di hari sentral, terkenang daku kepada si dia....
suatu hari di hari sentral, kulihat cahaya bersinar indah...
bila tiba hari sentraaaal, semua insan bergembiraaaa...
petang 26 ramadhan ini
aku diserang sakit kepala
bila kubaca blog Tukar Tiub, dia pun begitu
sakit kepala ini sering datang
tetapi tidak seteruk sebelum sinus di hidung aku dibedah tiga bulan lalu
lalu aku teringat Sham yang bertungkus lumus berniaga dengan semangat yang gagah
aku bangun melayang
untuk pastikan Annisa dan An-Nur tidak lapar
petang 26 ramadhan ini
aku teringatkan sahabat jemaah seni suri jawi
berbuka apakah Wanji
minum apakah Wan Azli
di manakah Rasidan dan K'n berbuka
masih bekerjakah Amerul, Pekin dan Khir
bagaimana yang lainnya
masih membebelkah Nam Ron dengan dilema itu ini
Faisal sedang sibukkah
...aku masih belum bersahabat dengan Zahiril Bob
petang 26 ramadhan ini
berbuka apakah Fared Ayam
dan sudah beli baju rayakah Rahmat Haron
petang 26 ramadhan ini hujan
dan aku terkenangkan mereka
yang terpaksa meredah hujan melawan arus angin songsang
tapi masih belum basah
Ketua editor dan pengarah urusan Sepakat Efektif, kartunis Zunar sedang berbincang dengan tenaga produksi Gedung Kartun. Kartunis Jonos, aku, Orang orang Tepi Sawah, Art Saad dan Naza Grafik.
Tenaga belakang tabir:- Orang Orang Tepi Sawah, Naza Grafik, Zunar, aku, Syafiqsunny, Art Saad dan Jonos.
Aku dan Jonos tergolek di atas bahan-bahan pruf Gedung Kartun. Aksi tidur kami seperti mayat Beng Hock dan Jonos melakonkan watak batu-bata di sisi Beng Hock.
pada hari ini 24 ogos 2009 juga pada bulan Ramadhan dan bulan kemerdekaan, terbitlah sebuah majalah Gedung Kartun (gambar atas), sebuah majalah kartun paling gila dan berani mengkritik pedas tanpa belas kasihan sesuai untuk melanyak kezaliman dan kebobrokan pemerintah. Majalah ini hanya sempat masuk pasaran dua hari saja bila mana ia terus diharamkan. Siapa pengasas dan ketuanya? Haha.. Kartunis Zunar (bawah) melalui syarikatnya Sepakat Efektif telah mengambil risiko yang bukan kecil untuk berjuang melalui kartun - medium yang mudah diterima semua golongan tak kira apa bangsa dan pelbagai peringkat usia.
Idea menerbitkan majalah berkonsep begini dicetus oleh kartunis Jonos (gambar bawah) kepada mentornya Zunar setahun sebelum penerbitan sebenar. Idea yang terperap itu akhirnya dijayakan jua apabila Zunar tidak lagi menjadi editor akhbar Suara Keadilan ketika itu. Aku dipanggil mesyuarat termasuklah beberapa kartunis baru dan lama yang hadir seperti Shida, Roy dan Cabai dari Gila-Gila. Oly - kartunis generasi baru Gila-Gila, Joy dan beberapa anak muda lain turut hadir pada mulanya. Kesempitan memulakannya cukup mencabar. Kami beroperasi di apartment sewaan Zunar pada awalnya. Ketika itu yang ada Jonos- Ketua Pelukis, Azzam Supardi - Editor, Naza - Grafik, Syafiqsunny - Multimedia dan Internet, Israq - Pengedaran, Jasmine - Pentadbiran dan aku sebagai residen artis. Zunar ke hulu ke hilir menguruskan bermacam hal.
Akhirnya kami berpindah semula ke Brickfields dan mula mengumpul bahan. Aku sudah mula melukis dengan serius. Perbincangan demi perbincangan diadakan. Ramai kartunis tanahair datang berbincang. Ada yang setuju dan ada yang berdiam terus selepas itu. Penyumbang kartun akhbar Suara Keadilan seperti Haili dan Enot turut menghantar karya. Juga Madsein, Kidol, Deng, Nur, Dikuk, Fahmie dan Kawe. Seniman Pyanhabib menulis dalam kolumnya 'Racau" yang membebel tentang isu PPSMI. Pendatang baru seperti kartunis Ubilepih dan penulis Benludin mencuba nasib, juga pelukis/penyair Abdullah Jones dengan lukisan kartunnya yang unik. Gedung Kartun juga menyiarkan cerpen "Ulan Bator" tulisan Nazri M. Annuar (penulis novel Karipap Karipap Cinta). Membanggakan apabila Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menumpahkan ideanya dalam sajak "Peludah Bahasa". ketika ini Munirah masuk membantu Naza di bahagian grafik dan Maisuri (setiausaha Srikandi PKR) bahagian pengurusan.
Seterusnya adalah sejarah. Panggilan telefon menempah bertalu-talu. Media luar negara juga turut melaporkan kejadian ini. Di sinilah papan lonjak yang mengangkat nama Zunar sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa hari ini.
GK juga turut mendapat sokongan padu ahli politik. Di bawah:- Zunar, Adun Batu Caves YB Amir Shari, YB Saari Sungip (Adun Hulu Klang), Ir Nizar (MB Perak pilihan rakyat), Azmin Ali (MP Gombak ) dan aku.
Pengharaman terus membakar semangat kami. Tak boleh buat majalah kami buat buku kedua "Perak Darul Kartun" diikuti majalah yang mendapat permit "Isu Dalam Kartun vol 1,2 dan 3" (kemudian diharamkan juga) dengan barisan penyumbang yang semakin hebat. Kartunis Art Saad dan Azlan Isa (Orang-Orang Tepi Sawah) menyertai kami. Penulis besar seperti Hishamuddin Rais, Rahmat Haron, Pusparos, Fathi Aris Omar mula menyumbang sehinggalah edisi-edisi terakhir termasuk Fared Ayam.