Monday, October 5, 2015

Hal biasa atau kita sedang dirobotkan?


"Welcomeeee..."
Sambut pelayan restoran francais itu dengan nada berlagu mesra disambut oleh rakan pelayan yang lain. Semua pelanggan yang melangkah masuk akan disambut dengan ucapan mesra berlagu seperti itu. Sama.
"Hai selamat datang...." sambut pekerja di meja 'cashier' apabila aku masuk ke sebuah dari berpuluh atau beratus buah kedai pasar mini francais 24 jam itu. Begitu juga apabila pelanggan lain masuk, disapa mesra dengan ucapan aluan seperti itu juga.
"Hai selamat datang. Makan sini atau bungkus?" Tanya pelayan restoran 'fast-food' francais dari luar negara itu. "Terima kasih. Sila datang lagi. Hai selamat datang. Makan sini atau bungkus?" Ucap dia sebaik selesai urusan dan terus bertanya kepada pelanggan seterusnya. Seperti yang ditanyakan kepada pelanggan-pelanggan sebelumnya. Sama.
Aku pasti anda semua biasa dengan suasana seperti ini. Nampak seperti sungguh mesra dan sangat menyenangkan bukan? Tetapi tidak bagi aku. Ah! Mungkin anda akan berkata aku terlalu mengambil serius tentang perkara remeh-temeh. Kenapa  pula aku tak senang? Kerana kita bukan robot, kita manusia yang mempunyai sentuhan kasih dan peribadi untuk mengikat antara satu sama lain. Kemesraan tidak boleh diprogram atau dirobotkan dengan satu kaedah yang sama dan digunapakai kepada semua orang. Yang penting keikhlasan. Dari keikhlasan terbit perasaan mesra sebenar dan saling menghormati, menghargai. Robot manusia ini telah diberikan buku panduan (manual) yang tidak boleh mereka ubah. Apakah mereka tidak boleh mengubah, tak berani mengubah atau terlalu sibuk sangat? "Hai selamat datang" atau "Welcomeeee" ini diucapkan kepada kakak, adik kecil, pak cik, aci, apek, ah so, lebai, atuk atau opah. Semua sama. Apakah keadilan bermaksud semua dapat sama?
Sewaktu aku tinggal di Jakarta kerap juga ke restoran dan pasar mini francais yang sama dengan di sini. Sangat terasa perbezaannya. Layanan yang lain macam punya mesra, mungkin skrip juga diberikan sebagai asas tetapi tidaklah semua dengan "Hai!". Kalau wanita yang dilihat sudah jadi ibu mereka memanggil mesra "Bun" singkatan Bunda, untuk lelaki  yang dihormati "Bapak" dan berbagai panggilan mesra. Ini disusuli dengan bahasa tubuh yang penuh santun, membongkokkan diri dengan dua tapak tangan dilekap dan dibawa ke bawah dagu seperti sembah hormat. Ya, ini di restoran fast-food dan pasar mini sama yang pelanggannya jauh lebih ramai sedang beratur. Sekali lagi aku terfikir apakah aku terlalu mengambil serius atau perkara sebegini isu remeh sahaja? Atau bagi pelanggan di Jakarta itu pun perkara biasa yang tidak ada apa apa makna?
Kemudian pernahkah anda apabila memesan makanan, pelayan yang menghantar makanan terus berlalu tanpa memastikan keperluan anda dicukupkan atau tidak seperti sudu dan garfu sudah disediakan atau tidak. Jika tiada, dia akan ambilkan. Aku selalu alami. Itu belum bab lain, baru bab memesan. Dan ini selalunya berlaku pada restoran orang 'kita'. Lepas meletakkan makanan yang kita pesan di atas meja, terus belah. Berapa kali anda mendengar ucapan "Selamat menjamu selera?". Kalau ada, mungkin kita boleh kenduri sedekah pisang ke masjid. Sebenarnya ini hal enteng atau 'common sense', yang boleh difikirkan sendiri tanpa perlu memerah otak. Enteng. Entah apa guna matapelajaran Tatarakyat, Sivik, Moral dan Agama sewaktu di sekolah dulu, entah. Atau di rumah memang dengan mak ayah dulu pun begitu agaknya. Lama-kelamaan deria rasa kita pun mati dan tidak boleh mengesan budi lagi kerana sudah terbiasa dengan robot manusia. Kerana kita juga sedang diprogram. Perlahan-lahan kita turut sama menjadi robot kalaupun tidak menjadi zombie.