Tajuk:
Penulis Lirik Layak Jadi Sasterawan Negara
Berakhirnya Anugerah Juara Lagu 36 anjuran TV3 kelmarin menunjukkan betapa industri lagu negara kita masih tetap hidup dalam apa juga keadaan tidak kiralah pada era politik kita stabil, ketika bergolak teruk atau ketika ekonomi mencanak mahupun di waktu ia meleset. Lagu dan muzik masih tetap menjadi ubat jiwa kita semua. Tidak hairanlah lagu merupakan bahan perantaraan yang cukup ampuh dalam menyampaikan sesuatu mesej/pesanan/agenda/
Lagu Adalah Pakej
Bila sebut lagu bermakna ia adalah pakej gabungan melodi dan senikata (lirik). Dalam industri muzik tempatan sejak dahulu lagi sebenarnya kita tidak kurang dengan lagu-lagu yang mempunyai senikata hebat hasil tulisan penulis-penulis hebat. Dari zaman P.Ramlee kita ada S.Sudarmaji, Jamil Sulong, Yusnor Ef, Kassim Masdor (sekadar menyebut beberapa nama) sehinggalah ke hari ini ramai pelapis lahir seiring dengan perkembangan muzik itu sendiri.
Lirik sebuah karya sastera
Tidak keterlaluan kalau kita soroti beberapa senikata lagu yang dihasilkan oleh penulis senikata lagu adalah sebuah karya sastera yang indah dan bermutu tinggi. Penyanyi mengalunkan dalam bentuk lagu lirik-lirik tulisan Habsah Hassan, M.Nasir, S.Amin Shahab, Bob Lokman, Siso, Loloq atau Hairul Anuar Harun dan karya tersebut meniti dari hati ke hati, dinyanyikan semula oleh khalayak sehingga ke dalam bilik air. Tidakkah karya tersebut 'sampai'? Fikirkan!
Layakkah penulis lirik jadi Sasterawan Negara?
Jika ia memenuhi kriteria mengapa tidak? Beberapa penulis senikata lagu yang disebutkan di atas sangat prolifik dan konsisten menulis, menghasilkan karya yang dapat dinikmati berbagai lapisan masyarakat sehingga ia melekat di dalam kepala. Mereka telah cukup lama berada di dalam dunia penulisan senikata lagu. Lagu Merisik Khabar, Kekasih Awal Dan Akhir, Mentera Semerah Padi, Isabella, Cindai telah melangkaui sempadan kaum, umur dan negara dengan bahasa yang indah. Malah mereka ini mempunyai 'stok satu almari' senikata hebat yang perlu dikaji dan diteliti untuk diangkat. Saya berpandangan mereka mempunyai testimoni yang cukup untuk dimasukkan ke dalam senarai calon Sasterawan Negara sebaris dengan penggiat sastera lain. Ya, karya sastera yang indah, bahasa bermutu, pengkaryanya sangat prolifik serta mampu 'sampai' ke bilik tidur pendengar tidak cukup layakkah?
Mungkin kerana kita masih menganggap lagu dan muzik hanyalah sebuah hiburan ringan dan remeh maka ia tidak layak dibincangkan apatah lagi untuk diangkat sebagai sebuah khazanah hebat? Mengapa kita masih lambat seperti selalu? <Tamat>