Friday, April 25, 2014

16 tahun Reformasi dan mutu pemilihan PKR

16 tahun Reformasi dan mutu pemilihan PKR 
oleh Ronasina
 

Demokrasi, keterbukaan, meraikan perbezaan, kebebasan bersuara antara agenda gagasan reformasi 98 yang mempunyai iltizam kuat mengangkat hak asasi manusia. Karamah Insaniah katanya, iaitu setiap manusia mempunyai kemuliaannya. Gelombang prahara reformasi respon dari pemecatan Anwar Ibrahim dari takhta Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada September 1998 dengan tuduhan liwat tidak masuk akal itu terus bergerak ke hadapan melibas satu demi satu kubu pemerintah sehingga memaksa Perdana Menteri Dr Mahathir berundur. Untuk melenturkan ribut yang makin hari makin ganas, Dr Mahathir yang mula paranoid kehilangan kuasa langsung sahaja meluluskan pendaftaran gerakan ini sebagai sebuah parti politik yang berorganisasi dan terikat dengan peraturan perlembagaan. Api reformasi yang menggelegak marak dengan helah licik Mahathir berjaya disejukkan. Parti politik jika hendak merebut kuasa mestilah melalui jalan halal; pilihanraya. Dan kemarahan rakyat ini perlu diarahkan ke situ untuk diperukkan. Di gelanggang pilihanraya, gelanggang bacul bagi diktator kuku besi berlindung.

Fasa baru pun bermula. Parti Keadilan Nasional (keADILan)) pun mendewasa. Dengan prinsip mendukung agenda reformasi parti ini melalui zaman gelap dan terangnya. Percantuman dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) menjadikan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) semakin menggugat. Keluar dari penjara, Anwar Ibrahim terus jadi mimpi yang menakutkan Umno dan Barisan Nasional (BN). Ramai pemimpin BN lebih-lebih lagi yang sudah tak bertaring menyertai KEADILAN. Pilihanraya Umum 2008 menang besar dan bersama Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) membentuk Pakatan Rakyat (PR). Yang keluar ramai, yang masuk pun ramai. Lumrah politik di Malaysia. Biasalah, di mana kita boleh jumpa watak-watak seperti Ibrahim Ali, Zulkifli Nordin atau Nallakurapan yang bebas sewenang-wenangnya berlawak ganas jika tidak di negara tercinta ini?

Tidak perlu banyak berbasa-basi mari kita perhatikan Pemilihan KEADILAN 2014 ini. Mari kita lihat anggota parti itu khususnya pimpinan peringkat tertinggi menterjemahkan demokrasi, keterbukaan, kebebasan bersuara, meraikan perbezaan dan penghayatan zat reformasi selepas 16 tahun tekak perit menjerit kalimah keramat itu. Oh! Telah banyak didebatkan apakah reformasi itu maksudnya hanya laungan atau apakah reformasi lebih dari pekikan, demonstrasi jalanan, pembangunan jasad dan rohani? Sehingga asal adanya pemilihan maka berebutlah kelompok situ dan sini mendabik dada mendefinisikan semula maksud reformasi dan sudah tentulah sebenarnya ia untuk menyelitkan mesej bahawa kelompok merekalah pembawa obor reformasi sebenarnya.

'Cai' dan 'Kartel' 

Tidak ada masalah jika pertandingan jawatan berlaku sehingga tiga penjuru malah lebih. Ini demokrasi. Pembaharuan yang dibawa KEADILAN iaitu satu anggota (ahli) satu undi dan bukan lagi menghantar perwakilan untuk mengundi juga adalah suatu reformasi. Berani walaupun ada anggota masih belum cerdik, dalam keadaan tak tahu apa-apa terlibat dengan konspirasi pimpinan untuk mengundi 'cai' mana. Cai, kartel, pasukan dibentuk dengan nawaitu meneruskan perubahan. Membawa politik baru canang mereka. Sangat demokratik, sangat cantik di atas kertas. Tetapi sebaliknya telah berlaku. Menyerang peribadi, kempen memburuk-burukkan lawan, pendewaan mula berlaku di cabang-cabang, ranting-ranting sehingga ke kedai kopi. Di dunia maya, akaun-akaun palsu facebook dan twitter dicipta untuk menyebar fitnah dan membogelkan pesaing. Apakah mahu menuding ini semua kerja 'cybertrooper' Umno? Penelanjangan ini sebenarnya memberikan buah-buah percuma dan bonus untuk BN meneruskan kerja mereka. 
Persaingan sihat atas semangat reformasi yang ditanam 16 tahun hanya ada pada teori tetapi amalinya boleh kita rujuk di tong sampah. Jika semangat ini dipraktikkan untuk menyerang BN sudah lama BN terbungkang ke longkang. 
Pemimpin yang bertanding harus menghadam zat reformasi. Mendidik penyokong bukan memasang pengampu. Merancang visi dan misi bukan menghidang ilusi dan mimpi.

Anwar ke penjara
Kata seorang dari barisan peguam Anwar Ibrahim, dalam tempoh sebulan ini Anwar mungkin ke penjara. Tidak nampak tanda-tanda 'tidak akan masuk' menurut pemerhatian mereka. Sebab itulah Anwar tarik diri dari bertanding Presiden. Jentera penerangan masih gagal turun ke setiap cabang sehingga ada anggota yang masih terpinga-pinga tidak tahu. Perancangan apa hendak dilakukan apabila Anwar mendekam di penjara masih tak dibuat. Pimpinan sibuk berkempen, kata peguam ini. Dari satu sudut mungkin betul, Anwar ikon reformasi. Parti ini hidup atas semangat itu. Suamnya sambutan kempen Reformasi 2.0 seolah barisan pimpinan mula memikirkan 'survival' tanpa Anwar. Dari sudut lain pula harus juga diingat hari ini perjuangan parti mesti lebih besar daripada sosok individu Anwar. Benar kezaliman terhadap Anwar adalah simbol kezaliman pemerintah terhadap rakyat tetapi parti mesti bergerak lebih panjang membela rakyat tertindas. Mentelah pula hari ini sudah jadi kerajaan negeri. 
 
Budaya PKR, bukan lagi budaya Umno
Selalu kita dengar "PKR (KEADILAN) ini asalnya dari Umno, budaya Umno tetap juga dibawa". Ini sebenarnya tanggapan salah yang wajib hari ini kita buang jauh-jauh. Selepas 16 tahun reformasi, kita patut lupakan Umno dan bayangnya. Umno adalah bencana petaka. Ia bukan budaya. Jangan kaitkan lagi Umno dengan budaya di dalam KEADILAN. Budaya di dalam KEADILAN adalah budaya yang dicipta anggota parti itu sendiri. Jangan sebut Umno lagi. Budaya adu domba, cai-mengecai, pukul curi, akaun palsu wajib kita gelar 'Budaya PKR'. Lupakan Umno. Kita sebut 'budaya PKR'. Jika Umno, PAS, DAP dan parti lain mengamalkan budaya yang disebutkan tadi, maka kita wajib menyebut mereka sudah dijangkiti 'Budaya PKR'.


Pertandingan untuk memilih
Sewajarnya calon yang bertanding serta anggota yang memilih mengambil kesempatan ini untuk menunjukkan model politik baru. Persaingan adalah sesuatu yang sihat. Konsepnya memilih yang terbaik dari yang terbaik untuk meneruskan perjuangan, selepas itu luruskan saf dan teruskan kerja, Bukan mencipta musuh baru di dalam kapal, menganggap kawan sendiri akan menggugat, membogelkan keaiban peribadi; prinsip yang selama ini ditegakkan. Slogan "Lawan Tetap Lawan" dipraktikkan sungguh-sungguh kepada kawan sendiri demi mencari kedudukan. Jadi, apa kesudahannya selepas keputusan keluar akhirnya nanti? Bagaimana kemenangan terjadi dengan barisan 'cai' yang berbeza? Bersalam semula dalam keadaan sama-sama telanjang? Maka teringatlah kita dengan gurindam dulu-dulu;

Cai kecucai
nangka condong
siapa duduk berjuntai
disambar buaya kodong 




*Ronasina adalah penulis, kartunis, pelukis, penerbit dan aktivis bebas

Friday, April 11, 2014

Kenyataan Tentang Program Debat Wacana Timbal Timbalan Presiden

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Kami dari Posto dan Radio Bangsar Utama, penganjur program 'Wacana Timbal Timbalan Presiden PKR' dengan dukacitanya memaklumkan bahawa program yang sepatutnya diadakan pada Ahad 13 April 2014 jam 8.30 malam di Dewan Perhimpunan Kuala Lumpur&Selangor DIBATALKAN.

Program ini bertujuan memberikan ruang untuk calon-calon Timbalan Presiden PKR menerangkan visi/misi mereka jika terpilih sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (Keadilan). Program ini kami rancang kerana berminat meraikan demokrasi dan politik telus. Ia adalah satu cara promosi paling cepat dan meluas kerana program ini akan ke udara secara langsung dibawakan oleh Radio Bangsar Utama.

Justeru bermula Sabtu lepas kami telah menghubungi ke semua calon melalui akaun facebook, pembantu dan pegawai khas mereka. Pada mulanya program dirancang pada Sabtu 12 April di tempat dan waktu yang sama tetapi pegawai khas YB Azmin Ali dan juga calon Murali Subramaniam menyatakan jadual sudah terisi maka ditukar kepada hari Ahad 13 April.

- pembantu YB Azmin Ali memaklumkan akan memberikan pengesahan semula kemudian
- calon Murali Subramaniam terus tidak menjawab sehingga ke hari ini.
- Saifuddin Nasution menyatakan persetujuan dan Tian Chua melalui saudara Rozan Azen menyatakan kesediaan turut serta.
- calon Ramachandran menyatakan akan berbincang dulu dengan pasukannya
- Pegawai Khas Tan Sri Khalid Ibrahim menyatakan kelihatan beliau tidak berminat dengan program ini.
- Pada Selasa 8 April kami ke Ibu Pejabat Keadilan dan Dewan SUK Selangor di Shah Alam menyampaikan surat rasmi jemputan. Tian Chua dan Saifuddin menerimanya. YB Amir Shari menerima sebagai wakil YB Azmin Ali. Untuk Tan Sri Khalid, surat dihantar ke pejabat Menteri Besar.
- calon Ramachandran memaklumkan tidak dapat menyertai atas nasihat penasihat teknikalnya.
- Tan Sri Khalid Ibrahim di Malaysiakini menyatakan tidak berminat.
- YB Azmin Ali di Malaysiakini menyatakan beliau menunggu sehingga tarikh tutup calon tarik diri pada 10 April baru boleh buat keputusan.
- 10 April Tian Chua umum tarik diri bertanding kerusi nombor dua parti dan menumpukan kepada kerusi Naib Presiden
- Penganjur menghubungi pegawai pembantu YB Azmin Ali dan teman rapat untuk memberi pengesahan sebelum jam 12 tengah hari Jumaat 11 April kerana dewan sudah ditempah dan kemungkinan deposit hangus. Mereka cuba beri jawaban.
- 2.30 petang tiada maklum balas dari pihak YB Azmin Ali.

Memandangkan hanya Saifuddin Nasution seorang sahaja sudi maka kami mengambil keputusan membatalkan program ini.
Kami memohon maaf kepada teman-teman, penyokong parti dan luar parti Keadilan yang berminat menonton program ini tetapi hampa dengan pembatalan ini.
Bagaimanapun kami ucapkan terima kasih kepada calon-calon yang memberi kerjasama terutamanya Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ramachandran yang walaupun enggan menyertai tetapi memberi jawaban dan kerjasama sebagai keadilan untuk kami pihak penganjur.
Sekian terima kasih.

Mohd Affandi bin Ramli,
Wakil Penganjur Program
Posto-Radio Bangsar Utama

Tuesday, April 1, 2014

Timbalan Presiden PKR: Siapa layak?

Penyandang jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berdepan lima pencabar dalam pemilihan kali ini iaitu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selain empat lagi calon iaitu Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Datuk K Ramachandran dan Murali Subramaniam.

Tolak terus K Ramachandran dan Murali dari senarai kegemaran untuk memudahkan analisis ini. Ramai terkejut apabila Saifuddin Nasution juga bertanding. Seperti ada usaha belakang tabir meminta Saifuddin masuk untuk menyekat Azmin setelah jawatan Presiden dikepung rapat Anwar. Meskipun tiada salahnya Azmin bertanding Presiden (atau mungkin tidak berhajat pun) tetapi tidak manislah kerana senario politik Malaysia tidak nampak pertandingan melawan presiden parti sesuatu yang diraikan malah ia akan dibenci baik di dalam Umno, PAS mahu pun parti lain. Abdul Rahman Othman dipandang bagai musuh nombor satu parti sewaktu beliau mencalon diri bertanding jawatan Presiden PKR pada 2007 sebelum menarik diri bersama Anwar untuk memberikan kemenangan percuma kepada Wan Azizah.  

Tian Chua yang dilihat sebagai simbol garis politik awal PKR mewakili kumpulan reformis dijangka akan menarik diri untuk memberi laluan kepada Saifuddin. Umum juga melihat Tian tidak serius, hanya mahu uji pasaran kerana pada masa yang sama turut mempertahankan kerusi Naib. Mana satu fokus beliau? Timbalan atau Naib? Undi anggota (ahli) kaum Cina juga tidak menjamin kedudukan Tian. Jika tidak menarik diri pun, pengundi masih boleh mengundi Tian untuk Naib. Maka senarai semakin pendek antara Azmin, Khalid dan Saifuddin. Selain faktor peribadi mereka yang dikenali ramai bersertakan persepsi yang mengikut belakang mereka, faktor penting pemilihan kali ini ialah jika:-

1) Anwar menarik diri kerana berdepan hukuman penjara dan Wan Azizah menjadi presiden
2) Anwar tidak menarik diri dan menang kerusi presiden

Khalid Ibrahim
Khalid, rekod minat dalam kerja-kerja parti amat buruk. Kita bercakap soal parti bukan Menteri Besar dan pentadbiran negeri. Dalam menggerakkan parti termasuk kerja-kerja propaganda, menyebar idealisme parti; Khalid jauh ketinggalan berbanding Azmin. Tidak faham mengapa Khalid menawarkan diri menjadi timbalan. Jadi jika mengambil dua faktor yang disebutkan tadi sekiranya:-
1) Wan Azizah presiden dan Khalid Ibrahim timbalan maka PKR akan berhadapan kepimpinan yang lemah dan tidak tegas. Wan Azizah kita tahu lembut sifatnya seperti ibu kepada semua dan gerak kerja parti lebih banyak dijayakan timbalan, jadi sukar untuk berdepan dengan musuh politik yang tidak pernah berhenti menyerang. Khalid selalu dikritik kerana masih terus membiarkan juak-juak Umno bermaharajalela di pentadbiran Selangor.
2) Anwar presiden, nampak seperti gandingan yang mantap bersama Khalid Ibrahim tetapi itu di atas kertas sahaja kerana kedua-duanya sama keras kepala. Amat sukar mengawal Khalid yang memang tidak berminat dalam organisasi parti. Banyak keputusan Khalid buat tanpa perbincangan bersama. Ini bahaya dalam struktur organisasi parti.
Jadi, Khalid yang cenderung dengan kerja pengurusan korporat tidak sesuai duduk memimpin sebuah parti politik seperti PKR yang terdiri dari berbagai latarbelakang sama ada ahli politik, aktivis hak asasi, kesatuan sekerja, profesional, agamawan, seniman dan kaum pekerja. Menjadi Menteri Besar berbanding calon lain adalah suatu tajuk lain yang boleh didebatkan di meja berasingan, bukan pada tajuk ini.

Azmin Ali
Tidak dinafikan menjadi penggerak awal parti sejak penubuhannya. Pegawai kanan Anwar Ibrahim yang dikenali paling setia ketika ramai rakan (bekas) sudah keluar meninggalkan Anwar dan parti. Azmin juga turut menerima nasib buruk difitnah Umno sejak era reformasi 1998 melibatkan maruah diri dan keluarga. Sama seperti Anwar. Kejayaan menyusun strategi sehingga parti mencapai keputusan cemerlang dalam pilihanraya umum 1999-2008 tidak perlu dipertikai. Menjaga baik penyokong-penyokongnya. Di atas kertas, Azmin dilihat kuat. Jika dibandingkan antara Khalid Ibrahim dan Saifuddin, Azmin lebih 'dekat' dengan anggota bawahan. Mesra dan murah senyuman. Jika dua faktor disebutkan awal tadi diambilkira dan Azmin menjadi timbalan:-
1) dengan Wan Azizah sebagai presiden, parti jadi statik seperti sebelum ini. Tidak berubah. Pemerhati politik tahu hubungan Wan Azizah-Azmin tidak baik. Keadaan menjadi seperti biasa. Imej Azmin mahu jadi Menteri Besar yang dipaparkan di media dan dikepohkan di kedai kopi menyulitkan keadaan. Tugas berat juga untuk digalas ketika hendak bekerjasama dengan PAS dan DAP. Apatah lagi PKR gagal menang banyak kerusi di Selangor berbanding PAS dan DAP pada PRU13 yang lalu. Beban ini diletakkan di bahu Azmin.
2) dan jika Anwar presiden juga sekali lihat gandingan dengan Azmin sangat mantap. Tetapi sama ada Khalid jadi timbalan mahu pun Azmin, pergeseran antara kedua mereka tidak akan berhenti. Ini membuat anggota parti PKR dan rakan di dalam Pakatan Rakyat muak, bosan, benci. Mendepani penggal hadapan yang lebih mencabar, ramai tidak mahu melihat Khalid dan Azmin menimbulkan masalah. Kerja-kerja membela rakyat perlu diteruskan selari dengan memacu agenda reformasi. 
Kesimpulannya, Azmin berpotensi untuk menang tetapi masalah lama tetap akan berlaku. Pergeseran Azmin-Khalid.

Saifuddin Nasution
Jika Azmin diukur kesetiaannya, Saifuddin juga tidak kurang hebat. Terus meninggalkan jawatan Setiausaha Pemuda Umno dan Setiausaha Pemuda Barisan Nasional untuk bersama Anwar Ibrahim pada 1999. Pernah merajuk sekejap dengan PKR dan membuat kerja membantu kerajaan PAS di Kelantan tetapi dipanggil semula ke dalam PKR selepas Anwar keluar penjara. Menjawat Pengarah Strategi PKR dan berpengalaman menjadi Setiausaha Agung, Saifuddin dikatakan sosok yang layak. Meskipun kedengaran ada krisis dengan Khalid ketika masuk sekejap di pentadbiran Selangor, itu tidaklah berapa ketara sebaliknya dilihat bersifat dalaman, tidak dibawa menjadi masalah negeri seperti kes Khalid-Azmin. Kecekapan gerak kerja politik Saifuddin dipuji kerana sangat tersusun. Dua faktor tadi, jika :-
1) Wan Azizah presiden, Saifuddin selaku timbalan yang berpengalaman sebagai pengarah strategi dan setiausaha agung ketika di dalam PKR, PAS dan Umno bijak merangka strategi menangkis serangan musuh. 
2) Jika Anwar presiden, ia meringankan kerja kerana selaku timbalan, Saifuddin mudah berurusan dan berunding dengan rakan di dalam Pakatan Rakyat. 
Tetapi Saifuddin dilihat 'jauh' dengan penyokong parti. Sering kelihatan sibuk, bergegas hendak pulang dari majlis, hanya bergaul sesama rakan pimpinan di ruang khas sahaja. 

Kesimpulannya dan rumusan dari analisis ini, anggota parti wajar melihat apakah calon-calon ini berupaya memberikan helaan nafas baru kepada PKR.Masalah baru mungkin muncul tetapi anggota parti yang muak dengan drama-drama lama mengharapkan suatu perubahan demi kebaikan parti dan juga rakyat khususnya dapat dilakukan. Agenda reformasi mesti dijayakan dan anggota parti termasuk barisan kepimpinanlah yang patut duduk di garis paling hadapan berani melakukan perubahan.

Reformasi!