Sunday, June 22, 2014

Anak OKU dibiar ibu?

Terjadinya peristiwa anak OKU ditemui terbiar itu seperti kena waktunya dengan saya yang sedang berusaha membuat sebuah drama-dOKUmentari bertajuk 'Anur Nak Sekolah'. Mungkin ini hikmah untuk memberi jalan mudah memahami mesej yang cuba saya usahakan. Ini bukan kisah An-Nur anak saya yang terlantar ini seorang sahaja tetapi untuk semua yang sepertinya. Seperti kisah catatan saya dalam buku Surat Untuk Anak yang bukan semata-mata kisah kami saja tetapi bak sebuah penanda aras yang jika dilihat bagaimana kami menjalani kehidupan, bandingkan pula bagaimana dengan mereka yang lebih sukar dan daif dari kami? Bagaimana tekanan ibu bapa anak-anak ini bergelut untuk hidup membesarkan anak ini dan anak lain, pasangan lari, ugutan majikan jika bercuti anak sakit, hasad dengki dan diskriminasi rakan sekerja, dipulau keluarga dan sanak-saudara serta kesihatan tubuh fizikal dan mental sendiri. Seribu manusia seribu ragamnya.
Di dalam buku, di filem ini walaupun kami paparkan seperti sebuah 'cerita' tetapi di situlah tersimpan maksud yang selalu kami laung-laungkan iaitu hak mendapat pendidikan seperti anak-anak lain supaya potensi dicungkil mengikut keupayaan mereka. Apa yang dimaksudkan dengan 'hak' dalam Akta Kanak-Kanak, Dasar Kanak-Kanak Negara dan apa pula Dasar berorientasikan kekeluargaan (Family Oriented) yang diamalkan di sesetengah negara dan boleh dipraktikkan kita di sini selari dengan konsep Masyarakat Penyayang atau pun Negara Berkebajikan. Masalah di rumah mesti terlebih dahulu diselesaikan. Selagi masalah di dalam rumah tidak selesai, bagaimana hendak menyumbang kepada pembangunan negara?
Harap insiden ini dan apa yang telah kami cuba sampaikan melalui rencana, buku, forum, filem atau apa sahaja tentang perlunya anak-anak OKU Terlantar ini menikmati pendidikan yang sistematik dapat dihadami masyarakat seterusnya dan tidak berhenti dengan hanya setakat mengutuk tetapi melanjutkan sokongan terhadap usaha membantu golongan seperti mereka yang boleh dianggarkan setiap seribu kelahiran, dua bayi berkemungkinan mengalami kecacatan Cerebral Palsy (Lumpuh Otak) ini.





Saturday, June 14, 2014

Anur Nak Sekolah

Aku telah meyakinkan juri Amir Muhammad, Lara Ariffin dan Ida Nerina untuk layak menerima geran RM6000 dari Pusat Komas dengan kerjasama Penang Institute ketika membentangkan projek Drama-dOKUmentari bertajuk 'Anur Nak Sekolah' mengisahkan anak OKU Terlantar Cerebral Palsy tidak diberi peluang menikmati pendidikan sebagaimana kanak-kanak lain.
Drama-dOKUmentari ini akan ditayangkan di Freedom Film Festival pada September nanti.