Tuesday, August 23, 2011

GEDUNG KARTUN - di belakang tabir (dua tahun dulu)

Intro:- foto barisan pendokong majalah Gedung Kartun, penyumbang, penggemar dan rakan-rakan yang menyokong.

Ketua editor dan pengarah urusan Sepakat Efektif, kartunis Zunar sedang berbincang dengan tenaga produksi Gedung Kartun. Kartunis Jonos, aku, Orang orang Tepi Sawah, Art Saad dan Naza Grafik.
Tenaga belakang tabir:- Orang Orang Tepi Sawah, Naza Grafik, Zunar, aku, Syafiqsunny, Art Saad dan Jonos.
Aku dan Jonos tergolek di atas bahan-bahan pruf Gedung Kartun. Aksi tidur kami seperti mayat Beng Hock dan Jonos melakonkan watak batu-bata di sisi Beng Hock.


barisan Kelab Kartunis Indipenden:- kartunis A.Z, Israq, Art Saad, Oly (menjulang kedua tangan), Zunar, aku, Johnny Ong dan Jonos.

pada hari ini 24 ogos 2009 juga pada bulan Ramadhan dan bulan kemerdekaan, terbitlah sebuah majalah Gedung Kartun (gambar atas), sebuah majalah kartun paling gila dan berani mengkritik pedas tanpa belas kasihan sesuai untuk melanyak kezaliman dan kebobrokan pemerintah. Majalah ini hanya sempat masuk pasaran dua hari saja bila mana ia terus diharamkan. Siapa pengasas dan ketuanya? Haha.. Kartunis Zunar (bawah) melalui syarikatnya Sepakat Efektif telah mengambil risiko yang bukan kecil untuk berjuang melalui kartun - medium yang mudah diterima semua golongan tak kira apa bangsa dan pelbagai peringkat usia.

Idea menerbitkan majalah berkonsep begini dicetus oleh kartunis Jonos (gambar bawah) kepada mentornya Zunar setahun sebelum penerbitan sebenar. Idea yang terperap itu akhirnya dijayakan jua apabila Zunar tidak lagi menjadi editor akhbar Suara Keadilan ketika itu. Aku dipanggil mesyuarat termasuklah beberapa kartunis baru dan lama yang hadir seperti Shida, Roy dan Cabai dari Gila-Gila. Oly - kartunis generasi baru Gila-Gila, Joy dan beberapa anak muda lain turut hadir pada mulanya. Kesempitan memulakannya cukup mencabar. Kami beroperasi di apartment sewaan Zunar pada awalnya. Ketika itu yang ada Jonos- Ketua Pelukis, Azzam Supardi - Editor, Naza - Grafik, Syafiqsunny - Multimedia dan Internet, Israq - Pengedaran, Jasmine - Pentadbiran dan aku sebagai residen artis. Zunar ke hulu ke hilir menguruskan bermacam hal.

Akhirnya kami berpindah semula ke Brickfields dan mula mengumpul bahan. Aku sudah mula melukis dengan serius. Perbincangan demi perbincangan diadakan. Ramai kartunis tanahair datang berbincang. Ada yang setuju dan ada yang berdiam terus selepas itu. Penyumbang kartun akhbar Suara Keadilan seperti Haili dan Enot turut menghantar karya. Juga Madsein, Kidol, Deng, Nur, Dikuk, Fahmie dan Kawe. Seniman Pyanhabib menulis dalam kolumnya 'Racau" yang membebel tentang isu PPSMI. Pendatang baru seperti kartunis Ubilepih dan penulis Benludin mencuba nasib, juga pelukis/penyair Abdullah Jones dengan lukisan kartunnya yang unik. Gedung Kartun juga menyiarkan cerpen "Ulan Bator" tulisan Nazri M. Annuar (penulis novel Karipap Karipap Cinta). Membanggakan apabila Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menumpahkan ideanya dalam sajak "Peludah Bahasa". ketika ini Munirah masuk membantu Naza di bahagian grafik dan Maisuri (setiausaha Srikandi PKR) bahagian pengurusan.
Berbagai cabaran dihadapi. Gangguan kesihatan bergilir-gilir terkena kami. Pada saat-saat akhir dateline, Zunar pergi bercuti dan memberi sepenuh kepercayaan kepada aku untuk menyiapkan majalah ini.
Sedikit rombakan dilakukan. Aku dilantik menjadi editor membantu Zunar selaku Pengarah Urusan dan ketua editor. Azzam Supardi terpaksa mengambil tugas lain mencari 'job' sampingan untuk survival syarikat seperti menjadi penganjur program lukisan.
Pada mulanya cover majalah ini adalah karikatur 'roh' Teoh Beng Hock terbang aman dan watak-watak jahat di bumi berwajah gelabah. Ini kerana misteri kematian Beng Hock sedang panas ketika itu. Oly telah ditugaskan melukisnya dengan media akrilik atas kanvas tetapi entah mengapa apabila siap seperti tidak nampak sesuai untuk dijadikan cover. Perbincangan terus dibuat dan aku, Zunar bersama Jonos memutuskan sebuah idea 'lekeh'- gambar PM Malaysia tersalah kibar bendera Mongolia menjerit "Merdeka" dan seorang budak bernama Dol Kerepek (maskot kami) menegur kesalahan PM. Lucunya idea yang kami anggap lekeh dan tumpul itu amat berbisa bagi kerajaan dan 'gila' bagi peminat duna kartun tanahair.
Dua hari di pasaran, pegawai KDN datang ke pejabat dan merampas 408 naskhah Gedung Kartun. Berita ini tersebar ke seluruh dunia jam itu juga ketika mereka masih lagi mengira majalah-majalah tersebut. Kepantasan Syafiqsunny menyebarkannya memberi kesempatan Salhan, wartawan Malaysiakini sampai merakamkan kejadian.

Seterusnya adalah sejarah. Panggilan telefon menempah bertalu-talu. Media luar negara juga turut melaporkan kejadian ini. Di sinilah papan lonjak yang mengangkat nama Zunar sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa hari ini.

GK juga turut mendapat sokongan padu ahli politik. Di bawah:- Zunar, Adun Batu Caves YB Amir Shari, YB Saari Sungip (Adun Hulu Klang), Ir Nizar (MB Perak pilihan rakyat), Azmin Ali (MP Gombak ) dan aku.
Pengharaman terus membakar semangat kami. Tak boleh buat majalah kami buat buku kedua "Perak Darul Kartun" diikuti majalah yang mendapat permit "Isu Dalam Kartun vol 1,2 dan 3" (kemudian diharamkan juga) dengan barisan penyumbang yang semakin hebat. Kartunis Art Saad dan Azlan Isa (Orang-Orang Tepi Sawah) menyertai kami. Penulis besar seperti Hishamuddin Rais, Rahmat Haron, Pusparos, Fathi Aris Omar mula menyumbang sehinggalah edisi-edisi terakhir termasuk Fared Ayam.
Bilangan kartunis juga makin bertambah dengan 'orang lama' turun ke gelanggang seperti Warih, Rossem juga anak muda seperti Rose-Man, Topek Taib, Rockafalas dan Shahril. Malah edisi yang tak sempat diterbitkan juga menyaksikan kemunculan beberapa kartunis arus perdana yang sudah berani menyumbangkan karya mereka dan menyatakan pendirian. Aku berpendapat, inilah juga ketakutan kerajaan apabila gelombang kartunis dan penulis humor mula membesar sehingga ia terpaksa dicantas. Perak Darul Kartun juga mengejutkan ramai pihak apabila Dr.Farish A Noor yang selama ini dikenali dengan tulisan-tulisan beratnya tampil dengan komik serius lukisannya sendiri.
Impak Gedung Kartun bukan kecil. Lanskap dunia kartun tanahair terkena tempias perubahan. Pihak pro kerajaan kini sedang cuba menghasilkan majalah seperti ini untuk membalas serangan kami. Kita tunggu dan lihat saja. Apakah Gedung Kartun akan kembali? Mengapa KKI (Kumpulan Kartunis Independan) gambar di atas tadi ditubuhkan?
Kita lihat sajalah nanti.

5 comments:

johnny ong said...

Hidup KKI (Kelab Kartunis Independen)!!

uncle gedek said...

Gambar gua ada terselit!

(Bro, coke jangan buang... nanti gua ambik)

iserock said...

hehe,, kalu masukkan cerita kita pusing malaya pun best gak.. ;p

mae said...

mike ni udah jadi legend!..

Anonymous said...

SAPA KATA TAK BOLEH !!!!!!!
A Aaaaa Kuuuuuuuu
A Aaaaa Kuuuuuuuu

sila link ke :
http://www.youtube.com/watch?feature=player_embedded&v=cwjY3NnPs1c