Sunday, September 27, 2015

Apak: Politik manusia dalam masyarakat binatang

Ayam banyak disebut dalam pepatah, perumpamaan, bidalan mahu pun peribahasa Melayu. Ayam tambatan, ibu ayam, hangat-hangat tahi ayam, curi ayam dan bermacam-macam lagi. Anda boleh rujuk lagu Ayam nyanyian Jalil Hamid untuk melihat bagaimana orang dulu-dulu membuat perumpamaan dari anggota badan ayam baik leher, taji, balung, ekor sehinggalah ke tahi.
Apak, komik bersiri karya Don (Saadon Ishak) yang pernah tersiar di majalah Gila-Gila pertengahan 80an menyingkap ragam kehidupan masyarakat binatang dengan seekor ayam jantan menjadi watak utama. Tidak perlu membincangkan tentang 'stroke', lukisan dan garisan kartunis yang cukup hebat dengan karya-karya sebelumnya seperti Awang Incredible, Pendekar Mato Tige, Joned mahupun DanDinDon yang diangkat ke dunia animasi kerana umum sudah maklum akannya. Don adalah antara kartunis yang memainkan peranan penting dalam sejarah awal penerbitan majalah Gila-Gila. Apak adalah simbolik politik manusia yang sengaja dipersembahkan dengan binatang menjadi pelakonnya.
Kita pernah dengar ungkapan 'Di dalam dunia binatang tidak ada manusia tetapi dalam dunia manusia memang banyak binatang', sama ada disengajakan atau mahu mengalih perhatian untuk tidak terlalu dilihat nyata, melalui Apak, Don bereksperimen dengan pemeran utama karyanya kali ini seekor ayam jantan. Atau mungkin menukar selera mencari kelainan tanpa ada apa agenda, boleh belaka. Kita boleh berimaginasi menukarkan semua watak binatang ini menjadi manusia dan kesan komik ini pasti lebih dapat dirasakan.
Apak pada episod pertama diperkenalkan dengan sosok ayam jantan yang gagah, kacak dan mempunyai sifat kepimpinan selain bapa yang tegas tetapi penyayang. Biarpun sesekali malas tetapi kewajipan harian berkokok mengejutkan penghuni alam bangun pada waktu subuh tetap ditunaikan. Tok Janggut, kambing tua adalah watak sampingan yang bersifat pendamai. Walaupun berbeza keturunan iaitu seekor kambing di tengah masyarakat ayam, Tok Janggutlah juga yang cuba meleraikan perkelahian antara Apak dan Dogol ketika ayam yang lainnya termasuklah kucing kurap menjadi tukang hasut dan batu api. Inilah sikap negatif masyarakat cuba dikritik oleh Don yang lebih suka melihat orang bersengketa dari meleraikan. Malah kaki sibuk ini turut menyertai Apak mencederakan Dogol yang sudah lemah ditewaskan seperti kata pepatah 'pokok tumbang kura-kura pun nak panjat'.  Nyaris tuan Dogol sempat menyelamatkan dari mati disembelih mereka.Tok Janggut jugalah yang kelam kabut mencari Apak di sungai membawa anak-anak mandi menyampaikan berita duka isteri Apak hendak disembelih oleh tuannya untuk lauk raya.
Kata orang sahabat adalah harta yang tak ternilai. Sahabat yang setia akan menolong sahabat yang di dalam kesusahan walaupun kadangkala berdepan dengan persoalan betul dan salah. Begitulah cuba dilakukan oleh Apak sebaik mungkin apabila kawannya Togel dituduh melakukan perbuatan tak senonoh dengan isteri ayam lain. Togel dituduh berdasarkan bukti telur yang dijumpai di sanggar isteri Jalak. Togel disyaki kerana tidak ramai yang menghasilkan telur gred C. Togel dibelasah Jalak sehinggalah Tok Ketua masyarakat ayam tiba untuk menyelesaikan. Apak barangkali berkonspirasi dan dengan menggunakan helah taktikal, telur yang menjadi bukti kes terjatuh lalu pecah. Tiada bukti maka tiada kes. Dalam perjalanan pulang, secara peribadi Apak bertanya apakah telur itu milik Togel dan Togel menjawab, "Kau macamlah baru kenal aku sehari dua." Mereka ketawa bersama termasuklah Tok Janggut yang mengiringi mereka. Kerana sahabat kadangkala kita bersubahat. Dalam politik jangan dicari rasional, benar atau salah bergantung pada kem yang mana. Jika musuh buat ia salah tetapi jika kem kita lakukan perkara yang sama, tak mengapa.
Turut mencuit hati diselitkan beberapa adegan dan watak sampingan mengisi cerita seperti sekumpulan kerbau yang sedang berkubang berbual tentang arus kemodenan dan ekonomi semasa sebelum Apak melintasi mereka. Dan kehadiran Balau, sang kerbau yang cuba menjadi kaunselor ketika Apak kesedihan kerana kematian isteri. Kaunselor yang cuba menyampaikan kata-kata motivasi pada waktu yang tidak sesuai dengan teori yang tidak praktikal diminta diam oleh Apak. Sebuah 'troll' yang tajam dan sinikal.
Seperti saya kata pada awal tadi cuba baca komik Apak buah tangan cemerlang kartunis Don ini dengan membayangkan watak-watak itu manusia, sifat kehaiwanannya lebih terasa. Ia dibukukan dalam bentuk koleksi berwarna terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd.

Saturday, September 26, 2015

Wajah ke-Malaysiaan kartun Lee Inas

Bagi saya, Lee Inas antara kartunis yang menampilkan komedi berisi dan bijak. Lee Inas menyampaikan persoalan harian di sekeliling yang serius dalam bentuk humor. Sinis, kreatif dan kritis.
Himpunan karya Lee Inas yang bertajuk The Best Of Lee Inas terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd 1995 dapat menjadi rujukan hala tuju dan objektif seorang karyawan bernama Lee Inas dalam sejarah perkartunan tanahair.
Kematangan 'stroke' Lee Inas sangat mengkagumkan dan dapat dilihat perubahan mendadak yang sungguh cemerlang. Halus kasar garisan yang dimainkan oleh Lee Inas sama ada dengan pen atau berus sangat mengasyikkan. Saya melayan karya beliau bukan sekadar membaca dan menikmati humor sahaja malah seolah sedang mengikuti tutorial penggunaan berus dan dakwat.
Lee Inas kerap menghasilkan karya 'dokumentari kartun' dan selalunya perihal isu semasa, kehidupan yang berkait rapat dengan resam masyarakat Melayu, masyarakat majmuk di Malaysia dan sebagainya. Contohnya tentang Gong Xi Fa Chai, Lee Inas walaupun bukan orang Cina berjaya menghasilkan kartun perayaan tersebut dari kacamata atau sudut pandang sebagai seorang rakyat Malaysia. Di sinilah perlunya seseorang kartunis itu melakukan proses penyelidikan sama ada melalui pembacaan ataupun pergaulan. Deria kesenimanan melalui proses tersebut mampu melahirkan karya yang berjiwa.
Lee Inas juga menjadi 'cina' melalui kartun bertajuk 'En. Ah Kow, Ah Fatt dan Hari Raya' apabila merakamkan diari Ah Kow dan anaknya Ah Fatt meluangkan sehari berhari raya di rumah kawan kawan muslim. Suasana kemeriahan hari raya digambarkan dan bagaimana dua beranak tersebut bersungguh sungguh menyerikan hari raya walaupun menghadapi cabaran dan rintangan seperti kereta rosak di pertengahan jalan.
Dalam karya 'Kasim dan Selamah' Lee Inas mencuit sinis asam-garam hidup berumahtangga berlatarbelakangkan budaya dan resam Melayu. Tentang hubungan dengan mertua, pergolakan  yang timbul dan sering menjadi bahan bergaduh dalam rumahtangga, cemburu buta, menjaga tepi kain orang, dengan isu yang 'taboo' di kalangan masyarakat Melayu seperti contoh Kasim yang cuba menyelamatkan seorang perempuan yang sarat mengandung hampir melahirkan, membawa ke hospital menaiki motosikal dan dilihat oleh orang kampung lalu terjadilah pergaduhan dengan Selamah yang cemburu dan salah sangka. Persoalan ini sekali lihat nampak seperti hanya sebuah cerita kelakar kosong tetapi inilah antara permasalahan masyarakat kita yang gopoh dan terburu-buru, cuba diangkat Lee Inas dalam karya beliau pada pertengahan  80an dan 90an.
Kartun lerang seperti Madu Tiga menceritakan sang suami yang hanya bercakap dengan isteri-isterinya dari luar rumah. Tidak perlu menunjukkan watak isteri-isterinya cukuplah hanya sang suami mencuba berbagai taktik untuk memujuk isteri-isterinya. Juga 9 To 5, komedi situasi dalam pejabat dengan watak seorang bos dan ragam staf yang masing masing mempunyai masalah atau konflik sendiri.
Jarang Lee Inas buat drama bersiri tetapi drama empat muka 'Din' yang beliau hasilkan sehingga bahagian kelapan sangat baik. Tentang dilema kutu kampung yang berpelajaran tetapi tidak tahu mahu buat apa untuk kariernya. Budaya makan gaji memang pegangan orang Melayu tipikal dari dulu sehingga hari ini yang dirasakan lebih selamat, terjamin dan mempunyai masa depan yang cerah berbanding bekerja sendiri. Semakin banyak gaji semakin tinggi saham pada pandangan mata orang kampung dan layak dibuat menantu. Plot yang perlahan dengan unsur dramatik mengingatkan kita kepada komik Mat Som, ataupun Not oleh Lat. Ternyata Lee Inas juga bijak memainkan emosi pembaca dengan gaya garapan jalan penceritaan beliau yang tersendiri. Din, penganggur yang menaruh hati kepada Latipah ternyata tewas dengan Cikgu Karim yang dilihat lebih stabil. Profesion guru sudah tentulah meyakinkan anak gadis kampung. Watak-watak lain seperti bidan baru yang muda sangat gemar diusik kawan-kawan Din, juga si emak yang kuat membebel memang wujud. Din melihat Kuala Lumpur menjanjikan harapan yang tinggi lalu dia berhijrah ke sana menumpang rumah kawan sekampung. Memang ini budaya dulu, merantau ke kota. Bukan semua orang mampu mengharungi cabaran dan menyesuaikan diri. Din akhirnya pulang ke kampung mengerjakan tanah sendiri. Kesedaran membangunkan tanah sendiri dengan bercucuk tanam atau berladang, sesuatu yang sangat mendatangkan pulangan lumayan tetapi telah dilupakan oleh kita.
Lee Inas adalah kartunis yang peka, sensitif dengan sekeliling dan memahami adat budaya. Tidak keterlaluan untuk mengiktiraf beliau juga adalah antara kartunis yang mengangkat dunia kartun berkonsepkan ke-Malaysiaan dengan gaya tersendiri yang bijak dan menghiburkan.
(Foto-foto adalah dari koleksi The Best Of Lee Inas terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd dan majalah Gila-Gila terbitan syarikat yang sama)

Novel Amuk Malam Merdeka oleh Ronasina

Di sana sini. Untuk memesan bank in RM26.50 untuk senaskhah (sudah termasuk kos penghantaran) ke akaun Maybank Mohd Affandi bin Ramli 156114001424.
Inbox di akaun facebook Ronasina Fandi slip pembayaran dan berikan alamat serta nombor telefon

Saturday, September 19, 2015

Kita ini 'Abu' yang mana?

"Geram betul aku dengan si anu itu. Entah kenapa dia sakit hati sangat dengan aku sampai kenaikan pangkat aku pun gagal disebabkan sabotaj daripada dia. Perangai mengalahkan Abu Jahal!” Rongos rakan saya sewaktu kami duduk minum-minum di sebuah restoran. Saya hanya diam. Yang saya fikirkan bukan masalah yang dirungutnya itu tetapi entah mengapa tiba-tiba fikiran saya terkesan dengan nama Abu Jahal yang disebutnya. Kejahatan watak kenalan yang diceritakan oleh kawan saya tadi tenggelam kerana saya lebih tertarik dengan watak Abu Jahal itu dan entah mengapa fikiran saya mula menyelak watak-watak ‘Abu’ di sekeliling Rasulullah S.A.W dahulu. Saya dapati watak ‘Abu- Abu’ ini begitu hebat dan menyumbang banyak dalam sirah Rasulullah menegakkan Islam tidak kira watak itu jahat ataupun baik. Dan watak-watak itu saya rasakan tidak mati malah terus wujud sehingga hari ini. Ia seperti reinkarnasi.

Saya teringatkan Abu Lahab, paman Rasulullah sendiri yang cukup-cukup menentang dakwah Rasulullah. Digambarkan perwatakannya cukup ganas malah gelaran Abu Lahab itu sendiri membawa maksud api kemarahan yang cukup marak. Kebenciannya terhadap gerakan Rasulullah sangat kuat dan sentiasa cuba menzalimi Baginda S.A.W dengan seribu satu perancangan kotor. Watak Abu Lahab ini diabadikan di dalam Al Quran sebagai salah satu surah dan di dalam surah itu Abu Lahab dicerca.

Seorang lagi paman Rasulullah, Abu Talib berbeza pula wataknya. Abu Talib pemimpin dan pelindung Bani Hasyim, sangat dihormati sehingga kaumnya segan untuk mengganggu Rasulullah dek kerana keperibadian Abu Talib itu sendiri. Abu Talib begitu menyayangi Rasulullah, melindunginya dan mengakui kebenaran apa yang disampaikan Muhammad S.A.W tetapi sehingga ke akhir hayat, Abu Talib tetap kekal dengan pegangannya dan tidak memeluk Islam. Puas Rasulullah memujuknya di perbaringan saat nyawa di hujung hidung tetapi sia-sia. Walaupun mengiktiraf keponakannya tetapi Abu Talib enggan berubah (walaupun kemudiannya muncul perdebatan para ulama tentang keimanan Abu Talib dan kedudukan beliau di sisi Tuhan)

Ingatan saya beralih kepada pemimpin utama Bani Quraisy dari suku Bani Abdu Syams iaitu Abu Sufyan bin Harb. Awalnya beliau sangat menentang Rasulullah dan sentiasa berusaha untuk menggagalkan usaha Rasulullah akan tetapi apabila hidayah tiba, Abu Sufyan memeluk Islam dan benar-benar menjadi pejuang membela Islam. Keberanian dan sungguh-sungguh Abu Sufyan membela Islam begitu terbukti sehinggakan beliau kehilangan matanya di dalam Pertempuran Yarmuk dan beliau akhirnya dikenang sebagai salah seorang panglima Islam di dalam sejarah zaman berzaman.

Abu Jandal bin Suhail, di dalam kedudukannya yang masih baharu memeluk Islam terpaksa kembali semula ke Mekah, ke pangkuan kafir kerana kehendak perjanjian Hudaibiyyah yang dimeterai antara Baginda S.A.W dengan Suhail bapa kepada Abu Jandal sendiri. Abu Jandal telah disiksa dengan hebat, diuji keimanannya dan ketika berjaya melepaskan diri dari siksaan kaum bapanya, Rasulullah dan sahabat dengan sayu dan hiba meminta Abu Jandal kembali ke Mekah seperti dijanjikan walaupun Abu Jandal merayu untuk bersama Islam. Pengorbanan Abu Jandal agak berbeza kerana terpaksa murtad. Adakah watak Abu Jandal pada hari ini?

Ahh! Apa yang hendak dikhabarkan lagi terhadap Abu Bakr As Siddiq, sahabat karib Rasulullah yang telah bersama ke mana sahaja tidak kira ketika zaman susah apatah lagi pada waktu senang, sama-sama bersembunyi diburu musuh bahkan bukti keakraban beliau terhadap Rasulullah dikuatkan dengan menyerahkan puterinya Aisyah untuk diperisterikan Rasulullah. Apa sahaja yang dikatakan Rasulullah adalah benar belaka tanpa ragu-ragu walaupun ketika terjadinya peristiwa Isra’ dan Mikraj yang sangat mencabar akal waras manusiawi.

Abu Lahab walaupun sudah diberitahu tetapi tetap menentang sehingga akhirnya. Abu Talib walaupun menyokong tetapi tidak mahu berubah dari pegangan lama. Abu Sufyan penentang utama tetapi apabila menerima, menjadi pembela setia pula sehingga ke akhir. Abu Jandal, hatinya setia tetapi terpaksa menurut apa yang dimahukan pihak lain demi sesuatu perkara lain. Abu Bakr, apa pun yang diberitahu tanpa ragu dan curiga terus percaya dan yakin.

Selembar demi selembar nama-nama sahabat yang lain seperti Abu Dzar, Abu Hurairah dan lain-lain mengetuk jemala. Saya cuba mencari hubungkait watak-watak ini dengan diri saya dan watak-watak persekitaran saya yang hidup pada hari ini. Bahkan ketika kawan saya merungut di awal cerita saya ini tadi saya tidak pasti di manakah kedudukan saya. ‘Abu’ yang manakah saya pada hari ini di dalam kehidupan yang serba mencabar dan menuntut pendirian yang tegap ini? Abu Sufyankah saya atau Abu Talib? Atau saya terawang-awang tidak menjadi apa pun, hanya seperti abu terbakar yang ringan ditiup taufan? Kalian juga bagaimana? Abu yang mana?

*tulisan ini ditulis pada November 2012 untuk kolum sebuah majalah berkonsepkan Islamik yang mana aku dijemput menjadi kolumnis. Tak sempat tulisan pertama ini diterbitkan majalah yang beroperasi lebih sepuluh tahun itu menghentikan operasinya.

Wednesday, September 16, 2015

16 September dan kecelaruan identiti Melayu

Disiarkan di The Malaysian Insider

16 September dan kecelaruan identiti Melayu

Oleh Ronasina

Kalau tidak kerana acah-acah menyakat Anwar Ibrahim akan berlakunya perubahan Kerajaan Persekutuan pada 16 September 2008 sempena tarikh Pembentukan Malaysia pada tarikh yang sama dalam tahun 1963 apabila dikatakan ahli parlimen Barisan Nasional akan melompat menyokong Pakatan Rakyat, pastilah sehingga hari ini kita tidak mengendahkan tarikh itu. Dek kerana itu, tarikh pembentukan Malaysia melibatkan Sabah dan Sarawak telah dinobatkan dan diiktiraf di dalam takwim kalendar sebagai Cuti Am dan semangat sambutannya juga dibuat (sengaja?) hampir menyamai sambutan Hari Kebangsaan.
Telah 52 tahun berlalu tetapi kecelaruan identiti bangsa Melayu yang menjadi teras identiti wajah Malaysia bukan sahaja mengelirukan malah semakin parah. Sentimen perkauman terus dimainkan parti pemerintah demi untuk mengekalkan kuasa yang semakin tergugat. Dimomokkan isu Ketuanan Melayu, Malaysia Melayu Punya dan muncung senjata perkauman dihalakan ke arah kaum cina yang dikatakan cuba merampas Malaysia dari orang Melayu. Benih kebencian disemai dan ketakutan rakyat direka.
Apa yang berlaku hari ini sebenarnya adalah kesan merdeka setengah masak (meminjam istilah yang digelar Allahyarham Doktor Burhanuddin Helmi) Persekutuan Tanah Melayu hasil rundingan bersama British dan budak belaannya United Malays National Organisation (Umno). Umno tidak mampu membuat dan membiarkan penjajah merekacipta Perlembagaan Persekutuan. Bayangkan tiada anak jati negara ini duduk dalam panel Suruhanjaya Reid dan merelakan wakil dari British, India, Pakistan dan Australia yang tidak faham adat budaya negara mencipta garispanduan hidup dan hala tuju negara kita sehingga hari ini. Inilah maksud merdeka setengah masak Doktor Burhanuddin Helmi.
Kelam-kabut politik semakin haru dekad ini bilamana api perkauman yang dinyalakan Umno disambut pula secara salah oleh pihak pembangkang yang terikut-ikut rentak tarian Umno. Perlu diingat Umno bukan mewakili suara orang Melayu sepenuhnya malah dalam Umno sendiri bercampur-aduk Melayu palsu yang menyamar untuk meraih peluang kekayaan mahu pun kekuasaan. Kerana masih juga berfikir itulah suara mewakili semua orang Melayu, isu-isu perkauman yang dijolok Umno kadangkala dibalas dengan tidak berhati-hati oleh pihak pembangkang sehingga menyinggung kebanyakan orang Melayu. Kita perlu ingat dan jangan sesekali mempunyai satu kesimpulan bahawa semua orang Melayu itu adalah di dalam Umno ataupun di dalam parti politik lain seperti Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) dan lain-lain. Di luar parti politik, lebih ramai lagi Melayu yang tidak hairan dengan gula-gula subsidi atau Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Jadi tulisan ini membincangkan tentang Melayu yang BUKAN Umno kerana Umno sudah kita tolak ke tepi kerana kebusukan yang tidak boleh disandarkan kepercayaan lagi. Wajar dibuang!

Perlunya memahami psikologi Melayu

Pihak pembangkang khususnya Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang selalunya lantang berperang sama ada isu Ketuanan Melayu mahu pun tentang agama Islam adalah antara salah satu faktor yang menyebabkan orang Melayu tersinggung. Ya, sepertimana PAS yang mengecewakan orang Cina. Tetapi kita sedang bercakap tentang orang Melayu bukan Umno atau PAS. Orang Melayu tidak selesa apabila isu agama atau bangsa diganggu. Isu hudud misalnya, kebanyakan orang Melayu juga tidak meyakini kemampuan PAS melaksanakannya tetapi mereka tidak mengkritik hudud yang termaktub di dalam Al Quran. Mereka beriman dengan Al Quran dan percaya dengan keadilan hudud yang dianjurkan Al Quran. Yang disangsikan kemampuan PAS. Tetapi apabila orang bukan Melayu dan bukan Islam menghentam PAS dan memperlekehkan hudud dengan mengejek ejek potong tangan sebagainya, bagi mereka ia biadab dan melampau. Begitu juga isu-isu lain seperti menjadikan hadis Nabi bahan lawak disebabkan ia keluar dari mulut mufti yang terang-terang agen pemerintah. Yang mengapi adalah Melayu Umno tetapi pembangkang dan penyokong terlajak membalas dengan menghentam Melayu keseluruhannya. Melayu luar parti ini adalah pemerhati yang berhati-hati. Orang Melayu tidak takut melakukan perubahan sebenarnya. Orang Melayu Kelantan telah menumbangkan Umno pada tahun 1990. Terengganu dan Kedah juga pernah Umno tumbang di sana. Orang Melayu luar Umno jugalah yang melimpah di jalanraya Kuala Lumpur sewaktu Anwar Ibrahim dipecat dari Timbalan Perdana Menteri lalu terjadilah gelombang Reformasi. Tetapi mereka memerhati dan menimbangkan beberapa perkara semula untuk memilih setelah berlakunya beberapa perkara. Orang Melayu ini tahu konsep Malaysian Malaysia baik atas prinsip kesaksamaan tetapi mereka juga meragui keikhlasan DAP melaksanakannya. Orang Melayu, psikologinya masih memikirkan tentang Ketuanan. Maksud Ketuanan di sini bukanlah seperti yang dilaungkan Umno tetapi tentang teras yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan seperti agama Islam sebagai agama persekutuan atau juga Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Isu bahasa juga bukan sedikit menggugah kepercayaan mereka terhadap DAP. Menaikkan elaun sekolah agama atau membina rumah mangsa banjir di Kelantan bukan ukuran keikhlasan politik jangka panjang bagi Mereka. Ini hakikat yang harus diakui dan patut dicari penyelesaiannya untuk mengembalikan sokongan orang Melayu di luar Umno kepada pembangkang. Mereka tahu Umno sudah tidak boleh dipercayai lagi tetapi mungkin dalam satu-satu situasi kita tidak boleh menolak pilihan saat akhir mereka akan berubah. Bukan tidak sedar akan rasuah berbillion atau penyelewengan kuasa tetapi setelah hitungan campur tolak bahawa semua orang politik sama sahaja apabila berkuasa, rasuah dan kronisme pasti juga terus diamalkan; mereka memilih untuk mengekalkan keadaan. Di sinilah letaknya cabaran pihak pembangkang sama ada DAP, Keadilan, Amanah atau Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) yang memperjuangkan konsep Anak Bangsa Malaysia untuk mengkaji semula psikologi Melayu. Jangan terikat dengan takrif Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan. Mengkaji psikologi harus keluar dari kerangka Melayu dalam Perlembagaan. Jika sepuluh peratus lagi orang Melayu berjaya ditarik menyertai orang Melayu yang sudah lama menyokong pembangkang, diyakinkan tentang kepentingan mereka tidak diganggu gugat, dikesan apakah sensitiviti mereka, pasti lanskap politik negara akan berubah sepenuhnya.

Kecelaruan identiti Melayu

Krisis identiti Melayu serius meruncing hari ini kerana adat budaya telah dikacau penjajah. Melayu terpecah kerana latar sosio budaya, politik, pendidikan dan lain-lain yang berbeza. Dan kita merujuk 'Bangsa Melayu' berpandukan era penjajahan British yang mengamalkan pecah dan perintah. Sumber kita pun dari British.Takrif Bangsa Melayu sebenarnya lebih jauh lama dari itu. Sebelum kedatangan British lagi. Nusantara ini adalah Gugusan Kepulauan Melayu yang berbagai etnik. Orang asal di Persekutuan Tanah Melayu, Siam, Champa, Filipina, Sabah, Sarawak , Singapura dan Indonesia adalah di dalam Gugusan Kepulauan Melayu. Nama-nama negara dan sempadan antara negara di dalam Nusantara belum ada waktu itu. Ke Indonesia tidak perlu pakai passport. Pada zaman Kesultanan, orang dari Indonesia (nama Indonesia pun belum ada lagi) jika berhijrah ke Tanah Melayu tidak dipanggil pendatang asing kerana berasal dari satu nusantara. Begitu juga sebaliknya. Yang membuat pagar sempadan adalah British dan Belanda. Empayar Srivijaya adalah empayar Melayu terbesar. Pelbagai etnik atau orang asal bertutur dalam bahasa yang sama walaupun berbeza dialek. Melayu waktu itu tidak dirujuk sebagai kaum tetapi sebuah peradaban. Peradaban Melayu.

Melayu Ultra bukan Melayu Tulen

Kerana politik sempit dan menjilat penguasa yang semakin tersepit, sentimen perkauman dimainkan. Cina dan India dianggap pendatang dan tanah ini tanah milik Melayu. Sikap Melayu Ultra yang merasakan mereka benar-benar Melayu dengan menghunus keris, ucapan berapi dan mengumpan keganasan adalah langsung tidak menggambarkan ketulenan sifat sebenar Orang Melayu. Melayu Ultra yang mendabik dada mereka tuan tanah tidak merujuk sejarah untuk memahami budi bahasa Melayu tulen. Jikalau orang Melayu pada zaman Kesultanan Melaka itu mengamalkan rasisme tentulah pelabuhan Melaka tidak dikunjungi pedagang-pedagang asing di seluruh dunia. Orang Melayu sudah lama maju malah Melaka menjadi pusat dagang termasyhur di dunia. Bahasa Melayu menjadi Lingua Franca. Pentadbiran pelabuhan sudah tentulah cekap. Pedagang-pedagang berasa selamat berniaga kerana sifat orang Melayu yang terbuka, mudah menerima dan mengalu-alukan. Hang Tuah yang mewakili Kesultanan Melaka telah mengembara ke seluruh nusantara mengadakan hubungan diplomatik sehingga ke China. Dengan diplomasi dan lemah lembut, hubungan dua kerajaan terjalin. Puteri Hang Li Po berkahwin dengan Sultan dan sejarah kedatangan Baba dan Nyonya ke Melaka adalah bukti penting sifat Orang Melayu yang mudah menerima biarpun berbeza budaya dan bahasa. Orang Melayu waktu itu sudah jauh gemilang ke hadapan, mengapa hari ini boleh termakan dengan hasutan jahat bodoh penguasa korup sehingga Melayu hari ini mundur beratus tahun ke belakang pemikirannya sebelum terbinanya Empayar Srivijaya lagi? Inilah kecelaruan bangsa. Melayu Ultra bukan sahaja tidak layak sebagai cerminan Melayu Tulen malah telah menghina Bangsa Melayu itu sendiri.
52 tahun Pembentukan Malaysia dan 58 tahun merdeka bangsa Melayu dan bangsa Malaysia masih teraba-raba mencari identiti wajah. Orang Melayu, Cina, India dan semua kaum harus akur dengan sejarah dan bergerak ke hadapan mengikut garis sejarah. Kita tidak boleh menafikan sejarah, menafikan isu sebaliknya menjadikan sejarah suatu rujukan dalam membina rangka negara bangsa. Menghormati hak dan peranan semua. Hentikan politik pembodohan dan marilah menggali sejarah untuk mengenal kembali akar identiti dan jati diri kita jika mahu bergelar bangsa yang merdeka.