Sebaik saja kempen Hope 2 walk berjalan, banyak juga respon yang diterima. Sudah tentulah positif lawannya negatif. Yang manis dan yang pahit. Itu lumrah dan tidaklah kami kesah. Apa yang manis dan apa yang pahit, Insyaallah akan aku ceritakan satu hari nanti di dalam sebuah buku jika diizinkan Yang maha Kuasa kudrat untuk aku tulis. Aku akan menulis tanpa berselindung. Kadang-kadang kami diangkat seperti pejuang dan terasa megah melambung, ada masanya seperti dicekup kepala dihumban ke lubang jamban hinanya. Yang melakukan itu pula adalah orang-orang yang hampir pula. Tak mengapa.
Persoalan yang aku cuba jelaskan hari ini ialah jawatankuasa yang mengendalikan kempen ini banyak menerima panggilan yang bertanyakan mengapa tak pergi berubat di situ di sini dengan orang itu dengan orang ini atau bomoh itu pawang ini, Atau pergi ke kaedah rawatan ituini dan produk ini itu. Kos setengah juta ringgit Malaysia ke luar negara teramat banyak dan jangan membazir untuk sesuatu yang belum terjamin keberkesanannya.
Nanti dulu!
Sebelum menasihat dan mencadang aku harap kalian terutama yang dah punya anak, bayangkan dulu situasi ini. Situasi seperti aku. Aku terpaksa ceritakan ini walaupun prinsip aku takkan dedahkan tapi tak mengapa, untuk mudah kau faham. Cuba pejam mata rapat-rapat dan lihat keluarga kau sendiri.
Bayangkan anak-anak kau yang lincah dan sihat berlari-lari itu tiba-tiba esok hilang upaya, cacat dan tak boleh urus diri. ya! Ke semua anak kau menjadi cacat seperti aku yang 'ke semua' anak aku OKU. bayangkan pelan-pelan.
mereka memerlukan penjagaan sepenuh masa kerana tak boleh urus diri. Bangun je tidur sampailah malam nak tidur kembali semua kena kita buatkan. Siapa yang akan buat? Ayah atau Mak kamu atau kamu sendiri ibu bapa mereka? kau tentukan....Siapa yang sudi? Keluarga kau sudi tak? Okey...hendak tak hendak salah seorang dari kamu kena berhenti kerja untuk jaga anak-anak terlantar kau. Bayangkan hari ini salah seorang kena berhenti kerja, bagaimana ekonomi rumahtangga kau? Goyang? Atau kau terpaksa kerja juga dan upah bibik jaga...
kau percaya orang lain boleh jaga anak-anak kesayangan kau yang terlantar itu dengan penuh kasih sayang dan SELAMAT? bayangkan anak-anak kau itu terlantar, kau pergi kerja dengan meninggalkannya kepada orang lain yang kau pastikah akan ikhlas mencuci berak kencing mereka dan kau pastikah anak-anak kau tak kelaparan di bawah jagaan mereka.
Setiap seorang anak kau memerlukan satu jam untuk habis makan jadi berapa jam kau perlukan untuk menyudahkan ke semuanya? bagaimana dengan kerja-kerja mengemas yang lain?
bagaimana jika kau atau pasangan kau jatuh sakit sesekali? Mereka akan terbiar.
kalau mereka asyik keluar masuk wad, kau akan bercuti. Bolehkah majikan kau bertolak ansur? Sekali dua mungkin tapi kalau setahun kau terpaksa cuti lebih 50hari bagaimana dia boleh bertahan? Tertekankah kau dengan surat2 amaran dan tunjuk sebab?
kalau kau berniaga sendiri bagaimana perniagaan kau jika asyik tutup buka tutup buka?
Bagaimana kau nak memenuhi ke semua temujanji hospital? Bawa ke semua anak kau ke pusat fisioterapi, occupational therapy, ENT, Pediatrik, pergigian, ortopedik,...
lama-lama kau pun boleh tumbang...
Itu sebabnya sebelum nasihatkan kami mengapa memilih ke China dan UK- kau fikir dulu ke semua ini. Bolehkah kau kendalikan.
Aku sedang melaluinya 10 tahun dah.
jangan suruh aku bersabar, tabah kerana sabar dan tabah adalah latihan praktikal dan bukan cakap-cakap. jangan suruh aku berdoa kerana benda-benda itu semua dah kita tahu. yang aku mahu cuba kau pakai kasut yang aku pakai sekarang. tahukah apa yang aku buat hari ini adalah perjuangan dan aku sedang melakukan HIJRAH!
ke arah kehidupan yang lebih baik setelah melakukan rujukan dan penyelidikan yang teliti. Aku akan jual apa saja yang aku ada - rumah, kereta, motor dan barang2 dapur sehingga aku tinggal keperluan yang sedikit saja untuk ku berhijrah. Adakah orang segila kami?
Jawabnya ialah ADA! dan Hijrah itu janji Allah- tidak akan sia-sia.
Haiya Alal Falah!