Cara memesan buku SURAT UNTUK ANAK

Cara memesan buku SURAT UNTUK ANAK
dapatkan!

Saturday, March 31, 2012

Surat untuk kawan di musim Spring...


Kawan,
Spring sudah bermula. Rerumput kering sudah hijau semula dek sentuhan salji minggu lepas. Hanya setetes saja kasih didamba, dedaunan di jejari yang lama kehausan mula segar. Pokok-pokok perang dan botak sudah menguning, bunga-bunga memutih.
Aku sudah dapat rasa terik mentari tetapi angin masih sejuk. Sesekali aku keluar merayau seorang, menaiki bas meninjau sekeliling. Adakalanya khayalan di dalam bas terganggu dek sms Encik Pyanhabib yang tak habis-habis menganjing aku dengan pekasam dan petai. Tak mengapa. Ada ubi ada batas.
Kawan,
Aku sengaja tidak mahu ke Badaling Great Wall lagi walaupun hanya 60 km sahaja dari kampung Daniufang, tempat tinggal kami. Walhal kalau nak pergi, sekarang pun boleh. Tapi biar...biar keinginan menjadi dendam. Lagipun strategi menjeleskan Kak Nashita, Faizal Riduan, Pyanhabib, Puspa atau Ju/Nikjidan mesti disusun betul-betul. Mesti dimulakan dengan foto jalan-jalan di bandarnya, foto main salji, kejap lagi foto musim bunga kemudian barulah ke Tembok Besar China. Tu belum kira ke Tiananmen Square dan Forbidden City. Ah! Aku mesti ke sana mencari tapak kaki abang Hasan Suyut.

An-Nur? Alhamdulillah. Tak sangka dia boleh gerakkan kakinya yang sejak lama lurus menegang. Sham punya keazaman yang kuat untuk belajar Mandarin. Kejayaan pertamanya apabila dia berjaya menghubungi Sun, si supir untuk membawa kami ke rumah Anna dan Zack di daerah Chaoyang. Sun faham apa yang dituturkan Sham. Hiyahhh! Oklah kan?
Waktu lapang aku melukis. Isham si Tukar Tiub suruh aku jual bakat aku di sana. Insyaallah! Tunggu sehingga lapang sedikit urusan kami.
Aku mengaku aku rindukan kamu semua...ada waktunya kami digigit pilu. Rindukan si dia...tapi hidup mesti terus!
Yang tinggal hanya kenangan. Air mata jadi teman.
Salam rindu, Wo Ai Ne.
-foto menyusul nanti-

Sunday, March 25, 2012

Cah keting!

Orang kita gemar berpolitik. Melayu memang handal. Budaya politik mewujudkan gejala cantas mencantas sehingga gejala sudah jadi budaya. Berpolitik bukan semesti dalam parti politik. Di mana-mana asalkan tempat itu ada orang atas dan orang bawah.
Orang atas punya kuasa dan jika dirasakan yang bawah bakal menggugat, langkah paling selamat adalah mencantasnya.
Seorang pemimpin parti mencantas pencabarnya, guru cantas muridnya yang mula menonjol, jurulatih simpan ilmunya takut pelatih lawan tauke. Kawan takut kawannya bersaing. Senior cantas junior.
Di mana-mana. Di jabatan kerajaan, firma-firma, kilang-kilang. Di stesen tv dan radio, di ruang seni. Selagi ada yang rasa dia besar.
Aku tak punya kehendak sangat dalam perkara 'naik ke atas' ni. Aku rasa aku kena bebas dari bayang sesiapa. Jika nak naik bukanlah dengan bayang sesiapa tetapi ia jadi sendiri. Apatah lagi era ini lebih terbuka. Lebih luas. Boleh bikin sendiri. Mahu tulis takde siapa nak terbit? Buat secara indie.
Nak kaya? Biarlah bermaruah.
Hisy! Siapa tak nak kaya. Selalu berangan tersepak segumpal guni penuh duit.
Memang nak kaya tapi jangan cantas orang. Jangan cah keting!

Friday, March 23, 2012

Pada suatu malam yang pekat lagi dingin di sebuah negara yang asing lagi bucuk....

Sunyi. 1.30 pagi. An-Nur dan Sham sudah tidur. Aku dalam gelap. Selesema. Baharu siap menaip sebuah cerpen. Aku sudah mula menulis kembali. Serius dan humor. Aku suka humor tetapi aku puas dengan penulisan serius. Seperti melukis komik, aku lebih puas dengan komik serius cuma aku tak ada punya masa untuk melukis. Komik-komik Rimau, Belot dan macam-macam tajuk lagi tersadai begitu saja. Juga buku Universiti Kaki Lima yang sepatutnya dicetak tahun lepas terbiar. Semua aku nak buat. Menulis novel baru suku. Terbengkalai juga. Berangan nak buat buku pasal seorang ayah dengan catatan untuk dua anak istimewanya. Tak bergerak lagi....
Di sini aku mula satu-satu semula...kumpul apa yang ada...macam-macam plan ni. Skrip teater, filem, komik, artikel...
Boleh berjaya ke? Aku tahu aku banyak idea.
Masalahnya aku sangat pemalas. Itu saja.
Malas...
Entry ini pun bukan ada apa-apa makna. Tulis saja je layan malas. Sebab Anwaruddin dok hantar kat wall fb aku tak sabar nak baca apa entry aku. Dia suruh aku tulis pasal wahabi, sunni dan syiah. Tunggulah.
Aku belum kenal lagi ketiga-tiga awek tu. Siapa sunny, anak siapa syiah dan budak mana wahabi nih?
Kau layanlah tulisan ini dulu Anwaruddin....
Sebab setahu aku Wahab itu salah satu nama Allah-Sang Kurnia.
Sunni itu ahli sunnah wal jamaah- aliran yang menggariskan iman, islam dan ehsan sebagai cabang ilmu dan ketiga ilmu ini disimpan di dalam feqah untuk islam, tauhid dan usuluddin untuk iman dan tassawuf untuk ehsan. Ahli sunnah wal jamaah menganggap cabang ilmu ini fardhu ain dan berdosa tak tuntut ketiga cabang ilmu ini. Haha! Orang kita anggap fardhu ain tu kelas mengaji quran je....
Syiah- dikatakan taksub dengan Ali. Di Malaysia Syiah sesat, maknanya seluruh Iran sesat..hahaha! Majoriti rakyat Iran masuk neraka...
Nantilah..ada masa aku tulis bab ni..
Aku bukan pandai sangat.


Anwaruddin : habis tu abang aliran apa? Syiah ke Sunni? Atau Wahabi?
Aku : aku aliran vokasional masa sekolah dulu

Tuesday, March 20, 2012

Sudah tiga bulan


Sudah tiga bulan kau pergi
Hari itu sehingga saat ini
Hujan masih mencurah
Tanah masih basah

Hari itu sehingga detik ini
Langit tetap ungu
Hari terus buntu
Waktu laju berlalu

Hari itu sampai saat ini
Sayap masih luka
Dada berat
Mata tak bisa padamkan mimpi
Rindu menghiris ngilu

Pedih sejuta zaman
Tangis jadi lautan

Hari itu hingga hujung infiniti
Sayangku tetap abadi
Kasihku genggam menjadi kersani
Damailah sayang
Bermandi cahaya sirri

Monday, March 19, 2012

Fahaman "Islam ala Melayu" kucar-kacirkan perpaduan Malaysia  

Kedatangan Islam di Tanah Melayu telah dibuktikan dengan penemuan batu bersurat di Terengganu yang mana menurut pakar sejarah ia adalah penanda bukti agama Islam sudah bertapak di sini sejak kurun ke-14 lagi. Agama Islam juga berkembang pada era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka apabila pedagang-pedagang dari India dan Arab yang menjalankan perniagaan mereka berlabuh di Melaka sambil menyebarkan dakwah mereka.


Sejak era tersebut sehingga ke hari ini Islam sinonim dengan bangsa Melayu. Perlembagaan Malaysia juga mentakrifkan bangsa Melayu itu agamanya mestilah Islam selain daripada bertutur di dalam Bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Takrifan ini bagaimanapun telah menimbulkan kecelaruan berdekad lamanya oleh bukan sahaja orang Melayu-Islam tetapi juga keseluruhan rakyat Malaysia berbagai lapisan kaum. Orang bukan Melayu beranggapan bahawa untuk menjadi seorang muslim wajib juga menjadi Melayu. Orang Tionghua yang memeluk Islam harus mesti belajar berkain sarung, memakai songkok dan berbaju Melayu serta meninggalkan kayu penyepit (chopstick) ketika makan. Muallaf berbangsa India mestilah melupakan harum setanggi dan pakaian kebudayaan mereka. Nama pun ditukarkan dengan berbinkan atau berbintikan Abdullah.Fahaman bahawa agama adalah milik peribadi sesuatu kaum ini diperkukuhkan lagi apabila orang India memonopoli agama Hindu manakala Buddha majoriti penganutnya kaum Cina. Minda orang Melayu-Islam sudah lama tertancap dengan anggapan orang Arab yang selalu berserban dan berjubah itu alim, maka itu jika orang Melayu-Islam berpakaian begitu mudah saja dilabelkan sebagai sangat warak. Kecelaruan ini semakin kalut apabila adat tahyul yang bersifat animisme telah dicampur-adukkan seolah-olah ia adalah sebahagian dari amalan yang dituntut oleh agama. Upacara menyemah gelanggang, kenduri arwah, memagar rumah daripada gangguan makhluk halus dengan membaca ayat-ayat suci sudah dianggap sebagai suatu ritual. Akhirnya isipati Al Quran tidak dijiwai dan dibiarkan. Ayat-ayat suci hanya dijadikan tangkal pendinding mencegah gangguan hantu, azimat melariskan perniagaan kalaupun tidak sebagai jampi memikat pasangan atau untuk menjadi pendekar.Fahaman Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu yang lama tertanam inilah pantas dimanipulasi golongan politikus oportunis demi kepentingan dan survival politik mereka. Dengan memukul gendang propaganda melalui instrumen yang dikuasai mereka, Melayu-Islam dimomokkan tentang hilang kuasa, terancam serta adanya pihak-pihak tertentu (biasanya dikaitkan dengan musuh politik mereka) yang cuba mengganggu keharmonian. Fahaman yang disempitkan dalam ruang lingkup Melayu ini dikecilkan lagi dalam ideologi politik kepartaian.

Tak habis lagi niihh....

Baca seterusnya tulisan aku di:-

http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=12856

Sunday, March 18, 2012

Jejak Rasul


Jumaat hari itu kami berkesempatan ke masjid Niu Jie, Beijing kira-kira 40 km dari Haidian, daerah kami tinggal. Masjid Niu Jie dibina pada kurun ke 10, sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu lagi. (fakta Islam di Tanah Melayu dibuktikan dengan penemuan Batu Bersurat Terengganu pada kurun 13-14). Rombongan Saad bin Abi Waqs, sahabat Rasulullah SAW ditugaskan menyebar Islam ke tanah China ketika era pemerintahan Sayidina Uthman Affan. Dan Islam terus berkembang. Jika kita menelaah wikipedia, dinyatakan tiada rekod jelas sentimen anti agama di China.

Kami ke sana menaiki teksi.


Islam sifatnya sejagat. Bisa meresap ke segenap ruang melangkaui batas adat dan kaum. Seakan tokong dengan patung-patung naga serta ukiran dan kaligrafi cina, masjid Niu Jie bak muzium dalam tempat ibadat.



Kekacauan yang berlaku pada suatu masa dahulu membuat ramai umat Islam berhijrah dan dalam masa yang sama menyebarkan Islam ke seluruh dunia. Di Kelantan dan di Melaka juga kita dapat lihat rekabentuk masjid yang ada unsur-unsur begini.


AJK masjid sentiasa menyambut dengan mesra jemaah. Segera aku teringat insiden lempar kepala babi di masjid Malaysia kononnya angkara kaum atau agama lain yang cuba cetus ketegangan. Penganut Islam di China adalah minoriti tetapi masih bisa mengamalkan ritual dengan aman. Kita di Malaysia sibuk suruh mualaf jadi Melayu, suruh cina mualaf tinggalkan chopstick dan suruh depa pakai kain pelekat walhal cina muslim di China hampir sama ramai dengan keseluruhan rakyat Malaysia.


Jemaah melimpah sampai ke laman seperti gelanggang kung fu...Kalau di Malaysia kita lihat pakaian jemaah berwarna putih atau cerah, di musim sejuk ini ramai berpakaian tebal, berjaket kulit gelap.


Foto di atas adalah pintu masuk ke balai solat wanita. Jemaah muslimah ramai bersolat Jumaat.


Foto bawah: Sham bersama petugas wanita yang boleh sedikit bertutur Bahasa Melayu...



Mamat-mamat dari Turki. Bekerja di Radio China International untuk channel Turki. RCI juga ada saluran dalam Bahasa Melayu. Cuba google...


Jumpa pelancong dari JB...


Lagi rombongan dari Malaysia. Penuh satu bas.... Lain macam perasaan jumpa orang kita...

Selepas solat kami ambil peluang meninjau kawasan sekitar pekan Niu Jie, pekan Islam. Restoran, pasar yang menjual barangan mentah seperti daging, sayur-sayuran, kuih muih dan macam-macam lagi dijamin halal. Foto di bawah Sham dan An-Nur dengan latar belakangnya sebuah pasaraya besar menjual barangan halal. Di tingkat atasnya ada food court masakan cina yang halal. Niu Jie adalah pekan wajib dilawati jika ke Beijing.


Puas juga kami hari itu. Melihat sendiri situasi sebenar yang selalu kita baca dan tonton. Malah aku mengaku tak khusyuk solat sebab terlalu tersentuh dengan bacaan imam ketika solat. Surat At-Tiin dan Al Nasr begitu menusuk. Ketika kita selalu bertaki soal tajwid dan wajah bacaan, pelat cina ini bagai suatu perasaan sakti dingin meresap ke dalam nuraniku. Perjalanan pulang kami dihiburkan oleh pak cik pemandu teksi yang ramah walaupun dia itik dan aku ayam. Hahaha....


Aha! 2.30 pagi tadi salji turun. Persis koboi ternampak whisky, aku dan Sham turun jakun menghayati titis-titis salji yang turun sambil berlatarbelakangkan lagu Winter Sonata... Simbol yang aku gayakan itu bukan simbol 1Malaysia tapi simbol yang selalu digayakan oleh arwah Annisa semasa hayatnya.


Wo ai ne!

Thursday, March 15, 2012

Orang politik berkelahi, nasib OKU ibarat tahi  

Kerenah politik tanahair tidak pernah kering di Malaysia. Saban hari kita dihidangkan dengan pelbagai isu di dada akhbar, televisyen mahu pun media portal online. Entah mengapa, sudah menjadi budaya agaknya segala masalah di Malaysia selalunya diselesaikan (baca: dicipta) oleh orang politik. Telagah dan polemik tidak sihat seakan sebati dan adakalanya keanak-anakan. Skandal seks, tuduh menuduh, fitnah dan adu domba sering menduduki carta teratas jika dibandingkan dengan perjuangan membela nasib rakyat terbanyak apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang cukup mencekik golongan marhaen.


Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) adalah di antara mangsa perang tidak berfaedah ini. Nasib mereka kian terumbang ambing. Yang selalu digula-gulakan di media oleh pemerintah tidak kira kerajaan Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat ialah membela kebajikan rakyat. Malah kerajaan baru-baru ini menyalurkan wang tunai ke sekolah dan pusat pengajian untuk dinikmati oleh segolongan rakyat sahaja. Bagaimana nasib anak-anak kurang upaya yang terlantar dan tidak layak masuk sekolah?

Berhujah bahawa bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah ada sangatlah dangkal malah istilah "bantuan" itu sendiri adalah sangat hina. OKU adalah rakyat Malaysia yang berhak menikmati hasil mahsul negara ini SAMA dengan yang lain. Menyalurkan bantuan ke badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menaungi sebahagian jenis kecacatan juga tidak mencapai ke seluruh sasaran. Itu belum lagi masuk sistem pendidikan yang ternyata masih jauh ketinggalan walaupun kononnya Malaysia sebuah negara yang maju.

Barat, sekolah khas untuk OKU adalah percuma. Ibu bapa yang punya anak OKU boleh bekerja seperti orang lain kerana urusan persekolahan dari menjemput hinggalah menghantar pulang diuruskan dengan cukup teratur. Penulis berpeluang membawa anak menjalani rawatan di Erkang Hospital, Beijing (gambar kiri) dan di sana pesakit diberi tempat tinggal untuk memudahkan proses rawatan dan latihan. Ini membuatkan penulis membayangkan jika di Malaysia terdapatnya pusat serenti untuk program pemulihan bagi penagih dadah mengapa tidak ada pusat pemulihan untuk OKU? Pusat Serenti wujud hampir di setiap daerah dan belanjanya pastilah besar dan jika penagih dadah dianggap pesakit bagaimana dengan OKU?Amat panjang jika mahu dihuraikan dan beribu OKU di Malaysia menantikan sesuatu yang istimewa oleh pemerintah. Bukannya pertolongan yang "bermotifkan politik". Contohnya baru-baru ini ada OKU diberhentikan bantuannya kerana dikatakan penyokong pembangkang. Sebuah parti politik telah menggerakkan usaha membantu OKU ini. Langkah ini sangat......

Baca seterusnya di http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=12836

Tuesday, March 13, 2012

Common sense

Masalah utama di Beijing adalah komunikasi. Amat sukar untuk mencari yang boleh berbahasa Inggeris. Jika kau lihat ada sekumpulan orang berkumpul belum tentu ke semua atau salah seorang daripadanya boleh berbahasa Inggeris. Nak cari yang boleh bertutur ibarat mencari semut hitam dalam kicap. Kalau ada yang boleh pun, bunyi speakingnya macam kambing tersedak sagun. Ada sekali tu di Jaya Jusco kami terjumpa dengan amoi jurujual yang sangat fasih. Dialog "Sorry i cannot speak English" nya cukup fasih dari segi tajwid dan idgham maghonahnya. Itu je yang dia boleh cakap. Hahaha..
Tapi kebanyakan yang aku jumpa tidaklah sombong malah bersungguh-sungguh pula nak membantu. Jadi petua aku pada korang yang belum pernah ke negeri tak reti speaking macam ni bawalah iPad dan biarlah Lebai Google bin Haji Translate yang berkomunikasi dengan mereka. Salah satu mood nak cakap Mandarin ni menurun ialah kau boleh baca tulisan rumi bagaimana nak sebut tapi sebutan tu selalunya salah. Eja lain sebutnya lain, sengau pun ada. Tu yang susah tu. Kata Ki, dulu China buat undian apakah bahasa yang akan jadi bahasa rasmi, Mandarin telah menang tipis berbanding Kantonis.
Aku menyumpah sebab dari kecil aku biasa dengan Kantonis.
"sebab Mandarin ada empat nada (tone) sahaja berbanding Kantonis yang ada lapan, abang Rona." Kata Ki.
Pulak! Tak tahu pulak aku. Tapi Mandarin memang. Perkataan 'Ma' jika kau sebut dengan nada berbeza memberikan makna berbeza. Boleh jadi bermaksud emak dan silap-silap jadi kuda. Salah nada jadikan mereka tak faham, salah sebut lagilah haru biru.
Masalah bahasa tu takpe lagi, yang letih mereka ni tak reti guna common sense ( apa istilah yang sesuai dalam BM bagi perkataan ni hah?). Bahasa isyarat pun depa susah nak faham. Kalau kita cakap " you speak Mandarin, i can understand Cantonese only" mampus dia tak faham. Mandarin bagi mereka 'Putonghua' manakala Kantonis ialah 'Guantonghua'.
Maksud aku guna common sense ialah jika ada orang asing jumpa kita dan cuba cakap BM begini,"zaye zuge magang igang gerin, jangak zetap" secara automatik kita akan guna common sense dan logik yang bermaksud " saya suka makan ikan kering, sangat sedap." Ye tak? Tapi depa hampeh. Hahaha! Pernah aku sampai cakap BM kat mamat pelayan restoran halal tu "apasallah kau bengap sangat". Guna bahasa isyarat pun tak faham. Agaknya dalam kepala dia pun dok kata apasallah Melayu ni bengap sangat.
Sham suatu ketika cuba berbual dengan sekumpulan pengawal keselamatan yang beruniform. Tahu mereka bukan polis tapi sengaja nak bermesra. "are you police?". Mampuih depa tak faham walhal aku rasa perkataan polis ni hampir satu dunia guna. Taknya depa faham. Sham sampai berlakon buat simbol pistol beng beng barulah faham. Aku gelak sampai sakit pankreas.
Bagaimanapun kami sudah ada kawan. Seorang pemandu teksi dan seorang lagi Sun, si drebar prebet sapu (paling kanan dalam foto ini). Dengan bahasa ayam itik kami berkomunikasi sampai jugalah kami ke destinasi. Mereka pula bersedia menawarkan khidmat untuk menghantar kami ke mana nak pergi. Ah! Susah -susah minta saja tolong Cik iPad dengan Lebai Google bin Haji Translate. settle.
Wa ai Ne!




Wednesday, March 7, 2012

Berita kepada kawan.


Waktu menemani An-Nur menjalani kelas urutan aku terlihat dari jendela bilik tersebut seekor burung sedang membuat sarang di atas sebatang pokok. Pokok yang kering dimamah musim sejuk di mana rimbun dedaunannya selama ini melindungi kediamannya kini terdedah. Burung itu kulihat gigih memperbaiki sarangnya. Dengan menggunakan paruh dan sepasang kaki dia menyulam penuh seni. Biar seribu musim sejuk mendatang, burung ini seakan berkata yang dia tidak gentar dan tetap tegar mengharungnya.

Aku melihat burung itu mencuri watakku. Lagu Mandarin yang tidak aku fahami dari corong radio bilik tersebut menjadi musik latar imbasan kenangan aku.

Tubuhku tergoncang dihempas batu jalanan
Hati terketar menampak kering rerumputan
Perjalanan ini seperti jadi saksi
Gembala kecil menangis sedih
( Berita kepada kawan-Ebiet G.Ade)

Pada Mei 2003, ketika baru sebulan An-Nur melihat dunia, kami berpindah ke Kajang selepas lapan tahun bertugas di Kuala Lipis. Alasan kesihatan Annisa yang kerap ke Kuala Lumpur menjalani rawatan pakar mempercepatkan proses perpindahanku. Walaupun sudah berkhidmat hampir sembilan tahun tapi gaji pokok guru lepasan diploma sepertiku pada waktu itu tak sampai RM1500. Campur tolak loan itu ini, maka gaji bersih yang tercatat di slip gajiku ketika itu adalah RM300 yang sekelip mata saja habis pada hari gaji untuk membayar sewa flat kediaman kami.

Makan pakai? Bil? Lampin, susu dan ubat anak? Minyak kereta? Kena cari... Pertama sekali aku cabut lari dari kelas outcampus. Kawan sekelas dan pensyarah semua terkejut. Aku terpaksa. Jimat sedikitkan?

Kemudian kami buka gerai goreng pisang dan keropok lekor di bawah rumah sewaan kami yang berdekatan dengan asrama pekerja kilang. Kesihatan anak yang tak stabil dan kerap masuk wad membuat perniagaan kami kejap ada kejap tutup. Suatu hari sebaik sampai ke rumah selepas seminggu duduk wad, kami dapati jiran kami telah mengambil tempat kami berniaga benda yang serupa.

Memandangkan perniagaan bukan milik sesiapa dan apa hak kami untuk menghalang, kami terpaksa memikirkan alternatif yang lain. Sedikit modal diperlukan dan dengan bantuan rakanku Wak Leh, aku menumpang meja sebelahnya yang berniaga putu piring setiap malam jumaat di pasar malam berhampiran kediaman kami.

Bayangkan betapa serba salahnya aku menjual jamu kecantikan dan sukarnya menahan malu menjual barangan yang agak sulit seperti ubat pencuci kemaluan wanita dan pelbagai jenis produk kesihatan lagi. Aku cuma bertahan tiga kali Jumaat sahaja apatah lagi setiap malam aku hanya mampu dapat sekitar RM50 sahaja atau kadang-kadang balik kosong.

Kami berpindah rumah di blok lain tapi di kawasan flat itu juga. Sekali lagi membuka gerai goreng pisang. Ah! Kereta Proton Saga orient 1.3 yang 'bocoratap' telah dijual sebab tak mampu menanggungnya lagi.

Pagi-pagi selepas punch card aku ke pasar dengan motosikal membeli 10kg pisang dan keropok lekor. Aku yang memang penakut dan gayat ketika menunggang motosikal mengharung juga dengan 10 kg pisang di atas tangki minyak. Kami juga mengambil upah menjaga 3 orang kanak-kanak. Sebaik pulang mengajar, aku mengambil alih menjaga budak -budak ini selain menjaga Annisa dan An-Nur. Mereka makan bersama aku, bergusti dan tidur petang bersama. Aku jaga Amirul dan kakaknya Sharina serta Taufik seperti aku jaga Annisa dan An-Nur.

Balik meniaga Sham buat nasi lemak untuk aku jual di asrama sekolah malam nanti. Kalau motor rosak aku pinjam motor Rudy, budak Indonesia yang bekerja sebagai buruh. Isterinya Nur dan ibu Nur kadang-kadang membantu kami menjaga Annisa dan An-Nur jika kami keluar malam sewaktu kami berjinak-jinak dengan perniagaan MLM. Mereka sehingga hari ini sangat menyayangi anak-anak kami.

Perniagaan MLM? Gagal! Yang aku dapat ialah suatu pelajaran bahawa kita kena kenal potensi diri sendiri di samping bijak memanipulasi keadaan. Hahaha! Syukur dalam kesempitan ini tidaklah pernah kami putus wang atau anak-anak kelaparan. Kenaikan harga barang, tol dan petrol pada tahun 2007 begitu menyiksa dan kemuncak kemarahan kami telah kami lempiaskan dengan turun berdemonstrasi di jalanraya sekeluarga. Allah saja yang tahu kesengsaraan kehidupan kami walau aku pernah terbaca beberapa pihak mencemuh tindakan kami itu.

Ah! Apa yang mereka tahu tentang poket seluarku yang penuh habuk.

Berniaga goreng pisang pun menjadi mangsa fitnah dan hasad dengki, ini sangat melucukan. Penyakit orang kita memang tak habis-habis. Mujurlah ketika itu pelarasan gaji dilakukan kerajaan melegakan ksedikit aku dan aku mampu kembali membeli sebuah kereta tangan ketiga dengan ansuran bulanan tak sampai Rm400 sebulan. Pinjaman perumahan aku pun lulus dan kami berpindah ke pangsapuri sederhana milik sendiri. Kerja pemasangan lampu, kipas dan wiring aku lakukan sendiri untuk jimatkan kos sampai kaki aku terbolos dan siling pecah. Mujur tak jatuh dari bumbung. Dindingnya kami berdua cat sampai demam-demam. Pindahlah ke situ untuk meninggalkan kesusahan...

Dan kisah seterusnya terhenti apabila lamunan terputus dengan bunyi kerusi terjatuh. Oh! an-Nur sudah siap diurut. Aku memakaikan semula pakaian sejuk An-Nur dan pulang ke bilik untuk makan tengah hari sebelum ke kelas akupunktur pula jam 3 petang nanti.

Kerana pegangan engkau hadapi
Dugaan ini Ya Sahibul Kahfi!
( Sahabat Gua: lagu/lirik M.Nasir album Phoenix Bangkit)

Saturday, March 3, 2012

Yin dan Yang

*Mana sungai mengalir di sana berlembah
Mana lembah terbiar di sana berumput
Bagaikan oh mata rantai
Tak terputus bergandingan segala yang hidup

Sejak kecil aku berminat melihat keunikan akupunktur.aku selalu tertanya-tanya apa rahsia jarum yang dicucuk ke tubuh dan mengapa begitu. Bagaimana jarum-jarum itu memainkan peranan mengubat penyakit?

"akupunktur tidak membekalkan ubat ke tubuh penyakit." jelas Dr Hu, gadis Korea yang merantau ke sini dan langsung menjadi doktor An-Nur.

"Akupunktur sebaliknya merangsang sistem tubuh kita sendiri mengubati penyakit di dalamnya. Jarum itu dicucuk ke titik-titik di mana punca terminal semua saraf. Ia menghantar isyarat kepada tentera pencegah penyakit di dalam badan untuk merawat kawasan yang sakit." jelasnya yang lancar berbahasa Inggeris dan Mandarin.

Aku mengambil peluang menggunakan kaedah ini untuk merawat migrain dan kaki kananku yang selalu lenguh dan kebas. Agak mengagumkan, setelah dua minggu kaki An-Nur sedikit lembut dan boleh dibengkokkan perlahan-lahan tanpa dia merengek seperti sebelum ini.

"An-Nur selalu tidur waktu siang tetapi berjaga malam, terbalik waktunya berbanding kita." kata Sham. Dan Hu menerangkan tentang konsep Yin dan Yang yang diamalkan dalam falsafah Taoisme. Aku percaya korang tahu Yin dan Yang dan simbolnya bisa kita lihat dalam filem-filem kungfu. Kalau tak tahu pergi google. Jangan malas. He he...

Ya! Yin dan Yang adalah keseimbangan, perbezaan yang saling melengkapi. Ia pincang tanpa pasangannya. Seperti lelaki tanpa perempuan, siang dan malam, roh dan jasad. Seperti tiada Allah tiadalah Muhammad, tanpa Muhammad siapa yang kenal Allah?

Keseimbangan menuju kesempurnaan. Suka duka, sedih ria terang gelap senang susah semua kena rasa dan di atas tubuh inilah diduganya semua itu. Kerana tubuh ini adalah rahsia yang diletakkan olehNya untuk kita mencari.

"al insanu sirri, wa ana sirruhu" - insan adalah rahsia dan Akulah rahsianya.

Keseimbangan dunia dan akhirat dipupuk di dalam zahir dan batin lalu empat unsur tanah air api angin sebati di dalamnya- menyatu.

Semuanya menyatu:- wujud nur ilmu syuhud
Syariat tareqat haqiqat makrifat
Di wadi mani manikam
Allah muhammad adam insan
Nafas ampas nufus tanapas......

Jadilah hayat dari nur, gerak bergerak, dari permulaan aku menjadi kami sehingga tinggal dia dan kemudian hilang....

Kau faham? Begini ringkasnya. Diri kita ini lahir tunggal dan pasangan kita adalah pencipta kita. Lalu kita kena cari sang pencipta ini yang telah meninggalkan 'rohNya' di dalam diri kita.

Dituntutnya kita mengenal akan dirinya sejak awal lagi sebelum perintah yang lain tiba.

Awaluddin makrifatullah-awal ugama mengenal akan Dia.
Bagaimana mengenal akan dia yang berselindung di balik diri kita?
Ah! Kenal diri kita kenallah akan dia.
Man arafa nafsahunfakad arafa rabbahu...

Salam rindu dari Beijing. Entry ini ditulis sambil menyusukan An-Nur di bangku dalam Jaya Jusco saat menanti Sham beli barangan dapur.

*kau tak bisa berdiri oh dengan sendiri
Kau perlukan sahabat
Kau perlukan kekasih
Kau perlukan seteru
Mengasah pengalaman merentas dunia

Nota: rangkap bertanda * adalah lirik Yin dan Yang oleh Loloq, lagunya dicipta M.Nasir nyanyian Search dalam album Gothik Malam Edan

Thursday, March 1, 2012

Raikan Cinta


"Orang cina sembahyang entah apa-apa. Sembah patung. Sendiri buat patung sendiri sembah." kataku kepada dia yang duduk di sebelahku. Dia hanya mencebikkan bibir. Menjawab juga dia tapi aku dah lupa. Tak lama selepas pergaduhan itu, guru kami sambil mengajar telah memberitahu kelas kami agar menghormati pegangan agama masing-masing dan tidak memperkecilkan orang lain.

Dia yang duduk di sebelahku berkata, "awak selalu begitu!". Aku sedikit rasa bersalah dan mungkin juga takut dia melaporkannya kepada cikgu Normah, meminta maaf.

Peristiwa itu pada tahun 1982 waktu darjah tiga dan aku terus sekelas dengan dia sehingga darjah enam. Selepas ke sekolah menengah kami tidak bertemu lagi. Facebook menemukan aku dengan Jamie Chow semula selepas 27 tahun berpisah.

Persahabatan terjalin. Dia tahu tentang Hope2Walk. Guru yoga ini yang gemar membuat kerja kebajikan bersama rakan 'Together we care' nya telah mengunjungi kami selepas membuat kerja kebajikan di rumah anak yatim di Hulu Langat.

Setiap bulan mereka akan pergi tempat-tempat begitu. Jamie ( yang duduk berhampiran aku dan Sham di dalam foto ini) telah berjaya mengumpul RM10k hasil usahanya bertemu rakan-rakannya di mana saja dia pergi.

Dia memberi amaran agar aku jangan berterimakaseh kepadanya jika mahu terus berkawan. Dia membantu dengan ikhlas atas dasar kaseh sayang.

Di sini di Beijing aku lihat cinta dan kaseh sayang. Di Erkang Hospital ini ramai kanak-kanak istimewa mendapat rawatan dengan ditemani datuk dan nenek mereka. Mungkin ibu bapa anak-anak ini pergi bekerja maka datuk dan nenek ini mengganti tempat ibu bapa mereka. Wajah-wajah doktor dan jurulatih yang melatih dengan ikhlas, membelai mesra dan bergurau penuh tulus.

Semuanya kerana cinta dan kaseh sayang.

"dalam seribu kekalutan kucinta
Dalam sejuta resah ku cinta jua
Dalam mimpi ngeri aku lihat cinta
Dalam rasa paling rendah kuangkat cinta"

- (tujuh nafas lagi. Lagu/lirik: M.Nasir dari album Sang Pecinta)

"kau punya ingatan kuatlah Fendi, masih ingat ramai kawan-kawan sekelas kita. Saya sudah banyak lupa loh" kata Jamie.

" tapi kau tak lupa aku kan? Kenapa?" tanya aku.

"sebab kau suka ejek agama lain sembahyang" katanya.

Kami ketawa.