Thursday, February 7, 2013

satu sisi dari diriku telah mati



Setiap kali melintasi tarikh 8 Februari pastilah ingatan aku takkan boleh lari dari memikirkan lahirnya Annisa 12 tahun lalu. Hari ini, pada tahun ini sudah kedua kali dia tiada. Aku sudah redha malah sebaik sahaja doktor umumkan Annisa sudah tiada, aku sudah redha waktu itu.
Apakah yang lebih menyedihkan bagi setiap ibu dan ayah selain kehilangan anakandanya? Siapakah bisa menahan air mata gugur untuk peristiwa yang merentap tangkai hati seperti itu?
Jika kau ada di wad kecemasan saat doktor umumkan kematiannya, saat memandi dan mengafankannya, saat menyembahyangkan jenazahnya di masjid, saat mengebumikannya, saat pulang ke rumah, jika kau ada sepertimana kawan-kawan, saudara dan keluargaku ada – pasti kau nampak aku sangat redha, boleh tersenyum, bergurau dan berlucu. Tanpa setitis pun air mata aku gugur sedangkan orang lain ada yang bercucuran. Kawan-kawanku ada yang terus berkata kepadaku dan ada juga menulis di laman sosial menyatakan betapa kerasnya aku.
Tahukah betapa sakitnya kepala aku diserang migrain berjaga semalaman sebelum itu, kuambil dua biji pil penahan sakit ketika Annisa sedang dimandikan. Selepas pengebumian sakit makin menggigit ubun-ubun memaksa aku makan dua biji lagi dan terus tidur. Mungkin kerana aku menahan ombak di dada maka sakit itu kuat mencucuk. Aku tidur. Bagaimana rasanya jika bangun tidur mendapati anak kau sudah tiada, dan isteri kau menangis. Tetapi aku belum lagi menangis. Rumah aku tidak putus-putus dikunjungi teman-teman. Ada di antaranya kami tidak kenal. Ini sedikit sebanyak menampal ruang-ruang kosong yang pilu. Hari-hari yang dilalui selenga, tak bermaya dan bingung. Sepuluh tahun rutin kau tiba-tiba berubah sekelip mata. Apabila kau hendak menyuapkan makanan kau dapati anak kau sudah tiada. Apabila hendak memandikan anak kau, kau sedar dia sudah tiada.
Kawan, kalau kau rasa aku kuat, sebenarnya aku patut mengaku aku tidak. Tidak menangis waktu itu bukanlah petanda yang aku kuat. Sebaliknya ia mengalir ke arah lain. Ia merubah aku jadi lain pula. Menjadi apa..entah aku pun tak tahu.
Pernah di musim dingin di Beijing, aku dan Sham berpelukan melepaskan esakan rindu. Di Tiananment Square juga telah aku tinggalkan sendu dan air mata.
Seminggu, dua minggu, bulan dan hari-hari seterusnya sehingga hari ini aku semakin seperti kekabu. Apabila sesekali melintas ingatan ini….. aku tewas untuk bertahan.Ini  satu sisi dari hidup aku. Sisi paling syahdu. Jika kau lihat aku ketawa, marah atau senyum – kau kena tahu ada satu sudut di dalam hati aku yang paling dalam telah hancur luluh. Telah mati.
Saban hari aku melintasi perkuburan tempat Annisa disemadikan dan adakalanya tanpa rasa apa-apa. Ini kerana aku yakin ia sudah bukan di situ. Ia sudah kembali menjadi cahaya.
Cuma tanah itu adalah taman tempat bersemadinya cinta. Adakalanya, adakalanya….aku basahkan pandan yang mengharum di antara dua nesan itu dengan air mata.
Aku sebenarnya redha, aku sangat-sangat pasti. Jangan ada yang pertikaikan keredhaanku…Cuma, cumanya aku rindu.

1 comment:

Unknown said...

Rindu, memang rindu saya tahu dan saya faham. Tapi rindu akan terubat ketika terlintasnya rasa yang dirindu itu sedang berada di sisi yang di Rindu.

Sabar satu detik nanti rindu akan terubat bila kita pun berada di dalam dakapan yang di Rindu....