Cara memesan buku SURAT UNTUK ANAK

Cara memesan buku SURAT UNTUK ANAK
dapatkan!

Friday, February 24, 2012

Canggung Mendonan

Ki sudah pulang ke Malaysia namun rakan-rakannya yang menuntut di sini bersedia membantu. "di luar Malaysiamereka hanya tahu kita orang Malaysia, bukan Melayu atau Cina atau bangsa apa pun. Dunia luar anggap orang Malaysia ada satu bangsa aje walaupun saya Cina dan kamu Melayu" kata Ki.
Diana datang ke bilik kami untuk mengikut kami membawa An-Nur membuat imbasan MRI. Agaknya dia rindu masakan Malaysia, nasi goreng yang dimasak Sham banyak dilahapnya, siap basuh pinggan lagi.

sham dan diana di luar bangunan hospital. Diana dari Kuala Krau yang menuntut di Peking Universiti menemani kami membawa An-Nur ke hospital untuk membuat ujian MRI.

Keputusan MRI An-Nur jelas menunjukkan keadaan otaknya yang mengecut sementara 'lubang' bahagian dalam otak semakin membesar, otak kanan lebih serius.

Kami faham keadaan itu sukar untuk pulih sepenuhnya dan memakan masa yang sangat lama tapi selagi ada hayat perjuangan mesti diteruskan. Akupunktur membantu merangsang saraf An-Nur dan rutin ini dilakukan setiap hari.

Moga An-Nur mampu capai apa yang dia mampu.

Aku masih lagi mendonan yang canggung.

Sham seperti di Malaysia terus-terusan beramah mesra dan tidak silu cuba bertutur Mandarin walau kulihat muka mereka berkerut tak faham. Yang nyata mereka menerima dan Sham bisa menceriakan keadaan. Mujur juga doktor akupunktur An-Nur, Dr Hoo gadis Korea boleh berbahasa Inggeris selain fasih Mandarin. Mudah sikit.

Aku lebih hebat dari Sham. Apa saja soalan atau bualan mereka aku boleh jawab dengan mudah dalam Mandarin. Satu jawapan saja untuk seribu soalan: wo pu ce tau (ahak!). Aku mesti belajar cepat. Ini semua abang Pyanhabib punya salah, hari-hari sms aku sakat aku dengan petai dan pekasam.

Kami mencari masjid terdekat untuk solat Jumaat. Rupanya yang paling hampir pun jauh. 30 km juga di Jalan Madian daerah Haidian.

Balai Solat. Aku dan Ibrahim sedang berbual.

Sham membeli kuih-muih yang dijual di pintu masuk Masjid.

Khat di pintu masuk balai solat.

Aku pernah solat di Masjid India, Masjid Pakistan di Chow Kit, masjid Seri Petaling, di Masjid Nabawi Madinah juga Masjidilharam di Mekah tapi ini kali pertama aku ke masjid Cina. Terasa masuk tokong. Dari tepi jalan tak perasan ini masjid, warna merah dan tulisan khat ala cina. Harap Ibrahim Ali dan Hasan Ali tak angkat keris jika ke sini.

Jemaah lebih kurang 300 orang termasuk jemaah dari Timur Tengah. Balai solat untuk wanita juga ramai berbanding Jumaat di Malaysia. Aku tidak faham khutbah disampaikan khatib muda itu tapi aku ralit menghayati bait-bait bacaan Arabnya. Loghat Imam yang pekat pelat Cina membaca surah Al Baqarah (bukan NFC) dan Qul huwallahu Ahad masuk segar menyusup seluruh sarafku. Aku tak pasti di sini pakai rasm mana dan hukum tajwid apa. Yang aku pasti 'keikhlasan' yang hakiki akan sampai ke sisi Yang Maha Kuasa.

Bersama Ibrahim, pemuda Cina Muslim yang peramah dan boleh berbahasa Inggeris.

Aku suka Jumaat sebab esoknya Sabtu- setengah hari kerana kami sudah ada rutin baru hujung minggu di Beijing iaitu bermalam di rumah pasangan Ana dan Zack, kenalan baru kami. Ana pegawai di kedutaan dan kebetulan pada hari kami berangkat ke Beijing, mereka digerakkan Tuhan untuk 'tertonton' berita online RTM yang membuat liputan pemergian kami ( pehhh! Hehe) lalu mereka menghubungi kak Nashita untuk mengetahui tentang Hope 2Walk.

Hari kedua kami di sini, mereka terpacul di muka pintu bilik membawa macam-macam barangan. Hujung minggu dapatlah kami berkumpul makan masakan Melayu.

Di Beijing ini- kami sekeluarga, Ana dan Zack, Diana dan kawan-kawan sudah jadi satu bangsa. Bangsa Malaysia.

Merentas jejak senandung mendonan
Yang impikan secangkir kopi panas dengan selimut
Aduh wangi suci murni menyegarkan
Tubuh yang letih
Membawakan nasib sedang tersurat

( secangkir kopi semanis puan)

Lagu: M.Nasir. Lirik: Loloq
Album: canggung mendonan
Sent from my iPad

Sunday, February 19, 2012

RINDU

Kala kau sedang menikmati mentari pagi di sana
Kami juga sama di sini
Lalu rindu ini kuhembus
Agar mentari yang sama ini sampaikan
Kepadamu
Di sana


- erkang hospital, hai dian, beijing, china
3:56 pm ahad 19 feb

Friday, February 17, 2012

Dari bumi Mao: Osman Tikus di Zombie Land


Akhir musim dingin tidaklah sedingin awalnya, kata mereka. Untuk kami, suhu begini adalah musuh. Silap-silap boleh gemuk. Duduk mengeram dalam bilik, makan saja. Sudah lima hari di sini kami masih belum jumpa seekor semut pun. Bersembunyi agaknya.

Aku cuba merayau sepanjang jalan sekitar hospital Erkang ini. Jalan Yongfeng ini seperti Zombie Land menurut Ki sebab kedai-kedai di sini semuanya sudah kosong. Mereka akan berpindah. Kalau ada pun kedai runcit, barang jualannya pun sudah tinggal sedikit. Itupun kedai-kedai ini kita tak perasan ianya buka sebab pintunya ditutup kain langsir tebal untuk mencegah angin dingin masuk.

China mungkin mengamalkan slogan Rakyat Didahulukan sebab barangan mentah mereka seperti sayur, telur, ikan segar-segar belaka. Kami akhirnya jumpa juga itik leper halal yang dibeli Ki di sebuah tempat seakan Petaling Street. Menu hari-hari adalah sup cendawan.

itik leper

Sham dan Ki

Kami hanya menonton channel CCTV news yang berbahasa Inggeris. Letih juga tinggal di sebuah negara yang mengharamkan Facebook, Twitter, Blogspot atau Youtube. Aku sendiri pun tak dapat tengok apa yang aku tulis ini kerana yang apdet blog ini pun kakak aku.

Suatu petang aku turun merayau. Tidak ramai orang di jalanan, mereka memandang aku dengan kehairanan mungkin tertanya aku orang mana agaknya dengan berjalan mengelek iPad. Nak bertanya banyak susah, jadilah aku seperti Osman Tikus.

Foto di bawah ini adalah tempat membakar arang batu untuk 'Heater' bilik-bilik kami.

Sisa-sisa arang batu yang dibakar dikumpul di belakang tempat pembakaran.

Semalam Sham dan Ki mahu mencari barangan dapur. Zhangyan meminta pemandu menghantar Sham dan Ki ke 'Pasar Jepun'. Di benak kami terbayangkan rajinnya orang Jepun membuka pasar di sini mungkin serajin orang Aceh yang telah menguasai kedai-kedai runcit di Malaysia. Korang tau apa dia 'Pasar Jepun'?

Jaya Jusco lahhh! Ha ha ha! Kami dapat tahu Jaya Jusco ini dirasmikan oleh wakil kedutaan Malaysia. Hmmmmm....mungkin ini satu penghormatan Jaya Jusco kepada Malaysia sebab mereka popular di negara kita.

Wo Ai Ne!

Wednesday, February 15, 2012

Di bumi Mao

Selepas puas berpeluk-pelukan, menangis dan ketawa girang- walaupun ada yang cuba tak nak menangis tetapi gagal, kami meninggalkan KLIA menuju Beijing pada jam 12.40 malam 14 februari.
Aku bertahan untuk tidak mempamerkan kesedihan. An-Nur meragam sedikit di dalam kapalterbang, letih agaknya. 
Aku, Sham dan Ki- penterjemah yang mengiringi kami tidak tidur sangat di dalam penerbangan selama 6 jam itu.
Aku berada di dalam mood nostalgia- menyusuri kembali memori permulaan usaha kempen Hope2Walk ini. Team Hope2walk memang terasa seperti bermimpi kerana tup-tup kami dah nak pergi. 
Wajah gembira berbaur puas dan sedih menyelubungi abang Hasan Suyut, kak Nashita, Umi Zumrah. Mereka akan terus berusaha di Malaysia kerana dana masih diperlukan. Faizal Riduan menghubungi media untuk membuat liputan, krew MHI sudah sedia ikut dari rumah kami dan RTM serta Harian Metro menunggu di airport.
Kehadiran kakak dan adik aku sekeluarga aku hargai dan usaha adik beradik Sham mengemas, menguruskan hal-hal di rumah serta urusan itu ini yang kami bengong dan buntu mereka bereskan. 
Terima kasih kak Andak, Izan dan Atam serta keluarga mereka. Kami terhutang budi. Doa dibacakan oleh Anas Latif sebelum bertolak ke KLIA. Sham terasa syahdu dan menangis.
Di airport selain team hope2walk, kaum keluarga Sham dan aku, turut terharu dengan teman-teman. 
Keluarga baru aku Wan Ruzaini dan isteri Ghazirah bersama dua anak dan seorang teman Fazira, geng RIMbabara yang kool, kawan sekolah Azura, Alia, Liza yang sama membesar, kak Yus SK, Rozan AMK, Farisya Syukor, Ammar editor Jalantelawi.com, Awang,Izmil dan ahhhhh....nanti kalau aku ingat aku update...

bersama 'anakanda' Izmil dan dua adik kesayangan - najwan dan puspa


6,30 pagi waktu Malaysia adalah sama 6.30 pagi di Beijing. Sama waktu.

Zhang, wanita yang bekerja di bahagian pentadbiran Hospital Erkang menunggu dengan memegang kertas bertulis Hope2walk. Dia boleh berbahasa Inggeris sedikit dan urusan emel selama ini melaluinya.
Pesan doktor An-Nur, Dr Goh dari Hospital Serdang minggu lepas terngiang mengenai "orang cina di China lima kali lebih jahat dari cina Malaysia".

Kami gopoh beli simcard di airport dengan harga yang mahal tapi pakejnya baik, kononnya. Tau-tau tak sampai lima panggilan ke Malaysia dah habis....baru An-Nur call Asiah...


Perjalanan 40 minit waktu pagi sedikit sesak tapi jalannya besar. Kami tertidur sekejap. Wow! Hampir 40 km tiada TOL. Kuala alumpur?

Kah kah... (bersambung)

Saturday, February 11, 2012

Mak

Sedang aku berbaringan di ruang tamu pagi tadi, mak datang baring sebelah aku, memeluk mencium aku, melekapkan mukanya ke mukaku. Mak menangis sehingga mukaku basah dengan air matanya.
Katanya dia seperti hilang seorang anak apabila aku mengembara ke China Isnin ini. Aku faham hati ibu malah aku tahu bagaimana rasa hilang anak. Aku hanya memejamkan mata dan menepuk-nepuk tangannya, tidak berkata apa-apa. Maafkan aku ini, anakmu yang tidak baik.



.



Thursday, February 9, 2012

Dan bermula lagi satu episod...

Hidup ini banyak ironinya. Adakalanya apa yang dilakukan tidak selari dengan prinsip yang dipegang tapi sebuah tanggungjawab telah mendorong kita melanggarnya. Ah! Siapa yang peduli tentang langgar atau patuhnya sebuah prinsip?
Beberapa hari lagi atau lebih tepat, 14 Februari yang ramai meraikan hari pak cik Valentine tu, kami memulakan episod baru- mengembara-seperti bermain Gin Rumme- membuat rumah, menyusun strategi-menunggu tuah dari tangan pemain lain menghantar apa yang kita hajati-mengurut daun-mencolek baki yang tersusun tanpa mengetahui apakah Sat, King atau Queen .
Kami akan ke Beijing untuk satu tempoh yang kalau ikut perancangannya -lama, namun rahsia takdir belum diketahui. Babaknya kami selak dengan penuh debaran.
Dalam usia hampir 40 tahun, aku tak menyangka sehingga ke sini perjalananku...sejuta ketawa seribu air mata, datang dan pergi...ada abang kakak adik yang membahagiakan, ada musuh yang menyumbang pahala...
Aku akan terus mencatatnya di sini, dari tembok besar...dari sebuah negara yang seratus peratus asing rupa, pertuturan dan seleraku. Tuhan suruh aku kutip apa aku di sini entahlah...kita tengoklah nanti
Terima kaseh kepada semua yang membawa kami sampai ke tahap ini. Aku sayang kamu. Kami sayang anda.
Bermula dengan satu langkah perbincangan dengan seorang bapa yang bernama Dr Syed Husin Ali yang sehingga hari ini terus berjuang untuk kami kemudian Zack Rahim si pengurus Safee Sali tempat berbincang. Kak Nashita sekeluarga dengan Umi Zumrah/Ustaz Badrulamin usah cakaplah, cubit paha kiri sakit paha kanan kata orang...muncul pula Kecik,Bonai,Wan Ji ,Jamaliah dengan dua amoi Shin Shin dan Ki penterjemah yang akan mengiringi kami nanti seminggu) dan Faizal Riduan.
Turunnya abang Hasan Suyut yang berpengalaman menghidupkan Hope 2 Walk, menyusun strategi yang sangat berkesan dibantu keluarga dan kawan-kawan mereka sehingga encik Zawahir dari Islamic Aid Malaysia menganjurkan program Bonanza Amal. Pehhhh!,,
Di Bangi, kakak yang dah lama kami kenal Kak Asiah dan abang Hamidi tak duduk diam menggunakan jaringannya. Muncul pula kawan-kawan baruWan Penang sekeluarga, Azman Mat Noh! jamie Chow kawan masa sekolah rendah yang berpusing mencari sebuah jumlah yang mengejutkan. Aku hadiahkan air mataku kepada jemaah Seni Suri Jawi dengan terajunya Wanji Zain, Wan Azli Wan Jusoh, Amerul Affendi, Pekin Ibrahim dan tak tertulis semuanya di sini yang meletakkan tugas membantu Annisa dan An-Nur sebagai jihad.
Itu dulu, kita sambung lagi dengan nama-nama wira yang lain.Siapa Wan Penag? Siapa Herizal Odyssey? Siapa Lawrence Jayaraj? siapa Faszt Alin? Fazalah Pit, bebudak RIM,team Surat Hope 2 Walk, Atok, jonos, art, oly,
Siapa lagi? Ada waktunya aku akan pergi satu satu watak-watak di atas....
Wa ai ne!

Tuesday, February 7, 2012

Lapanharibulandua- hari ini dan sebelas tahun dulu

Annisa, buat apa tu? wah... Mari sini dengar babah nak cerita sekejap. Ingat hari ini? 8 februari sebelas tahun dulu kau muncul ke dunia setelah 9 bulan kami menunggumu penuh teka-teki. Bagaimana rupamu? Apa jantinamu....di situlah jelas tiada daya upaya kita meneka.
Sungguh,
Sewaktu aku menatangmu kali pertama, melafazkan seruan di telinga kirimu dan matamu terbuka mendengar suara babahmu yang memang merdu...waktu itu 6.30 petang- sebesar hama pun aku tak pernah menyangka yang aku akan menatangmu sekali lagi pada 22 Disember 2011 untuk menghantarmu pulang...
Ingat sebelas tahun dulu kita ke mana saja bersama...ingat kau pernah melafazkan "Allahu akbar!" walhal kau tidak pernah menyebut apa perkataan pun yang difahami orang lain dan aku tkejut waktu itu...
Huh Annisa...aku tak boleh tandingi kekuatanmu...aku akur...
Hari ini jika kau masih di sini kau sudah sebelas tahun, tapi kau sudah di situ. Oooooo seronok ya?
An-nur sekarang cuba menyesuaikan diri tanpa kakak. Tapi dia sudah pandai makan makanan yang berat kau tahu?
Kalau takde aral, An-nur akan ke China 2 minggu lagi. Padan muka kakak tak dapat ikut...haha!
Doakan kami berjaya okey?
Kirim salam kat kawan-kawan. Jangan nakal-nakal.
Selamat hari jadi!

Wednesday, February 1, 2012

hubaya! Hubaya! Hope2Walk!

jangan lupa Sabtu ini di perkarangan Muzium Negara. Membeli sambil menghulur.
pada Khamis 2 feb dan Jumaat 3 feb bermula jam 3 petang akan ada kerja-kerja penyelenggaraan dan penyusunan barang2 sumbangan di Muzium Negara. Jika anda berminat nak jadi sukarelawan membantu datanglah ye di sana, kami ada! Team Islamic Aid Malaysia dan Hope2Walk yang macho dan comel sedia di sana. Jika anda mahu masuk kategori comel dan macho, sila join.


Aku baru selesai jumpa Sasterawan Negara datuk A.Samad Said dan isterinya Kak Shidah di Bangsar - lihat dua kotak di sisi mereka, antara koleksi pakaian mereka yang akan dijual nanti.