Pengarah 'Budak Kelantan' Perjuangkan Filem 'Geng Pisang'
Yahoo Newsroom – Wed, Jan 18, 2012 12:08 PM MYTTurun naik perkembangan industri perfileman negara sejak dahulu sehingga sekarang adalah merupakan cabaran bagi sekumpulan penggiat muda kesenian yang bernaung di bawah nama Seni Suri Jawi.
Cabaran ini tidak pula melunturkan semangat mereka untuk menyumbang sesuatu kepada industri perfileman dan masyarakat khasnya. Maka dari itu lahirlah sebuah naskah filem yang bertajuk ‘GENG PISANG’, karya pertama yang bakal dipertaruhkan ke tengah medan industri perfileman tanahair tidak lama lagi.Setelah dua kali gagal untuk mendapatkan pinjaman dana kreatif dari Bank Simpanan Nasional dengan tanpa alasan, produksi filem ‘GENG PISANG’ tetap tidak akan mengalah dan akan meneruskan penggambaran. Filem yang menggabungkan beberapa syarikat produksi seperti Seni Suri Jawi, One Zero Corporation, Framepersecond Pictures dan DFX Studio ini bakal menjalani penggambaran pada Februari 2012 nanti.
Pengarahnya Wan Azli Wan Jusoh yang pernah menggemparkan industri tanahair melalui filem ‘Budak Kelantan’ menyatakan, mereka akan terus berusaha untuk menjayakan matlamat filem ini walaupun terpaksa menjalani penggambaran secara indie atau gerila. Filem ini dirancang untuk menjalani penggambaran pada Oktober 2011 lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.
Menyedari tanggungjawab yang terpikul di bahunya, Wan Azli Wan Jusoh yang agak serius sewaktu seisi temubual menyatakan, selain masalah dana yang dihadapi beliau tidak mengalami masalah lain kerana di Seni Suri Jawi mereka berkerja secara berjemaah dan saling melemparkan pandangan untuk filem ini.
Dan inilah kekuatan kami untuk meneruskan perjuangan. Alhamdulillah, sejak akhir ini segalanya sudah mula menampakkan kemudahan untuk melaksanakannya. Dan sekarang masanya sudah sampai, ujar beliau dengan sedikit senyuman.Ketika ditanya mengenai lambakan filem bercorak gangster di pawagam sekarang beliau menjawab, apa yang lebih penting walaupun industri filem tanahair sedang dilanda gelombang filem bercorak gangsterism, namun filem ini bukanlah terpengaruh dari keadaan itu, kerana skrip filem ini sudah dihasilkan pada tahun 2008. Dan motif filem ini jauh berlainan dari filem gangsterism yang sedia ada.
Berkisahkan tentang perjalanan hidup seorang pembunuh rahsia yang menganggotai sebuah kumpulan bawah tanah, filem ini dijangka akan dapat memberikan suatu sentuhan dan citarasa baru dalam industri perfileman tanahair. Kelainan cara garapan yang dipertaruhkan dalam filem ini juga diharap akan dapat membawa sebuah perubahan kepada dunia perfileman negara. Kerana filem ini lebih menerapkan serta menekankan jati diri Melayu dalam babak-babak serta aksi pertarungannya, dan tidak ingin dipengaruhi oleh babak-babak aksi filem dari Hong Kong atau Hollywood. Ini juga dibayangkan oleh salah seorang pelakon yang terlibat, yang juga merupakan seorang pengarah filem kontroversi ‘Dalam Botol’.
Pengarah filem dan pelakon Khir Rahman semasa ditanya menyatakan, naskah ini adalah sebuah naskah yang jujur dan penuh dengan kisah-kisah tauladan serta peringatan yang dapat membina serta menyedarkan masyarakat tentang apa yang berada di sekeliling mereka. Atas sebab itu saya bersetuju untuk menjadi sebahagian dari karya ini. Lagi pula kami semua memang sudah sepakat untuk menggerakkan ‘sesuatu’ untuk industri filem Melayu melalui wadah Seni Suri Jawi. Jadi nantikanlah kemunculan filem ini, ujarnya ringkas dengan senyuman penuh makna pada pertemuan itu.
Skrip filem ini ditulis oleh Wanji Aswandi berkonsepkan kritikan sosial yang bergenre drama aksi dan bakal membariskan barisan pelakon seperti Khir Rahman, Bront Palarae, Wanji Zain, Pekin Ibrahim, Amerul Affendi, Nam Ron, Melissa Saila, Pyan Habib, Ronasina, Khiril Ridzuan dan ramai lagi.
No comments:
Post a Comment