Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Kami dari Posto dan Radio Bangsar Utama, penganjur program 'Wacana
Timbal Timbalan Presiden PKR' dengan dukacitanya memaklumkan bahawa
program yang sepatutnya diadakan pada Ahad 13 April 2014 jam 8.30 malam
di Dewan Perhimpunan Kuala Lumpur&Selangor DIBATALKAN.
Program ini bertujuan memberikan ruang
untuk calon-calon Timbalan Presiden PKR menerangkan visi/misi mereka
jika terpilih sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat
(Keadilan). Program ini kami rancang kerana berminat meraikan demokrasi
dan politik telus. Ia adalah satu cara promosi paling cepat dan meluas
kerana program ini akan ke udara secara langsung dibawakan oleh Radio
Bangsar Utama.
Justeru bermula Sabtu lepas kami telah
menghubungi ke semua calon melalui akaun facebook, pembantu dan pegawai
khas mereka. Pada mulanya program dirancang pada Sabtu 12 April di
tempat dan waktu yang sama tetapi pegawai khas YB Azmin Ali dan juga
calon Murali Subramaniam menyatakan jadual sudah terisi maka ditukar
kepada hari Ahad 13 April.
- pembantu YB Azmin Ali memaklumkan akan memberikan pengesahan semula kemudian
- calon Murali Subramaniam terus tidak menjawab sehingga ke hari ini.
- Saifuddin Nasution menyatakan persetujuan dan Tian Chua melalui saudara Rozan Azen menyatakan kesediaan turut serta.
- calon Ramachandran menyatakan akan berbincang dulu dengan pasukannya
- Pegawai Khas Tan Sri Khalid Ibrahim menyatakan kelihatan beliau tidak berminat dengan program ini.
- Pada Selasa 8 April kami ke Ibu Pejabat Keadilan dan Dewan SUK
Selangor di Shah Alam menyampaikan surat rasmi jemputan. Tian Chua dan
Saifuddin menerimanya. YB Amir Shari menerima sebagai wakil YB Azmin
Ali. Untuk Tan Sri Khalid, surat dihantar ke pejabat Menteri Besar.
- calon Ramachandran memaklumkan tidak dapat menyertai atas nasihat penasihat teknikalnya.
- Tan Sri Khalid Ibrahim di Malaysiakini menyatakan tidak berminat.
- YB Azmin Ali di Malaysiakini menyatakan beliau menunggu sehingga
tarikh tutup calon tarik diri pada 10 April baru boleh buat keputusan.
- 10 April Tian Chua umum tarik diri bertanding kerusi nombor dua parti dan menumpukan kepada kerusi Naib Presiden
- Penganjur menghubungi pegawai pembantu YB Azmin Ali dan teman rapat
untuk memberi pengesahan sebelum jam 12 tengah hari Jumaat 11 April
kerana dewan sudah ditempah dan kemungkinan deposit hangus. Mereka cuba
beri jawaban.
- 2.30 petang tiada maklum balas dari pihak YB Azmin Ali.
Memandangkan hanya Saifuddin Nasution seorang sahaja sudi maka kami mengambil keputusan membatalkan program ini.
Kami memohon maaf kepada teman-teman, penyokong parti dan luar parti
Keadilan yang berminat menonton program ini tetapi hampa dengan
pembatalan ini.
Bagaimanapun kami ucapkan terima kasih kepada
calon-calon yang memberi kerjasama terutamanya Tan Sri Khalid Ibrahim
dan Ramachandran yang walaupun enggan menyertai tetapi memberi jawaban
dan kerjasama sebagai keadilan untuk kami pihak penganjur.
Sekian terima kasih.
Mohd Affandi bin Ramli,
Wakil Penganjur Program
Posto-Radio Bangsar Utama
No comments:
Post a Comment