Sunday, July 15, 2012

Rock, pengaruh artis dan ketakutan pemerintah

Oleh Ronasina

Di mana-mana dalam dunia ini tidak dapat dinafikan, golongan artis atau selebriti dunia hiburan sangat berpengaruh dan sering menjadi ikutan orang ramai khususnya anak-anak muda. Berbagai jolokan untuk mereka seperti "role model", "trendsetter" atau ikon yang bisa memberi impak kepada dunia. Kerenah atau aksi mereka menjadi ikutan. Jika mereka menceburi politik mudah sahaja mereka menang bertanding. Bayangkan Ronald Reagan, seorang pelakon cerita-cerita koboi boleh menjadi Presiden Amerika Syarikat. Begitu juga penggusti Jesse Ventura ataupun si "Terminator" Arnold Scwarzenegger boleh menjadi gabenor. Di Filipina artis bernama Joseph Estrada juga pernah menjadi orang nombor satu.

Inilah ketakutan yang sering menghantui ahli politik. Bintang Hollywood seperti Mel Gibson, Al Pacino atau Robert DeNiro mudah sahaja membelasah pentadbiran Rumah Putih jika dasar yang dijalankan tidak dipersetujui dan peminat mereka menyambut dan menyokong pandangan idola pujaan mereka. Selebriti seperti Michael Douglas, Angelina Jolie dan Edward Norton dipilih menjadi duta pelbagai kempen seperti kempen keamanan, alam sekitar atau sayangi haiwan. Pengaruh mereka diperlukan untuk menarik orang ramai.lDi Malaysia fenomena artis menyokong parti pembangkang semakin hebat sekarang ini tetapi tidak dapat dinafikan kebanyakan artis yang berhijrah ini sudah kurang popular dan telah melepasi usia. Yang baharu-baharu masih mahu cari makan, tidak boleh lawan. Bayangkan apa akan berlaku jika artis yang sedang meletup, berpengaruh dan menjadi ikon hari ini tiba-tiba melaungkan slogan "Reformasi"? Saya teringat ketika muzik rock menjadi anutan anak muda Malaysia pertengahan 1980-an dahulu. Mereka lantang memperjuangkan lanun cetak rompak yang begitu berleluasa sekali. Barangkali pihak yang terbabit dengan sindiket cetak rompak (mungkin orang yang berpengaruh terlibat dengan kegiatan ini seperti yang digambarkan di dalam filem Kembara Seniman Jalanan) berasa tergugat maka muzik rock telah diharamkan. Alasan kambinghitamnya ialah rock membawa budaya negatif seperti dadah, seks bebas dan alkohol. Peraturan diketatkan seperti berambut panjang tidak dibenarkan muncul di dalam program televisyen. Apa kena mengena rambut dengan muzik? Tetapi itulah sang kuasawan. Taringnya tajam menggigit mangsa yang lemah. Peraturan ini bagaimanapun gagal memadamkan api muzik rock dan pengaruhnya. Album kumpulan rock terus laku dan mereka menyampaikan mesej perjuangan yang keras melawan kerenah birokrasi ini. Lagu "Keadilan" nyanyian kumpulan Lefthanded yang liriknya ditulis S.Amin Shahab lantang memprotes:-
" Bukankah kita ini punya akal dan hati
bisa ambil juga beri pendapat sendiri
Jangan ikut sesuka hati kelak engkau susah sendiri"

Begitu juga lagu Belenggu Irama nyanyian kumpulan Wings yang liriknya ditulis oleh Bob Lokman (hari ini ahli PAS) menyuarakan tidak puas hati dengan bait-bait seperti:-
"Perintahmu adalah belenggu
Menggenggamku dengan kuasamu
Membuat aku menjadi layu
Dalam suasana yang masih baru"

Peristiwa yang tidak boleh dilupakan malah boleh dikatakan sebuah malapetaka buat insan seni apabila Kementerian Penerangan dengan menterinya ketika itu menyiarkan secara langsung acara memotong rambut dua rockers terkenal- Amy Search dan Awie Wings. Inilah ibu segala penghinaan oleh kuasawan yang mahu memberi peringatan agar artis-artis jangan lawan mereka. Sebenarnya ia bermula apabila seorang pengarah filem komedi mempersoalkan lambakan drama dari Hong Kong memenuhi slot di RTM dan juga sebuah syarikat produksi milik kroni menguasai stesen televisyen milik kerajaan. Selepas membangkitkan isu itu pengarah filem komedi ini tidak membuat susulan tetapi disambung perjuangannya oleh pengarah filem berani Nasir Jani. Dalam sebuah rancangan "talk show" di TV3 Nasir Jani yang disiarkan secara langsung ketika itu, beliau telah mencarut dan mengangkat jari hantu sehingga menggemparkan Malaysia dan membawa kesan pemberhentian serta-merta program tersebut. Nasir Jani terus dikenakan tekanan seperti disabitkan dengan masalah dadah, ajaran sesat dan sakit mental. Suatu ketika Nasir Jani hadir ke mahkamah dengan memakai kemeja T bertulis kata-kata kesat kepada Mahathir-Perdana Menteri ketika itu. Nasir Jani juga pernah membaling batu pejabat FINAS kerana memprotes. Imej seniman tersebut cuba dikotorkan untuk menyorok kerja keji mereka. Taktik inilah yang selalu digunakan seterusnya beberapa tahun kemudian seperti Kumpulan Militan Malaysia yang dikatakan mahu berperang dengan pembesar negara dan juga kumpulan Black Metal mengamalkan ilmu hitam yang menyesatkan akidah. Sebelum itu, jangan lupa pula imej buruk dilemparkan terhadap PAS di dalam peristiwa Memali termasuk juga penyelewengan ajaran di dalam gerakan Al Arqam. Melalui media genggaman pemerintah, semuanya boleh dilakukan untuk menghalalkan kebusukan mereka.

Baca seterusnya di http://merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=13244

1 comment:

Zainulfaqar said...

semoga Allah muliakan Islam dengan kebaikan terbuji artis-artis yang menyertai perjuangan PAS. Amin.