang berhidung besar menjawab, "Saya pecat timbalan...". Tun yang berhidung panjang berasa beruntung kerana dia ‘tak buat apa-apa.’
Saya berpandangan, kartun Ronasina di halaman 17 ini terbaik, kerana sindirannya lunak, iaitu bahawa tidak berbuat apa-apa ialah jalan terbaik bagi sesiapa pun. Tun yang berhidung besar itu menghadapi masalah kerana banyak berbuat. Perkara ini dapat dibincangkan secara panjang lebar, kerana dalam motivasi kita mendorong agar orang berbuat seperti Tun yang berhidung besar, bukan berdiam seperti Tun yang berhidung panjang.
Di halaman 29, terdapat gambar orang separuh katak melompat ke dalam ‘tong taik’. Karya ini dihasilkan oleh Enot. Kita dapati, makna daripada kisah orang separuh katak melompat ke dalam tong najis ini juga memuatkan makna yang beranjak-anjak. Pada dekad 1960-an, Abu Bakar Hamzah selaku Naib Presiden Pas ada mengatakan bahawa UMNO ialah tong najis. Dua dekad kemudian, Anwar Ibrahim selaku ketua ABIM memilih untuk menyertai UMNO. Kartun ini membawa makna sesiapa saja yang menyertai UMNO sebenarnya berpengalaman melompat ke dalam tong najis. Adakah Enot menyindir Anwar ketika melukiskan watak-watak lain?
Saya mengemukakan unsur teori anjakan makna agar karya-karya dalam buku ini dapat difahami secara bebas dan menyeronokkan sesiapa saja. Ada kemungkinan buku ini dihasilkan untuk maksud menyokong satu pihak, manakala pihak lain ditentang habis-habisan. Hasrat begitu kurang baik, dan saya yakin Zunar dan kawan-kawanya sedar. Jika terdapat makna yang personal, di sini saya berusaha mengemukakan arah kefahaman universal.
Penyebutan bahawa UMNO itu tong najis, atau ‘tong taik’, tentulah terlalu sarkastik, malah tidak sopan. UMNO, sama juga dengan Pas dan PKR, malah DAP, ialah parti politik yang bergiat dalam zaman moden, yang tebal dengan idealisme. Sebarang perlakuan atau tindakan ahli atau pemimpin parti-parti itu, bukanlah penanda sifat parti. Itu ialah tindakan individu, hasil sikap individu, kehalobaan individu dan agenda individu. Oleh itu, demi mencari kematangan politik, eloklah kita tolak sebarang gelaran yang membawa kesan sedemikian kotor kepada parti-parti politik di dalam negara kita. Secara ringkas kita katakan: Tiada parti yang buruk dan busuk. Tiada!!! Semua baik-baik belaka.
Mulai halaman 67 hingga akhir buku, kita dapat menikmati kartun 'Dari Kerana Mata'. Penulis skrip untuk kartun ini ialah Ronasina, dan tercatat juga ‘pengarah’nya, iaitu Zunar sendiri. Karya ini menerbitkan makna yang lebih beranjak-anjak.
Dua halaman awalnya, iaitu halaman 68 – 69, memuatkan gambar seorang ahli tinju sedang menjalani latihan bertinju. Pada halaman 73 dimuatkan 6 gambar seseorang yang kurus dan bertutup mata ditumbuk oleh ahli tinju tadi. Apa yang menariknya, mangsa ialah seorang yang melakukan kesilapan semasa bercakap. Di halaman 74, watak peninju yang bernama Ehem Nor memberitahu pengawal bahawa dia menumbuk mangsa kerana mangsa mengatakan sesuatu yang menghina. “Ada ke patut dia panggil aku bapa anjing? Nama bapak aku Anjang tau?”

Ternyata di sini bahawa Ehem Nor menumbuk Sang Timbalan kerana Sang Timbalan menyebutkan frasa ‘bapa anjing’. Ini ialah jawapan kepada satu tanda tanya di Malaysia, yang mungkin tidak begitu rahsia. Pada halaman 78, orang yang berhidung besar mengatakan “Sang Timbalan tumbuk matanya sendiri.” Jawapan watak berhidung besar itu menunjukkan tiada pakatan antara Ehem Nor dengannya. Jika watak itu tahu, dia akan mengatakan bahawa Sang Timbalan telah menyebutkan makian 'bapak anjing!'
Pada halaman 80, watak berhidung besar menyerahkan ‘kitab ajaib’ kepada watak lain. Bagi watak yang berhidung besar, Melayu mudah lupa, dan perjuangan belum selesai. Oleh itu, penerusan perjuangan adalah penting. Kisah tamat di sini.
Tentulah keseluruhan cerita dan maksud yang terkandung dalam buku ini dapat difahami umum. Semuanya tidak menimbulkan kesukaran, dan sudah dipercakapkan di sana sini. Kupasan ini saya kira penting untuk membaca mencari makna kedua, ketiga dan seterusnya. Karyawan yang baik tidak berhenti di takat menyokong atau menyebelahi sesuatu pihak. Karya oleh pengarang yang baik adalah untuk semua – universal.
Dalam hal pemilihan kata, saya fikir kata yang bertaraf maki-hamun tidak akan ke mana, dan malangnya tidak akan ada titik akhirnya. Pyanhabib yang menulis catatan 'Gua Peduli Apa' (halaman 48), setelah mengatakan beberapa perkara secara bijaksana, tiba-tiba terlepas frasa ‘barua politik’. Frasa itu sering kita dengar disebut para ‘keliruan politik’, dan sering terlepas setelah seseorang dipengaruhi makian pemain-pemain utama politik. Dalam pemerhatian saya, terbitnya kata-kata sarkastik, baik ‘tong taik’ mahupun ‘barua politik’, adalah hasil dorongan tokoh yang bercita-cita untuk menduduki tempat tinggi, malah tempat tertinggi dalam pentadbiran negara. Karyawan menggunakan kata-kata itu seakan-akan lahir daripada jiwa yang murni, padahal yang berlaku di sebaliknya ialah gangguan pengaruh dan hasutan bertalu-talu. Tanpa gangguan itu, kita tahu Pyanhabib sebenarnya lebih jauh sopan, apatah lagi beliau penyair yang berjaya.
Kisah 'Riwayat Tok Seri Jantan Takubin' dapat dianggap satira yang baik. Hishamuddin Rais selaku penulis yang berpengalaman dapat menjaga emosi dalam melaksanakan kerja penciptaannya. Watak Awangku, atau disebut juga ‘si Awang’ ialah padanan daripada watak Hang Nadim dalam ‘Singapura Dilanggar Todak’. Watak ini mengambil bahagian yang kecil, tetapi amat berkesan. Kata-kata yang dipilih oleh Hishamuddin sesuai dengan satira jenis ini.

Buku kartun seperti ini elok dipermaju. Saya tidak akan sanggup terlepas pandang jika Zunar berusaha menerbitkan buku seperti ini seterusnya. Rakyat Malaysia perlu mempunyai sejumlah karya pilihan, dan mereka akan memilih yang disukai. Selain itu, saya terfikir, andai orang yang dianggap ‘katak’ atau ‘separuh katak’ oleh Zunar dan rakan-rakannya menghasilkan karya, bagaimanakah pula isi karyanya itu? Jika dia menghasilkan karya dalam genre kartun, saya dan sejumlah yang lain, amat suka membacanya.

Monday, April 5, 2010

mana yang satu?

Dia : Sekejap KulupSakah, pastu Ronasina, kejap Wak Jono. Kau ada berapa nama sebenarnya?

Aku : 99..

Dia : Nak pakai yang mana satu?

Aku : Mana yang "Satu"?

Dia : Berbelit-belitlah kau ni! Cepatlah, nak pakai yang mana satu?

Aku : Yang tiada huruf dan suara boleh?

Dia : Arghhhhhhhh!!! Kenapa kau ada banyak nama?

Aku : Sebab aku masih mencari 'diri' aku yang sebenarnya.. ia duduk pada namakah atau
apa?

Dia : (mamai)


nota: aku sedang berusaha memilih 'sedikit' tulisan terbaik dalam blog ini (kebanyakannya coretan yang bukan pasal politik) dicampurkan dengan beberapa tulisan aku yang tak pernah tersiar serta beberapa sajak yang pernah aku hasilkan untuk aku bukukan. Sambil tu cari modal untuk cetak. Agak2 ada orang nak beli ke?

Sunday, April 4, 2010

haiya 'alal falah

"Saya nak jadi askar besar nanti mak."

"toksahlah anak mak. kau sorang je anak lelaki. kalau kena tembak nanti menangislah mak."

aku memadamkan niat. mungkin cita-cita tu hanya kerana teruja dengan vic morrow dalam combat.

waktu sekolah rendah aku terlihat rekod peribadiku dan di situ tercatat cita-citaku apabila dewasa hendak menjadi doktor, pilot dan entah apa-apa lagi. Tak ingat itu permintaanku sendiri atau cikgu yang sengaja bubuh.

sekolah menengah dilema melanda nak jadi apa? Kilang elektronik tumbuh macam cendawan. Atau kerja di Proton?

"Kau jadi cikgu jelah." kata apak.

"Ha'ah." kata mak. "Apak kau dulu pun sikit lagi nak jadi cikgu tapi tak habis sekolah."

aku masuk maktab. Tension satu semester. Betulke apa aku nak buat ni? Tup-tup berjaya aku habiskan.

beberapa tahun kemudian aku buat outcampus untuk ijazah. Dua semester aku cabut.

Hari ni aku masih memikir aku nak jadi apa.
"Jadilah apa kau nak jadi. Jadi kau!"
"Hidup ini singkat. Jadi diri kau!"

Haiya 'alal falah! (marilah menuju kejayaan)
la haula wala quwwata illa billah (tiada daya upaya aku melainkan Allah)
Haiya 'alal falah! (marilah menuju kejayaan)
la haula wala quwwata illa billah (tiada daya upaya aku melainkan Allah)
Allahu akbar Allahu akbar! (Allah Maha Besar Allah Maha Besar)
La ilaha ilallah! (tiada Tuhan selain Allah)

Apa kejayaan? Mengapa tiada daya upaya pula ketika melaungkan ajakan menuju kejayaan?

Friday, April 2, 2010

Moeha dengan watak lakonannya..

Ingat Moeha yang aku tulis tentangnya sebelum ini? Kalau anda malas klik di sini aku ringkaskan yang Moeha adalah anak saudara Pak Habib (Syed Hussein Alattas - penulis buku politik) yang mempunyai tumor di dalam kepalanya. Tumor mengenai saraf mata menyebabkan Moeha tidak dapat melihat lagi. Kakinya juga sudah kebas dan dia bergerak menggunakan kerusi roda. Moeha masuk wad sebulan kerana didapati ada batu di hempedunya. Sewaktu pegawai perubatan cuba mengeluarkan batu tersebut, pankreasnya tercedera. Risiko untuk kena diabetes agak tinggi bukan disebabkan sikapnya yang tak jaga kesihatan tetapi disebabkan pankreasnya telah dicederakan dengan tidak sengaja.

Semalam dia telefon Sham, katanya hendak makan di kafe kami tetapi kafe sudah tutup (kami cuma beroperasi 7-00 pagi - 7.00 malam). Lalu dia datang rumah ditemani Nizam, adiknya yang sangat sabar menjaganya dengan baik.

Berdepan dengan Moeha selalunya membuat aku kehilangan kata-kata. Aku tak mahu mengucapkan "Sabar! Ini semua dugaan, pasti ada hikmahnya nanti." Ini bukan kata-kata yang baik bagi aku. kalau tak sabar dia takkan bertahan macam itu dan masih boleh tertawa riang walaupun menceritakan keperihannya yang bermain dengan ajal.
Ini pengalaman aku. Aku sendiri tak suka bila orang menyuruh aku sabar kerana mempunyai dua anak istimewa. Maaf! Cari kata-kata lain.

Moeha baru dua hari keluar wad dan akan masuk lagi selepas ini. Masuk dan masuk sampai bila tak tahu. Dia menceritakan kesakitan yang amat sangat sehingga berguling2.

Moeha mencium Annisa dan An-Nur sambil diperhatikan adiknya Nizam yang sangat hebat dan sabar.

8 malam tadi Nizam sms bagitahu Moeha sangat sakit perut. Dia tanya mana nak dibawa selain hospital. Kami minta dia datang ke tempat kami kerana di sini ada perubatan alternatif. Pertengahan jalan tayar keretanya pancit. Sham menunggu dengan resah. Mujurlah sampai dan sedikit lega selepas itu.

Moeha,
abang tak tahu nak cakap apa. Tapi kau seperti tahu yang kau hanya melakonkan watak yang diberikan di dunia ini. Itu yang selalu kau ungkapkan dan kau raikan.
"Asalkan Allah redha dengan kita."
kata azimat Moeha.

Get well soon!

Thursday, April 1, 2010

Wira tak didendang


Di fesbuk tadi aku tertonton gambar terkini kartunis Fatah (gambar atas) yang terkenal dengan watak A.Mamud dalam Gila-Gila dahulu. Oh ya! Hari ni 1 April majalah tersebut genap 32 tahun. Lama betul bertahan walaupun persembahannya sekarang hambar dan tawar. Sayu hati melihat kartunis legenda ini. Terkenang aku akan stroke lukisan kemelayuannya, nostalgia 60an zaman Pop yeh yeh, Beatles dan Rolling Stone. Fatah berdiri dengan sendiri. Abang kepada komposer Manan Ngah dan J.Nagoya (arwah Jalil Ngah) ini hidup sederhana hari ini. Kecik2 dulu aku pernah terbaca di majalah Gila-Gila yang Fatah selamat dibedah ketumbuhan dalam kepalanya. Beliau kemudian terus berkarya dan sempat juga menghasilkan lukisan-lukisan akriliknya. Lukisan gambar Amy Search bersaiz besar karyanya pernah aku lihat di akhbar terpampang di studio Manan. Fatah kemudiannya menghidap sakit tulang belakang. Sesuatu harus dilakukan untuk abang Fatah yang boleh dikira legenda.
Beberapa hari yang lalu pula Zunar menulis tentang Ujang yang tidak boleh berkarya menggunakan namanya kerana nama "Ujang" sudah menjadi hak milik MOY (Mohd Othman Yusof - kini Adun Kukup, Johor) tokey majalah Ujang dan Apo.
Apa halnya? Berikan keadilan kepada Ujang. Jika kamu mahu pegang hakcipta nama majalah, silakan tetapi untuk kartunis Ujang berkarya menggunakan namanya sendiri yang dia gunakan lebih lama dari usia majalah tersebut takkan tak boleh?

Kalau tak benarkan kartunis Ujang terbitkan majalah guna nama "Ujang" okeylah tapi berikan dia guna nama dia. Okey? Dulu majalah "Ujang" tu popular kerana orang mahu tengok karya kartunis Ujang. Ingat tu...
bak kata kartunis Gandum yang mengajuk dialog pengawal berbangsa Sikh dalam Seniman Bujang Lapok "Dia punya nasib dia makan, kita punya nasib kita makan. Apa salah kita makan sama2?".

Persatuan kartunis kena tengok.
(maaf kalau entry budak kartunis setahun jagung ini menyinggung sesiapa. Aku ikhlas)