Wednesday, October 31, 2018

Kita yang suka hakimi orang

Mungkin kerana kita rasa kasta kita lebih baik lalu sedap juga kita melabel orang atau menghukum lagi menghakimi. Kena pulak zaman media sosial ni kita boleh bebas kata orang itu berlagak,  sombong atau bodoh ke. Kita je betul.

Sedang kalau belajar feqah,  kita percaya adanya Judgement Day.  Hari dibicarakan. Padahal bukan ke tuhan Maha Mengetahui siapa masuk syurga masuk neraka mengapa mesti ada Hari Bicara?  Masuk ajelah,  kan?  Sebab nak diberikan keadilan.  Tapi kita sedap je. Nak nak kita banyak follower,  banyak like boleh jalan tak jejak bumi.

Dunia ini banyak ironinya. Nak judge orang lain yang kita nampak sesat entah entah sekali dia solat berganda ganda pahalanya dari kita sebab keikhlasan dia yang kita nampak jarang jarang solat tu betul betul pior punya ikhlas. Kita memanglah selalu solat tapi dalam perjalanan menuju masjid entah berapa ribu kali riak kita beranak. Kita baru merangkak berusolli usolli,  dia dah fana dalam kelazatan dunia solat.

Dia dah tahu kepada siapa dia beri salam pada akhir tahiyyat. Kita masih tak tahu apa hakikat gerak geri rukun tiga belas. Yang nampak baik,  belum tahu hatinya sama. Begitulah sebaliknya . Hati ni dah masuk bab rahsia. Takde siapa yang mampu menilai. Kita cuma boleh sangka sangka saja.

Itulah, lebih baik kita jaga line sendiri. Nak puaskan hati sendiri carilah hobi yang kita suka daripada nak menelek nelek orang buat apa,  ye tak? Kalau kita rasa kita dah terbaik maka sebenarnya di situlah ketidakbaiknya kita.

Orang bercakap lain sikit kita kata sesat padahal kita yang tertambat kat pokok tak nak ke mana mana. Orang lain dah ke seberang laut,  dah masuk laut layan batu karang.  Kita tetap kata rumput keliling kita paling sedap. Orang nak naik kita tak bagi.

"Pak,  kalau solat itu tiang agama,  tapak agama apa pak tempat nak tegak tiang? "
"Mana kau dapat benda mengarut ni? "

Gitulah...  Ibadah berjuta kali banyaknya tapi rasa kitalah paling alim. Jadilah kita macam azazil,  tercampak  dari kedamaian.

Monday, October 29, 2018

Buku yang kita baca tak sama

Kita membaca buku tentang apa yang kita nak baca. Yang kita nak cari dan yang nak kita tahu. Atau yang kita suka nikmatinya. Apa yang kita nak belum tentu sama. Apakah tidak membaca buku yang kau baca itu maka aku ini bodoh? Sedang aku tak mahu tahu apa dan berasa tiada keperluan untuk aku mesti tahu apa yang ada dalam buku kau baca itu.

Tidak membaca buku yang aku baca bagi aku tidak menjadikan kau bodoh. Sebab kau tak mahu tahu seperti apa yang aku mahu. Perjalanan dan pencarian kita berbeza. kau, kau. Aku, aku. Kalau aku ini bodoh kerana tidak berada dalam lingkungan 'yang engkau tahu', okey.

Sejak lahir aku bawa buku. Buku lali dan buku lima. Hahaha, itu kata Sani Sudin kat aku Ramadhan lalu.

Buku kehidupan buku yang aku baca. Alam adalah buku paling besar yang aku baca. Diri sendiri adalah buku paling 'dalam' yang aku tekuni. Bab demi bab penuh suspen. Tak habis-habis, berulang-ulang.

Wafi'anfusikum afalatubsiruun.... (Adz Zariyat ayat 21)

Buku datang setelah ada pengetahuan. Orang melukis dahulu. Macam macam medium lukisan serta catan. Hasil-hasil lukisan agung adalah praktiknya seniman. Kemudian barulah datang buku teori lukisan tentang konsep, bentuk, komposisi dengan teori pencahayaan, sudut serta bermacam lagi. Ya, praktikal.

Aku pun capai buku mencuba untuk membaca. Anehnya aku tidak membaca sebaliknya aku ralit memerhatikan huruf-huruf di lembaran kertas helai demi helai, disusun sehingga menjadi perkataan, membunyikannya. Kemudian aku menyelak setiap helaian. Aku tidak membaca isinya. Sebaliknya aku terpaksa berfikir tentang buku itu sendiri. Apakah maknanya huruf-huruf tanpa dakwat? Apa pula kertas-kertas tanpa huruf-huruf? Apabila dakwat membentuk huruf dan diletakkan di atas kertas, mana yang benar-benar memainkan peranan penting? Kertas atau dakwat yang membawa dan memegang huruf?

Akhirnya aku tak jadi membaca isi buku tersebut kerana persoalan tentang apa dia hakikat dakwat yang berserta bersama huruf-huruf membentuk perkataan itu. Berfikir pula aku tentang bagaimana dakwat dihasilkan, bagaimana kertas dicipta. Aduh!

Lalu berkatalah seorang pujangga, "Hujung pandai adalah bodoh. Aku kini tidak lagi membaca kerana aku sudah berada di hujung pandai..."

Akukah pujangga itu?


                                                         Ngopi di Amsterdam, Belanda

Sunday, October 28, 2018

Tentang gerak hati; naluri

Bila melukis kartun, akan berlaku situasi karya aku akan meletup atau mungkin biasa saja sambutannya. Atau langsung tiada sambutan. Idea akan sentiasa datang tetapi bagaimana menggarapnya untuk menjadi sedap, aku kena banyak bertenang. Aku tak boleh gopoh terus campakkan idea atas kertas. Pada aku ia macam memasak. Ada tertibnya bagaimana menunggu minyak masak tu panas, baru masukkan rencah dan awas-awas. Kena tunggu bau naik, baru masukkan santan. Kena tahu pulak apa dia pecah minyak baru gulai akan menjadi. Sebab masak boleh masak, bahan dan rencah yang sama ada saja di tangan beberapa orang tukang masak tetapi bagaimana setiap daripada mereka melaksanakan tugas memasak itulah akan menunjukkan hasil yang berbeza.

Jangan main-main dengan keikhlasan. Ia boleh menjelma pada hasil kerja tangan kita. Cincai lain, buat dengan penuh sayang lain.

Selalunya bila melukis, kita ada gerak hati. Naluri dah berbisik karya yang ini akan meletup. Sengaja dibuat-buat biasanya tak menjadi. Kita diberi tanda awal dah. Jarang berlaku yang kita tak sangka itu menjadi dan meletup. Itu dah masuk bab lain. Bab ajaib.

Masuk bab ajaib, sakti lagilah jangan main-main atau jangan nak sedap perlekeh. Kau boleh gelak bila orang yang pandai baca firasat berkata sesuatu yang di luar fakta atau bukti konkrit. Kau kata tak logiklah, dia ni mabuklah. Sehinggalah kau alami baru kau tahu dan faham. Ada benda yang sukar dibuktikan sama ada teori sains mahupun nyata. Sebab kejadian ini penuh misteri. Turun naik nafas sendiri pun misteri, kan? Kat mana nafas, mana nufus, mana ampas mana tanapas...

Malah otak kita sendiri pun kita tak faham. Di mana tersimpannya memori. Dari mana ilham datang, bahagian mana ia singgah dan bila lupa ke celah gulung otak mana dia tersorok? Jantung berhenti berdegup kita pun mati. Tapi bila jantung kita diderma kepada seseorang, dia hidup pula. Mengapa semasa ia pada kita, kita mati? Ah, sudah!

Seluruh umat manusia ini jika disatukan segala ilmu yang ada di dada mereka, tetap tidak mampu mencipta sebuah nyawa dan jiwa yang lengkap dengan kitaran hidup matinya. Jadi, nak sanggah sesuatu ilmu pun kena tahu dulu, apa yang kita tahu?


Bruges, Brugge di Belgium

Siapa sebenarnya yang memilik kota ini?

Thursday, October 25, 2018

Mengatasi takut dan mencipta peluang

Mengapa kita takut? Takut mencuba. Sebab kita takut ditolak. Takut berterus terang dengan si dia yang dah lama kita taruh perasaan sebab takut 'reject'. Takut nak dekati prospek untuk perniagaan kita sebab takut tak dilayan.

Berapakah harga sebuah penolakan? Berapakah harga kena 'reject'?
"Malu bangggg....."

Bagaimana kalau dia terima? Dan sebenarnya dia sudah lama menunggu kamu. Atau dia juga sedang mencari ssebuah peluang seperti yang kamu ada.

"Lumayan banggg!"

Ya. Mana tahu kan belum cuba.

Tapi kalau kena tolak juga, malu. Banyak kali dah kena. Ditolak...

Cuba tengok salesman yang datang ke meja kita bila kita sedang makan tu. Kita tolak, dia pergi meja lain. Kena tolak juga. Beratus-ratus malah ribu orang tolak. Malukah dia? Adakah kita yang tolak dia berasa kita telah memalukan dia? Tidak.

Memang, ada yang lari dari kita. Kawan kita pun ada masanya cabut. Tak mengapalah... kita bukan menipu. Kita sedang menawarkan sesuatu. Itu saja.

Tak pecah ruyung tak dapat sagu. Kita syok awek itu. Kita malu. Melepas terus. Kita cuba tapi dia tolak, kita sedih. Kita serik bercinta sehingga akhirnya hati kita sunyi semula dan inginkan teman. Kita jumpa yang baru dan kita jatuh cinta lagi. Kali ini kita berani terus. Kita dah ada pengalaman jika ditolak tak mengapalah. Kita cuba dan ahhh... berjaya. Kita hampir tak dapat dia hanya kerana kita malu dan mensia-siakan peluang.

Ya, peluang. Peluang perlu direbut dan adakalanya peluang mesti dicipta. Mengatasi takut bermaksud menjadi berani. Nak berani kena yakin. Sekaligus mengatasi malu. Walaupun ada sayap, burung takkan mampu terbang kalau ia malu atau takut.

Takut bertanya payah. Tapi betul, nak bertanya kena ada kaedah. Kena tahu apa suis dia yang hendak ditekan supaya mentol dia menyala. Ini kena belajar ikut pengalaman sebab sesuatu teori tidak akan berkesan untuk semua manusia sebab manusia itu kompleks. Dan keupayaan kita pun ada batas. Betul, kita percaya dulu potensi diri kita.

Cukup di situ dulu. Salam Jumaat.

                                                    menanti kekasih di Eiffel Tower, Paris

Wednesday, October 24, 2018

Memori yang dipilih untuk padam



Aku mempunyai daya ingatan yang kuat. Aku mampu ingat beberapa peristiwa sejak aku belum masuk sekolah tadika lagi. Malah hampir ke semua nama rakan sekelas dalam gambar aku boleh sebut.

Tapi ada beberapa peristiwa yang aku dapati hilang dalam kad memori otak aku. Aku tak dapat gamit semula apa kesudahan selepas itu. Dalam tempoh-tempoh membesarkan Annisa dan An-Nur ada beberapa kerumitan kami hadapi. Paling utama keadaan kereta yang asyik rosak. Kereta buruk. Pernah suatu malam kereta kami rosak hampir setengah kilometer nak sampai rumah. Dan aku tak ingat sampai sekarang apa yang berlaku seterusnya. Hahaha!

Itu satu contoh kecillah. Ada lagi yang lain sebenarnya. Bagaimana memori itu boleh padam? Ke mana memori itu hilang? Contoh mudah, apabila kita 'delete' mesej whatsapp kita, ke mana mesej itu ghaib? Tak nampak pun ia keluar tercampak dari handphone.

Dari mana api tercetus ketika kita cuba nyalakan dan apabila kita tiup, ke mana pula hilangnya api yang terpadam. Ke mana Maha Pencipta 'simpan' api tersebut?

Dan kita... setelah 'padam', apa penghujungnya? Jika mesej yang kita delete itu hilang kerana kita nampak ia bersifat maya,  apakah kita yang wujud ada maujud ini tidak maya dan tidak boleh melenyap hilang ke tempat yang sama lenyap itu? Abadikah di sana?


Apa pula keabadian?

Tuesday, October 23, 2018

Dalam kepala banyak cerita



Sebagai orang yang menulis dan melukis merakam cerita,  kepala aku penuh selalu dengan bentuk dan jalan cerita. Fantasi dan imaginasi kadang kadang bercampur dengan realiti. Ramai orang macam aku begini agaknya. Kuat berkhayal. Kepala penuh.

Kadang kadang jasad di kerusi tapi kepala mengembara menggali meneroka dan menyusun papan cerita. Asyik,  layan,  syok sendiri.

Paling susah untuk memuntahkannya menjadi tatapan ramai. Apa cara,  bagaimana kaedah untuk disampaikan agar menarik dan digemari untuk diikuti. Atau bereksperimentasi mencari siapa yang mampu meluruskan simpul benang yang aku ikat. Ternyata ada.

Menulis,  melukis,  merakam perlukan ketelitian dan perincian. Ia sebenarnya menterjemahkan siapa diri kita sebenarnya. Sebab itu hasilnya dapat dinilai sama ada ia jujur atau cuba jadi-jadian.

Bagaimana hendak kongsikan nikmat yang tidak pernah aku rasa?  Apakah yang bernama garam ada makna tanpa rasa masin?  Siapakah yang bernama garam?  Ketulan putih itukah atau rasa masin itu?  Atau tak perlu dipertikaikan lagi bahawa garam itulah masin dan masin itulah pastinya garam?

Monday, October 22, 2018

Tentang rupa, bentuk, suara dan tentang 'melihat'...

                                                            Abbey Road, London, UK


Bagaimana engkau nak panggil aku tanpa memanggil dengan suara, dengan isyarat lambai, dengan gerak tubuh atau dengan huruf-huruf? Bagaimana hendak kau capai kekasihmu tanpa memeluknya dan mengungkap kata-kata mesra lagi rindu? Bagaimana bisa bersaksi tanpa melihat? Menyaksi adakah melihat?

Melihat adakah dengan mata? Bagaimana seekor cacing tak bermata 'melihat'?

Jika cacing yang selama ini 'melihat' dengan deria kulit sahaja itu kita berikan sepasang mata, mampukah dia menanganinya? Mampukah kita pula menangani suasana apabila mata kita mampu melihat kuman, mikrob hama atau sekecil-kecil zarah?

Mengapa Musa pengsan apabila matanya diarahkan melihat Tursina. Dan Tursina runtuh. Dapatkah Musa melihat 'Wajibul Wujud' sedangkan penglihatan Musa sendiri adalah penglihatan milikNya?

Lalu berbalik pula persoalan tadi, bagaimana hendak mengubat rindu kepada kekasih jika tidak nampak akan mata ini rupa bentuk untuk didakap dicium buat melepaskan rindu?

Sunday, October 21, 2018

Antara nasib dan takdir

                                             Di Alhambra, Andalusia, Sepanyol


Jika sebiji benih sawi itu disemai, maka rupa paras batang, cabang, daun, bunga dan rasanya sudah terkandung di dalam benih itu. Itulah takdir yang disuratkan dalam benih sekecil itu. Hidup matinya sudah ditetapkan dalam biji benih itu. lalu itu namanya hidup. Tetapi apakah hidup akan berubah dengan pengaruh kehidupan.

Begini, jika segalanya sudah tersurat di dalam biji benih, maka perlukah disiram supaya ia tumbuh segar membesar dan mendewasa? Bukankah takdirnya sudah ada? Bagaimana nasib biji benih di tangan petani yang salah? Atau apakah siram dan baja oleh petani itu juga sudah terkandung sama dalam takdir pada biji benih tersebut?

Beribu-ribu anak penyu baru menetas berlari menuju laut. Beratus-ratus antaranya mati diserang. Apakah nasibnya itu sudah terkandung di dalam telur lagi ketika beberapa ribu yang lain lepas selamat?

Mana yang difahami kita benar-benar dengan rukun iman keenam?

Thursday, October 18, 2018

Mana bukit itu?


Lima tahun lagi setengah abad aku hidup,  itupun jika masih hidup. Cuma aku kecewa kerana selama hidup ini ada bukit yang dulu aku nampak hijau dan menyamankan kini telah hilang dan rata.  Berapa banyakkah bangunan,  gedung dan rumah diperlukan sehingga bukit itu ditarah? Ada bukit yang aku daki ketika masih kanak kanak kini mungkin akan diketawakan oleh anak anak kita kerana tak percaya cerita kita tempat mereka tinggal kini dahulunya bukit.

Lombong dah kambus,  padang tempat bermain bolasepak kini tegak kondo dan apartment.  Nak main bola pergi sewa gelanggang. Nak mandi sungai pergilah pusat perkelahan.  Bayar tiket untuk masuk. Atau pergi kolam renang.

Itu harga kemajuan. Kena jalan terus dan tak boleh bernostalgia atau sentimental.  Itu semua tak boleh memenuhkan saku.

Wednesday, October 17, 2018

Sendiri sendiri

Hidup ini adalah tentang perlumbaan. Dalam perjalanan sebelum menutup mata macam macam manusia yang terlibat dalam hidup kita. Kawan,  kekasih,  musuh. Yang sayang,  yang benci,  semua cukup asam garamnya.

Aku memilih untuk bahagia dan untuk mencapainya akan berhadapan  berbagai rasa.  Untuk naik perlu rasa syok dipuji,  perlu ada rasa marah bila dikutuk tetapi kemudian ambil itu jadikan pembakar semangat.

Jiwa tak boleh cengeng. Kena lasak. Walaupun sekarang, dalam berperang aku banyak mengelak untuk bertempur tetapi tidak respon itu sendiri adalah suatu respon.

Aku terus berjalan tanpa pedulikan kemuncup yang melekat di kaki seluar. Aku akan tanggalkan ia apabila sampai nanti. Akhirnya sendiri sendiri.