Thursday, May 15, 2014

molotov Koktel - Adam Adli




1
Suatu hari tayar kereta Adam pancit dalam kembara jelajah tanahair waktu-waktu berkempen sebelum PRU13 lalu. Dalam kebuntuan itu entah tuah apa tiba-tiba terjumpa sebiji tayar di celah-celah semak tepi jalan. Diperiksa, masih baik. Dicuba-cuba pasang, padan dan dapat meneruskan perjalanan. Hingga hari ini 'hadiah' misteri tayar tepi jalan itu meninggalkan seribu tanda tanya dalam siri perjuangan. (perawi asal Hadi Khalid)

2
Kami keletihan untuk memandu pulang ke Kuala Lumpur selepas tamat menyertai program seni melawan Pra PRU13 di Benta, Kuala Lipis. Dengan duit sekadar mampu kami menyewa sebuah bilik hotel dua katil 'single' untuk berehat sebelum pulang keesokan harinya. Sebuah katil cukup untuk Sham dan An-Nur. Sebuah lagi hanya muat untuk Hadi Khalid. Aku dan Adam mungkin baring berehat atas lantai sahaja. Adam keluar menghilangkan diri dan selang beberapa minit kemudian dia muncul mengheret dua buah tilam dan beberapa biji bantal. Jangan tanya, guna saja jawabnya apabila kami menyoal bagaimana dia berurusan mendapatkannya secara percuma. Itu cara dia menyelesaikan masalah kami semua.

Dua kisah di atas tiada di dalam buku Molotov Koktel tulisannya tetapi ada beberapa lagi kisah misteri dan menarik ditulisnya selain beberapa kumpulan
artikel berbentuk pandangan dan luahan penuh bernas. Seperti kata Fazallah Pit penyunting buku ini, "Ada anak muda suka beraksi. Ada gemar menulis. Adam anak muda yang suka beraksi dan mampu menulis. Hubungi kami jika mahu dapatkan buku tulisannya.