Wednesday, March 7, 2012

Berita kepada kawan.


Waktu menemani An-Nur menjalani kelas urutan aku terlihat dari jendela bilik tersebut seekor burung sedang membuat sarang di atas sebatang pokok. Pokok yang kering dimamah musim sejuk di mana rimbun dedaunannya selama ini melindungi kediamannya kini terdedah. Burung itu kulihat gigih memperbaiki sarangnya. Dengan menggunakan paruh dan sepasang kaki dia menyulam penuh seni. Biar seribu musim sejuk mendatang, burung ini seakan berkata yang dia tidak gentar dan tetap tegar mengharungnya.

Aku melihat burung itu mencuri watakku. Lagu Mandarin yang tidak aku fahami dari corong radio bilik tersebut menjadi musik latar imbasan kenangan aku.

Tubuhku tergoncang dihempas batu jalanan
Hati terketar menampak kering rerumputan
Perjalanan ini seperti jadi saksi
Gembala kecil menangis sedih
( Berita kepada kawan-Ebiet G.Ade)

Pada Mei 2003, ketika baru sebulan An-Nur melihat dunia, kami berpindah ke Kajang selepas lapan tahun bertugas di Kuala Lipis. Alasan kesihatan Annisa yang kerap ke Kuala Lumpur menjalani rawatan pakar mempercepatkan proses perpindahanku. Walaupun sudah berkhidmat hampir sembilan tahun tapi gaji pokok guru lepasan diploma sepertiku pada waktu itu tak sampai RM1500. Campur tolak loan itu ini, maka gaji bersih yang tercatat di slip gajiku ketika itu adalah RM300 yang sekelip mata saja habis pada hari gaji untuk membayar sewa flat kediaman kami.

Makan pakai? Bil? Lampin, susu dan ubat anak? Minyak kereta? Kena cari... Pertama sekali aku cabut lari dari kelas outcampus. Kawan sekelas dan pensyarah semua terkejut. Aku terpaksa. Jimat sedikitkan?

Kemudian kami buka gerai goreng pisang dan keropok lekor di bawah rumah sewaan kami yang berdekatan dengan asrama pekerja kilang. Kesihatan anak yang tak stabil dan kerap masuk wad membuat perniagaan kami kejap ada kejap tutup. Suatu hari sebaik sampai ke rumah selepas seminggu duduk wad, kami dapati jiran kami telah mengambil tempat kami berniaga benda yang serupa.

Memandangkan perniagaan bukan milik sesiapa dan apa hak kami untuk menghalang, kami terpaksa memikirkan alternatif yang lain. Sedikit modal diperlukan dan dengan bantuan rakanku Wak Leh, aku menumpang meja sebelahnya yang berniaga putu piring setiap malam jumaat di pasar malam berhampiran kediaman kami.

Bayangkan betapa serba salahnya aku menjual jamu kecantikan dan sukarnya menahan malu menjual barangan yang agak sulit seperti ubat pencuci kemaluan wanita dan pelbagai jenis produk kesihatan lagi. Aku cuma bertahan tiga kali Jumaat sahaja apatah lagi setiap malam aku hanya mampu dapat sekitar RM50 sahaja atau kadang-kadang balik kosong.

Kami berpindah rumah di blok lain tapi di kawasan flat itu juga. Sekali lagi membuka gerai goreng pisang. Ah! Kereta Proton Saga orient 1.3 yang 'bocoratap' telah dijual sebab tak mampu menanggungnya lagi.

Pagi-pagi selepas punch card aku ke pasar dengan motosikal membeli 10kg pisang dan keropok lekor. Aku yang memang penakut dan gayat ketika menunggang motosikal mengharung juga dengan 10 kg pisang di atas tangki minyak. Kami juga mengambil upah menjaga 3 orang kanak-kanak. Sebaik pulang mengajar, aku mengambil alih menjaga budak -budak ini selain menjaga Annisa dan An-Nur. Mereka makan bersama aku, bergusti dan tidur petang bersama. Aku jaga Amirul dan kakaknya Sharina serta Taufik seperti aku jaga Annisa dan An-Nur.

Balik meniaga Sham buat nasi lemak untuk aku jual di asrama sekolah malam nanti. Kalau motor rosak aku pinjam motor Rudy, budak Indonesia yang bekerja sebagai buruh. Isterinya Nur dan ibu Nur kadang-kadang membantu kami menjaga Annisa dan An-Nur jika kami keluar malam sewaktu kami berjinak-jinak dengan perniagaan MLM. Mereka sehingga hari ini sangat menyayangi anak-anak kami.

Perniagaan MLM? Gagal! Yang aku dapat ialah suatu pelajaran bahawa kita kena kenal potensi diri sendiri di samping bijak memanipulasi keadaan. Hahaha! Syukur dalam kesempitan ini tidaklah pernah kami putus wang atau anak-anak kelaparan. Kenaikan harga barang, tol dan petrol pada tahun 2007 begitu menyiksa dan kemuncak kemarahan kami telah kami lempiaskan dengan turun berdemonstrasi di jalanraya sekeluarga. Allah saja yang tahu kesengsaraan kehidupan kami walau aku pernah terbaca beberapa pihak mencemuh tindakan kami itu.

Ah! Apa yang mereka tahu tentang poket seluarku yang penuh habuk.

Berniaga goreng pisang pun menjadi mangsa fitnah dan hasad dengki, ini sangat melucukan. Penyakit orang kita memang tak habis-habis. Mujurlah ketika itu pelarasan gaji dilakukan kerajaan melegakan ksedikit aku dan aku mampu kembali membeli sebuah kereta tangan ketiga dengan ansuran bulanan tak sampai Rm400 sebulan. Pinjaman perumahan aku pun lulus dan kami berpindah ke pangsapuri sederhana milik sendiri. Kerja pemasangan lampu, kipas dan wiring aku lakukan sendiri untuk jimatkan kos sampai kaki aku terbolos dan siling pecah. Mujur tak jatuh dari bumbung. Dindingnya kami berdua cat sampai demam-demam. Pindahlah ke situ untuk meninggalkan kesusahan...

Dan kisah seterusnya terhenti apabila lamunan terputus dengan bunyi kerusi terjatuh. Oh! an-Nur sudah siap diurut. Aku memakaikan semula pakaian sejuk An-Nur dan pulang ke bilik untuk makan tengah hari sebelum ke kelas akupunktur pula jam 3 petang nanti.

Kerana pegangan engkau hadapi
Dugaan ini Ya Sahibul Kahfi!
( Sahabat Gua: lagu/lirik M.Nasir album Phoenix Bangkit)

5 comments:

Anonymous said...

Sesungguhnya kehidupan tak dapat dibeli dengan wang ringgit, tetapi tiada wang ringgit, tiadalah kehidupan. Penderitaan dan kegigihan kita adalah keindahan dan kejayaan bagi kita berbanding dengan mereka yang tak pernah merasa jerih perihnya sesebuah kehidupan.

Anonymous said...
This comment has been removed by the author.
Anonymous said...

Bro,

1. Itulah perjuangan sebenar..hingga kini masih terus berjuang.menunaikan amanah allah.ikhtiarlah selagi bernyawa.

2.rintangan spt itulah jika kita tidak bermuhasabah diri akan menjerumus kepada kekufuran terhadap nikmat,anugerah serta ketentuan allah.

3.Segala-galanya krna allah dan segala yg baik itu dari allah dan yg buruk itu dari diri kita sendiri.Allah Maha Besar.

4.Percayalah dgn kerana Allah dan atas ikhtiar mu itu akan ada keajaiban yg mu cari..pd ketika ini hanya bergantung kpd allah dan pakar cina hanyalah satu jalan usaha serta ikhtiar.Berjaya atau tidak semunya kerana allah..redhalah..Insyallah..kuatkan semangat diri seperti mula dahulu..inilah ujian allah utk hambanya..

Anon tanpa nama-ikhtiar selagi bernyawa

Anonymous said...

Satu narrative yang amat berharga untuk tatapan rakyat marhaen. banyak nilai keemasan yang boleh dipelajari.

Cikli said...

apa dikata, dikota. itu yang gua respek.