Wednesday, June 29, 2011

Unggun Bersih

dengan pen matabola dan sehelai kertas yang diminta dari doktor wad 5a serdang, terlukis lukisan ini dan discan oleh Ummu Asiah yang membawa pulang setelah datang melawat, istimewa untuk Pak A. Samad Said~ ikon!

Tuesday, June 28, 2011

lawak KUNING

Seluar dalam wanita dan lelaki berwarna kuning habis dijual di pusat membeli belah berhampiran Putrajaya. "Nak beli baju kuning, kami takut. Jadi beli spenda kuning pakai sorok-sorok pun jadilah sebagai sokongan terhadap BERSIH 2.0" kata seorang kakitangan awam di Putrajaya yang enggan namanya disiarkan.

TERKINI: penjual kuih seluruh Malaysia diberi amaran menukarkan warna kuih puding jagung kepada warna biru atau merah.

TERKINI: Kerajaan BN sedang cuba untuk membuang angka 9 di bulan Julai dalam kalender untuk mengelak demo BERSIH2.0 yang semakin tak dapat dibendung.

BERSIHKAN JALAN!


lupakan kelakar maharajalawak

lupakan carta lagu popular minggu ini

lupakan rumahtangga artis mana yang pecah berderai

lupakan datuk mana yang mengintai artis

jom turun bersihkan yang kotor

jom turun bersihkan yang korup

lupakan projek dan slot program tv mana nak kau dapat

lupakan geran percuma nak kau pungut dari proposal plagiatmu

jom turun

jom jalan

itu kotor kita kasi BERSIH!


28 jun 2011

(wad 5A Hospital Serdang)

Friday, June 24, 2011

9 julai hari kita!


Ayuh turun 9 julai ini. ini hari kita. hari yang akan melakar sejarah tamadun dunia. hari yang akan dikenang sampai bila-bila. sampai kita sudah tiada!
9 julai adalah perjuangan!
Kita hanya turun saja! Turun dan jalan!
Mereka gentar!
pedulikan bebelan ulama pembodek, persetankan cecehan politikus tercekik!
Pergi mampus dengan ugutan perkakas-perkakas!
9 Julai hari kita!
Katakan kepada ulama pembodek "ini perjuangan amar maaruf nahi mungkar!"
katakan kepada politikus korup "Bersedialah untuk mampus!"
Katakan kepada perkakas-perkakas "Ini untuk kamu juga!
Bayangkan air asid adalah air mawar yang akan membangkitkan semangat
Bayangkan canister adalah perfium yang akan kita pakai menuju syurga
Penjara? Ahh! Negara ini adalah penjara yang besar sebenarnya.
Ayuh turun dan bebaskan semua dari penjara!

kata Ghandi~ dulu mereka abaikan kita, kemudian mereka tertawa, kemudian mereka lawan kita dan akhirnya kita menang!

Thursday, June 23, 2011

selamatkan dewanbahasadanpustaka!



entry ini dirangsang untuk ditulis setelah baca posting Ummu Asiah di blognya. Sila baca di sini. foto-foto adalah dari blog beliau.
Program Selamatkan DBP di Warung Rakyat depan DBP berlangsung pada Rabu malam lalu. Semua yang hadir ialah otai old skool DBP. Mereka ada nilai syahdu dengan DBP. Perjumpaan kali kedua itu sebenarnya hanya mereka-mereka saja tapi peminat dan pencinta bahasa muncul menyokong. Lain kali aku rasa kalau diuar-uarkan mungkin akan menjadi lebih besar kerana sosok-sosok otai ini ramai pengikutnya. Kalau tak baca TukarTiub tak tau ada program ni.
Misi aku datang nak kasik gulai tempoyak petai campur dedaun pucuk ubi, kunyit dan lain2 yang dimasak Sham kepada Isham Rais, Rahmat Haron, Ummu Asiah dan pasangan Zunar/Alin. Korang boleh baca posting Ummu Asiah siapa yang hadir.
Anak muda yang hadir lainnya ialah Rozan dari Angkatan Muda Keadilan,Topeng Perak, Jimadie Malaysiakini, Sidiqin Suara Keadilan, PejuangProDemokrasi dan seorang amoi dari UKM, Katherine yang kebetulan lalu dan ternampak pak Samad terus berhenti dan join. Pyanhabib menjerit dalam smsnya kepadaku nak datang tadak transport. Ceh!

Siapa tau apa DBP sekarang ni? Benda apa DBP? Aku petik beberapa quote dari mereka selain aku yang hanya tahu DBP sebab pernah hantar lauk katering kat sana tahun lepas dan Ummu Asiah yang hanya tahu DBP penerbit buku teks sekolah.

"DBP adalah Johan Jaafar dan Johan Jaafar adalah DBP" - Hishamuddin Rais.
"Bahasa kita telah dialtantuyakan!" - Rahmat Haron. Rahmat sudah kunyah sepiring cili api dan meluahkannya dalam pinggan membentuk huruf DBP.
"Tukar saja yang baru!" - Hasni Abas.
Dan kritikan pedas juga dari Kassin Barajiwa. Semua ni otai.

Aku harap DBP tak jadi macam Pudu Jail, dirobohkan dan akan dinaikkan kondo di tapaknya suatu hari nanti.

Monday, June 20, 2011

di situ, di pintu CM itu...

...dia muncul lagi tahun berikutnya. Di pintu yang sama pada bulan Ramadhan. Dengan t-shirt putih vest coklat dan jeans biru, dia memang ayu. Tersenyum menikmati nyanyian Sidek (Al Fatihah). Cuma kali ini aku bukan lagi budak kilang haram. Aku penuntut kolej. Tapi masih lagi berselipar. Berjeans-tidak bawa dompet, hanya bawa 3 keping syiling emas seringgit dan sekeping kad pengenalan lama yang liat. Cukup untuk belanja pada waktu itu. Tengok wayang kadang-kadang Anis atau Arip belanja. Persis gagak kudung dari neraka, aku terbang senget menghampiri merak nirwana.
"Awak pekerja KFC Taman Pertamakan?" tanya dia.
"Taklah..saya kawan Anis!"
"A'ah ye!"
"Jom join kitorang berbuka puasa?"
Dia mengangguk dan kami berbual-bual sementara menunggu teman-teman lain. 6.30 petang sudah cop tempat duduk di warung lorong katak. Siapa boleh lupa enaknya roti canai, nasi ayam lorong katak sebelum mereka dihambat kemajuan dan McD menawan kawasan itu? (hari ini McD juga lingkup di situ).
Kami menikmati makanan bersama Arip dan Is. Anis, seperti selalu kata nak datang tapi takde. Dating tempat lain kot.
Mungkin tuah lorong katak agaknya, kami pulang ke destinasi yang sama kerana tinggal di kejiranan yang sama. Bas mini 32 selalunya penuh. Dia berdiri di pintu masuk sedang aku di belakang. Berdiri juga. Sesekali kami bertentang mata dan dia melempar senyuman. Senyuman yang meruntuhkan Tursina.
"Apa tu?" tanya aku sewaktu kami turun dari bas dan berjalan pulang. Harus menempuh rumahnya dulu manakala rumah sewa bujangku 300 meter lagi di hadapan.
Dia mengeluarkan pita video dari beg tangannya.
"Tremors. Best ke? Kevin Bacon..." tanya aku.
"Nak pinjam? Ambillah tapi janji mesti pulangkan balik."
Aku tak minat filem itu tapi meminjamnya bermaksud mesti pulangkan semula. Dan peluang berjumpa dia lagi ada.
"ok." Aku mengambilnya sebelum kami berpisah. Dia menunjukkan mana satu rumahnya yang terletak di tingkat dua flat itu.
Aku berjalan pulang ke rumah bujangku dengan pita video di tangan. Menyanyi riang dengan menyemai benih harapan yang mula berbunga. Dan aku lihat bintang-bintang di langit cemburu memandang aku.