Pada malam tahun baru yang lepas, sekumpulan artis telah bergabung tenaga untuk menjayakan “Konsert Amal Seribu Harapan An-Nur” yang diadakan di Dataran Apartment Harmoni, Damansara Damai, Petaling Jaya bagi membantu mengisi tabung dana perubatan buat adik An-Nur yang menghidapi penyakit cerebral palsy (lumpuh otak).
Antara artis yang terlibat di dalam konsert itu adalah Band Jawi, Rocktone, Sevenword, Pyan Habib, Pelangi Chenta, Nik Jidan dan ramai lagi. Program konsert ini dijangka akan berterusan dalam beberapa siri seterusnya di tempat-tempat lain sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Konsert yang sebahagian daripada kempen Hope to Walk itu diadakan atas kesedaran bahawa penyakit ini adalah satu penyakit kebas saraf di bahagian otak yang menjadi penyebab perkembangan kanak-kanak tidak berfungsi. Namun dengan sistem sokongan dan latihan fisioterapi serta beberapa proses pemulihan, kecacatan akan dapat dipulihkan atau dikurangkan dan pesakit akan dapat meneruskan hidup dengan lebih baik. Melihat kepada peluang inilah,
Seni Suri Jawi telah merangka sebuah program konsert bergerak bagi membantu adik An-Nur.
Menurut salah seorang pengasas dan penggerak utama Seni Suri Jawi Wan Azli Wan Jusoh, Seni Suri Jawi sanggup mengeluarkan belanja ribuan ringgit untuk menjayakan konsert pertama ini demi mengumpulkan dana tabung harapan An-Nur bagi mendapatkan rawatan secepatnya.
“Adik An-Nur telah menghidapi celebral palsy sejak dari dalam kandungan sehingga sekarang berusia lapan tahun, dan program ini adalah bertujuan untuk mengumpulkan dana perubatannya ke Beijing, China, terang Wan Azli yang juga sebelum ini pernah mengarah filem Budak Kelantan.
“ Kos keseluruhan rawatannya pula mencecah sehingga RM 500,000. Dan pihak kami sangat berharap agar ada dari kalangan usahawan, VIP atau koprat yang sudi untuk menaja program kami demi mencapai tujuan ini”, jelasnya lagi.
Sementara itu semasa ditanya, Wanji Zain yang juga merupakan antara pengasas dan penggerak Seni Suri Jawi memberitahu bahawa pihak mereka akan meneruskan program konsert amal seribu harapan An-Nur ini sehingga pembiyaan perubatan adik An-Nur berjaya dikumpul.
“Kamijuga sangat mengalu-alukan kepada sesiapa yang mempunyai ruang dan tempat serta kelengkapan untuk mengadakan konsert ini di mana-mana bandar utama dalam negara, agar dapat menghubungi pihak kami untuk menjayakannya. Masyarakat harus disedarkan mengenai amal kebajikan melalui wadah kesenian”, katanya.
Setakat ini, jumlah tabung yang digerakkan oleh Seni Suri Jawi bersama gerakan Hope To Walk telah berjaya dikumpulkan sehingga lebih RM 60,000. Ini bermakna jumlah yang telah dikumpul masih jauh dari sasarannya, manakala adik An-Nur diharapkan dapat di bawa ke China pada bulan Februari 2012.
Justeru itu, pihak Seni Suri Jawi menyeru kepada penggiat seni tanahair khususnya serta seluruh masyarakat amnya agar prihatin dan dapat membantu keluarga adik An-Nur dalam menyediakan kos perubatan yang di luar kemampuan mereka.
Seni Suri Jawi adalah merupakan sebuah gabungan penggiat kesenian fitrah yang berteraskan kesenian berlandaskan Tauhid dan sufi. Penggeraknya terdiri dari beberapa penggiat filem, teater dan muzik tanahair seperti Wan Azli Wan Jusoh, Wanji Zain, Amerul Affendi, Khir Rahman, Nam Ron, Zaid Yusof, Fandi Che Hisyam, Pekin Ibrahim dan Khairil Ridzuan. Para penggiat ini sedang berusaha keras serta memperjuangkan sebuah ketelusan dan kejujuran berkarya di dalam industri perfileman dan muzik tanahair.
Kempen Hope 2 Walk ini hebat digerakkan melalui laman facebook. Maklumat lanjut mengenainya boleh diperolehi melalui pautan http://www.facebook.com/?ref=tn_tnmn#!/groups/345006588846928/
No comments:
Post a Comment