Wednesday, September 30, 2009

jangan tulis kalau...

jangan tulis kalau tiada apa nak ditulis..
kalau rasa nak bercakap baik diam
kalau rasa nak diam baik bercakap....


....................................

Tuesday, September 29, 2009

ini diaa.......maskot di Bagan Pinang!

bawa gambar/t-shirt,sepanduk,maskot ini ke sanaaa..

Doraemon strikes back!!

Isa Samad calon BN di Bagan Pinang..
Yahoooooooooo!!! Demi ketuanan politik wang, sokonglah ISA, sokong Isa!!

Pi Bagan, Bagan Pinang
Mati beragan kalau tak menang!

Monday, September 28, 2009

melihat toyol menjelma di tengah padang..

seorang ustaz pernah mengajar kami sewaktu kecil2 bagaimana hendak melihat toyol menjelma di waktu malam. Katanya kami semua kena menunggu bulan terang dan tunggu di tengah padang bola.

Masa tu aku baru 6 tahun dan ada juga kawan-kawanku yang dah darjah 6. Malam itu bulan terang. Lepas maghrib kami ke tengah padang yang memang terletak di dalam kawasan pagar masjid.

"dengan syarat kamu semua kena telanjang bulat!' pesan ustaz siangnya.

Kami bebudak yang lurus dan taat. kami buka pakaian dan letak pakaian kami di tepi kolah masjid.

Ke tengah padanglah kami.

"Kangkang kedua belah kaki dan tunduk. Lihat di celah kangkangmu dan akan kelihatan toyol!" pesan dia ..

Aku yang berumur 6 tahun tak dapat melihat apa-apa, tapi yang darjah 6 tu kata memang jelas nampak lembaga berkepala botak....

"memang orang yang dah masuk jawi je yang nampak, bebudak kecik tak nampak!' kata Ustaz besoknya..

huh!

mengapa aku diseksa?

aku sedang dihasut pawang resdung untuk berubat menggunakan kaedahnya..
pawang resdung sedang mengubatiku..macam bomoh urut yang lain, kalau mengurut angin akan keluar dari bomoh tu yang akan sendawa- begitulah pawang ni yang mengeluarkan lendir hidungku melalui hidungnya.


pawang resdung telah buat demo memasukkan cotton bud sampai hujung lubang hidungnya.Aku gagal, baru 1mm aku dah terbersin macam lembu tercekik lalang..

Sunday, September 27, 2009

Jin Notti filem reformasi?

Terus terang cakaplah, aku dah lama hilang keyakinan terhadap filem Melayu (filem pun ada bangsa?) sejak berakhirnya era Rahim Razali dan Nasir Jani. Jogho dan Kaki Bakar arahan U-Wei adalah filem terakhir yang memberi kesan pada aku selain Amok buah tangan Adman Salleh. Setakat ini Mamat Khalid saja yang mampu menarik aku menonton. Mungkin aku tak adil kerana terlalu menaruh harapan yang tinggi dan akhirnya aku kecewa.
Kerana itulah idea menonton JIN NOTTI tayangan midnite bersama isteri yang tercetus 40 minit sebelum tayangan tidak membekalkan aku harapan apa-apa pun terhadap filem ini. Masih skeptikal.
Cita-citaku cuma satu, sebaik saja habis menonton wayang, kami akan sms heroin filem ni dengan kata-kata, "woit! jadi deejay lagi baguslah dari berlakon" sebagaimana aku sms dia sewaktu nak masuk panggung, "kami tak minat kamu, cuma nak nonton Mawi je!". haha! Fara kawan kami dan saja nak tengok sebagai menghargai dia.

Tapi kejutan demi kejuta aku alami pada sesetengah babak dalam filem ini. Kisahnya lebih kurang begini. Notti (Fara) seekor (seekor ke?) jin yang dihukum 100 tahun lebih kerana melakukan kesalahan berkelakuan baik. Di dunia jin, melakukan kebaikan adalah suatu kesalahan (Kah kah! Ini saja dah cukup pedih) sebagaimana yang dikatakan sebaik2 jin adalah sejahat2 manusia. Dia dijatuhkan hukuman dibuang ke dunia manusia tetapi masih diberi peluang turun ke dunia dulu untuk melakukan kejahatan agar dia dipertimbangkan semula kesalahannya untuk terus kekal di dunia jin.
Tapi dia tetap gagal melakukan kejahatan dan di sinilah berlakunya banyak peristiwa-peristiwa lucu dan akhirnya..macam biasalah..dia sengaja membiarkan dihukum kerana mahu hidup di dunia dan bercinta dengan heronya, Mawi.

Habis cerita..

Apa yang menariknya?
babak mahkamah Jin, ketua hakim Bob Lokman, Adibah Noor, Accapan dan seekor jin tanpa kepala. Si Accapan, juri yang asyik menyebut "correct, correct correct!"..(ingat siapa?) sehingga penonton ketawa mengajuk tagline tersebut yang aku rasa mereka tak tahu pun perkataan keramat tu.

ada lagi?
dialog-dialog seperti, "orang baik memang duduk penjara" (lebih kurang gitulah), "suratkhabar ni dari muka belakang sampai muka belakang semuanya cerita jahat, sukan pun jahat!".."takpelah jadi peguam jahat nanti boleh jadi ketua hakim!"

Untuk menjadi jahat, dia mesti meresap ke dalam tubuh orang jahat juga seperti gangster, minah punk dan salah satu bidang yang jahat ialah menjadi 'peguam'..di mahkamah Jin pun ada "kawtim'..

ada bab melatah tersebut 'hakim jahat'..

Ada banyak lagi yang aku tak sempat perasan dan aku rasa nak tengok lagi untuk mengesan "benda-benda" lain. Kah kah kah! Tulisan ini juga ditulis tanpa homework dan mengetahui siapa penulis skrip dan pengarah. KRU adik beradik boleh diberi pujian kerana berani menerbitkannya. Cubaan yang baik dari Mawi walaupun ada beberapa babak agak kaku dan seakan terlalu memaksa diri tapi okeylah..
Sang heroin tu? Bab nakal tu memang dia okey, bab romantik agak kurang natural, mungkin kerana "chemistry" dia dengan Mawi agak "kureng" tapi cubaan pertama kalian amat membanggakan..boleh bersaing merebut award kerana kepelbagaian karektor. (belanjalah Fara dah puji nih!)

kaki reformasi semua! Tak rugi pi tonton sebagai satu alternatif macam Gedung Kartun..kalau nak beli dvd nanti pun layak dibeli ori punye!

Saturday, September 26, 2009

jagoan..

Ramai yang masih belum mengenali kumpulan Dendang Anak dari Kuala Terengganu ini namun mereka sebenarnya mempunyai pengikut tersendiri. Irama Nusantara yang mereka bawakan cukup unik dan berjiwa. Amat mengejutkan apabila nama mereka sudah mengharum di nusantara ini. Di Indonesia mereka mempunyai pengikut. Bagai sebuah kumpulan 'spesis melayu terakhir' mereka tampil dengan cara yang jarang diterokai. Meyakinkan!
Aku berpeluang menjemput mereka membuat persembahan pada 1 ogos hari itu di Shah Alam dan ternyata ia cukup memberangsangkan. Melihat anak-anak muda berambut gondrong berpakaian serba hitam tenggelam dalam dzauk memainkan instrumen mereka bagai melihat kumpulan tarekat sedang melakukan upacara ritualnya. Gema "La Maujud Illallah!" membuat aku menggigil. Mempunyai beratus koleksi lagu ciptaan sendiri sejak lebih satu dekad penubuhannya, ,mereka jauh dari dunia glamour. Demo tapenya telah menjelajah seluruh nusantara tetapi proses pembikinan album mereka belum siap lagi kerana penghasilan yang cukup teliti dan berkualiti. Agak sukar mencari sebuah kumpulan "total package" yang benar-benar membawa irama nusantara menjalinkan unsur tradisional dan moden, memainkan karya-karya yang menyentuh keindahan dunia melayu dan juga kerohanian.
Aku tak mahu cerita lebih, cuba klik sini dan lihat , dengar, hayati dan rasakan 'rohnya'..
rasakan! Rasakan!


Friday, September 25, 2009

arghhh!!!

seorang lelaki berkulit mendung, pertengahan 40an barangkali menahan aku di sebuah lorong berdekatan pasar pagi tadi.

"Bang, boleh bagi RM2-3 ringgit, saya baru keluar hospital takde duit mahu balik Tanjung Malim".

"Saya bukan tak mahu kasi, bulan lepas saya sudah kasi, awak cerita benda yang sama juga!" kataku lalu beredar.

Tak sampai 10 meter tiba-tiba dia menjerit,"Celaka! Kedekut punya orang, tolong sikit pun tak boleh ka? POOOOKIIIIMAAAAKKK!!".

Entah kenapa panas sungguh perasaan aku, terus aku berlari mendapatkannya dan menghadiahkan sebiji penendang dan 2 penumbuk hingga dia tertomoih ke dalam longkang.

Aku berlalu dan percayalah....hingga saat ini aku tak tenang kerana menyakitkan seseorang hanya kerana perkataan kotor itu.

arghhhh!! Tuhanku...

....

sesekali ditumbuk
nikmatnya sampai ke dada..
alhamdulillah, manisnya!

Thursday, September 24, 2009

lagu raya..

intepretasi Raya berbeza bagi setiap orang. Bagi aku makna raya itu bergantung pada bagaimana individu itu memaknakannya. Lagu raya semakin banyak berkumandang di corong radio dengan berbagai interpretasi, dari dulu hingga kini.
Dari zaman P.Ramlee dengan Dendang Perantau, Suara Takbir mahu pun lagu Miskin Kaya, S.Jibeng dengan Musafir di Aidil Fitri masuklah ke tahun 70an dan 80an dengan lagu Black Dog bone, Hail Amir dan Uji Rashid, M.Nasir Suatu Hari Di Hari Raya, Sudirman, Sheila Majid, Sanisah Huri, Fazidah Joned, Cenderawasih, Ideal Sisters hinggalah ke generasi baru.

Raya selalunya digambarkan dengan kesedihan, kesusahan, terkenang diri di rantauan, sebatang kara, beraya dengan kuih-muih ketupat lontong dan mercun berdentum-dentum. Cahaya di AidilFitri oleh Black Dog Bone cukup merintih hiba seolah-olah dunia ini bagai tiada harapan lagi, malap bagi dirinya yang yatim piatu, juga S.Jibeng yang kesepian. Dendang perantau P.Ramlee cuba menghimbau kenangan dan mencipta suasana syahdu apabila raya menjelang. Saloma menceriakan dan Fazidah Joned dengan suara 'ajaib' (hanya lagu raya ni yang benar2 mempopularkan dirinya) memedihkan jiwa.

Lagu Balik Kampung Sudirman bukanlah lagu raya sebenarnya tapi ia sesuai dan popular di bulan puasa. Fitrah manusia akan kembali kepada yang asal atau cintakan kedamaian pasti akan terkenangkan 'roots' mereka. Yang lain-lain menggambarkan raya berjumpa sanak saudara, ibu bapa anak-anak yang bergembira.

Bagi aku dua lagu M.Nasir menepati pandanganku tentang raya. Suatu Hari di Hari Raya mengupas setiap sudut makna raya pada setiap rangkapnya. Kebesaran Tuhan, kasih sayang terhadap ayah dan ibu. Itulah kebahagiaan. Juga Salam Dunia lebih besar skopnya. Harapan melihat kebenaran dan kedamaian ditegakkan amatlah tinggi sehingga tiada lagi rasa ketakutan melilit jiwa ini.

terserah untuk anda memilih yang mana. Pilihlah mengikut makna raya bagi anda.

Wednesday, September 23, 2009

amende la lu anak ali oih!

aiya cik acan ali! apa kes?
kecoh2.. mentang2lah D.O semua jek suka lu jadi embi, eh lu mau jadi popularka?
sejak bila pulak nak amik kire cakap2 depa konon selcat menghina dan memalukanlah, apalah..hisy!
lu mahu jadi macam ustad yg dulu sebok nak bermainzakarah dengan umno tu? kang gedungkartun lukeh lu mau jadi embi dan gila publisiti kang haa amacam?

dulu kes arak kemain kecoh, bila sultan belasah terus senyap kecut, kalu lu betul ikhlas dgn perjuangan arak tu, jadilah wira seperti nizar yg angkat tangan dan sembah derhaka. Konsisten dan firm!

kalau ada duri dlm daging yg untungkan musuh, susah oo!
kasi buang duri ni..

Tuesday, September 22, 2009

cerita raya di "LEBUH RAYA"


Tahapa ke mimpinya aku dah jadi pengulas filem lak raya-raya ni..hihi!
Haa... ini filem pendek projek budak-budak MIIM (sila google untuk tau IPT apa ni) mengisahkan seorang budak lelaki (lakonan Syafiq) yang suka membantu orang yang terkandas di jalan raya dan lebuh raya. Kadang-kadang dia menjadi mangsa rompakan dan penipuan pula. Ini kisah nak balik raya dan dia membantu ramai orang di lebuh raya. Yang naik motor dan yang berkereta.
Sebenarnya dia penghuni rumah anak-anak yatim sejak kecil dan tiada keluarga untuk berhari raya.
Penggambaran filem ini dilakukan pada bulan puasa tahun lalu.
Apa istimewanya?
Hahaha! Aku berlakon sebagai mat motor tua yang bengong..saja tolong adik2 student nih..

camana nak dapatkan dvd ni?
tah! Aku pun tak tahu, dah lost contact, aku ada 1 salinan je..cuba2lah google you tube kalau ade..

Monday, September 21, 2009

tak ke mana pun kalau nak racist atau samseng!

Edward Norton berikan lakonan yang hebat dalam filem ni. Aku mula meminatinya dalam filem "The Score" bergandingan dengan Robert DeNiro dan arwah Marlon Brando.

Derek (lakonan Norton) budak Skinhead dari Southern California seorang yang racist. Baginya Amerika adalah milik kulit putih. Negro, orang Korea, Mexico dan pendatang lain menyusahkan negara dan merampas hak-hak mereka. dasar sempadan baginya melucukan dan betapa negara menghabiskan wang yang banyak untuk pendatang. Dia dihukum penjara kerana membunuh negro yang cuba mencuri keretanya. Sewaktu polis menangkapnya dia hanya tersenyum bangga membunuh 'nigger' dan adiknya Danny (Edward Furlong- budak yang diburu Terminator dalam filem Terminator 2) yang menyaksikan segala aktiviti abangnya hingga abangnya ditangkap telah menganggap abangnya seorang wira.

Tugas Derek menjadi berat apabila dia dibebaskan kerana adiknya juga telah mula menceburkan diri dengan kumpulannya dahulu. Dia berusaha menarik adiknya keluar dari situ. Sewaktu pergaduhan dengan ketua kumpulan tersebut, adiknya memarahinya lalu diceritakan pengalamannya sewaktu di dalam penjara. Siapakah 'nigger' jika di dalam penjara, siapa kawan dan lawan. Dia berkawan dengan seorang negro di dalam penjara.

Cerita ini menarik dan penuh falsafah. Katanya jangan bermusuh dan kita semua berkawan. Jadilah kawan.
"life is too short to pissed off all the time. it's not worth it"..

babak yang cukup mengesankan- sekeras mana pun taiko ni, apabila ditangkap beramai-ramai dan diliwat, dia menangis juga dan semangatnya luntur. barangkali dia kena belajar dari Saiful Bukhari yang boleh tersenyum mengangkat tangan ketika report polis diliwat Anwar.Kah kah kah!

(ulasan pendek je raya-raya ni)

terima kasih Tukar Tiub, Pyanhabib dan tuan/puan!



Atas sikap memandai-mandai Pyanhabib yang mencucuk Hishamuddin Rais si Tukar Tiub mengumumkan anak aku di wad (siap bersajak lagi, ceh! Macamlah aku besor sangat) dan memandai2 bubuh no: akaun isteri aku, maka melalui blog tukar tiub saja, penderma2 telah menyumbangkan wang sehingga jumlah terkumpul hampir mencecah RM3000.
Dengan duit itu dapatlah kami membeli mesin penyedut kahak yang lama kami impi2kan untuk kemudahan anak-anak kami yang tak pandai membuang hingus dan kahaknya sendiri, sampai kadang2 sesak nafas. Mesin ini bernilai RM1200 seunit. Sepatutnya nak dapatkan yang harga RM2700 tapi tiada stok. Yang tu boleh guna bateri dan boleh dibawa ke mana2..
Duit yang lebih dapatlah kami membeli kereta sorong baru untuk kedua-dua mereka yang semakin membesar yang lebih selesa tentu harganya juga "selesa" ye tak? tinjauan mendapati seunit antara RM450-500. Kereta sorong yang dah lama berkhidmat itu sudah uzur,
Dapatlah mereka beraya seperti gambar 1Malaysia di atas..
Terima kasih kepada tuan/puan yang menderma. Ada yang derma sampai RM500. Siapa ya?

Terima kasih Tukartiub dan Pyanhabib! Sumpah gua tak pakai duit tu beli baju raya gua! Gua guna duit untung jual Gedung Kartun yang laku gile tuh!

Sunday, September 20, 2009

famili besar 1 syawal

adik beradik dan pakcik2 di 1 syawal..kenal tak korang?

bersama YB angah dan YB acu..kah3

Friday, September 18, 2009

jangan menipu!


SEPATUTNYA tulisan ini diletakkan di tempat2 orang politik menempel!

Thursday, September 17, 2009

to be or not to be..

nakbalikkampungtaknak
nakbalikkampungtaknak
nakbalikkampungtaknak

Wednesday, September 16, 2009

jangan tambah garam!!

Dolahjones tak bagi tulis sedih2 dan banyak sms aku terima mengatakan menangis baca entry aku pasal bibik tu..okeylah!
dua hari lepas, budak mastika telefon nak mintak buat story pasal family aku. editor mereka shahidan jaafar (tak jauh dari rumah aku) yang suruh cari aku. mungkin lepas raya punye isu kot..(dulu 80-90an aku baca majalah ni tapi bile asyik dok cerite hantu je sekarang takdelah..)

budak tu tanya aku apakah yang susah bile ade anak yg cacat?
aku jawab sebesar kuman pun tadak susah..

ada tak macam2 orang cakap?
ha..itulah yang susah, melayan cakap orang dan fitnah yang datang bukan dari jauh tapi dari kaum kerabat sendiri inilah kesusahan yang amat akbar. nak tolong jangan harap, lagi ngutuk adalah! kalu kite menangis sedih lagi depa seronok..

berikut adalah beberapa dialog yang pernah aku lafazkan..

situasi 1 (dialog aku dengan bekas boss tempat kerja)

boss: saya harap en.kulup tidaklah membawa masalah peribadi ke tempat kerja seperti panas baran dan bertindak tak rasional disebabkan masalah anak cacat ni ya?

aku: saya sedar boss! Saya tahu ini semua dugaan, kataku sambil menghentak meja. Sejak itu dia ada sedikit fobia dengan aku..(ceh! orang saja melawak je,dia gelabah apahal?)

situasi 2 (dialog dengan tah sapa-sapa yang jumpa tepi jalan)

X: mungkin anak awak ni kenan kot? sedara saya pun ada juga anak camni (dialog camni mesti ada) tapi sebab dia kenan ular!
aku : habis anak saya kenan apa? babi ke monyet? cakaple terus terang, saya tak tahu..
X:( muka mesti merah padam punye..)

situasi 3 (dialog dgn ramai org dan pernah juga ada kaunselor datang tanpa diundang)

X: sabarlah en.kulup.Ini semua dugaan Tuhan. Ada hikmah di sebaliknya dan Allah akan bagi pahala pada encik nanti.

aku: Ya! Terima kasih kerana faham, boleh tak saya namakan awak sebagai penjaga mereka jika saya dan isteri saya mati? sebab jaga mereka ada hikmah dan banyak pahala!'
X: {menggelabah beruk}

situasi 3 (dengan otai2 yg macam pandai)

X: mungkin anak ni jadi begini disebabkan saka. tok nenek kite kadang2 mungkin ada ilmu yg bukan bukan.kita mana tau!
aku: kalau tak tahu jangan banyak cakap! saya keturunan ulama, moyang saya paling atas seorang nabi..Nabi Adam!
X: (muka macam tikus basah)

**maaf kawan2..jawapan2 dari aku bukanlah kerana aku sombong atau angkuh, cuma lain kali berhati2 dan berfikirlah sebelum berkata supaya orang tak tersinggung. Dan satu lagi nak bagitahu dengan bongkaknya "laukku dah cukup masin, tak perlu engkau tambah garam!".

Tuesday, September 15, 2009

yang ajaib,unik dan menyampah di hari Raya..

yang ajaib bila hari raya
semua warga berpusu-pusu nak balik kampung
jangan tak bagi cuti harus ada yang meraung
walhal selalu juga balik kampung bulan-bulan biasa
jumpa juga watak-watak yang sama
itulah ajaibnya raya

menyampahnya tv dah mula tayang gelagat penyanyi
berpakaian berwarna-warni bertandak menari
kononnya itulah pengertian Eidulfitri yang suci

pagi raya bila terdengar takbir di surau sementara kaki melangkah menuju ke arahnya
nikmat dan syahdu usah kau cerita
di situlah tempat kujumpa kawan mandi sungai bersama
hari ini mereka bersolat membawa anak yang menyerupai rupa mereka
dulu-dulu waktu kami berbasikal berlumba-lumba

lepas solat sejak 20 tahun lalu tradisi ini tak pernah pudar
makan tosai dan capati di rumah Hasraf
dah jadi budaya dan ritual kami begitu
hari ini Hasraf kaya raya
menjadi ketua pemuda parti ketuanan
sedang ibu bapanya mamak apatah lagi dia
tapi uniknya kami akrab bak adik abang
kalau aku tak datang dia kan bertanya-tanya
berpesan-pesan melalui kawan dan saudara
hari raya
menyatukan kami
tetap saudara biar berlainan hati

kemenangan jadah mende?

Selalunya hari raya dikatakan hari kemenangan umat islam yg telah berjaya berlapar dahaga berpuasa pada ramadhan, hari itu mesti diraikan..
Puasa hanya berlapar dahaga? Bagaimana mereka yang berlapar dahaga berpuasa dari makan, tapi masih laparkan kuasa dan nama, dahagakan harta dan pangkat? Kemenangan jadah hapa yang diraikan? Kemenangan pada sebuah kekenyangan? kalau kenyang mengapa masih terus meratah?

..kalau puasa itu yang dimaksudkan, biarlah aku tak berbuka sampai mati!
Amin!

Saturday, September 12, 2009

terima kasih tuan dan nyonya!

seniman pyanhabib dan isteri, abdullah jones dan isteri antara pengunjung gerai karnival kami. Oleh kerana mereka miskin hina dan tak mampu membeli baju di gerai kami maka mereka hanya meninjau ambil bau saja. Jangan harap aku nak sedekah! hahaha!

Terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan kawan-kawan yang menghulurkan sokongan dan simpati melalui blog, facebook mahupun sms dan telefon. Aku rasa beruntung kerana memperolehi sahabat melalui alam maya ini. Nak bariskan nama-nama pun takut ada yang tertinggal.
Yang berkunjung ke gerai seperti seniman Nikbinjidan, blogger "Aku", kartunis Kidol,
Sang Kegelapan. Kak Fatma yang suaminya bekas tahanan ISA, Shahrial (kini walaupun dibebaskan tetapi dihantar ke Indonesia- bebas tapi tetap terpisah) dan anak-anak turut berkunjung. Mereka akan beraya di Indonesia. Tahun lepas PKR Serdang yang diketuai En. Hamidi Hassan dan isterinya Kak Asiah telah mengatur kutipan sumbangan menaja mereka ke Indonesia. Urusan teksi ke KLIA diatur oleh aktivis reformasi saudara Nasir Isa.
Inilah nilai sahabat!
Ustaz Dr.Badrulamin sekeluarga, Zunar dan isteri Alin, kawan2 Gedung Kartun seperti Jonos, sdr Yusoff Bachik yang bersolat hajat. Gedek dan keluarga. Lee Learn Eng yang tak pernah mengira fahaman agama.
Cis! Nak bariskan nama pengomen2 pun ramai, anda tahu siapa anda. Terima kasih beb!

Friday, September 11, 2009

hari ini dan semalam- bukan J.Mizan

hari ni dah 4 hari adik masuk wad 5A Hospital Serdang, kakak dah 5 hari. Kedua-dua kena sesak nafas. Kakak semakin ok semalam manakala ada sedikit pergaduhan antara aku dan doktor pasal adik. Mereka kata adik nampak teruk dan perlu dimasukkan tiub ke hidung untuk membolehkan dia menyusu. Adik masih tak bangun2. Aku menolak memasukkan tiub kerana kataku x-ray menunjukkan paru2 adik ok, dia cuma letih sebab sebelum ini teruk. Doktor perempuan pakar ni aku dah kenal tetapi dalam menegakkan pendirian masing2 kami bertekak sedikit dan banyak juga bergaduh menggunakan bahasa mata. Tenung menenung!
Aku bukan menolak kepandaian mereka tetapi akhirnya aku sendiri mesti membuat pilihan yang mana terbaik untuk kakak. Mereka akur untuk tak masukkan tiub tetapi mengingatkan risiko bahaya kalau adik tersedak ketika aku menyuapnya makan. Dia mungkin akan parah lagi. Isteriku datang dengan penuh ilham. Tak boleh menyusu ada cara lain. Dibelinya nestum dan adik mampu makan banyak, boleh buka mata dan mula menangis. sedikit tersenyum. Adik memang gitu, walau ada sesaat peluang tersenyum dia akan senyum. Macam ibu dia..
Kakak banyak mengikut aku, suka memandang jauh seolah2 berfikir.

Ronda sekejap kat lobi hospital aku ternampak sebuah tabloid yang belum aku nampak.(gambar atas)..baru kot! Ya! Aku faham tajuk headline nya bermaksud baik untuk menunjukkan kehebatan Al Quran tetapi sebagai "kitab ramalan" aku kurang setuju kerana ramalan adalah suatu yang samar dan sukar ditentukan kesahihannya tetapi kitab petunjuk kebenaran aku setuju. Kalau dia tulis bagi menggambarkan kitab ini memang tiada keraguan kesahihannya lebih 'menangkap' aku rasa!
Kosmo! ni haprak betul! Bulan Ramadhan dok cerita tahyul dan syirik. Mempercayai kekeramatan pokok yang boleh menimbulkan mudharat melebihi kuasa Allah. Makhluk yang lebih rendah martabat dari manusia diperbesar2kan. KDN patut rampas!

Aku, Jonos dan Oly di Brickfield beberapa hari sebelum tu memprotes rampasan Gedung Kartun oleh KDN

aku bukanlah superman..

ramai orang bertanya pada aku, bagaimana aku boleh kuat mempunyai dua anak cacat terlantar? Tak pernahkah aku menangis?

Ini jawapan aku,
TIDAK? Aku tak pernah menangis kerana anak aku CACAT. Sebab aku tahu hakikat dan aku yang mengkehendakinya begitu. Tiada siapa menyuruh aku menyintai seorang wanita, mengahwininya melainkan aku sendiri. Dari isteri aku mahukan anak-anak yang soleh yang kalau boleh terus ke syurga tanpa hisab. Itu doa yang aku baca dan isteriku baca sebaik saja dia dapat merasa roh "Annisa dan An-Nur" masuk ke dalam janin seusia kandungan 4 bulan. Kami yang mengkehendakinya dan Allah kurniakan kerana ia sayang pada aku. kata Pyanhabib selalu, "Tuhan sayang Kulup! Tuhan sayang Kulup!". Ya! Dia makbulkan sebagai amanah dan aku pikul amanah ini. Sebagai bapa kepada 2 anak yang bakal ke syurga. Maksud aku.. di dalam rumahku sendiri sudah ada 2 cahaya syurga yang memang terjamin ke sana. Tugas aku adalah untuk melepaskan diriku sama mengiringinya ke sana.

Kau langsung tak pernah menangis?
hahahaha!!

Aku bukanlah superman aku juga bisa nangis....

aku hanya menangis jikalau aku dapat merasa anak2 aku disayangi orang lain dengan ikhlas. Aku pernah mengintai bibik, tanpa dia sedari yang aku memerhatikannya aku dengar dia mencium bertalu-talu anak2 aku sambil berkata, "sayang busyuk sayang busyuk! Biar saya jaga kamu, biar saya jaga kamu!"..
Itu bisa bikin aku menangis kerana ada juga ahli keluarga atau kerabat-kerbat aku yang jangan kata buat begitu, sentuh pun tak pernah sepanjang 6-8 tahun usia mereka.
Terima kasih bibik, terima kasih Tuhan!

(entry ini dibayangkan sebelum ditype pada malam Al Qadar. Macamana aku tahu malam tadi malam itu?..rahsia!)

Saturday, September 5, 2009

tumbuk rusuk kiri!

Puspa, lawyer kecik molek yang selalu kena angkut ke lokap setiap kali demo bertanya dirinya tulang rusuk siapa?
nota: dikatakan Hawa dijadikan dari rusuk kiri Adam, maka setiap isteri kepada suami dalam dunia ini adalah tulang rusuk sang lelaki yang hilang sejak lahir.

Aku tanya dia: Macamana orang yang kahwin 2,3 atau lebih? Banyak benorlah tulang rusuk dia?
patutlah aku rasa tulang rusuk aku masih ada kekosongan yang belum diisi..
Hahahaha!!!

Ini Qias yang cukup halus. Betapa lelaki (Adam) itu amat perlukan Hawa sehinggakan tanpa hawa bagai tidak lengkap jasad dan roh. Sebab itu ia seperti rusuk, dan kenapa rusuk kiri kerana ia hampir dengan jantung dan hati, betapa hawa juga mahukan dirinya selalu dekat di hati adam. Saling memerlukan.
Hawa juga sifatnya seperti tulang rusuk, untuk membentuknya jangan terlalu kasar kerana ia akan patah akan tetapi jika terlalu lembut akan menyakitkan.
Perlu ada fatanah dalam membentuk hawa apatah lagi adam sebagai ketua keluarga. Jangan sampai digoda makan buah khuldi, kalau boleh menjeritlah minta tolong seperti entry sebelum ini.

p/s tajuk di atas takde kena mengena,tapi nak tanya kenapa perumpamaan tumbuk rusuk digunakan untuk "rasuah" selain makan suap?

Friday, September 4, 2009

gempar di bulan pose!

"Tolongg!! Tolongg!!"..
Ceh! Perut tengah lapar tengah hari buta ni ada pulak yang menjerit minta tolong. Bergegas aku capai golok dan turun ke tingkat bawah, rumah jiran yang mana tak pasti. Memang semenjak dua menjak ni apartment aku kecoh dengan pecah rumah. Semalam jiran sebelah sempat menjerit sebab nampak kelibat manusia dok tengah memanjat nak masuk rumah dia. Penyidai kain mudah alih aku pun kena rembat bulan lepas. Hampeh betul! Nak sidai kain pun korang pakai penyidai curi ka?

Sampai tingkat bawah Kak Norma mengisyaratkan aku diam dan dia menunjukkan ke rumah tingkat yang bawah lagi.
"Syy! Takde apa-apa, laki bini bergaduh! Tak payah campur," katanya.

Aku pun belahh! Tapi laki bini gaduh apasal pulak sang suami yang menjerit mintak tolong?
...........:)

siapa 'special'?

adik belasah coklat..

kakak minum choc shake..
Dah lama tak bawak anak aku berjalan-jalan. 2 malam lepas kami berjalan-jalan sambil makan2 selepas berbuka. (bukan malam tadi, malam tadi kami belasah sate bersama-sama Abib,Pyanhabib dan Abdullah Jones, masing2 bawak bini dan berlaku sopan depan bini. Kidol dan Rodzi blah awal).
Sewaktu duduk minum, ada seorang makcik menitiskan air mata tengok dua anak aku yang disorong dengan kerusi roda..
Dia kata," kamu berdua ada dua anak istimewa. Saya pun ada. " Dengan linangan air mata dia ceritakan seorang anak lelakinya yang berusia 20an menjadi pondan yang suka bersolek. Sejak kecil kecenderungannya dah begitu dan tak boleh dikawal. "Suami kakak, kakak dan anak2 yang lain cukup tertekan dan malu dengan jiran sekeliling. Kering air mata akak ni dik! Susah kami nak terima kenyataan, cuba bayangkan ia terjadi dalam keluarga adik sendiri!"
Aku tak mahu hina pondan, aku cuma sampaikan pandangan seorang ibu. Menangis sungguh dia. Tekanannya sedikit mengendur bila emaknya berkata nak buat apa lagi? Nak bunuh anak kau?

"Anak istimewa kau sekurang-kurangnya tak lukakan perasaan!" sambungnya lagi.
Aku terasa kopi yang kuminum kelat dan amat pahit!

Wednesday, September 2, 2009

Siapa mereka? (hari itu setahun lalu..)

"Pak! Mari pak! Belum dikucup lagi ya?" tanya budak Indonesia itu. Aku tidaklah berhajat untuk mengucup batu hitam itu cuma sekadar ingin melihat apa sebenarnya. Sudah beberapa kali aku cuba mendekatinya, tapi tak dapat membolosi ribuan yang lainnya tak kira lelaki atau perempuan. walaupun dapat melihat dengan jelas lebih kurang 1 meter tapi untuk menyentuhnya memang tak dapat.
Pagi itu sebelum subuh aku cuba tawaf dan mendekatinya tapi gagal.
"Mari pak! Ikut saya!" katanya. Aku memeluk pinggangnya dari belakang dan anak muda kurus ini memang licik, entah macamana tiba-tiba dia humbankan aku ke depan dan tau-tau muka aku sudah berdepan dengan batu hitam itu. Bagai terasa tiada sesiapa di sekeliling aku pun menciumnya, tanpa harapan apa-apa. dalam sepuluh saat aku terasa ditarik semula keluar dari kumpulan mereka yang sedang berjuang untuk mengucupnya. Ada yang bergayut di pintu, ada yang menangis mengusap-usap kain kaabah.

Anak muda ini rupanya bertiga. Mereka mengiring aku ke suatu sudut. Salah seorang dari mereka menghulurkan secawan air zam-zam. Aku minum.
"Ya pak! kami di sini belajar mengaji. Sudilah bapak menderma kepada kami sebagai upah membawa bapak mengucup hajarulaswad tadi!' kata budak kurus tadi. Aku mengeluarkan 20 riyal dari beg kecil yang selalu dipakai jemaah.
"Kami berempat bapak! Enggak cukup itu,biasanya kurang-kurang 50 riyal". katanya..
"saya bukan orang senang, ini saja yang saya mampu!' kataku dengan baik.
"Enggak cukup pak! takkan sedekah pun enggak mahu?" kata yang seorang lagi.
"ya! Tapi itu yang saya mampu dan ikhlas. Dalam bersedekah, pemberi harus ikhlas dan penerima juga harus bersyukur!' kataku.

"Simpan saja duit bapak itu!' kata lelaki kedua tadi. Dia bangun dengan mukanya yang cukup bengis dan berlalu bersama budak kurus tadi. Darah aku menyirap, aku hanya terdiam apabila melihat kaabah betul di hadapanku. Ah! kalau di kedai kopi mungkin bisa bergaduh.
"Saya ikhlas memberi tetapi tidaklah banyak, tetapi mengapa mereka marah?" tanyaku kepada kawan yang seorang lagi. Mukanya agak tenang dan kelihatan agak baik sedikit.

"Kami terima sedekah bapak itu tetapi jika bapak rasa tak mampu kami sedekahkan semula wang itu kepada bapak yang lebih memerlukan!" kata pemuda ini yang kemudiannya berlalu.

Kali ini aku rasa bagai ditampar. Kemudiannya aku mencari-cari mereka di tengah lautan manusia yang sedang bertawaf. Tak jumpa...

Siapa mereka?

Tuesday, September 1, 2009

penafian Zunar

Monday, August 31, 2009

KENYATAAN ZUNAR: Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan KDN
1. Merujuk Berita Malaysiakini bertarikh 29 Ogos yang memetik kenyataan Ketua Komunikasi Korporat KDN Jamilah Taib bahawa Sepakat Efektif Sdn Bhd, iaitu syarikat milik saya akan didakwa kerana menerbitkan sebuah penerbitan tanpa permit penerbitan.
Menurut beliau, Sepakat Efektif didakwa di bawah Seksyen 5(2)(b) Akta Mesin Cetak 1984 kerana mengedarkan majalah yang tiada permit...Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak lebih daripada tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.---Laporan itu dipetik
Kenyatan itu merujuk kepada penerbitan sebuah majalah kartun berjudul Gedung Kartun.
2. Sebagai rekod, sebelum majalah ini diterbitkan, saya telah membuat permohonan pada 30 Jun kepada KDN untuk mendapatkan permit dan telah mematuhi semua peraturan yang disyaratkan.
Pada 3 Ogos, syarikat kami telah menghubungi pegawai KDN dan dimaklumkan permit telah lulus dan beliau meminta untuk mengambil surat penerbitan pada 14 Ogos. Pada 14 Ogos, kami pergi ke KDN untuk mengambil surat, walau bagaimana pun dimaklumkan surat belum siap.
Sehubungan itu, saya telah meminta agar nombor permit itu diberi terlebih dahulu supaya kami dapat menjalankan kerja-kerja produksi, dengan anggapan bahawa apabila majalah ini dicetak dan diedarkan sepuluh hari selepas itu, sudah pasti surat rasmi permit itu akan tiba. Dan nombor itu telah diberi oleh pegawai KDN.
Dengan itu saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa Gedung Kartun diterbitkan dengan menggunakan permit palsu. Malahan KDN telah membuat tuduhan serius yang membawa implikasi bahawa permit bernombor PP8541/08/2010(0282145) ISSN 1688-5398 adalah rekayasa saya?
3. Saya tidak faham kenapa surat rasmi mengenai kelulusan permit Gedung Kartun sampai sekarang belum dikeluarkan oleh pihak KDN, sebaliknya mereka melakukan rampasan dan mahu mendakwa saya ke mahkamah. Bukanlah lebih baik dikeluarkan surat kepada saya dan semua masalah selesai?
4. Kerana permit penerbitan diluluskan menteri, saya akan menulis surat untuk bertemu sendiri dengan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk mendapatkan penjelasan apakah benar beliau tidak pernah pada atau sebelum 14 Ogos
meluluskan permit dengan nombor PP8541/08/2010(0282145) ISSN 1688-5398 untuk majalah Gedung Kartun?
5. Saya juga ingin bertanya, kenapa memperolehi permit penerbitan menjadi semakin sukar? Apakah ini yang dimaksudkan oleh Perdana Menteri bahawa media akan lebih bebas di bawah pemerintahannya? Apakah dibawah 1Malaysia, hak berkarya dan suara kartunis akan lebih dicengkam?
6. Jika melukis kartun boleh dipenjara tiga tahun, bayangkan bentuk kebebasan media dan kebebasan bersuara di negara kita.
7. Saya juga mendesak supaya akta lapuk, Akta Mesin Cetak 1948 dihapuskan.
Zunar
(Political cartoonist, Gedung Kartun Editor
1 September 2009
--Pertahankan hak kartunis