Tuesday, May 3, 2016

Hostel Puaka

Anda boleh ikuti cerita seram bersiri aku Hostel Puaka secara percuma di link berikut

I think you'd like this story: "Hostel Puaka" by RonasinaFandi on Wattpad http://my.w.tt/UiNb/dXXz9Zlz4s.

Monday, April 25, 2016

Line Clear

Anda tahu Restoran Line Clear Pulau Pinang? Original Nasi Kandar.
Mereka dah buka cawangan di Jalan Raja Abdullah, Kampung Bharu, Kuala Lumpur. Nama baru yang dipatenkan ialah LC Restoran.
Tiada cawangan lain di Kuala Lumpur. Itu satu sahaja dan di situ ada mural lukisan aku bersama kartunis hebat, Asan yang masyhur dengan kartun Jaki Jipang.
Jika anda ke Restoran yang tiada mural lukisan kami, ia bukan LC Restoran original.
Faham?











Wednesday, April 6, 2016

Selamat hari jadi ke 13 An Nur

13 tahun adalah kebahagiaan
Adalah cahaya yang menyinar
Adalah senyum yang nikmat
Adalah tangisan kesyukuran







Monday, March 14, 2016

Rock satu perjuangan atau Ikut ikutan?

Era rock kapak Malaysia apakah suatu gerakan ideologi atau Ikut ikutan dan jadi-jadian?
Nyanyi lagu perjuangan tetapi suruh potong rambut habis lentok. Benarkah?
Boleh datang ke studio Kelab Bangsar Utama seperti di poster atau dengar langsung di www.radiobangsarutama.com

Friday, March 4, 2016

Wednesday, March 2, 2016

Mahathir tembak dua burung dengan satu batu

Mahathir keluar Umno , pembangkang tumpang teduh sebab Anwar dah tak relevan. Benarkah Mahathir wira baru lawan Najib untuk selamatkan Malaysia?

Tulisan saya sepenuhnya di sini:-

http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2016/03/01/mahathir-tembak-dua-burung-dengan-satu-batu/

Friday, February 26, 2016

Thursday, February 18, 2016

Kasih istimewa untuk anak istimewa


Satu kerja photojournal yang terbaik oleh Nazir Sufari. Kisah kami sekeluarga dan selami ibu bapa yang punya anak kelainan upaya terlantar meraikan kehidupan.

Ke pautan ini:-
http://www.themalaysianinsider.com//gallery/view/an-nur



Wednesday, February 17, 2016

Dey Bangla! Apahal datang sini?

Patutkah warga Bangladesh datang? Patutkah kita panggil mereka 'Bangla'? Baca tulisan saya di sini

http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2016/02/17/dey-bangla-apahal-masuk-sini/

Tuesday, February 2, 2016

Sunday, January 31, 2016

Apa yang kau hafal dan kau faham?

"Berapa tahun anak ni?"
"13"
"Hah? Ya ke?"

Aku tak ada masa untuk menipu.

"Kasihan dia ya?"
"Kenapa?"
"Tak boleh berjalan."
"Mungkin kalau dia boleh berjalan dia tidak dapat mengawal haluan dia."
"Ya tapi bagaimana kalau suatu hari nanti awak tak ada siapakah akan jaga dia?"
"Takkanlah Allah tak tahu itu?"


Apa yang kau hafal tentang rukun iman dan rukun yang keenam?
Kau hanya menghafal?
Kepada siapakah rukun-rukun itu diletakkan untuk dijalankan?
Atas perjalanan inilah!




Thursday, January 28, 2016

Cerita hari ini



Nasi Bajet, TPPA dan Kita


Apa cerita nasi bajet? Siapakah di sebalik topeng pemotong rumput tepi lebuhraya?
Baca tulisan saya sepenuhnya di sini
http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2016/01/28/nasi-bajet-tppa-dan-kita/

Wednesday, January 27, 2016

Kencing hancing

Kita banjirkan
Kota panas berbahang dusta ini
Dengan hancing kencing
Dari pipit kecil kita
Yang kian tersepit
Antara zip celana kehidupan


- Bangsar South (Allahyarham Kampung Kerinchi)

Friday, January 22, 2016

Budaya Guling Menteri Besar Untungkan Siapa?

Politik ialah pertarungan merebut kuasa, memegang pen sebagai kuasa penentu untuk mengagihkan punca ekonomi dan meluaskan pengaruh. Kem yang selalunya menuntut pertukaran Menteri Besar ini bukannya tidak mendapat kedudukan sebelum ini. Tetapi mendapat kedudukan sahaja tidak cukup. Yang dicita-citakan adalah untuk merebut kuasa sebagai penentu siapa yang layak mendapat habuan.
Baca tulisan saya di sini:-


http://www.freemalaysiatoday.com/category/highlight/2016/01/22/budaya-guling-guling-mb-untungkan-siapa/

Monday, January 18, 2016

Penutupan kaunter tunai tol menjerut rakyat

Sebenarnya sistem kad prabayar ini adalah satu bentuk paksaan dan tekanan yang dikenakan ke atas pengguna lebuhraya. Secara tidak sedar kita khususnya pengguna lebuhraya telah membuka buku ‘akaun hutang’ dengan syarikat-syarikat konsesi tol ini.
Bayangkan sejuta pengguna lebuhraya membeli kad prabayar dengan kadar RM10 untuk minggu pertama, sudah tentu RM10 juta sudah berada di dalam akaun syarikat konsesi. Dan setiap minggu pengguna lebuhraya ini akan membuat tambahnilai.
Sistem ini secara psikologinya mengikat mentaliti pengguna lebuhraya untuk tidak mencari jalan alternatif kerana mereka berfikir yang mereka sudah ada akaun dengan lebuhraya berbayar. Jadi hendak tak hendak mesti guna kerana wang sudah dibayar.

Baca tulisan saya dari awal dan seterusnya di sini:- http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2016/01/07/penutupan-kaunter-tunai-tol-menjerut-rakyat/

Friday, January 15, 2016

Selamat Tahun (Gaji) Baru Yang Berhormat!

Anehnya ketika rakyat disuruh itu dan ini, menteri-menteri dan wakil rakyat Barisan Nasional, Pakatan Rakyat, Pakatan Harapan dan BEBAS mempunyai formula menangani beban tugas mereka iaitu menaikkan gaji serta elaun mereka sendiri sehingga melebihi 40%.
Rang Undang-undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2014 itu telah dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan diluluskan di Parlimen pada April 2015 yang lalu selepas ke semua ahli parlimen kerajaan dan pembangkang menyokong sebulat suara.

Mengapa kita kena semak kembali wakil rakyat yang kita undi? Baca tulisan saya selanjutnya di sini


http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2016/01/16/selamat-tahun-gaji-baru-yb/

Maaf! Saya bukan budak Kerinchi tapi Bangsar South

Apahal kampung tradisional di Kuala Lumpur ghaib? Mana Kampung ini hilang?
Selanjutnya, ke pautan di bawah untuk baca tulisan saya

http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2016/01/12/maaf-saya-bukan-budak-kerinchi-tapi-bangsar-south/

Gambar hiasan- kartun Bauksit





Tuesday, January 5, 2016

Qu Puteh ada kaitan Puteri Gunung Ledang?

Kisah dua syarat Qu Puteh ke atas KAFA bukanlah hal hebat yang perlu diperbesarkan. Ia bukan seperti kisah legenda Puteri Gunung Ledang yang meletakkan tujuh syarat pelik untuk Sultan Mahmud penuhi jika mahu memperisterikan dirinya. Syarat ganjil Puteri Gunung Ledang sebenarnya sendiri adalah suatu penolakan. Tidak wujud perasaan cinta.
Tujuh syarat pelik Puteri Gunung Ledang adalah kubu yang dibina untuk menutup terus peluang Sultan yang bercita-cita memilikinya.
Manakala syarat Qu Puteh adalah sebuah tawaran untuk mengikat sebuah tali percintaan yang menjanjikan situasi sama-sama menang. Jika sama-sama setuju, hati sudah suka sama suka apalah ada pada nama, boleh sahaja ditukar. Andai cinta sudah berpaut, merah jambu itu romantik! Jangan kata wang tidak selalunya boleh membeli cinta. Jangan! Cinta boleh datang bertemankan wang.

Ini sebahagian petikan. Baca awal dan akhirnya di http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2016/01/06/qu-puteh-dan-kafa-bukan-hikayat-puteri-gunung-ledang/

Friday, January 1, 2016

10 Situasi Politik Tanahair Yang Ingin Kita Lihat Pada 2016

10 Situasi Politik Tanahair Yang Kita Ingin Lihat Pada 2016

oleh Ronasina

Tidak sukar meramal senario politik tanahair kita kerana pusing ikut celah mana pun akhirnya ceritanya sama namun untuk menemui kaedah penyelesaian bagi merubah senario yang disebutkan tadi ternyata sesukar meleraikan ikatan simpul mati. Apabila saya menulis status di facebook tentang 10 perkara (senario politik) yang kita ingin lihat pada tahun baru 2016 ramai mengambilnya sebagai sebuah jenaka hiburan politik ringan tetapi sebaliknya pula jika ditekuni betul-betul ternyata ia merupakan penyakit sosial yang sudah mengakar dalam amalan hidup kita hari ini.
Mari lihat sepuluh perkara yang saya tulis itu untuk kita selami benar-benar bahawa ia bukanlah lelucon sahaja malah ketika kurang 1500 hari menuju tahun 2020 ia telah menjadi kemelut yang maha rumit.
  1. Ahmad Maslan menulis buku tentang Bagaimana Menjana Pendapatan – Ini masalah lama yang semakin parah. Di atas platform selesa dan menggunakan sosok selebriti menteri bebas sahaja mengutarakan buah fikiran yang senteng, cetek, dangkal, mentah lagi bodoh tanpa disertai kajian mendalam dan rujukan yang berpijak di bumi nyata. Kenyataan menteri seperti 'jika harga ayam mahal sila makan ikan', 'saya sendiri buat dua kerja' dan lain-lain yang sangat-amat-sungguh 'cap ayam' ini tidak langsung menyelesaikan apa-apa sebaliknya mengundang kegelisahan rakyat sama ada yang menentang terus menentang berserta hujah-hujah dilawan pula dengan penyokong si menteri mempertahankan kenyataan tersebut. Dan akhirnya perlahan-lahan kita diolah kepercayaan uuntuk menelan sahaja keadaan ini. Trend wira segera ala program realiti tv ini bukan sahaja membabitkan para menteri malah ia juga berjangkit kepada agamawan atau selebriti dunia hiburan. Apa sahaja yang mereka kata akan dikongsi, disalin dan disebar tanpa disaring. Tak perlu huraian panjang, blueprint atau menulis buku.
  2. Nik Abduh bawa bantal ke parlimen – Rekod parlimen kita mencatatkan wujudnya ahli parlimen yang dipilih rakyat bukan atas kapasiti kepandaian akademik, idealisme atau gagasan tetapi kerana mereka adalah anak kepada tokoh politik. Inilah senario dunia ketiga. Selain perniagaan 'Multilevel Marketing' di mana bonus boleh diwarisi ahli keluarga, politik juga begitu. Kerusi yang diduduki ayah atau ibu boleh disambung oleh anaknya walaupun kualitinya menyedihkan lebih rendah tarafnya daripada Ketua Kampung. Kita boleh teliti hansard parlimen bagaimana kualiti setiap pemimpin yang dipilih rakyat untuk merangka pelan dan dasar negara kita. Bukan Nik Abduh sahaja, jangan lupakan Ibrahim Ali, Gwo Burne Loh, N. Gobalakrishnan, Bung Mokhtar antara nama-nama yang tercatat dalam sejarah pelawak yang mewarnai kandang parlimen kita. Dan mentaliti pengundi memilih berdasarkan parti, bukan ketokohan. Benarlah kata orang, jika parti popular meletakkan kambing bertanding di kawasan kubu mereka maka kambinglah yang menang dan akan duduk di dalam dewan sebagai wakil rakyat.
  3. Nga Kor Ming hadir kelas Bahasa Melayu – Entah kenapa ahli politik kita tidak kiralah parti apa pun, agak sukar menerima kritikan sebaliknya ego mempertahankan perbuatannya. Nga dikritik kerana selalu menulis status di facebook di dalam Bahasa Cina dan ini seolah-olah meminggirkan pengundi kaum lain yang menyokongnya. Apa yang ditulis olehnya tidak dapat dikongsi oleh penyokong bukan cina. Tetapi Nga telah menunjukkan contoh terbaik seperti politikus lain bahawa mereka ini pekak, tidak perlu ditegur kerana sentiasa betul.
  4. Khairy Jamaluddin tidak berselfie – Dunia laman sosial telah mencipta kejutan budaya kepada dunia dan politikus antara golongan yang paling teruk terkena kejutan budaya laman sosial. Khairy lebih gemar menonjolkan peribadi sebagai selebriti yang 'cool', 'sporting', disenangi walhal hakikatnya tidak ada impak langsung sebarang kemajuan yang dilakukan dalam pembangunan sukan tanahair sebaliknya terus merudum. Nama Malaysia di dalam dunia sukan dan permainan terus dipintas negara-negara kecil yang mundur dan dilanda peperangan. Watak 'selebriti selfie' ini turut dikongsi beberapa pemimpin politik lain untuk menunjukkan mereka buat kerja. Bukan tidak boleh, yang kita mahu ialah hasil, bukan posing. Bukan menggoreng pisang, mengacau dodol atau mendukung bayi. Bukan
  5. UMNO usul undi tidak percaya kepada Najib – Ini sesuatu yang amat mustahil tetapi sangat ingin kita lihat. Budaya politik kepartian Malaysia memang tidak menjadikan 'menyingkir presiden melalui proses pemilihan' suatu amalan apatah lagi menumbangkannya di luar proses tersebut. Lihatlah parti-parti lain sama sahaja, rasa hormat dan tidak manis melawan presiden sudah sebati dalam budaya kita. Skandal 1MDB adalah kemuncak rasa tidak puas hati rakyat kepada Najib sehingga pemimpin tertinggi UMNO juga berasakan jika ini dibiarkan masa depan UMNO akan gelap dan ditolak rakyat. Rakyat tidak punya keupayaan untuk menumbangkan Najib buat masa ini tidak kiralah melalui pilihanraya ataupun jalanraya. Seolah tidak ada jalan. Jalan yang paling mudah di atas kertas adalah melalui parti. Ahli UMNO berupaya membantu Malaysia membuang Perdana Menteri yang penuh skandal. Soalnya apakah ahli UMNO mempunyai keberanian melakukan perubahan sedangkan perubahan adalah musuh yang paling ditakuti mereka? Jika berani itulah yang kita ingin lihat.
  6. Lim Guan Eng dan Hadi Awang main gusti lengan – Perbalahan dua pemimpin ini telah memecah-belahkan Pakatan Rakyat dan terus mengoyak keyakinan bahawa Pakatan Rakyatlah satu-satunya yang diharapkan untuk menggantikan kerajaan yang ada. Hadi Awang dan PAS dikatakan akan bekerjasama dengan UMNO. Ia bermula dengan isu hudud. PAS tidak diyakini mampu melaksanakan hudud yang dianjurkan di dalam Al Quran sementara konsep Malaysian Malaysia anjuran DAP diragui keikhlasannya berdasarkan sikap beberapa pemimpinnya yang terang-terang chauvinist. Masa depan Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan rosak sebagai pengganti kerajaan Barisan Nasional sekaligus membunuh harapan pengundi Melayu jika orang Melayu dilihat sebagai faktor penentu sebuah perubahan. Jika orang Melayu melihat UMNO-Barisan Nasional gagal membela nasib mereka dari segi ekonomi, Pakatan Harapan pula tidak menunjukkan usaha membela kepentingan mereka. Kedudukan Bahasa Kebangsaan dan Agama Islam bagi mereka selalu disinggung. Pergeseran kaum yang dinyalakan oleh UMNO disambut dengan tidak bijak oleh pembangkang sehingga orang Melayu, Cina, India dan kaum lain (yang tidak serius mengikuti politik kepartaian) berasa tidak selesa dan jengkel dengan politik.
  7. Dr Mahathir anjur demonstrasi jalanan lawan Najib – Sesuatu yang sangat ironi kerana dia pernah berkata 'demonstrasi jalanan bukan budaya kita' tetapi setelah gerakan menjatuhkan Najib dia cuba aturkan itu gagal, dia akui ini kaedah jalanan paling berkesan. Mahathir cuba turun singgah di demonstrasi Bersih 4 dan disambut meriah. Tetapi perjuangan menjatuhkan Najib oleh Mahathir lebih bersifat peribadi dan bukannya jujur untuk rakyat kerana apa yang dilakukan Najib hari ini hanyalah meneruskan apa yang diwariskan Mahathir. Bagaimanapun jika Mahathir sanggup menjilat ludah dan mengheret rakyat menjatuhkan Najib melalui jalanraya demi menyelamatkan legasinya, ia sangat ingin kita lihat. Moralnya pemimpin politik sanggup mempergunakan rakyat, memanipulasi isu demi kepentingan peribadi mereka
  8. Rafizi dedah penyelewengan kerajaan Pakatan juga jika ada – Rafizi sosok yang popular dengan pendedahan salahlaku atau penyelewengan kerajaan, jabatan-jabatan dan juga agensi kerajaan melalui badan bukan kerajaan yang ditubuhnya NOW. Rafizi juga pernah mendedahkan kecurangan orang dalam partinya sendiri, Khalid Ibrahim sewaktu menjawat Menteri Besar Selangor. Itu kita semua sudah tahu dan tidak perlu diterangkan tetapi pengamat politik ingin melihat lebih lagi daripada itu termasuklah hal-hal 'keadilan' di dalam partinya sendiri seperti rungutan berlakunya kepincangan dalam pemilihan parti PKR yang lalu tentang adanya dakwaan tipu undi, beli undi dan sebagainya tetapi senyap sehingga hari ini dan peristiwa ini kekal di dalam muzium dan arkib bahan lawak negara.
  9. Muhyiddin berani sikit daripada hari ini - Muhyiddin Yassin yang dibuang Najib dari kerusi Timbalan Perdana Menteri bukan seperti Anwar Ibrahim yang dibuang oleh Mahathir dari kerusi yang sama. Anwar mencetuskan gelombang reformasi manakala Muhyiddin terus lemau dan basi. Tidak berani 'all-out'. Walaupun agak lebih baik dari beberapa menteri dan pemimpin kerajaan yang hanya berani mengkritik kerajaan sesudah pencen, pemecatan Muhyiddin tidak memberikan impak besar. Muhyiddin masih setia dengan UMNO atau mungkin menunggu masa yang sesuai ketika hampir pilihanraya. Jika begitu dia tidak jauh beza dengan Chua Jui Meng, Muhammad Taib, Kadir Sheikh Fadzir serta Major Bersara itu-ini yang diibaratkan seperti harimau rongak.
  10. Rosmah Mansor betul-betul jadi Perdana Menteri – Sebelum Barrack Obama menjadi presiden Amerika Syarikat, projek atau idea lelaki kulit hitam menjadi presiden Amerika Syarikat yang pertama telah lama ditimbulkan oleh pengkarya sama ada di dalam novel, filem atau drama tv. Novel The Man karya Irving Wallace pada tahun 1964 menampilkan watak presiden kulit hitam bernama Douglas Dillman. Begitu juga filem-filem Hollywood seperti Head Of State, Deep Impact dan jugaThe Fifth Element. Jadi Rosmah Mansor adalah satu projek untuk kita letak penanda aras jika kita mengimpikan seorang wanita menjadi Perdana Menteri Malaysia. Ya, apa pun penanda arasnya baik atau buruk adalah debat yang berpanjangan. Pakatan Rakyat pernah mencuba Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor wanita pertama melalui projek Kajang Move Jadi tidak mustahil Rosmah Mansor yang sentiasa kelihatan lebih berkuasa untuk berkuasa secara mutlak. Atau kita boleh duduk berdiskusi memeikirkan tokoh wanita mana hari ini yang mempunyai ketrampilan dan keupayaan sebagai orang nombor satu Malaysia.
  11. Angkatan Muda Keadilan anjurkan gerakan besar-besaran kempen Bebaskan Anwar yang senyap itu – Percaturan pasca PRU13 sudah lain. Ia percaturan tentang status quo. Sayap pemuda di dalam parti Anwar Ibrahim tidak lagi menjadikan Anwar relevan sebagai senjata melawan isu ketidakadilan. Kesibukan anak-anak muda khususnya menjadi Yang Berhormat menyebabkan gerakan reformasi 2.0 sepi dan memalukan. Ucapan retorik membela Anwar hanya di rostrum Kongres Tahunan Parti sahaja untuk dibuat bahan bersorak. Selepas itu tiada, kembali sibuk. Ternyata 'Penjarakan Seorang Anwar Akan Bangkit Seribu Anwar Lagi' adalah ilusi. 2016 adalah tahun yang kita mahu lihat kem-kem AMK bersatu setelah sekian lama jalan berpuak. Apabila Pakatan Harapan ditubuhkan dan dengan tegas gabungan DAP, PKR dan AMANAH ini mengatakan jika Putrajaya ditawan, Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri jangan terperanjat apabila generasi muda khususnya pengundi kali pertama tidak kenal Anwar Ibrahim dan melihat Anwar Ibrahim tidak relevan kerana AMK dan Pakatan Harapan sendiri yang mengesahkannya melalui kegagalan mereka mengatur gerakan.
Sebenarnya setiap poin yang diterangkan ini boleh dikupas lebih panjang lagi menjadikan bab-bab dalam sebuah buku tetapi saya rasa biarlah sedikit. Cukup untuk diteliti dalam-dalam dan dihujahkan. Sama ada bersetuju atau tidak itu soal lain tetapi mengabaikannya atau menafikannya adalah rugi apatah lagi sombong menolak terus. 10 (sebenarnya 11) yang diterangkan ini adalah kanser dalam masyarakat Malaysia yang melarat ke dalam setiap ceruk saraf dan tubuh sehingga mencipta penyakit-penyakit lain sebelum keseluruhan tubuh lumpuh, rosak dan tumbang. Akhir kata 2016, tidak sukar untuk diramal senario politiknya walaupun tidaklah mustahil sesuatu yang tidak terjangka akan berlaku. Kita tunggu.