Wednesday, July 17, 2013

hakikat cinta

cinta mesti ada rasa- mesti ada rindu -mesti jiwa bergetar menyebut namanya-melihat huruf-huruf namanya -mesti ada suka- mesti ada duka- ada merajuk-ada bergaduh-ada menyampah-ada busuk-ada wangi- cinta mesti kenal dalam-dalam zahir dan batin-wujud dan maujud-dzat dan sifat-awal dan akhir-tanpa awal tanpa akhir-ia halus-ia di sini- di sini-bukan di mana-mana. itulah dia-itu-itulah-ada aku mengakui- ada nafi-menafi- ada penyatuan - ada tak ada- tak ada ada-

Monday, July 15, 2013

lagu Kalau Ayam Naik Harga

Kata menteri kalau ayam naik harga jangan makan ayam. Marilah kita insafi bahawa di bulan puasa ini setan diikat tetapi orang bangang tidak. Bergembiralah berpuasa sambil menyanyikan lagu bawah ini. Boleh guna melodi lagu Stairway To Heaven pun takpe....atau Kalau Anda Gembira Tepuk Tangan

Kalau ayam naik harga macam mana?
Kalau ayam naik harga makan ajelah telur
sebab telur mata kerbau  lebih murah dari ayam

kalau telur naik harga macam mana?
kalau telur naik harga pegang ajelah telur
sebab pegang telur pun sedap juga

kalau telur tak ada macam mana?
kalau telur tak ada jadilah perdana menteri
sebab jadi piem tak yah bertelur

ahh! tambah sendiri jelah!

enam ramadhan

Masih belum mencemar duli ke pasar Ramadhan. Tiada apa nak dicari. Dulu sewaktu arwah Annisa ada aku rajin cari bubur lambuk. Dia suka. Tapi kata Sham tak boleh selalu. Ajinomoto banyak. Kami elak makanan yang dibubuh bahan perasa.

Hari ini aku ke restoran terdekat dengan rumah. Membungkus nasi separuh, sambal ikan, masak lemak pucuk paku dan setin mocha. RM8 semua.

Kita berbuat sesuatu demi kelangsungan hidup. Lalu kita bertanya mengapa kita bermati-matian berbuat sesuatu dan memilih untuk terus hidup? Apabila kesusahan kita berhempas-pulas mencari usaha untuk terus hidup. Mengapa tidak membiarkan sahaja dan mati? Bukankah penghujung hayat di dunia ini mati? Kita kadang-kadang cari jalan kotor. Demi hidup.

Apakah hidup ini pilihan kita atau kita perlu menyenangkan pihak lain termasuk yang mencipta. Apakah 'mereka' senang dengan keadaan kita?
Siapa yang senang dan suka ketika kita senang atau ketika kita derita?

.................................................................................................................................................................

Fahaman masyarakat kita jika orang bukan Islam berbuat kebaikan sebesar mana pun tidak akan dibalas dengan kebaikan lalu kita berkata semoga dia mendapat hidayah memeluk Islam. Kita pula tidak berkorban hebat sepertinya tetapi diubati dengan kata-kata "kami hanya mampu berdoa supaya kamu diberi kebaikan,oleh Allah".

Hebatnya kita menilai orang lain dan menutup kelemahan diri dengan bait-bait penyedap hati.
Salam!
Annisa dan An-Nur dulu sering kubawa ke pasar Ramadhan

Sunday, July 14, 2013

Ramadhan ke 5

Semalam aku tak kemaskini blog. Ia biasa sahaja. Membuat kerja-kerja menulis di rumah. Penuhi keperluan An-Nur.

Hari ini juga biasa. Malas. Tak buka internet sangat. Meneliti lagi dan lagi buku Surat Untuk Anak kalau-kalau ada yang boleh ditambah. Terasa sedih pula bila membaca beberapa bab.
Ia seperti berlaku semalam, anehnya hari ini baru terasa apabila ia diabadikan di dalam bentuk teks. Ketika melaluinya tidak pula.

Ramadhan hari ini adalah petanda kita sedang menjalani sebuah kehidupan. Sebuah perjalanan dari suatu tempat menuju suatu tempat. Ramadhan atau bulan-bulan lainnya adalah kota tempat kita singgah berhenti atau kita lewati. Ia semakin meninggalkan kita di belakang. Kita semakin banyak mengumpul masa lalu dan masa hadapan makin lama makin sikit, sempit dan benang garis penamat semakin dapat dilihat.

Ramadhan ketika kita mencuri minum di bilik air, bermain mercun sudah di dalam kotak ingatan. Ramadhan ketika kesepian keseorangan, ramadhan ketika sedang berkasih, Ramadhan ketika sudah punya pasangan hidup - menikmati juadah bersama keluarga, mertua dan ipar duai, Ramadhan ketika anak masih kecil, kemudian mereka mendewasa dan terus dewasa sehingga suatu hari mereka punya kehidupan sendiri meninggalkan kita kembali seperti dulu.

Kita terus akan berjalan. Makin banyak kota yang kita tempuhi, jalan yang direntasi. Kita tetap kita. Hilang itu dapat ini.

Apa akhiran yang menanti?

Friday, July 12, 2013

3 Ramadhan untuk aku

Kalau puasa kedua aku sahur sandwich, untuk puasa ketiga makan nasi sama sup ekor dan telur dadar. Air tembikai kesukaan. Ini di Restoran Malee Sungai Kantan, 500 meter di belakang Masjid Jamek Pekan Kajang. Di Sungai Kantan ini Annisa dikebumikan.

3 petang membawa Sham ke Jalan Kenanga mencari stok barangan. Aku memang malas ke KL siang-siang yang panas. Takut juga An-Nur terjejas. Siap urusan aku mencilok dari Jalan Loke Yew masuk Sungai Besi ikut Besraya. Jalan Cheras dari jauh kelihatan sudah lekat. Sampai di Balakong Faizal Riduan si jurnalis yang asyik menang anugerah dan ribuan ringgit itu menelefon ingin berbuka sama kerana dia dan Azizi dalam perjalanan ke Kajang. Restoran Malee jawabnya.

Siakap stim di sini memang sedap. Halianya terasa. Air tembikai sejag. Pulut mangga pembuka selera, tauhu jepun, udang mentega, kailan... Ini agak berat! Sahur nanti tidak boleh makan nasi jika Ramadhan ini suatu kesempatan menurunkan berat badan. Selesai makan, aku bawa An-Nur pulang dan Faizal dengan Azizi membawa Sham ke gerai jualan.

Sampai di rumah pintu pagar terbuka. Tiga kotak berisi sos cili jenama Sufi yang tidak kurang 30 botol kuletakkan di depan pintu rumah untuk dijual lesap dikebas orang.
Masih ada syaitan terlepas!

Thursday, July 11, 2013

2 Ramadhan untuk aku

Hari kedua Ramadhan tetap aku berbuka di rumah sedang Sham di gerai jualan nombor 14, siar kaki Plaza Metro Kajang. Aku ke restoran berhampiran rumah jam 6.30 petang membungkus nasi putih yang kucampur sekali talapia sambal, separuh telur asin dan pisang masak lemak. Setin air mocha. Hampir RM8 ke semuanya. Lalu kukirim SMS kepada Sham, "Salam Iftar! Jangan sampai terketar!". Dijawab Sham, "i love u. Miss u sampai terketar2".

Apa-apahal pun An-Nur mesti diberi makan dahulu. Kau tahu, perkara yang paling menuntut kesabaran ialah menyuapkan An-Nur makan nasi. Tidak seperti Annisa, An-Nur tak suka nasi. Sejak kecil apabila diberi nasi dia akan batuk-batuk sehingga kadang-kadang nasi yang telah dikisar bersama bahan-bahan berzat yang lain keluar melalui hidung. Dia juga tidak suka minum air kosong. Ini berbeza dengan Annisa yang suka makanan dan minuman tersebut. Anehnya, minum susu dan makan roti laju pula si An-Nur. Berbeza dengan Annisa jika disuap susu akan batuk-batuk. Jarang aku percaya kepada sesiapa untuk menyuapkan mereka makan dan minum. Silap suap, tersedak boleh masuk wad.

Lalu aku teringat kak Dariyatun, bibik yang pernah setahun bersama kami. Setakat ini dia terbaik menjaga kedua anakku. Aku tak tahu bagaimana kesabarannya dan aku tidak mengharapkan dia menyayangi kedua anakku tetapi dia bertanggungjawab. Anak-anak aku sihat. Setiap kali kami pulang ke rumah kedua anakku terurus.

Entah di mana Kak Tun hari ini, hidupkah? Masih di Malaysiakah? Atau sudah pulang? Tahukah dia Annisa sudah pergi.....

Semoga Yang Maha Esa memberkati insan yang pernah menabur bakti untuk Annisa dan An-Nur ini.
Kak Dariyatun, bibik yang berjasa untuk kami

Wednesday, July 10, 2013

1 Ramadhan untuk aku

Selesai berbuka. Tidaklah besar keperluan kami untuk berbuka. Segelas air malta coklat, nasi kosong dan sambal sotong sahur tadi yang kupanaskan semula sudah cukup. Aku sudah lama tidak menanam ghairah dengan juadah berwarna-warni aneka rasa.

Dan siapakah yang memberi nikmat lazat tatkala air dingin berlegup masuk membunuh dahaga di tekak? Siapa yang memberi rasa sedap makanan ini?
Aku dapat bayangkan syurga menarik asap rokok sambil bersandar kerana aku pernah merokok. Nikmat ini membuat kita kecil.

Tadi siang aku mengangkat segala kelengkapan dan barangan perniagaan. Setiap tahun kami berniaga di bazar ramadhan. Menjual jubah, kurta, kain sarung batik dan pelekat serta berbagai-bagai lagi. Ini mata rezeki kami. Bulan depan An-Nur perlukan RM25 ribu untuk pembiayaan program pemulihannya. An-Nur semakin baik perkembangannya tetapi harus kuakui perjalanan masih panjang.
Selalunya Sham akan berbuka di khemah perniagaan. Di sanalah dia berpanas berhujan sebulan. Aku menjaga An-Nur di rumah sambil menyiapkan penyuntingan buku Surat Untuk Anak dan penulisan lainnya. Lalu aku kirimkan pesanan ringkas kepada Sham, " Selamat Berbuka Sayang"

Ramadhan membuat aku sentimental. Memutar kembali kenangan semalam. Pernah dahulu, masih kuingat Sham berjual kuih biskut raya di RnR Bukit Dokong sementara aku perlu memastikan Annisa (arwah) dan An-Nur sentiasa baik kesihatannya. Lalu dengan kereta buruk aku membawa mereka pulang berbuka membelah hujan lebat sambil aku menyanyikan lagu untuk puteri-puteri ini.

Semalam aku sempat bersarapan di sebuah restoran. Pemiliknya menepuk-nepuk bahuku mengeluarkan nasihat klise tentang anakku adalah anak syurga kerana dia juga pernah memiliki anak seperti An-Nur sebelum anak itu dijemput pulang. Berulangkali dia menyuruhku bersabar dan katanya anak aku akan membawa rezeki. Aku menggariskan senyuman biasa terhadap nasihat itu.
Tengah harinya aku di Bangsar setelah menghantar Sham ke Jalan Kenanga mencari keperluan niaga. Sewaktu ke kereta hendak ke Jalan Kenanga semula menjemput Sham, apek penjaga parking memulangkan semula RM7 duit parkingku. Dia simpati melihat aku berjalan jauh di tengah panas sambil mendukung An-Nur.

" Lain kali lu mari sini saya tak mahu angkat duit lu" kata apek tersebut sambil mengejip-ngejipkan mata menahan air daripada tumpah. Puas aku menolak tapi dia berkeras mahu memulangkannya. Apek ini bagiku memberi nasihat kepadaku secara amali, bukan kata-kata.

Aku melihat An-Nur, masa untuk memenuhi keperluannya pula sekarang.

Foto- kelengkapan barang perniagaan di dalam kereta. Inilah usaha. Yang terdaya.