Selamat Hari Malaysia: Al Fatihah Al-Marhum Rosli Dhoby
Al-Marhum Rosli Dhoby difitnah Inggeris sebagai penderhaka, penjenayah, penjahat dan menemui ajalnya ditali gantung penjajah. Jenazahnya juga dihina inggeris, makam tanpa nesan, dikuburkan di dalam penjara Kuching, Sarawak.
Warkah terakhir Al-Marhum:
Kepada ibu bapaku yang dimuliai dan ditaati serta dicintai siang dan malam.
1. Selamat berpisah anakanda ucapkan di atas kematian anakanda yang dahsyat. Janganlah diingat-ingat dan dirayukan kerana itu memang sudah nasib dan takdir anakanda yang tak dapat dielakkan dan dimungkirkan lagi.
2. Peliharakanlah adik dan kakak serta semua ahli kita – Berikan segala pelajaran sama ada `Sunat’ atau `Fardu’ kepada mereka.
3. Ampunilah dosa dan kesalahan anakanda dari merah tapak kaki dipelihara ayahanda dan bonda sehingga hari perpisahan anakanda. Dan halalkanlah makan minum anakanda.
4. Selimutilah jenazah anakanda dengan Panji Kebangsaan Sarawak.
5. Segala perkakas tulis menulis, buku dan pakaian anakanda itu, berikan semuanya kepada Adik Aini.
(Datuk Aini Dhoby adalah seorang pengasas Barisan Rakyat Jati Sarawak dalam tahun 1961 bersama dengan Tun Ahmad Zaidi, bekas Ketua Menteri Sarawak ketiga dan Yang Dipertua Negeri Sarawak keempat Tun Abdul Rahman Yaakub, dan Ketua Menteri Sarawak keempat Tan Sri Dr Abdul Taib Mahmud.
Barisan Rakyat Jati Sarawak atau BARJASA kemudian dinamakan Parti Bumiputra Sarawak dan akhirnya, Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak atau PBB)
6. Sementara anak kecil Fatimah, berilah dengan nama ROSLI sempena memperingati anakanda.
7. Sampaikan salam hormat dan maaf serta selamat dari anakanda kepada ibu tua dan bapa saudara anakanda.
8. Ayahanda dan bonda serta ahli keluarga sekalian janganlah lupa mengamalkan kebajikan dan mendirikan sembahyang untuk bekalan istimewa ke alam yang kekal.
Salam sembah dari anakanda.
Rosli Dhoby
1 Mac, 1950.
dipetik dari blog : seniman Rahmat Haron
1 comment:
pejuang agama negara dan bangsa sebenar.. menolak ketuanan omputih..alfatihah
Post a Comment