Saturday, May 5, 2012
...dan musim bunga pun berlalu
Musim panas sudah tiba menggugurkan kelopak-kelopak bunga. Aku boleh menyesuaikan diri sedikit dengan cuaca yang menurut faham tubuhku seakan di Malaysia. Ya! Aku sudah mula diserang rindu. Kebanyakan restoran di sini minumannya terhad. Hanya teh cina, air botol dan arak sahaja. Aku ketagih kopi, teh halia, nasi lemak atau roti canai.
Dari kampung Da Niu Fang yang terletak di YongFeng Lu (lu: Jalan) daerah Haidian aku mengenali daerah lainnya seperti Chaoyang tempat tinggal Anna dan Zack, menyusuri Dongsi Shitiao tempat An Nur dihantar ke hospital tentera.
Kami selalu makan di restoran Sulaiman yang mana anaknya Sofia boleh juga berbahasa Inggeris. Mereka kata mereka akan ke Malaysia tahun hadapan dan kami meninggalkan nombor telefon jika sekiranya mereka jadi datang. Menurut Sofia restoran selang tiga bangunan dri mereka bukanlah restoran Islam sebenarnya walaupun di pintu masuk terpampang kalimah Syahadah dan di dalamnya ada hiasan gambar Mekah seperti kedai-kedai muslim yang lain. Kami pernah juga makan disitu. Lalu aku teringat di Malaysia pun sama. Peniaga-peniaga menggunakan hiasan Islam untuk menarik pelanggan muslim. Aku rasa KIMMA perlu berjuang untuk ini dahulu sebelum sibuk menyamar memperjuangkan Melayu.
Selera cina jauh berbeza dengan selera aku. Makanan mereka 'tasteless' -istilah spontan keluar dari mulut aku yang diakui orang kita di sini. Namun begitu ada juga masakan mereka yang bagus dan boleh diolah mengikut citarasa Malaysia.
Dasar tertutup mereka aku rasa yang menyebabkan jadinya begini. Mereka tidak mengalu-alukan budaya makan dari luar sangat, tetapi begitupun KfC dan McD tetap juga berjaya menapak.
Ahh! Yang enak tentulah kambing dan daging lembu mereka yang sangat lembut juga cendawan dan sayur-sayuran yang rangup. Kata kawan-kawan di sini, ada restoran milik orang kita yang menjual menu Malaysia tetapi aku hairan mengapa restoran itu namanya 'Boston'. Sempat juga Zaidi mengirimkan mee goreng mamak dan roti canai Boston untuk kami yang menunggu Annur di wad tapi rasanya....biasa sahaja. Kalau nak rasa kari sebenar yang tahapnya cukup fuyooohhh ialah restoran punjabi berhampiran kompleks beli belah Solana di Chaoyang. Agak mahal tapi.........dia punnnyaaaa karrri yennamaa!
Rata-rata orang Beijing yang aku sempat jumpa baik-baik dan mudah bergaul. Masalah utama cuma bahasa sahaja. Mereka sedaya upaya cuba membantu. Ah! Kalau berurusniaga memanglah akan kena tipu, ada harga untuk orang tempatan dan harga untuk orang luar mestilah lebih mahal. Jika kau ke Rantau Panjang atau bersarapan di Teluk Chempedak pun kena sembelih juga kalau kau bukan orang situ. Itu yang aku alami.Pergi Petaling Street pun kena titik juga kan?
Pergi Mekah kalau tak panjat Gua Hira' memang rugi (macam aku dulu sebab kaki aku sakit masa tu) dan sampai Madinah kalau tak ke bukit Uhud memang tak sah. Begitulah ke Beijing jika tak ke Great Wall dan Tiananment Square takkan lengkap. Masuklah ke dalam Forbidden City dan nikmatilah keindahan taman bunganya. Kenangilah sejarah Revolusi Kebudayaan cetusan Mao ZeDong. Hiruplah udara di Badaling Great Wall. Lihatlah tembok ini masih kukuh sedang kerajaannya sudah lama runtuh. Musuh gagal menembusi tembok ini lalu merasuah sang panglima untuk belot. Betapa 'tembok k' kejujuran manusia mudah runtuh lalu lenyaplah sebuah keagungan.
Aku tak sempat ke Summer Palace-taman Maharaja masa dulu walaupun bas laluan ke Erkang Hospital lalu situ dengan tambang 20 sen saja tetapi aku sempat dibawa adik-adik pelajar Peking University meronda dalam pusat pengajian tersebut yang sudah bertapak hampir 115 tahun. Sunner Palace dengan Peking University pun sebelah-sebelah aja. Jelas taman rekreasi dengan bangunan bersejarah dan antik di dalamnya terus dipertahankan. Lanskapnya semulajadi tidak dibuat-buat. Tidak pula ada tangan-tangan kapitalis cemburu untuk merogol keaslian ini atas nama kemajuan. Di lereng banjaran Great Wall tidak pula rakus berdiri kondominium atau apartment. Harap ia terus begitu...
Cuma jika di Tiananment janganlah naik beca, mahal nak mampus! Tak jauh di situ ada pekan ala Petaling Street campur Bintang Walk. Ikutlah taktik Sham yang handal menawar barangan. Dari harga yang tak masuk akal boleh jadi murah tak masuk akal juga...
Pernah sedang aku berjalan di sebatang jalan waktu malam datang seorang lelaki....
(entry ini bukanlah ada sambungannya cuma ia simbolik cerita aku tak habis lagi dan akan aku ceritakan lagi bersama foto-fotonya. Susah pakai iPad tak boleh upload gambar...
Babai sayang!
Aku rindukan kamu semua...seperti aku rindukan Cik P binti Jerry ( Petai dan Jering)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment