Tuesday, October 13, 2015

Siapa lagi berpeluk selain Hadi dan Ibrahim?

Saya adalah seorang yang tidak boleh  menerima sesuatu perkara dengan mudah dan cepat pula membenarkan sesuatu perkara walaupun ia datang dari sumber yang kita dokong . Atas sebab itulah saya selalu disingkirkan dan menyingkir dalam sesebuah organisasi walaupun ada yang saya sendiri pengasas awalnya. Ini kerana saya perlu melihat adil dan rasional tentang duduk sesuatu perkara sebelum mengikut setuju  dengan sesuatu yang dihidangkan.
Semalam hangat tersiar di media sama ada arus perdana mahupun alternatif foto Presiden PAS dan Presiden NGO PERKASA berpeluk dan kebanyakan media ini melaporkan kedua pihak setuju membentuk sebuah kerjasama. Saya melihat ia digambarkan oleh media bahawa berpeluknya Hadi Awang dan Ibrahim Ali adalah simbol berpadunya dua pertubuhan mewakili orang Melayu (PERKASA) dan Islam (dalam PAS) yang selama ini sangat berbeza fahaman dan ideologi. Seakan kedua pertubuhan ini bersetuju bergabung dalam kerja politik. Saya tidaklah kisah. Biasalah NGO bergabung dengan parti politik malah penggabungan dua parti politik menjadi satu pun sudah biasa. Cuma keliru kerana akaun facebook rasmi PAS melaporkan mereka bersetuju bersama PERKASA dalam beberapa isu (rujuk foto). Yang mana satu? Bergabung menjadi satu atau bersama dalam sesuatu isu sahaja? Jika bergabung terus pun saya tidak kisah tetapi jika bersetuju bersama dalam sesuatu isu ini menyamai konsep Konsensus Nasional anjuran Anwar Ibrahim dahulu. Kita boleh rujuk perutusan Hari Kemerdekaan Anwar Ibrahim dahulu mengenai Konsensus Nasional yang dipersetujui bersama oleh pimpinan PAS yang kini keluar menubuhkan Parti Amanah Negara. Konsensus Nasional menyarankan boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja sama ada pihak kerajaan atau pembangkang dalam mencari penyelesaian yang baik sesuatu isu. Boleh rujuk sedikit petikan dari blog Khalid Samad di foto. Maknanya dalam sesuatu perkara untuk mencari kebaikan, boleh jugalah berpeluk dengan musuh.
Jika benarlah PAS dan PERKASA berpeluk dengan semangat yang sama seperti Konsensus Nasional, ia biasa sahajalah. Tetapi bagaimana pula dengan pelukan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor dalam isu pembinaan lebuhraya EKVE yang memusnahkan hutan serta kawasan tadahan air dan mempunyai lima buah tol? Ironinya manifesto pilihanraya dan Buku Jingga Pakatan Rakyat menolak tol dan beberapa pimpinan parti dari Pakatan Rakyat sebelum ini lantang memprotes pembinaan lebuhraya KIDEX. Mengapa membisu atau tidak nampak pelukan di belakang lensa kamera kot? Tambah ironi lagi bila ada ahli parlimen Parti Keadilan Rakyat menjadi Director Of Board dalam syarikat konsesi lebuh raya sedangkan manifesto pilihanraya Pakatan Rakyat ke arah mahu hapuskan tol. Ini pelukan juga bukan? Apakah pelukan Hadi Awang dan Ibrahim Ali tidak sama dengan 'pelukan ghaib' politikus pembangkang dengan Dr Mahathir yang menibai Perdana Menteri Najib dalam isu 1MDB. Mereka setuju berpeluk dengan Mahathir walhal Mahathir jugalah yang mengajar semua kebejatan ini? Bagaimana pula pelukan dengan Muhammad Taib yang menyertai PAS dulu dan kini masuk pula PKR? Bolehkah berpeluk sedangkan dulu merekalah yang membongkar rasuah bekas Menteri Besar Selangor itu?
Sebab itulah saya masih terus memikirkan dan mencari makna sebuah pelukan. Apakah apabila melihat sebuah pelukan anda berasa gembira, marah atau cemburu?
Dan yang mana anda pilih. Pelukan terang-terang, pelukan ghaib, berpeluk di depan atau berpeluk di belakang? Sedapkah berpeluk di dalam gelap?

Monday, October 5, 2015

Hal biasa atau kita sedang dirobotkan?


"Welcomeeee..."
Sambut pelayan restoran francais itu dengan nada berlagu mesra disambut oleh rakan pelayan yang lain. Semua pelanggan yang melangkah masuk akan disambut dengan ucapan mesra berlagu seperti itu. Sama.
"Hai selamat datang...." sambut pekerja di meja 'cashier' apabila aku masuk ke sebuah dari berpuluh atau beratus buah kedai pasar mini francais 24 jam itu. Begitu juga apabila pelanggan lain masuk, disapa mesra dengan ucapan aluan seperti itu juga.
"Hai selamat datang. Makan sini atau bungkus?" Tanya pelayan restoran 'fast-food' francais dari luar negara itu. "Terima kasih. Sila datang lagi. Hai selamat datang. Makan sini atau bungkus?" Ucap dia sebaik selesai urusan dan terus bertanya kepada pelanggan seterusnya. Seperti yang ditanyakan kepada pelanggan-pelanggan sebelumnya. Sama.
Aku pasti anda semua biasa dengan suasana seperti ini. Nampak seperti sungguh mesra dan sangat menyenangkan bukan? Tetapi tidak bagi aku. Ah! Mungkin anda akan berkata aku terlalu mengambil serius tentang perkara remeh-temeh. Kenapa  pula aku tak senang? Kerana kita bukan robot, kita manusia yang mempunyai sentuhan kasih dan peribadi untuk mengikat antara satu sama lain. Kemesraan tidak boleh diprogram atau dirobotkan dengan satu kaedah yang sama dan digunapakai kepada semua orang. Yang penting keikhlasan. Dari keikhlasan terbit perasaan mesra sebenar dan saling menghormati, menghargai. Robot manusia ini telah diberikan buku panduan (manual) yang tidak boleh mereka ubah. Apakah mereka tidak boleh mengubah, tak berani mengubah atau terlalu sibuk sangat? "Hai selamat datang" atau "Welcomeeee" ini diucapkan kepada kakak, adik kecil, pak cik, aci, apek, ah so, lebai, atuk atau opah. Semua sama. Apakah keadilan bermaksud semua dapat sama?
Sewaktu aku tinggal di Jakarta kerap juga ke restoran dan pasar mini francais yang sama dengan di sini. Sangat terasa perbezaannya. Layanan yang lain macam punya mesra, mungkin skrip juga diberikan sebagai asas tetapi tidaklah semua dengan "Hai!". Kalau wanita yang dilihat sudah jadi ibu mereka memanggil mesra "Bun" singkatan Bunda, untuk lelaki  yang dihormati "Bapak" dan berbagai panggilan mesra. Ini disusuli dengan bahasa tubuh yang penuh santun, membongkokkan diri dengan dua tapak tangan dilekap dan dibawa ke bawah dagu seperti sembah hormat. Ya, ini di restoran fast-food dan pasar mini sama yang pelanggannya jauh lebih ramai sedang beratur. Sekali lagi aku terfikir apakah aku terlalu mengambil serius atau perkara sebegini isu remeh sahaja? Atau bagi pelanggan di Jakarta itu pun perkara biasa yang tidak ada apa apa makna?
Kemudian pernahkah anda apabila memesan makanan, pelayan yang menghantar makanan terus berlalu tanpa memastikan keperluan anda dicukupkan atau tidak seperti sudu dan garfu sudah disediakan atau tidak. Jika tiada, dia akan ambilkan. Aku selalu alami. Itu belum bab lain, baru bab memesan. Dan ini selalunya berlaku pada restoran orang 'kita'. Lepas meletakkan makanan yang kita pesan di atas meja, terus belah. Berapa kali anda mendengar ucapan "Selamat menjamu selera?". Kalau ada, mungkin kita boleh kenduri sedekah pisang ke masjid. Sebenarnya ini hal enteng atau 'common sense', yang boleh difikirkan sendiri tanpa perlu memerah otak. Enteng. Entah apa guna matapelajaran Tatarakyat, Sivik, Moral dan Agama sewaktu di sekolah dulu, entah. Atau di rumah memang dengan mak ayah dulu pun begitu agaknya. Lama-kelamaan deria rasa kita pun mati dan tidak boleh mengesan budi lagi kerana sudah terbiasa dengan robot manusia. Kerana kita juga sedang diprogram. Perlahan-lahan kita turut sama menjadi robot kalaupun tidak menjadi zombie.

Sunday, October 4, 2015

Dalam bertenang, apalagi yang hilang?

Dalam bertenang, apalagi yang hilang?

Aku sedang duduk bertenang sekarang. Baru sahaja sampai di rumah setelah selesai urusan di Kuala Lumpur. Biasanya jika ada urusan awal pagi esoknya di ibukota, malam sebelumnya aku akan menumpang tidur di Kuala Lumpur. Sebab aku benci kesesakan jalan raya. Dalam perjalanan pulang ke Kajang tadi aku melihat kesesakan jalan raya yang teruk sebelah jalan menuju pusat bandar. Aku bersyukur kerana tidak terlibat bersama ribuan mereka yang bertahun-tahun melalui rutin sebegitu. Memandu ke tempat kerja di pusat bandar adalah sesuatu yang menakutkan aku.
Aku bersyukur. Aku harap mereka yang sedang bersesak itu akan sentiasa di dalam keadaan segar dan bersemangat untuk bekerja atau berkhidmat setelah sangat lelah dan capek tersengguk-sengguk di jalan raya. Aku rasa dosa paling besar yang telah kerajaan lakukan, konon atas nama kemajuan-imej-prestij ialah menghapuskan perkhidmatan bas mini juga bas awam lain dan menggantikannya dengan bas kota syarikat kroni. Bukan tidak bagus dasar untuk menaiktaraf kemudahan pengangkutan awam tetapi tanpa kajian dan dengan mendadak ternyata ia semakin lama makin memburukkan kesesakan. Ramai pengusaha bas mini dan konduktor hilang mata pencarian. Bas kota yang menampilkan pemandunya  berimej kemas dan berpakaian seragam itu memang jauh hebat berbanding abang 'rockers' pemandu bas mini atau kakak konduktor yang 'rugged'. Bas imej canggih itu memang jauh bezanya dengan bas yang berbau setanggi diiringi muzik yang kuat tetapi warga kerja di kota sudah lali. Bas mini dulunya sangat banyak, tiket pun murah dan cepat. Warga kota tidak kisah berasak-asak, bersempit-sempitan menghidu bau ketiak. Kecekapan perkhidmatan bas mini yang 'sempoi' ini memudahkan warga kerja di pusat bandar merancang masa bila hendak bertolak dan pukul berapa hendak pulang. Bas imej baru itu tiada konduktor dan ini telah menutup satu peluang pekerjaan. Bayaran tambangnya pula mahal, 90 sen kena bayar di mesin yang tidak reti memulangkan baki jika kita masukkan duit seringgit. Bas 'angkat imej' ini akhirnya gagal. Aku pernah dengar bekas pengusaha bas mini menggelarkan mereka lanun. Ternyata tahun demi tahun  perkhidmatan pengangkutan awam bertambah buruk sehinggalah ia terkubur. Kalau pun ada tren, tiketnya mahal dan itu pun masih belum sampai ke tempat kerja. Hendak tak hendak, tiada pilihan kena pandu kenderaan sendiri juga. Bas mini telah hilang, pengangkutan awam yang murah dan efisien telah jadi sejarah.
Apalagi yang hilang? Bila aku cerita tentang tambang mahal tadi ia memang benar. 90 sen mahal waktu itu. Bas mini tambangnya 50 sen untuk mana-mana destinasi sehala. Kemudian naik menjadi 60 sen. Ada bas mini berhawa dingin dengan tiket 70 sen tetapi warga kota kurang berminat. Bas mini ini selalunya tidak penuh. Orang suka berasak-asak juga. Entah kenapa ahli korporat sangat sakit hati melihat imej berasak-asak ini dan ingin menakluki perniagaan yang mungkin dia melihat wang masuk berasak-asak juga. Oh, apalagi yang hilang ya? Dahulu gaji permulaan 'standard' untuk pekerja am sama ada pelayan restoran, pomen, buruh ialah RM300 sebulan. Aku bekerja sebagai pomen waktu itu, selepas tamat tingkatan lima. Dari Wangsa Maju ke Petaling Jaya aku perlu naik dua bas. Baru seringgit. Balik seringgit. Sebelum balik, habis kerja aku melepak di warung. Minum teh dan roti canai. Baru seringgit. Makan tengah hari atau malam walaupun nasi berlauk ayam masih RM2.50. Ertinya walaupun gaji RM300 cuma tetapi marjinnya besar. Masih tidak kisah untuk belanja kawan. Hari esoknya kawan pula belanja kita. Menonton wayang dan sebagainya. Bayangkan hujung minggu acara paling meriah berkawad di pasar malam Jalan Tuanku Abdul Rahman. Sampailah masa aku masuk maktab perguruan. Maknanya dalam serba sederhana kita juga menghargai persahabatan. Hari ini setiap individu punya bebanan bil sendiri. Untuk bil telefon bimbit yang entah apa pelan data yang hendak dilanggan, dengan minyak kereta, tol, duit parkir (sebab tidak lagi ada bas mini terpaksa bawa kenderaan sendiri). Makan minum bayar sendiri sebab nak simpan duit beli 'top up' untuk berlaman sosial atau 'chatting' dengan orang di alam maya walaupun kawan organik ada depan mata (termasuklah aku pada hari ini, juga terjebak). Jarang kawan nak belanja kecualilah dia orang politik yang hendak bertanding jawatan. Nak hantar duit ke kampung tak mampu lagi. Hendak belanja pak saudara, mak saudara dan anak buah silap-silap 'instalment' kereta tersangkut. Sentuhan peribadi sesama sendiri di dunia nyata pun semakin hilang. Ajak kawan-kawan mengeteh tetapi masing-masing dengan gajet.
Ini bukan perkara kecil. Ia akan berkait-kait menjadi budaya amalan hidup dan terus berkembang. Bermula dari rumah, bila kita berlumba di dalam kesibukan entah apa apa ini lama kelamaan banyak yang hilang. Anak diasuh amah. Aku pernah menonton sebuah rancangan bagaimana ibu bapa gagal menjawab soalan tentang apakah makanan kegemaran anak, warna kegemaran, lagu atau sebagainya sebaliknya amah lebih berjaya menjawab tepat. Untuk menghiburkan anak yang jarang dapat berbual, hujung minggu kita bawa anak bersarapan pagi di luar. Anak-anak memesan makanan masing-masing termasuklah si kecil yang masih tak mampu makan banyak. Kita sedang mengajar anak untuk membazir dan tidak menghargai. Kita lupa kecil-kecil dulu mak kita bagi makanan sama rata mengikut keupayaan kita. Yang kecil dapat kecil, yang besar dapat mengikut usia. Hari ini makanan itu terbiar tapi ah! Kita yang bayar, apa salahnya.
Apalagi yang hilang? Aku duduk bertenang. Memikirkan semula ini semua. Apakah aku mengambil terlalu serius semua ini? Aku berdoa dan berharap sangat agar masa kita untuk duduk bertenang masih ada dan tidak hilang.
-Foto bas mini dari The Star

Sunday, September 27, 2015

Apak: Politik manusia dalam masyarakat binatang

Ayam banyak disebut dalam pepatah, perumpamaan, bidalan mahu pun peribahasa Melayu. Ayam tambatan, ibu ayam, hangat-hangat tahi ayam, curi ayam dan bermacam-macam lagi. Anda boleh rujuk lagu Ayam nyanyian Jalil Hamid untuk melihat bagaimana orang dulu-dulu membuat perumpamaan dari anggota badan ayam baik leher, taji, balung, ekor sehinggalah ke tahi.
Apak, komik bersiri karya Don (Saadon Ishak) yang pernah tersiar di majalah Gila-Gila pertengahan 80an menyingkap ragam kehidupan masyarakat binatang dengan seekor ayam jantan menjadi watak utama. Tidak perlu membincangkan tentang 'stroke', lukisan dan garisan kartunis yang cukup hebat dengan karya-karya sebelumnya seperti Awang Incredible, Pendekar Mato Tige, Joned mahupun DanDinDon yang diangkat ke dunia animasi kerana umum sudah maklum akannya. Don adalah antara kartunis yang memainkan peranan penting dalam sejarah awal penerbitan majalah Gila-Gila. Apak adalah simbolik politik manusia yang sengaja dipersembahkan dengan binatang menjadi pelakonnya.
Kita pernah dengar ungkapan 'Di dalam dunia binatang tidak ada manusia tetapi dalam dunia manusia memang banyak binatang', sama ada disengajakan atau mahu mengalih perhatian untuk tidak terlalu dilihat nyata, melalui Apak, Don bereksperimen dengan pemeran utama karyanya kali ini seekor ayam jantan. Atau mungkin menukar selera mencari kelainan tanpa ada apa agenda, boleh belaka. Kita boleh berimaginasi menukarkan semua watak binatang ini menjadi manusia dan kesan komik ini pasti lebih dapat dirasakan.
Apak pada episod pertama diperkenalkan dengan sosok ayam jantan yang gagah, kacak dan mempunyai sifat kepimpinan selain bapa yang tegas tetapi penyayang. Biarpun sesekali malas tetapi kewajipan harian berkokok mengejutkan penghuni alam bangun pada waktu subuh tetap ditunaikan. Tok Janggut, kambing tua adalah watak sampingan yang bersifat pendamai. Walaupun berbeza keturunan iaitu seekor kambing di tengah masyarakat ayam, Tok Janggutlah juga yang cuba meleraikan perkelahian antara Apak dan Dogol ketika ayam yang lainnya termasuklah kucing kurap menjadi tukang hasut dan batu api. Inilah sikap negatif masyarakat cuba dikritik oleh Don yang lebih suka melihat orang bersengketa dari meleraikan. Malah kaki sibuk ini turut menyertai Apak mencederakan Dogol yang sudah lemah ditewaskan seperti kata pepatah 'pokok tumbang kura-kura pun nak panjat'.  Nyaris tuan Dogol sempat menyelamatkan dari mati disembelih mereka.Tok Janggut jugalah yang kelam kabut mencari Apak di sungai membawa anak-anak mandi menyampaikan berita duka isteri Apak hendak disembelih oleh tuannya untuk lauk raya.
Kata orang sahabat adalah harta yang tak ternilai. Sahabat yang setia akan menolong sahabat yang di dalam kesusahan walaupun kadangkala berdepan dengan persoalan betul dan salah. Begitulah cuba dilakukan oleh Apak sebaik mungkin apabila kawannya Togel dituduh melakukan perbuatan tak senonoh dengan isteri ayam lain. Togel dituduh berdasarkan bukti telur yang dijumpai di sanggar isteri Jalak. Togel disyaki kerana tidak ramai yang menghasilkan telur gred C. Togel dibelasah Jalak sehinggalah Tok Ketua masyarakat ayam tiba untuk menyelesaikan. Apak barangkali berkonspirasi dan dengan menggunakan helah taktikal, telur yang menjadi bukti kes terjatuh lalu pecah. Tiada bukti maka tiada kes. Dalam perjalanan pulang, secara peribadi Apak bertanya apakah telur itu milik Togel dan Togel menjawab, "Kau macamlah baru kenal aku sehari dua." Mereka ketawa bersama termasuklah Tok Janggut yang mengiringi mereka. Kerana sahabat kadangkala kita bersubahat. Dalam politik jangan dicari rasional, benar atau salah bergantung pada kem yang mana. Jika musuh buat ia salah tetapi jika kem kita lakukan perkara yang sama, tak mengapa.
Turut mencuit hati diselitkan beberapa adegan dan watak sampingan mengisi cerita seperti sekumpulan kerbau yang sedang berkubang berbual tentang arus kemodenan dan ekonomi semasa sebelum Apak melintasi mereka. Dan kehadiran Balau, sang kerbau yang cuba menjadi kaunselor ketika Apak kesedihan kerana kematian isteri. Kaunselor yang cuba menyampaikan kata-kata motivasi pada waktu yang tidak sesuai dengan teori yang tidak praktikal diminta diam oleh Apak. Sebuah 'troll' yang tajam dan sinikal.
Seperti saya kata pada awal tadi cuba baca komik Apak buah tangan cemerlang kartunis Don ini dengan membayangkan watak-watak itu manusia, sifat kehaiwanannya lebih terasa. Ia dibukukan dalam bentuk koleksi berwarna terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd.

Saturday, September 26, 2015

Wajah ke-Malaysiaan kartun Lee Inas

Bagi saya, Lee Inas antara kartunis yang menampilkan komedi berisi dan bijak. Lee Inas menyampaikan persoalan harian di sekeliling yang serius dalam bentuk humor. Sinis, kreatif dan kritis.
Himpunan karya Lee Inas yang bertajuk The Best Of Lee Inas terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd 1995 dapat menjadi rujukan hala tuju dan objektif seorang karyawan bernama Lee Inas dalam sejarah perkartunan tanahair.
Kematangan 'stroke' Lee Inas sangat mengkagumkan dan dapat dilihat perubahan mendadak yang sungguh cemerlang. Halus kasar garisan yang dimainkan oleh Lee Inas sama ada dengan pen atau berus sangat mengasyikkan. Saya melayan karya beliau bukan sekadar membaca dan menikmati humor sahaja malah seolah sedang mengikuti tutorial penggunaan berus dan dakwat.
Lee Inas kerap menghasilkan karya 'dokumentari kartun' dan selalunya perihal isu semasa, kehidupan yang berkait rapat dengan resam masyarakat Melayu, masyarakat majmuk di Malaysia dan sebagainya. Contohnya tentang Gong Xi Fa Chai, Lee Inas walaupun bukan orang Cina berjaya menghasilkan kartun perayaan tersebut dari kacamata atau sudut pandang sebagai seorang rakyat Malaysia. Di sinilah perlunya seseorang kartunis itu melakukan proses penyelidikan sama ada melalui pembacaan ataupun pergaulan. Deria kesenimanan melalui proses tersebut mampu melahirkan karya yang berjiwa.
Lee Inas juga menjadi 'cina' melalui kartun bertajuk 'En. Ah Kow, Ah Fatt dan Hari Raya' apabila merakamkan diari Ah Kow dan anaknya Ah Fatt meluangkan sehari berhari raya di rumah kawan kawan muslim. Suasana kemeriahan hari raya digambarkan dan bagaimana dua beranak tersebut bersungguh sungguh menyerikan hari raya walaupun menghadapi cabaran dan rintangan seperti kereta rosak di pertengahan jalan.
Dalam karya 'Kasim dan Selamah' Lee Inas mencuit sinis asam-garam hidup berumahtangga berlatarbelakangkan budaya dan resam Melayu. Tentang hubungan dengan mertua, pergolakan  yang timbul dan sering menjadi bahan bergaduh dalam rumahtangga, cemburu buta, menjaga tepi kain orang, dengan isu yang 'taboo' di kalangan masyarakat Melayu seperti contoh Kasim yang cuba menyelamatkan seorang perempuan yang sarat mengandung hampir melahirkan, membawa ke hospital menaiki motosikal dan dilihat oleh orang kampung lalu terjadilah pergaduhan dengan Selamah yang cemburu dan salah sangka. Persoalan ini sekali lihat nampak seperti hanya sebuah cerita kelakar kosong tetapi inilah antara permasalahan masyarakat kita yang gopoh dan terburu-buru, cuba diangkat Lee Inas dalam karya beliau pada pertengahan  80an dan 90an.
Kartun lerang seperti Madu Tiga menceritakan sang suami yang hanya bercakap dengan isteri-isterinya dari luar rumah. Tidak perlu menunjukkan watak isteri-isterinya cukuplah hanya sang suami mencuba berbagai taktik untuk memujuk isteri-isterinya. Juga 9 To 5, komedi situasi dalam pejabat dengan watak seorang bos dan ragam staf yang masing masing mempunyai masalah atau konflik sendiri.
Jarang Lee Inas buat drama bersiri tetapi drama empat muka 'Din' yang beliau hasilkan sehingga bahagian kelapan sangat baik. Tentang dilema kutu kampung yang berpelajaran tetapi tidak tahu mahu buat apa untuk kariernya. Budaya makan gaji memang pegangan orang Melayu tipikal dari dulu sehingga hari ini yang dirasakan lebih selamat, terjamin dan mempunyai masa depan yang cerah berbanding bekerja sendiri. Semakin banyak gaji semakin tinggi saham pada pandangan mata orang kampung dan layak dibuat menantu. Plot yang perlahan dengan unsur dramatik mengingatkan kita kepada komik Mat Som, ataupun Not oleh Lat. Ternyata Lee Inas juga bijak memainkan emosi pembaca dengan gaya garapan jalan penceritaan beliau yang tersendiri. Din, penganggur yang menaruh hati kepada Latipah ternyata tewas dengan Cikgu Karim yang dilihat lebih stabil. Profesion guru sudah tentulah meyakinkan anak gadis kampung. Watak-watak lain seperti bidan baru yang muda sangat gemar diusik kawan-kawan Din, juga si emak yang kuat membebel memang wujud. Din melihat Kuala Lumpur menjanjikan harapan yang tinggi lalu dia berhijrah ke sana menumpang rumah kawan sekampung. Memang ini budaya dulu, merantau ke kota. Bukan semua orang mampu mengharungi cabaran dan menyesuaikan diri. Din akhirnya pulang ke kampung mengerjakan tanah sendiri. Kesedaran membangunkan tanah sendiri dengan bercucuk tanam atau berladang, sesuatu yang sangat mendatangkan pulangan lumayan tetapi telah dilupakan oleh kita.
Lee Inas adalah kartunis yang peka, sensitif dengan sekeliling dan memahami adat budaya. Tidak keterlaluan untuk mengiktiraf beliau juga adalah antara kartunis yang mengangkat dunia kartun berkonsepkan ke-Malaysiaan dengan gaya tersendiri yang bijak dan menghiburkan.
(Foto-foto adalah dari koleksi The Best Of Lee Inas terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd dan majalah Gila-Gila terbitan syarikat yang sama)

Novel Amuk Malam Merdeka oleh Ronasina

Di sana sini. Untuk memesan bank in RM26.50 untuk senaskhah (sudah termasuk kos penghantaran) ke akaun Maybank Mohd Affandi bin Ramli 156114001424.
Inbox di akaun facebook Ronasina Fandi slip pembayaran dan berikan alamat serta nombor telefon

Saturday, September 19, 2015

Kita ini 'Abu' yang mana?

"Geram betul aku dengan si anu itu. Entah kenapa dia sakit hati sangat dengan aku sampai kenaikan pangkat aku pun gagal disebabkan sabotaj daripada dia. Perangai mengalahkan Abu Jahal!” Rongos rakan saya sewaktu kami duduk minum-minum di sebuah restoran. Saya hanya diam. Yang saya fikirkan bukan masalah yang dirungutnya itu tetapi entah mengapa tiba-tiba fikiran saya terkesan dengan nama Abu Jahal yang disebutnya. Kejahatan watak kenalan yang diceritakan oleh kawan saya tadi tenggelam kerana saya lebih tertarik dengan watak Abu Jahal itu dan entah mengapa fikiran saya mula menyelak watak-watak ‘Abu’ di sekeliling Rasulullah S.A.W dahulu. Saya dapati watak ‘Abu- Abu’ ini begitu hebat dan menyumbang banyak dalam sirah Rasulullah menegakkan Islam tidak kira watak itu jahat ataupun baik. Dan watak-watak itu saya rasakan tidak mati malah terus wujud sehingga hari ini. Ia seperti reinkarnasi.

Saya teringatkan Abu Lahab, paman Rasulullah sendiri yang cukup-cukup menentang dakwah Rasulullah. Digambarkan perwatakannya cukup ganas malah gelaran Abu Lahab itu sendiri membawa maksud api kemarahan yang cukup marak. Kebenciannya terhadap gerakan Rasulullah sangat kuat dan sentiasa cuba menzalimi Baginda S.A.W dengan seribu satu perancangan kotor. Watak Abu Lahab ini diabadikan di dalam Al Quran sebagai salah satu surah dan di dalam surah itu Abu Lahab dicerca.

Seorang lagi paman Rasulullah, Abu Talib berbeza pula wataknya. Abu Talib pemimpin dan pelindung Bani Hasyim, sangat dihormati sehingga kaumnya segan untuk mengganggu Rasulullah dek kerana keperibadian Abu Talib itu sendiri. Abu Talib begitu menyayangi Rasulullah, melindunginya dan mengakui kebenaran apa yang disampaikan Muhammad S.A.W tetapi sehingga ke akhir hayat, Abu Talib tetap kekal dengan pegangannya dan tidak memeluk Islam. Puas Rasulullah memujuknya di perbaringan saat nyawa di hujung hidung tetapi sia-sia. Walaupun mengiktiraf keponakannya tetapi Abu Talib enggan berubah (walaupun kemudiannya muncul perdebatan para ulama tentang keimanan Abu Talib dan kedudukan beliau di sisi Tuhan)

Ingatan saya beralih kepada pemimpin utama Bani Quraisy dari suku Bani Abdu Syams iaitu Abu Sufyan bin Harb. Awalnya beliau sangat menentang Rasulullah dan sentiasa berusaha untuk menggagalkan usaha Rasulullah akan tetapi apabila hidayah tiba, Abu Sufyan memeluk Islam dan benar-benar menjadi pejuang membela Islam. Keberanian dan sungguh-sungguh Abu Sufyan membela Islam begitu terbukti sehinggakan beliau kehilangan matanya di dalam Pertempuran Yarmuk dan beliau akhirnya dikenang sebagai salah seorang panglima Islam di dalam sejarah zaman berzaman.

Abu Jandal bin Suhail, di dalam kedudukannya yang masih baharu memeluk Islam terpaksa kembali semula ke Mekah, ke pangkuan kafir kerana kehendak perjanjian Hudaibiyyah yang dimeterai antara Baginda S.A.W dengan Suhail bapa kepada Abu Jandal sendiri. Abu Jandal telah disiksa dengan hebat, diuji keimanannya dan ketika berjaya melepaskan diri dari siksaan kaum bapanya, Rasulullah dan sahabat dengan sayu dan hiba meminta Abu Jandal kembali ke Mekah seperti dijanjikan walaupun Abu Jandal merayu untuk bersama Islam. Pengorbanan Abu Jandal agak berbeza kerana terpaksa murtad. Adakah watak Abu Jandal pada hari ini?

Ahh! Apa yang hendak dikhabarkan lagi terhadap Abu Bakr As Siddiq, sahabat karib Rasulullah yang telah bersama ke mana sahaja tidak kira ketika zaman susah apatah lagi pada waktu senang, sama-sama bersembunyi diburu musuh bahkan bukti keakraban beliau terhadap Rasulullah dikuatkan dengan menyerahkan puterinya Aisyah untuk diperisterikan Rasulullah. Apa sahaja yang dikatakan Rasulullah adalah benar belaka tanpa ragu-ragu walaupun ketika terjadinya peristiwa Isra’ dan Mikraj yang sangat mencabar akal waras manusiawi.

Abu Lahab walaupun sudah diberitahu tetapi tetap menentang sehingga akhirnya. Abu Talib walaupun menyokong tetapi tidak mahu berubah dari pegangan lama. Abu Sufyan penentang utama tetapi apabila menerima, menjadi pembela setia pula sehingga ke akhir. Abu Jandal, hatinya setia tetapi terpaksa menurut apa yang dimahukan pihak lain demi sesuatu perkara lain. Abu Bakr, apa pun yang diberitahu tanpa ragu dan curiga terus percaya dan yakin.

Selembar demi selembar nama-nama sahabat yang lain seperti Abu Dzar, Abu Hurairah dan lain-lain mengetuk jemala. Saya cuba mencari hubungkait watak-watak ini dengan diri saya dan watak-watak persekitaran saya yang hidup pada hari ini. Bahkan ketika kawan saya merungut di awal cerita saya ini tadi saya tidak pasti di manakah kedudukan saya. ‘Abu’ yang manakah saya pada hari ini di dalam kehidupan yang serba mencabar dan menuntut pendirian yang tegap ini? Abu Sufyankah saya atau Abu Talib? Atau saya terawang-awang tidak menjadi apa pun, hanya seperti abu terbakar yang ringan ditiup taufan? Kalian juga bagaimana? Abu yang mana?

*tulisan ini ditulis pada November 2012 untuk kolum sebuah majalah berkonsepkan Islamik yang mana aku dijemput menjadi kolumnis. Tak sempat tulisan pertama ini diterbitkan majalah yang beroperasi lebih sepuluh tahun itu menghentikan operasinya.

Wednesday, September 16, 2015

16 September dan kecelaruan identiti Melayu

Disiarkan di The Malaysian Insider

16 September dan kecelaruan identiti Melayu

Oleh Ronasina

Kalau tidak kerana acah-acah menyakat Anwar Ibrahim akan berlakunya perubahan Kerajaan Persekutuan pada 16 September 2008 sempena tarikh Pembentukan Malaysia pada tarikh yang sama dalam tahun 1963 apabila dikatakan ahli parlimen Barisan Nasional akan melompat menyokong Pakatan Rakyat, pastilah sehingga hari ini kita tidak mengendahkan tarikh itu. Dek kerana itu, tarikh pembentukan Malaysia melibatkan Sabah dan Sarawak telah dinobatkan dan diiktiraf di dalam takwim kalendar sebagai Cuti Am dan semangat sambutannya juga dibuat (sengaja?) hampir menyamai sambutan Hari Kebangsaan.
Telah 52 tahun berlalu tetapi kecelaruan identiti bangsa Melayu yang menjadi teras identiti wajah Malaysia bukan sahaja mengelirukan malah semakin parah. Sentimen perkauman terus dimainkan parti pemerintah demi untuk mengekalkan kuasa yang semakin tergugat. Dimomokkan isu Ketuanan Melayu, Malaysia Melayu Punya dan muncung senjata perkauman dihalakan ke arah kaum cina yang dikatakan cuba merampas Malaysia dari orang Melayu. Benih kebencian disemai dan ketakutan rakyat direka.
Apa yang berlaku hari ini sebenarnya adalah kesan merdeka setengah masak (meminjam istilah yang digelar Allahyarham Doktor Burhanuddin Helmi) Persekutuan Tanah Melayu hasil rundingan bersama British dan budak belaannya United Malays National Organisation (Umno). Umno tidak mampu membuat dan membiarkan penjajah merekacipta Perlembagaan Persekutuan. Bayangkan tiada anak jati negara ini duduk dalam panel Suruhanjaya Reid dan merelakan wakil dari British, India, Pakistan dan Australia yang tidak faham adat budaya negara mencipta garispanduan hidup dan hala tuju negara kita sehingga hari ini. Inilah maksud merdeka setengah masak Doktor Burhanuddin Helmi.
Kelam-kabut politik semakin haru dekad ini bilamana api perkauman yang dinyalakan Umno disambut pula secara salah oleh pihak pembangkang yang terikut-ikut rentak tarian Umno. Perlu diingat Umno bukan mewakili suara orang Melayu sepenuhnya malah dalam Umno sendiri bercampur-aduk Melayu palsu yang menyamar untuk meraih peluang kekayaan mahu pun kekuasaan. Kerana masih juga berfikir itulah suara mewakili semua orang Melayu, isu-isu perkauman yang dijolok Umno kadangkala dibalas dengan tidak berhati-hati oleh pihak pembangkang sehingga menyinggung kebanyakan orang Melayu. Kita perlu ingat dan jangan sesekali mempunyai satu kesimpulan bahawa semua orang Melayu itu adalah di dalam Umno ataupun di dalam parti politik lain seperti Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) dan lain-lain. Di luar parti politik, lebih ramai lagi Melayu yang tidak hairan dengan gula-gula subsidi atau Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Jadi tulisan ini membincangkan tentang Melayu yang BUKAN Umno kerana Umno sudah kita tolak ke tepi kerana kebusukan yang tidak boleh disandarkan kepercayaan lagi. Wajar dibuang!

Perlunya memahami psikologi Melayu

Pihak pembangkang khususnya Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang selalunya lantang berperang sama ada isu Ketuanan Melayu mahu pun tentang agama Islam adalah antara salah satu faktor yang menyebabkan orang Melayu tersinggung. Ya, sepertimana PAS yang mengecewakan orang Cina. Tetapi kita sedang bercakap tentang orang Melayu bukan Umno atau PAS. Orang Melayu tidak selesa apabila isu agama atau bangsa diganggu. Isu hudud misalnya, kebanyakan orang Melayu juga tidak meyakini kemampuan PAS melaksanakannya tetapi mereka tidak mengkritik hudud yang termaktub di dalam Al Quran. Mereka beriman dengan Al Quran dan percaya dengan keadilan hudud yang dianjurkan Al Quran. Yang disangsikan kemampuan PAS. Tetapi apabila orang bukan Melayu dan bukan Islam menghentam PAS dan memperlekehkan hudud dengan mengejek ejek potong tangan sebagainya, bagi mereka ia biadab dan melampau. Begitu juga isu-isu lain seperti menjadikan hadis Nabi bahan lawak disebabkan ia keluar dari mulut mufti yang terang-terang agen pemerintah. Yang mengapi adalah Melayu Umno tetapi pembangkang dan penyokong terlajak membalas dengan menghentam Melayu keseluruhannya. Melayu luar parti ini adalah pemerhati yang berhati-hati. Orang Melayu tidak takut melakukan perubahan sebenarnya. Orang Melayu Kelantan telah menumbangkan Umno pada tahun 1990. Terengganu dan Kedah juga pernah Umno tumbang di sana. Orang Melayu luar Umno jugalah yang melimpah di jalanraya Kuala Lumpur sewaktu Anwar Ibrahim dipecat dari Timbalan Perdana Menteri lalu terjadilah gelombang Reformasi. Tetapi mereka memerhati dan menimbangkan beberapa perkara semula untuk memilih setelah berlakunya beberapa perkara. Orang Melayu ini tahu konsep Malaysian Malaysia baik atas prinsip kesaksamaan tetapi mereka juga meragui keikhlasan DAP melaksanakannya. Orang Melayu, psikologinya masih memikirkan tentang Ketuanan. Maksud Ketuanan di sini bukanlah seperti yang dilaungkan Umno tetapi tentang teras yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan seperti agama Islam sebagai agama persekutuan atau juga Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Isu bahasa juga bukan sedikit menggugah kepercayaan mereka terhadap DAP. Menaikkan elaun sekolah agama atau membina rumah mangsa banjir di Kelantan bukan ukuran keikhlasan politik jangka panjang bagi Mereka. Ini hakikat yang harus diakui dan patut dicari penyelesaiannya untuk mengembalikan sokongan orang Melayu di luar Umno kepada pembangkang. Mereka tahu Umno sudah tidak boleh dipercayai lagi tetapi mungkin dalam satu-satu situasi kita tidak boleh menolak pilihan saat akhir mereka akan berubah. Bukan tidak sedar akan rasuah berbillion atau penyelewengan kuasa tetapi setelah hitungan campur tolak bahawa semua orang politik sama sahaja apabila berkuasa, rasuah dan kronisme pasti juga terus diamalkan; mereka memilih untuk mengekalkan keadaan. Di sinilah letaknya cabaran pihak pembangkang sama ada DAP, Keadilan, Amanah atau Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) yang memperjuangkan konsep Anak Bangsa Malaysia untuk mengkaji semula psikologi Melayu. Jangan terikat dengan takrif Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan. Mengkaji psikologi harus keluar dari kerangka Melayu dalam Perlembagaan. Jika sepuluh peratus lagi orang Melayu berjaya ditarik menyertai orang Melayu yang sudah lama menyokong pembangkang, diyakinkan tentang kepentingan mereka tidak diganggu gugat, dikesan apakah sensitiviti mereka, pasti lanskap politik negara akan berubah sepenuhnya.

Kecelaruan identiti Melayu

Krisis identiti Melayu serius meruncing hari ini kerana adat budaya telah dikacau penjajah. Melayu terpecah kerana latar sosio budaya, politik, pendidikan dan lain-lain yang berbeza. Dan kita merujuk 'Bangsa Melayu' berpandukan era penjajahan British yang mengamalkan pecah dan perintah. Sumber kita pun dari British.Takrif Bangsa Melayu sebenarnya lebih jauh lama dari itu. Sebelum kedatangan British lagi. Nusantara ini adalah Gugusan Kepulauan Melayu yang berbagai etnik. Orang asal di Persekutuan Tanah Melayu, Siam, Champa, Filipina, Sabah, Sarawak , Singapura dan Indonesia adalah di dalam Gugusan Kepulauan Melayu. Nama-nama negara dan sempadan antara negara di dalam Nusantara belum ada waktu itu. Ke Indonesia tidak perlu pakai passport. Pada zaman Kesultanan, orang dari Indonesia (nama Indonesia pun belum ada lagi) jika berhijrah ke Tanah Melayu tidak dipanggil pendatang asing kerana berasal dari satu nusantara. Begitu juga sebaliknya. Yang membuat pagar sempadan adalah British dan Belanda. Empayar Srivijaya adalah empayar Melayu terbesar. Pelbagai etnik atau orang asal bertutur dalam bahasa yang sama walaupun berbeza dialek. Melayu waktu itu tidak dirujuk sebagai kaum tetapi sebuah peradaban. Peradaban Melayu.

Melayu Ultra bukan Melayu Tulen

Kerana politik sempit dan menjilat penguasa yang semakin tersepit, sentimen perkauman dimainkan. Cina dan India dianggap pendatang dan tanah ini tanah milik Melayu. Sikap Melayu Ultra yang merasakan mereka benar-benar Melayu dengan menghunus keris, ucapan berapi dan mengumpan keganasan adalah langsung tidak menggambarkan ketulenan sifat sebenar Orang Melayu. Melayu Ultra yang mendabik dada mereka tuan tanah tidak merujuk sejarah untuk memahami budi bahasa Melayu tulen. Jikalau orang Melayu pada zaman Kesultanan Melaka itu mengamalkan rasisme tentulah pelabuhan Melaka tidak dikunjungi pedagang-pedagang asing di seluruh dunia. Orang Melayu sudah lama maju malah Melaka menjadi pusat dagang termasyhur di dunia. Bahasa Melayu menjadi Lingua Franca. Pentadbiran pelabuhan sudah tentulah cekap. Pedagang-pedagang berasa selamat berniaga kerana sifat orang Melayu yang terbuka, mudah menerima dan mengalu-alukan. Hang Tuah yang mewakili Kesultanan Melaka telah mengembara ke seluruh nusantara mengadakan hubungan diplomatik sehingga ke China. Dengan diplomasi dan lemah lembut, hubungan dua kerajaan terjalin. Puteri Hang Li Po berkahwin dengan Sultan dan sejarah kedatangan Baba dan Nyonya ke Melaka adalah bukti penting sifat Orang Melayu yang mudah menerima biarpun berbeza budaya dan bahasa. Orang Melayu waktu itu sudah jauh gemilang ke hadapan, mengapa hari ini boleh termakan dengan hasutan jahat bodoh penguasa korup sehingga Melayu hari ini mundur beratus tahun ke belakang pemikirannya sebelum terbinanya Empayar Srivijaya lagi? Inilah kecelaruan bangsa. Melayu Ultra bukan sahaja tidak layak sebagai cerminan Melayu Tulen malah telah menghina Bangsa Melayu itu sendiri.
52 tahun Pembentukan Malaysia dan 58 tahun merdeka bangsa Melayu dan bangsa Malaysia masih teraba-raba mencari identiti wajah. Orang Melayu, Cina, India dan semua kaum harus akur dengan sejarah dan bergerak ke hadapan mengikut garis sejarah. Kita tidak boleh menafikan sejarah, menafikan isu sebaliknya menjadikan sejarah suatu rujukan dalam membina rangka negara bangsa. Menghormati hak dan peranan semua. Hentikan politik pembodohan dan marilah menggali sejarah untuk mengenal kembali akar identiti dan jati diri kita jika mahu bergelar bangsa yang merdeka.

Sunday, August 30, 2015

Amuk Malam Merdeka

Sudah terbit. RM20 senaskhah. Terbitan Dubook Press

Ada lima ilustrasi. Setebal 144 mukasurat.

Sungguhpun bersifat satira komedi tetapi padat dengan falsafah, jatidiri, hakikat dan macam macam lagi.

Cerita mengisahkan Tuah, Jebat dan Munsyi Abdullah muncul semula di Kuala Lumpur. Munsyi bertemu dengan Hadi, seorang kartunis yang semakin tenggelam dan mencari semula sentuhan karyanya. Hadi menyembunyikan Dollah di rumah sewaannya. Kemudian mereka bertemu Tuah dan Jebat.
Bertembunglah pandangan mereka berdasarkan prinsip masing-masing apabila melihat anak bangsa generasi ini. Terbongkarkah ungkapan semangat Semerah Padi dan Tak Melayu Hilang Di Dunia?
Kejadian yang cuba dirahsiakan oleh Hadi telah dihidu oleh Puspa, wartawan KotaKini sebuah akhbar tabloid misteri.
Bagaimana seterusnya? Apakah mereka boleh pulang semula? Berjayakah Hadi menggunakan mantera pengasih yang diajarkan oleh Jebat untuk memikat Puspa?
Aku yakin anda yang sukakan pengalaman akan pasti perolehi sesuatu dalam novel fiksyen ini.

Cara memesan. Masukkan RM26.50 ke akaun Maybank Mohd Affandi bin Ramli 156114001424 dan buktikan slip pembayaran ke ronasina@gmail.com atau di inbox facebook Ronasina Fandi. Berikan alamat penghantaran beserta nombor telefon.
Selamat!

Tuesday, August 18, 2015

Amuk Malam Merdeka

Siap duit semua. Sedang bertapa di percetakan!
Apa akan jadi bila Hang Tuah, Hang Jebat dan Munsyi Abdullah muncul di Kuala Lumpur pada hari ini? Bertemu pula Hadi, kartunis yang semakin tenggelam dan mencari semula sentuhan gemilangnya. Hadi menyembunyikan mereka tetapi Puspa, wartawan KotaKini sebuah akhbar tabloid misteri berjaya menghidu lebih awal.
Dengan prinsip masing-masing, mereka berhujah apabila melihat keadaan negara dan anak bangsa pada zaman ini. Bagaimana mereka hendak pulang?
Berjayakah Hadi menggunakan mantera pengasih yang diajarkan Jebat untuk memikat Puspa?
Aku yakin kau orang akan memperolehi suatu pengalaman baru membacanya.

Terbitan Dubook Press.
Harga? Tunggu....

Monday, August 10, 2015

Al fatihah untuk majalah APO? dan Ujang

Seperti direnjat elektrik, seluruh peminat kartun dan komik tanahair terkejut dengan penutupan penerbitan majalah Ujang dan APO?. Tanggal 6 Ogos 2015, MOY Publications menghentikan penerbitan dua majalah gergasi yang pernah menjadi jaguh pasaran tempatan sekaligus bermakna Ujang dan APO? turut menyertai arwah-arwah majalah kartun terdahulu. Ujang dan APO? dimakamkan bersama Gelihati, Mat Jenin, Batu Api serta berpuluh majalah kartun tanahair yang pernah mewarnai industri kartun dan komik tanahair.

Sejarah ringkas Ujang dan APO?

Majalah Ujang muncul di pasaran pada tahun 1993 di bawah Kharisma Publications. Dengan cogankata Majalah Lawak Antarabangsa, kartunis Ujang (Ibrahim Anon) yang telah mencipta kegemilangan di majalah Gila-Gila mengorak langkah menerbitkan majalah Ujang bersama kartunis popular seperti Gayour, Nik dan Aie. Beberapa kartunis yang sedang mencipta nama dididik, diberi nama baru yang segar dan subur seperti Bijan, Sukun, Jering, Ubi, Duku, Halia dan Sireh (sekadar menyebut beberapa nama) juga penulis Azzam Supardi membentuk sebuah pasukan produksi yang mantap sehingga edaran setiap keluaran mencecah lebih 200,000 salinan. Maskot Din Beramboi menjadi fenomena sehingga direbut beberapa pihak. Peminat-peminat tidak sabar menanti kemunculan setiap isu untuk membaca Abe, Bersama Selamanya, Aku Hidup Dalam Blues, Budak Hostel dan lain-lain. Watak-watak kartun lerang seperti Murahguru Tandoori Payat, Pak Andak dan Angah , Bas Mini 222 mencuit hati. Majalah kartun sedia ada sedikit tergugat dan perlahan-lahan terikut juga corak persembahan Ujang.
Apabila kartunis Ujang (Ibrahim Anon) meninggalkan majalah tersebut, MOY Publications mengambilalih penerbitan majalah Ujang dan mengawal hakcipta dan harta intelek sehingga kartunis Ujang sendiri tidak dibenarkan berkarya menggunakan nama samaran Ujang. Meskipun diboikot sebahagian besar peminat tegar kartunis Ujang (Ibrahim Anon), majalah Ujang di bawah MOY Publications terus menjuarai pasaran, melonjak dengan gabungan barisan kartunis asal dan muka baru.

Untuk seterusnya sila ke pautan ini:-

http://jalantelawi.com/2015/08/alfatihah-apo-dan-ujang/



Thursday, July 9, 2015

Amuk Malam....

Amuk Malam apa? Novel saya bakal muncul di pasaran bulan depan. Kisah apa? Kisah serius tetapi komedi. Dalam komedi ia berat.
Tentang cinta yang tak sampai, jatidiri yang keliru, budaya yang nanar, pegangan yang bolak balik.

Wednesday, July 8, 2015

Cerita tadi dan semalam

Aku mahu menulis status ini semalam tetapi malas, takkanlah semuanya nak ditulis di facebook. Begini; semalam ada seorang kakak beli kerongsang RM20 tetapi dia menambah lagi not seratus, katanya untuk Anur. Aku keberatan menerima tetapi dia bersungguh. Sambil berlalu aku nampak dia menggosok matanya. Dan aku terdiam menahan sebak lebih sepuluh minit.
Tadi ada seorang beli dua cheesetart dan ditambah RM200 dalam lipatan duit harga cheesetart. Katanya ambil semua untuk Anur. Aku keberatan lagi tetapi sebaik tiga meter berlalu aku menjerit, " ini kakak semalam ke?" Dia menoleh sambil menggosok matanya dan terus menghilang. Sekali lagi aku terdiam...
Siapa dia? Sebab ia berlaku terlalu pantas tak sempat nak hadiahkan buku Surat Untuk Anak.

Saturday, July 4, 2015

Puasa dan kenangan

Kalau berpuasa di kampung Sayong, yang aku ingat dulu siren dari istana Bukit Chandan akan berbunyi menandakan masuk waktu berbuka puasa. Kata orang Kuale, sehingga hari ini pun. Kata mak, lama sebelum itu bunyi meriam. Sayong rumah tok dan pah sebelah abah sementara Bukit Chandan kampung mak. Aku lahir di kampung mak.
Dan walaupun tinggal di Bentong, abah tetap bawa budaya Kuala Kangsar dengan membuat panjut pelita. Lubang ditebuk di setiap ruas buluh, diisi minyak tanah di dalamnya. Di lubang pula diletakkan sumbu. Kampung kampung di Kuala Kangsar memang meriah dengan pesta panjut dan setiap kampung selalunya akan ada pertandingan panjut tercantik. Itu juga rancak sebelum budaya karaoke menerjah masuk.

Mimpi 'dalam' bulan Ramadhan

"Pukul berapa waktu berbuka?"
"Aku tak tahu sebab aku berpuasa seluruh anggota dari perkara perkara yang membinasakan dan aku tak pernah berbuka."
Aku diam merenung pak cik itu.
"Kalau pak cik begitu tak apalah. Saya hanya mahu tahu waktu berbuka puasa untuk saya."
"Aku tidak terlibat dengan waktu kerana ibadahku berterusan tidak mengikut putaran waktu."
Ah! Payah pak cik ni.
"Baiklah pak cik. Ok, cukuplah tunjukkan saya arah ke kota."
Pak cik menunjuk, "Di sana!"
Sebaik dua batu menuju arah yang ditunjukkan pak cik, ia adalah tanah perkuburan bukan menuju pusat bandar. Aku berasa tertipu dan bertanya kepada si penjaga kubur mana arah menuju kota.
"Kota bermaksud setiap hari penduduknya semakin bertambah, maka tanah perkuburan inilah kota."
* apa punya mimpi petang Ramadhan ni,

Friday, February 20, 2015

Kisah Titi dan Ragil

Foto Titi (kiri) dan Ragil bersama Sham

Titi dan Ragil, dua sahabat yang bertarung meredah arus hidup yang deras di Jakarta. Kisah hidup mereka cukup mengharukan. Tetapi pengalaman itulah guru untuk terus hidup.
Titi dan Ragil, dua cewek di antara jutaan warga Jakarta yang sibuk, pantas dan sesak. Seusia muda lagi mereka sudah keluar dari rumah, mencari rezeki dengan menyanyi dan bermain muzik di jalanan. Kebun bunga adalah tempat tidur mereka. Tandas awam bilik air tempat membersihkan diri.
Mereka berkawan sejak 1997, mengharungi debu kota untuk mengamen.
"Pernah tiga hari nggak makan nasi." Kata Titi yang boleh anda tonton serba sedikit kisahnya di You Tube dengan mencari filem Jalanan- kisah benar tiga pengamen. Ragil juga sebenarnya terlibat di dalam Jalanan tetapi menarik diri atas sesuatu sebab meskipun sudah 75% siap 'shoot'.
"Saya membiayai SMP dengan mengamen." Kata Ragil. "Malah sehari sebelum melahirkan anak pertama pun saya masih mengamen."
Bernyanyi dari satu tempat ke satu tempat. Dalam bas. Di taman, luar gedung membeli belah. Adakalanya bas menutup pintu tidak membenarkan naik. Kami ugut lempar batu ke cermin.
"Inilah perjuangan kak. Menyara keluarga tanpa kebergantungan." Ujar mereka lagi.
Bayangkan jika kita punya anak perempuan atau adik atau kakak begini. Keluar bergelandangan, hidup di jalanan yang terdedah dengan laki laki jahat. Atau terbayangkah kita ibu kita sendiri menyara kita dengan cara begitu. Telinga kita juga akan menadah umpat keji manusia yang selalu berasa dirinya lebih mulia dari orang lain.
Titi dan Ragil bukan kelompok yang bicara besar dengan puisi berdegar di depan papan kekunci komputer. Titi dan Ragil tidak berpuisi tentang kelaparan di bilik yang lengkap. Ikhtiar hidup dan kelaparan adalah diri mereka sendiri. Perjuangan mencari rezeki adalah pekerjaan mereka. Lagu yang dinyanyikan adalah lagu kehidupan, muzik yang dialunkan adalah suara keberanian dan nada suara yang dilontar adalah kekentalan.
Keakraban dengan mereka di Jakarta ini sungguh terasa. Mungkin perjalanan itu menjadi guru mendidik mereka menjadi lebih menghargai sebuah persaudaraan. Berkali kali mereka ucapkan kekaguman kepada kami tapi sebenarnya kami terlalu kecil dan penakut. Merekalah yang hebat. Dan hari ini dengan status ibu, mereka masih terus berjuang kerana dalam berhadapan dengan runcing tantangan, selalunya kita akan memilih untuk terus hidup. Dan kita jatuh cinta dengan kehidupan yang kita lalui itu dengan menghargai warna warni penghiasnya. Maka itu kita pun Raikan Hidup!

Saturday, February 14, 2015

Anwar: Gagal di luar, menang di dalam.

Anwar: Gagal di luar, menang di dalam
Oleh Ronasina

Ini bukan lagi 1998. Tiada lautan manusia beri respon spontan memprotes di jalanraya apabila Timbalan Perdana Menteri dipecat dengan tuduhan rasuah serta salahlaku moral. Yang turun dengan gema laungan slogan Re-For-Ma-Si dulu adalah rakyat. Parti Islam SeMalaysia (PAS) walaupun memerintah Kelantan waktu itu masih belum mampu menarik minat rakyat seluruh Malaysia. Parti Tindakan Demokratik (DAP) hanya mahu menjadi pembangkang yang baik dan belum terbayang akan mampu mentadbir Pulau Pinang.
Masuknya Anwar Ibrahim ke jeriji besi Sungai Buloh selama lima tahun bermula10 Februari 2015 lalu atas hukuman kononnya didapati bersalah meliwat Saiful Bukhari Azlan kali ini dalam keadaan partinya Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama PAS dan DAP berjaya menakluki tiga negeri di dalam Malaysia. Masuknya Anwar Ibrahim kali ini dalam keadaan pendukung di sampingnya sudah bergelar Yang Berhormat dan dalam keadaan mereka sudah duduk di kerusi-kerusi empuk memegang jawatan penting tidak kira dalam kerajaan negeri, kerajaan tempatan, menjadi pegawai khas ataupun ahli lembaga pengarah syarikat kerajaan negeri.

Tidak ramai bergelar Yang Berhormat pada 1998. Mereka hanya terdiri dari ahli parti dari komponen Barisan Nasional, dari parti pembangkang, aktivis NGO dan individu yang bersimpati. Dari situlah gerakan bermula. Menggunakan nota, telefon dan sistem pesanan ringkas segala maklumat program disampaikan. Aktivis tanpa gaji merancang keliling negara menghasut. Kemudian perakam tanpa gaji menyalin dalam bentuk kaset, pita video dan video cakera padat. Yang menulis buat risalah, samidzat, majalah dan akhbar. Seniman berpuisi, berteater. Ini semua dibuat dengan semangat melawan kezaliman, tanpa disuruh sesiapa. Dalam gerakan reformasi apa saja kaedah, apa juga media digunakan untuk memberi penerangan kepada rakyat hatta di dalam teksi, majlis-majlis kenduri sehinggalah contengan di dalam tandas. Semua meraikan pelbagai kaedah tidak seperti hari ini banyak sangat tak bolehnya konon alasan tidak selari dengan garis parti, kaedah ini tidak bijaklah serta bermacam-macam teori pandai- memandai untuk menghalalkan kebaculan sendiri. Memang protes jalanraya bukanlah satu kaedah sahaja dan belum tentu berjaya tetapi apa usaha lain yang  mampu dianjurkan dari pakar teori bijak pandai ini? Protes jalanrayalah yang banyak mengubah lanskap politik hari ini jika diteliti kronologinya. Pada era reformasi 1998 grafiti mengutuk pemimpin negara banyak kelihatan di dinding bangunan sekitar kota Kuala Lumpur. Laman web Mahazalim, Mahafiraun menjadi pelepas dahaga. Akhbar Harakah dicari. Sehinggalah Mahathir Mohamad rasa tergugat dan bertindak ganas mengharamkan, menyekat apa juga pengedaran maklumat dengan menggunakan akta akta. Aktivis dan ahli parti yang lantang ditahan tanpa bicara menggunakan ISA. Ternyata akta drakonian itu berkesan. Purata enam dari sepuluh yang dikurung akan berpaling dan kembali menyokong kerajaan. Dua akan jadi neutral, satu hanya menjadi ahli pasif. Hanya seorang yang kekal.

Hari ini ada satu lagi penyakit yang menyekat gerakan reformasi dari meledak seperti 1998 iaitulah penyakit yang dinyatakan tadi- kedudukan dan pangkat. Anwar yang sebelum ini berkeliling negara berkempen agar penyokong mengundi mereka dan kemudiannya mereka menang, dan mereka mendapat kedudukan, kemudian mereka jugalah yang sering menempel di mana sahaja Anwar berada, bertempik reformasi dengan kuat di sebelah Anwar, kemudian setiap kali berbual akan mahu mengaitkan diri dengan Anwar, sering ada dalam 'frame' bersama Anwar; senyap menikus dan sibuk dengan urusan lain. Aneh wal ajaib! Mana perginya ahli parti yang berbondong bondong dalam bas bikin kecoh sewaktu pemilihan parti? Ke mana sembunyi mereka yang membaling kerusi, bertumbuk sehingga cedera untuk merebut jawatan dalam hirarki parti tidak kira peringkat pusat mahupun peringkat cabang? Siapa mereka dan di belakang semua itu adalah suatu teka teki yang ada jawaban jika kita singkap betul betul.

Kita lihat pula hubungan Pakatan Rakyat. Di sini lebih besar punca lesunya gerakan membela Anwar Ibrahim tahun 2015. Pertelagahan sesama parti dalam penserikatan Pakatan Rakyat membunuh senyap keyakinan rakyat lebih-lebih lagi PAS. Perang di alam siber menghentam PAS sebenarnya memberi kesan yang tidak kecil. Penyokong Anwar sering membantai apabila PAS dan pemimpinnya bertindak tidak selari dengan semangat Pakatan Rakyat sedangkan ada isu awalnya dicetuskan sendiri oleh Anwar. Sebaliknya penyokong Anwar tetap beranggapan apa sahaja perbuatan Anwar adalah betul dan terbaik untuk menguatkan Pakatan Rakyat walaupun tidak berbincang terlebih dahulu dengan rakan Pakatan Rakyat yang lain. Kajang Move adalah satu contoh projek gagal Anwar yang merosakkan Pakatan Rakyat. Parti lain terpaksa membasuh tahi yang telah diberakkan. Terpaksa menyokong dalam keadaan terpinga-pinga. Konspirasi menyingkirkan Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim juga adalah tahi besar membuat PAS terjepit dan terpaksa menyokong demi semangat Pakatan Rakyat. Anwar dan juak-juaknya yang berkonspirasi pandai meletakkan beban kepada PAS yang serba salah sehingga PAS terbelah dan Presidennya dikecam. Jangan lupa, penyingkiran ke atas Khalid Ibrahim tidak disenangi Allahyarham Tok Guru Nik Aziz. Rakyat melihat bagaimana Anwar dan PKR menafikan kecerdikan mereka dengan hujah-hujah gelabah untuk menggulingkan Khalid walaupun mereka bukanlah sangat menyokong Khalid. Mereka bersimpati dengan Khalid yang dilayan 'double standard' di dalam parti yang Anwar jadi Ketua Umumnya.

 Berbalik kepada pergeseran ahli-ahli bawahan antara PKR, penyokong Anwar dengan PAS ternyata kuat impaknya.Ternyata ahli PAS dan pro Presiden mereka Hadi Awang menyambut dingin sejak malam finale di Stadium sehingga hari penghakiman di Mahkamah Putrajaya . Satu hal yang kita mesti akui jentera PAS sangat hebat, jika dimobilisasi mereka akan memenuhi kota Kuala Lumpur. Tetapi ini tidak terjadi dan ia adalah gambaran kekecewaan mereka terhadap apa yang berlaku. Tidak adil menuduh hanya PAS besar kepala (walaupun ada sosok-sosok yang sering mengeluarkan kenyataan dangkal) dan punca segala permasalahan. Bagaimana hendak diperbetulkan semula kerana segalanya sudah berlaku? Cuma retak Pakatan Rakyat masih belum tahu apakah terbelah atau dijahit semula.Jika terbelah masa depan untuk mengekalkan kerajaan pada Pilihanraya Umum akan datang akan gelap dan ini memudahkan Barisan Nasional kembali berkuasa.

Perhimpunan Sabtu lalu tidak besar dan seperti 1998 ia bukan dianjurkan parti politik. Ia dirancang oleh aktivis-aktivis yang aktif memprotes kerajaan sebelum sebelum ini. Antara yang menyertai perhimpunan bukanlah penyokong sosok Anwar semata mata tetapi lebih kepada memprotes kezaliman rejim.Yang Berhormat sibuk dengan urusan rakyat. Ya, Yang Berhormat yang diperkenankan Anwar sendiri termasuklah pegawai pegawai besar pencen yang tiba-tiba muncul menjadi calon payung terjun pada Pilihanraya Umum yang lalu sehingga orang yang sudah lama buat kerja diterajang.
Ringkasnya, sebagai sosok individu menentang kerajaan, Anwar Ibrahim adalah legenda. Kelibat beliau mampu menggugat kedudukan pemimpin kerajaan sehingga karier dan pergerakan Anwar perlu disekat. Menghantar Anwar ke tempat paling kejam dan jijik seperti penjara dan membusukkan namanya dengan tuduhan jelik adalah gambaran betapa kuatnya beliau sebagai individu dalam menggugat kerajaan sehingga itu semua perlu dilakukan.
Tetapi sebagai pemimpin yang berorganisasi dan ingin menjadi orang nombor satu negara, Anwar gagal jika diukur dengan kelam kabutnya parti tak terkawal, menyingkirkan kawan yang baik hanya kerana kawan itu berani mengkritiknya, melayan pengampu dan dalam menuntut keadilan tetap juga dia tidak memberikan keadilan kepada anggota parti pimpinannya sehingga ada yang tersinggung dan malas campur. Anwar berjaya sebagai individu sehingga terpodot di dalam penjara. Apakah Anwar masih mampu melakar rencana perjuangan bersama rakyat dari dalam tembok jika pendukung harapannya bersembunyi di lubang tikus atau hanya dikenang sebagai pendekar berjuang berseorangan? Masa akan menentukan.

Friday, January 23, 2015

Hadi Awang mengarut?

Hadi Awang mengarut?

Ramai juga yang mengutuk Hadi Awang apabila beliau berpandangan jika pemilihan dibuat untuk Kerajaan Tempatan (PBT) boleh mencetuskan seperti peristiwa 13 Mei. Kerana kita tidak suka Hadi Awang maka kita tolak semua pandangan beliau yang dah setengah abad dalam politik tanahair ini. Aku pun tak setuju banyak dengan beliau dan benci politik perkauman sempit. Tetapi tidak mustahil apa yang dikatakan beliau boleh berlaku memandangkan budaya bodoh parti parti politik tanahair yang mana pemimpin-pemimpin parti politik tanahair kita tidak menanam budaya cerdik politik kepada ahlinya sebaliknya gemar mengamalkan budaya berpuak, bina kem dan.ketaksuban.
Jika pemilihan dalam parti sendiri (lihat parti-parti politik terbesar tanahair) ada cantas mencantas, sogok menyogok, menipu undi, fitnah, beli penyokong, perebutan kerusi sesama sendiri dengan isu kaum sehingga mencetuskan perbalahan serius. Ada sampai bergaduh menumpahkan darah.
Bayangkan pemilihan PBT yang terbuka kepada semua pihak. Apakah dalam situasi masa kini, pemimpin dan ahli mahu pun rakyat biasa sudah bersedia menghadapinya walaupun kita pernah mengamalkan sistem ini dahulu tetapi dihapuskan oleh kerajaan Barisan Nasional kerana kebanyakan yang memenangi pilihanraya ini adalah calon pro rakyat dan kaum buruh.
Apa yang penting bagi saya ialah pimpinan parti seperti Hadi sendiri mendidik ahli parti dan rakyat semula.
Bagi saya pada hari ini kita sudah tidak ada pembangkang. Yang ada ialah dua kerajaan yang bersaing untuk mengekalkan kuasa.
Namun kegusaran Hadi itu tidak semestinya berhenti di situ tetapi harus berusaha mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka dengan bebas tidak kira pilihanraya umum, negeri dan kerajaan tempatan.

Wednesday, January 14, 2015

dari Jakarta

Diam tak diam sudah tiga pekan kami tinggal di Lebak Bulus, Jakarta Selatan kerana persekolahan Anur. Syukur kerana setelah dua tahun aku dan Sham bekerja keras, berpanas hujan berniaga, panjat tangga sini sana, juga duit jualan buku dapat kami ke mari. Kitty Centre adalah sekolah terbaik untuk anak Cerebral Palsy setakat yang kami temui. Mungkin banyak sekolah tetapi belum tentu menandingi kejujuran dan kesungguhan mereka. Ini diakui juga oleh ibu bapa anak anak di sini yang telah merata mencari tempat tetapi akhirnya kembali semula ke pusat untuk anak kebutuhan khusus yang diasaskan ibu Sinto.

Setiap pagi keluar dari rumah menyusur lorong kecil Anur akan disapa mesra jiran tetangga dengan panggilan yang meresap kemesraannya. "Dedek mau ke sekolah?", "Kakak mau berangkat? Moga bagus ya?", "Aduh! Si cantik mau ke mana?". Yang belum kenal akan berkenalan dan pastinya di akhir perbualan mereka akan mendoakan.
Untuk ke sekolah yang sejauh 500meter aku yang menolak kerusi roda Anur harus menyeberangi Jalan Karang Tengah Raya yang kecil tetapi merupakan jalan utama. Jalannya sangat sibuk, tak pernah sunyi. Di simpang yang tiada lampu isyarat kenderaan berasak siapa dahulu dia lepas itu, dengan ribuan penunggang motosikal yang laju tiba tiba berhenti memberi laluan untuk Anur. Di sekolah sewaktu anak anak ini dilatih mulut pelatih pelatih riang mengusik mereka. Menyanyi, memeluk dan mencium. Tidak geli dengan air liur. Kaum keluarga dan sanak saudara belum tentu sanggup berbuat begitu. Ada pembantu yang telah menjaga anak istimewa ini sehingga 20 tahun. Dari kecil sehingga besar mereka jaga seperti anak sendiri.
Kalau aku kaya, kalaulah...akan aku sumbangkan kekayaan ke Kitty Centre tempat insan insan mulia membentuk intan ini.
Ya, jangan fikir berhijrah semudah yang disangkakan. Itu perlu dihadapi dengan sabar. Hidup sederhana apa adanya. Tidak perlu peduli kata kata negatif. Dan kepada keluarga serta teman teman rapat yang menyumbang secara konsisten setiap bulan kerana menganggap ini sebuah perjuangan, terima kasih. Tidak kira anda superstar mahu pun yang pemalu, anda memang megastar bagi kami.

Thursday, January 8, 2015

Terroris Agama VS Terroris Seni

Kita bersimpati dan tidak langsung menyokong sebarang bentuk tindakan ganas yang melampau seperti pembunuhan kejam yang berlaku di pejabat Charlie Hebdo, sebuah akhbar satira Perancis sehingga menagih dua belas korban termasuk empat orang kartunis. Mana-mana pembunuhan atas nama agama, bangsa atau apa motif pun adalah kejam. Baik di Palestin, Syria, Amerika atau di mana pun. Kita tidak menyokong terrorisme. Namun peristiwa Charlie Hebdo tidak berlaku tanpa sebab. Ia dipercayai sebagai reaksi ganas ekoran penyiaran kartun yang menghina Islam, termasuk mempersendakan pemimpin gerakan Islam. Akhbar ini memang selalu mempersendakan agama-agama, selalu mengeluarkan kartun menghina Nabi termasuk Rasulullah SAW. Nyatanya, seperti hukum alam ada aksi maka ada reaksi, berlakunya tembakan di pejabat Charlie Hebdo adalah sebuah reaksi dari aksi yang melampau.

Bagi saya jika tindakan kejam membunuh diklasifikasikan sebagai terrorisme, maka sebarang bentuk kerja seni sama ada lukisan, tulisan, foto, filem yang menghina apa juga agama, nabi-nabi yang diimani oleh penganutnya, pengamalnya adalah sebagai terroris seni. Fitrah beragama sudah wujud sejak manusia pertama lahir ke bumi. Apa agama dan kepercayaan seseorang itu ia adalah mengikut apa yang dia percaya. Sama ada seseorang itu tidak percaya wujudnya Tuhan dan enggan hidup beragama, itu juga hal sendiri. Jika tindakan terroris membunuh itu dianggap tidak bertamadun, menghina apa-apa agama juga adalah tindakan zaman jahilliyah. Tidak boleh terlalu apologetik kerana penghinaan dalam bentuk karya seni adalah suatu provokasi yang bakal mencetuskan berbagai lagi aksi ganas sebagai tindak balas dari respon tersebut. Jika selepas ini umat Islam atau apa juga penganut agama lain menjadi mangsa keganasan kerana membalas tindakan ganas satu kumpulan ekstrim yang sebenarnya juga bertindak balas ekoran dari sebuah karya terroris seni yang cuba membuat provokasi, dunia akan menuding jari dan kesalahan akan diletakkan di bahu terroris agama. Kita menenggelamkan dan membisu terhadap terroris seni yang sebenarnya cukup berniat jahat dengan perancangan yang cukup tersusun.

Seniman sejati tidak akan menghina mana-mana kepercayaan agama, rasulnya lebih-lebih lagi Tuhan. Melainkan mereka punya agenda tertentu atau dibiayai pihak tertentu maka berlakunya demikian. Seniman sebenarnya lebih merasai keberadaan Tuhan atau mencintai kehidupan yang harmoni. Kebebasan berkarya bukan bermaksud menghalalkan kebebasan menghina. Kebebasan berkarya atau kebebasan melahirkan perasaan mesti punya tanggungjawab jika mengaku bangsa bertamadun. Jika menghina agama, Tuhan dan pengamalnya dikategorikan sebagai kebebasan berekspresi mungkinkah membunuh juga boleh dikategorikan sebagai hak untuk berekspresi? Atau membenarkan anak-anak kita membaca atau menonton karya-karya lucah atas nama 'freedom of expression' atau 'freedon of speech', boleh? Silakan dan saksikan sama ada kehidupan ini akan bertambah harmoni atau tidak.

Kita menentang juga amalan rasisme. Banyak forum, diskusi dan sebagainya membincang dan mengutuk amalan rasisme sehingga suatu masa kita mencadangkan fahaman rasisme adalah suatu jenayah yang perlu dihukum kerana boleh memporak-perandakan masyarakat. Karya seni yang menghina agama juga adalah suatu bentuk rasisme. Ia diselitkan sebagai kononnya sebuah karya seni. Apakah kerana menyokong kebebasan bersuara dan berekspresi maka kita terlupa dengan isu rasisme yang kita tentang selama ini? Isu rasisme yang menyusup dalam karya seni. Karya seni sebegini tidak perlu dibincangkan di forum atau majlis diskusi. Buat leceh dan buat letih. Ia jelas bermesej jahat, buat provokasi dan mengundang respon ganas. Ia adalah terrorisme dalam seni dengan niat jahat yang memancing respon keganasan terroris. Seperti membunuh, karya seni yang menghina kepercayaan apa juga agama bagi saya adalah jenayah.

Ya, ada aksi pasti ada reaksi tetapi reaksi juga boleh dimanipulasi. Apakah pasti serangan itu benar-benar dari suspek yang tertinggal kad pengenalan di dalam keretanya? Atau kerja Al Qaeda Yaman seperti didakwa dan diakui pihak yang menyerang? Atau ini taktik konspirasi pihak tertentu kali ini menggunakan saluran seni untuk memanjangkan lagi isu bagi menghalalkan sesuatu yang lebih besar lagi? Seperti isu 9/11, atas alasan memerangi terroris yang menghentam menara WTC, Afghanistan yang gersang dilanggar menjadi padang jarak padang tekukur. Atas alasan senjata kimia, Banghdad hancur dibedil? Apa juga pun ia tetap ganas dan ekstrim yang kita tidak mahu lihat ia berlaku. Maka itu, suatu punca penyebab keganasan seperti karya seni yang menghina lebih-lebih lagi menghina Tuhan, agama atau kaum wajar diklasifikasikan sebagai jenayah dan terrorisme seni dan patut dibanteras.
Wallahua'alam.






Wednesday, January 7, 2015

Yang! Saya Melayu-Islam. So?

Politik perkauman bangang yang dimainkan oleh Umno dan NGO sekutunya memberikan kesan buruk terhadap bangsa Melayu itu sendiri dan juga Islam. Ia menjadikan orang bukan Melayu dan bukan Islam bukan setakat membenci mereka malah terus mengheret bangsa dan agama. Ini diparahkan lagi apabila Melayu-Islam yang anti Umno dan pro Pakatan Rakyat.
Akhirnya orang Melayu-Islam seperti aku berasa tidak selesa apabila bercakap soal bangsa dan agama. Apabila sesekali aku bercerita tentang Melayu, rakan aku yang pro Pakatan Rakyat akan berkata, "Ah! Tak relevanlah cerita pasal Melayu.". Lama kelamaan hendak sebut Melayu pun takut. Dikatakan pro Umno. Itu belum bercakap dengan kawan bukan Melayu lagi. Macamlah mereka tidak langsung bercakap soal bangsa mereka. Maaf jika jubur anda panas. Ini realiti kekalutan hari ini. Gara gara politik sial politikus Umno/Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, kita semakin resah berprasangka dalam kononnya hendak melangkah maju menuju 2020.

Juga apabila bercakap soal Islam apatah lagi isu hudud, pasti mata teman teman bukan Islam akan tajam menjeling jika aku isytihar aku sokong hudud. Mata teman teman Melayu-Islam tak kira Pakatan Rakyat atau Umno yang tidak setuju hudud pun buntang agaknya. Aku setuju hudud dilaksanakan kerana aku muslim yang percaya hukum yang dianjurkan di dalam kitab suci Al Quran adalah terbaik. Rukun Iman juga membariskan percaya kepada kitab adalah syarat iman. Sebagai muslim wajib ada walaupun sebesar hama impian hukum anjuran Al Quran ditegakkan di bumi ciptaan Allah ini. Tetapi politik gopoh politikus dalam PAS (Pembalakan Islam SeMalaysia) yang tidak habis habis memainkan isu hudud menyebabkan kek menjadi rosak. Akhirnya aku melihat komen komen rakan Melayu-Islam luar PAS dan juga rakan bukan Islam bukan setakat menghentam PAS tetapi kenyataan mereka telah menghina agama Islam sendiri sama ada disengajakan atau tidak. Ada kawan bukan Islam berkata dia menentang hudud kerana menentang kezaliman terhadap semua manusia walaupun berbuat kesalahan. Opah kamu! Kamu tak tahu apa apa dan kamu merepek! Belum lagi dengar komen Melayu-Islam yang anti PAS. Tak setuju dengan PAS tetapi yang dilekehkan adalah hudud. Kerana politik perasan alim politikus.
Agama untuk kesejahteraan bukan buka mata waktu pagi sehingga nak tidur malam hari kerjanya Allah nak mencari dosa dan menghukum kita aje. Sebelum laksana hudud yang dianjurkan oleh Al Quran tanya dulu apa lagi yang lebih banyak dituntut untuk dilaksanakan di dalam kitab suci Al Quran? Sudahkah dipenuhi? Kemiskinan sudahkah dikurangkan? Sudahkah terbela nasib rakyat yang lemah? Cukupkah peluang pekerjaan untuk rakyat? Adakah rakyat semuanya berumah? Yang nyata rumah kamu makin besar, kenderaan makin mahal yang kamu pandu.
Apa pandangan kamu tentang Orang Kelainan Upaya (OKU)? Apa yang dituntut oleh Islam untuk membela mereka? Apakah hudud lebih didahulukan? Dan warga lemah ini jika mencuri akan dihukum? Dan apakah juga bila berbicara tentang Melayu kita ini racist dan penindas?
Bagaimana jika kami bukan Umno dan bukan PAS. Apakah kami bukan Melayu dan bukan Islam? Tapi bila aku berhujah seperti di atas kepada teman teman PAS dikatakannya aku kufur dan berdalih dalih.
Memang sial politikus ini. Habis semua dirosakkan!

Tuesday, January 6, 2015

keadilan Islam PAS, keadilan Parti Keadilan Rakyat

Berbuih jubur cakap pasal keadilan, pasal moral, pasal Islam,pasal moral, pasal kebebasan bersuara, tentang meraikan perbezaan pendapat, dua Parti yang mengutuk betapa Umno adalah musuh kepada semua itu rupanya lebih parah dari itu.
Umno memang kita tahu tahap kecibaian mereka dalam isu keadilan memang cibailah tapi yang menamakan agama atau yang menjunjung keadilan tu parah sungguh.
Apa nilai yang mereka terapkan kepada ahli bawahan? Jangan kritik pimpinan. Dan amalan buli terus dilakukan. Perhatikan isu Menteri Besar Selangor tempoh hari. Pembongkaran dilakukan untuk memburukkan imej tetapi pada masa yang sama dilakukan juga oleh Pulau Pinang tetapi penyokong mesti diam. Kamu tak tahu, kami pimpinan lebih nampak apa yang kamu tidak nampak. Apa yang Dr Mahathir buat kepada Anwar Ibrahim ditiru pula oleh Anwar untuk gulung Khalid Ibrahim. Aku tidak kisah nak ganti Menteri Besar dengan kunyit mana pun (asalkan bukan Wan Azizah Adun kediaman aku tu) tetapi permainan busuk itu menjengkelkan. Hanya badut-badut pengampu aje yang buta karai. Keadilan punai apa?

Keadilan bagi PAS pula? Islam menurut PAS? Tanya editor Harakah saudara Lutfi Othman yang dipecat. Atas alasan apa sebenarnya? Kesihatan beliau atau tulisan yang mengkritik pimpinan yang menggelarkan diri mereka ulama? Diminta pencen illat tapi tak pernah melihat rekod perubatan beliau.

Begitulah senda gurau badut-badut yang nak bekerja makan gaji sebagai pemimpin kita. Yang nak jadi penentu apa yang betul apa yang salah untuk kita pilih dalam kehidupan. Mereka ada kotak Pandora untuk tunaikan impian kita. Kita punya impian mereka yang hendak jaga.
Ketawakan mereka!

Monday, January 5, 2015

e coli dan e-bebal

Kebebalan badut-badut politik makin parah. Kutuk-mengutuk menjadi ritual mereka. Inilah yang diajar, dididik atau ditarbiyyahkan oleh pemimpin politik sama ada disedari atau tidak. Inilah yang telah dibudayakan sejak dulu hingga kini.
Apabila banjir mereka mengucapkan kesedihan, mendoakan semuanya selamat (di laman sosial doanya) kemudian mereka mengutuk pemimpin politik kebencian mereka dan mempertahankan yang mereka jilat.

Hari ini apabila PM dikhabarkan kena e-coli mereka pun mempermainkan penyakit tersebut. coli sana coli sini. Dek kerana kebangangan politik kepartian dan taksub, mereka mempermain-mainkan penyakit. Jika benar...diulang jika benar..virus e-coli merebak bermakna mangsa-mangsa banjir juga terdedah dengan wabak tersebut. Harus mengambil langkah sewajarnya. Bukan mencoli-colikan sesiapa. Sebutannya bukan coli, tapi e-kolai wahai e-bebal!

Tiba-tiba mereka yang pernah berkhutbah tentang bagaimana Rasulullah menziarahi musuhnya yang sangat membencinya sakit dan mendoakan kesembuhan hilang pertimbangan. Yang ada dalam kepala adalah coli, coli, coli bini. Eeeeee-Bebalnya!

Dan tersebar pula foto babi masuk perpustakaan. Apa yang peliknya babi tersesat masuk perpustakaan berbanding manusia sesat masuk hutan dan memusnahkan habitatnya? Siapa lebih babi?

Apakah suatu hari nanti binatang akan mengajar manusia sebagaimana burung mengajar cara-cara mengebumikan jenazah dalam kisah Habil Qabil?

Sunday, January 4, 2015

Sampah politik

I.

Sampah bermaksud sesuatu yang kita tidak mahu lagi. Setelah kita ambil atau guna sesuatu, selebihnya, baki atau sisa dari itu dipanggil sampah yang akan kita buang. Kalau di luar rumah kita akan membuangnya ke dalam bekas sampah. Atau mungkin kita buang merata-rata, mencampakkan dari tingkap kereta. Kerana kita tidak mahu tengok ia lagi. Tak berguna.

Jika di rumah kita akan membungkusnya, meletakkan ke dalam tong dan akan datanglah nanti pekerja memungut sampah itu. Jika berhari-hari tidak dipungut kita akan bising kerana kita sangat bencikan sampah. Sampah yang tak dipungut ini akan membiakkan berenga, ulat dan langau. Kekotoran ini akan menarik tikus dan cencorot membahamnya. Kuman membawa penyakit. Kita takut maka kita akan bising supaya segera diambil. Pekerja sampah pun ambil. Sampah dan pekerja angkat sampah sama tarafnya dari pandangan kita. Kotor dan segeralah berlalu.

Apa nasib sampah selepas itu bukan masalah kita lagi.


2.

Ahli politik yang cakap banyak, buat busuk, menyenakkan perut, membawa penyakit kelam-kabut dalam masyarakat juga patut dibuang. Tidak kira yang tua atau yang muda, kalau banyak cakap, banyak membohong, cakap berdegar janji itu dan ini tapi kosong wajib kita bungkus dalam plastik hitam dan buang. Biar tikus, cencorot yang mengampu mereka menghidu, menjilat lendir sampah kebanggaan mereka. yang mengaku pembela, pejuang, wira rakyat sama ada parti pemerintah atau yang teringin nak memerintah kenalpastilah sampah ini.
Sampah yang berlakon bersila di serambi rumah rakyat, mendukung anak kecil, mencium nenek ketika musim pilihanraya tetapi hakikatnya rumah mereka makin besar, kereta mereka bertukar, penjilat-penjilat celah kangkang semakin ramai, membina kem, berpuak-puak, mengadu domba, memijak kawan demi kerusi hanya satu kata -> Bungkus dan buang!

Mereka ini adalah sampah masyarakat yang patut dihumban dan hanya layak hidup di dalam masyarakat sampah.
 
foto ehsan dari internet. kredit kepada pengkarya ini.

Saturday, January 3, 2015

badut-badut politik 2015

Banjir membuat orang-orang politik dan penyembah mereka terus bodoh. Nak berkhidmat harus ada publisiti, mesti masuk frame. Lepas tu kutuk saingan politik mereka tidak membantu, tidak turun padang. Pengampu mereka lebih lagilah. Najib dikutuk bukan sahaja di Malaysia tetapi media negara jiran juga apabila didapati enak bermain golf atau cuba menjadi caddie Amerika ketika rakyat di bawah pimpinannya tersiksa dilanda banjir. Ini wajar dikutuk malah Dr Mahathir juga mengutuk di laman sosial. Pengampu Najib mempertahankannya. Main golf penting untuk negara kata mereka.
Penyokong Anwar masih senyap sebab Anwar pun di luar. Nanti bila ditanya ke mana wira rakyat yang selalu berkata anak Melayu, anak Cina, India, Iban, Kadazan anak kita itu pergi tak tahu nak jawab apa. Nah! Anwar dah balik dan Rosmah pula dikatakan masih di luar negara dengan pesawat negara. Najib awalnya bersama tetapi setelah dikutuk pulang dengan pesawat lain. Penyokong Anwar pun berkokok mana ghaibnya Rosmah.
Inilah badut-badut kita di tahun 2015. Setengah dekad menuju 2020.
Kutuk-mengutuk sesama. Itu aje.
Kita? Kita pun wajib mengutuk mereka. Kalau tak nak kutuk, ketawakan mereka.
Teruskan berhibur dengan badut-badut serakah ini.