Saturday, December 24, 2011

Annisa 8 Februari 2001- 22 Disember 2011

Pejuang itu lahir tanggal 6.30 petang di HUKM. Keluar melalui pembedahan adalah satu perjuangan. Dia membesar dalam keadaan kecederaan otak sehingga perkembangannya terlewat. Bulan demi bulan apabila sering diserang Broncol Pneumonia, dia bertarung. Tercungap-cungap melawan dan selalunya dia menang. Dia memang pejuang. Pernah dia terlalu lemah sehingga tidak mampu minum, doktor memasang tiub melalui hidung ke perut untuk memudahkan dia minum tanpa melalui mulut. Kedegilan kami untuk tidak mengikut saranan itu lalu mencabutnya dan kekuatan semangat perjuangan dia, akhirnya dia mampu makan dan minum tanpa bantuan tiub.
Dia turun ke jalan bersama adiknya untuk 'menyuarakan' haknya. Ramai menumpang semangatnya. Ke hulu ke hilir dia perjuangkan haknya. Dia tidak mengaku berjuang untuk orang lain. Disembur, ditembak, dia tenang. Dia tetap jua begitu walau ada suara-suara perkecil dan bibir mencebik.
Dia menolak untuk ke China, barangkali memberi ruang untuk adiknya kerana untuk mencapai sasaran kutipan masih terlalu jauh. Dia padamkan lilinnya di sini untuk menerangi lilin di kehidupan abadi. Untuk menerangi taman-taman wangi- mempersiapkannya untuk kami menyusul nanti.
Dia pulang menyatu dengan seribu rahsia. Ramai yang hadir di majlis kepulangannya. Ada tali terputus tiba-tiba bertaut kembali. Terlalu ramai yang hadir sehingga ada yang tidak dikenali. Aku sendiri tak pasti jika aku kembali nanti, adakah beritaku disiarkan di kaca tv. Tapi begitulah dia. Dia memang pejuang.
Sehari selepas kepulangannya kami ke makamnya, dan terlihat ada bunga ditaburkan oleh seseorang yang tidak kami kenali. Bau semerbak wangi. Malam kepulangannya, rumah kami berbau kasturi- Apa lagi?
Sebab itu sejak saat dia kembali, 4 hari sebelum aku menyambut hari kelahiranku yang ke 38-aku menatap wajahnya, memandi, mengurus sehingga melihat dia ke liang lahad - sempadan kasih antara kami terkubur di situ- hingga saat menulis ini- belum setitis pun air mata aku gugur untuk pejuang ini.

Oh Annisa!

Friday, December 16, 2011

hop2walk terkini!


SAFEE SALI DUTA PROJEK KEMPEN HOPE 2 WALK
Saya menyeru teman-teman semua, bantulah Annisa dan An-Nur untuk mereka merasai betapa indahnya dunia kanak-kanak dan terus jalani kehidupan seperti anak-anak yg lain. Mereka anak kita dan mereka perlukan bantuan kita kerana hidup ini untuk semua manusia termasuk Annisa dan An-Nur. Sebagai ahli sukan professional dan juga seorang bapa kepada dua orang anak gadis, saya rasa tersentuh dengan keadaan dua beradik ini dan amat berharap mereka dapat lalui zaman kanak-kanak mereka seperti anak-anak saya dan anak-anak yang lain di seluruh dunia. Kita bersykur dgn keadaan kita tetapi jangan lupa membantu mereka yg memerlukan. Hanya Tuhan yang akan membalas jasa kalian dan semoga anak-anak ini terus sihat dan sejahtera. Amin. Safee Sali, Kapten Pelita Jaya FC dan Pasukan Kebangsaan Msia.

Jumaat 16Dis rancangan NASI LEMAK KOPI O di TV9


An-Nur diapit dua penyampai radio HotFM - Faizal Ismail dan Usop Wilcha.

Insyaallah akan terus merayau mencari dana untuk anak-anak.
ini perjuangan!

Saturday, December 10, 2011

pejam mata dan sarungkan kasut tariku...

Sebaik saja kempen Hope 2 walk berjalan, banyak juga respon yang diterima. Sudah tentulah positif lawannya negatif. Yang manis dan yang pahit. Itu lumrah dan tidaklah kami kesah. Apa yang manis dan apa yang pahit, Insyaallah akan aku ceritakan satu hari nanti di dalam sebuah buku jika diizinkan Yang maha Kuasa kudrat untuk aku tulis. Aku akan menulis tanpa berselindung. Kadang-kadang kami diangkat seperti pejuang dan terasa megah melambung, ada masanya seperti dicekup kepala dihumban ke lubang jamban hinanya. Yang melakukan itu pula adalah orang-orang yang hampir pula. Tak mengapa.
Persoalan yang aku cuba jelaskan hari ini ialah jawatankuasa yang mengendalikan kempen ini banyak menerima panggilan yang bertanyakan mengapa tak pergi berubat di situ di sini dengan orang itu dengan orang ini atau bomoh itu pawang ini, Atau pergi ke kaedah rawatan ituini dan produk ini itu. Kos setengah juta ringgit Malaysia ke luar negara teramat banyak dan jangan membazir untuk sesuatu yang belum terjamin keberkesanannya.

Nanti dulu!
Sebelum menasihat dan mencadang aku harap kalian terutama yang dah punya anak, bayangkan dulu situasi ini. Situasi seperti aku. Aku terpaksa ceritakan ini walaupun prinsip aku takkan dedahkan tapi tak mengapa, untuk mudah kau faham. Cuba pejam mata rapat-rapat dan lihat keluarga kau sendiri.
Bayangkan anak-anak kau yang lincah dan sihat berlari-lari itu tiba-tiba esok hilang upaya, cacat dan tak boleh urus diri. ya! Ke semua anak kau menjadi cacat seperti aku yang 'ke semua' anak aku OKU. bayangkan pelan-pelan.
mereka memerlukan penjagaan sepenuh masa kerana tak boleh urus diri. Bangun je tidur sampailah malam nak tidur kembali semua kena kita buatkan. Siapa yang akan buat? Ayah atau Mak kamu atau kamu sendiri ibu bapa mereka? kau tentukan....Siapa yang sudi? Keluarga kau sudi tak? Okey...hendak tak hendak salah seorang dari kamu kena berhenti kerja untuk jaga anak-anak terlantar kau. Bayangkan hari ini salah seorang kena berhenti kerja, bagaimana ekonomi rumahtangga kau? Goyang? Atau kau terpaksa kerja juga dan upah bibik jaga...
kau percaya orang lain boleh jaga anak-anak kesayangan kau yang terlantar itu dengan penuh kasih sayang dan SELAMAT? bayangkan anak-anak kau itu terlantar, kau pergi kerja dengan meninggalkannya kepada orang lain yang kau pastikah akan ikhlas mencuci berak kencing mereka dan kau pastikah anak-anak kau tak kelaparan di bawah jagaan mereka.
Setiap seorang anak kau memerlukan satu jam untuk habis makan jadi berapa jam kau perlukan untuk menyudahkan ke semuanya? bagaimana dengan kerja-kerja mengemas yang lain?
bagaimana jika kau atau pasangan kau jatuh sakit sesekali? Mereka akan terbiar.
kalau mereka asyik keluar masuk wad, kau akan bercuti. Bolehkah majikan kau bertolak ansur? Sekali dua mungkin tapi kalau setahun kau terpaksa cuti lebih 50hari bagaimana dia boleh bertahan? Tertekankah kau dengan surat2 amaran dan tunjuk sebab?
kalau kau berniaga sendiri bagaimana perniagaan kau jika asyik tutup buka tutup buka?
Bagaimana kau nak memenuhi ke semua temujanji hospital? Bawa ke semua anak kau ke pusat fisioterapi, occupational therapy, ENT, Pediatrik, pergigian, ortopedik,...
lama-lama kau pun boleh tumbang...
Itu sebabnya sebelum nasihatkan kami mengapa memilih ke China dan UK- kau fikir dulu ke semua ini. Bolehkah kau kendalikan.
Aku sedang melaluinya 10 tahun dah.

jangan suruh aku bersabar, tabah kerana sabar dan tabah adalah latihan praktikal dan bukan cakap-cakap. jangan suruh aku berdoa kerana benda-benda itu semua dah kita tahu. yang aku mahu cuba kau pakai kasut yang aku pakai sekarang. tahukah apa yang aku buat hari ini adalah perjuangan dan aku sedang melakukan HIJRAH!
ke arah kehidupan yang lebih baik setelah melakukan rujukan dan penyelidikan yang teliti. Aku akan jual apa saja yang aku ada - rumah, kereta, motor dan barang2 dapur sehingga aku tinggal keperluan yang sedikit saja untuk ku berhijrah. Adakah orang segila kami?
Jawabnya ialah ADA! dan Hijrah itu janji Allah- tidak akan sia-sia.
Haiya Alal Falah!

Tuesday, December 6, 2011

hope2walk, teman-teman dan Wira bolasepak negara

Pagi ini bila bangun tidur, mata Annisa memandang aku seperti aku mendengar dia sedang berkata, "Jadi ke kita pergi China dan UK babah?"...
Aku jawab, "Babah akan pastikan!"



Aku nampak An-Nur tersenyum walaupun dia sedang tidur.


Bintang bolasepak negara melalui pengurusnya Zakaria Rahim memperkatakan tentang Hope 2 Walk:
Saya menyeru teman2 semua, bantulah An-Nur dan Annisa utk mereka merasai betapa indahnya dunia kanak2 dan terus jalani kehidupan seperti anak2 yg lain. Dia anak kita dan dia perlukan bantuan kita kerana hidup ini untuk semua manusia termasuk An-Nur dan Annisa. Sebagai ahli sukan professional dan juga seorang bapa kpd 2 anak gadis, saya rasa tersentuh dgn keadaan dua beradik ini dan amat berharap mereka dapat lalui zaman kanak2 mrk seperti anak2 saya dan anak2 yg lain di seluruh dunia. Kita bersykur dgn keadaan kita tetapi jangan lupa membantu mereka yg memerlukan. Hanya tuhan yang akan membalas jasa kalian dan semoga anak2 ini terus sihat dan sejahtera. Amin. - Safee Sali, Kapten Pelita Jaya FC dan Pasukan Kebangsaan Msia. - Safee sali

juga dari seorang kawan yang OKU (klik di sini) - dengan tulisan yang tepat lagi jujur...

Hope2Walk - Antara Redha dan Usaha mengharungi jalan kehidupan

Kongsikan bersama rakan anda
2
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Aku insan OKU... kedua anak ini juga insan OKU. Bezanya aku pernah merasai ni'mat berjalan dengan kakiku sendiri, menyuap makanan dengan tanganku sendiri dan beberapa aturcara kehidupan harian yang mampu aku lakukan sendiri satu ketika dulu. Kini Allah mengambil kembali ni'mat itu sebaliknya menganugerahiku satu keni'matan lain yang penuh hikmah.



Kadangkala pesanan SABAR dan REDHA yang di ungkapkan, tidak semudah ungkapan itu di utarakan. Pengungkap sendiri belum tentu tahu bagaimanakah REDHA dan SABAR yang perlu di terjemahkan pada ketika keadaan yang berbeza. Mereka belum di uji... mereka belum merasai... dan mereka belum berada dalam 'dunia' ini...

Sedang aku yakin dan percaya, mereka-mereka yang diuji ini sendiri telah tertarbiyyah secara langsung dengan erti dan praktikal REDHA dan SABAR. Kadangkala kata-kata nasihat serta pandangan yang diberikan menjadi penguat semangat namun tidak kurang juga ia menjadi racun berbisa yang boleh membunuh penghayatan REDHA dan SABAR itu...


LINK

Untuk kedua Ibu Ayah kepada 2 anak yang sangat dikasihi Allah. Teruskan usaha kamu. SABAR terhadap apa juga halangan dan rintangan yang kalian hadapi ketika BERIKTIAR dan berusaha mencari rawatan yang dengan izin Allah, bakal menyembuhkan penyakit 2 anak ini. Allah Maha Pengasih lagi Penyayang... Maha Pemberi dan Maha Penyembuh. DIA yang memberikan ujian ini buat kalian agar terus SABAR dalam berusaha untuk mengubati penyakit kedua anakanda kalian yang pastinya kalian sangat kasihi dan sayangi. Dia juga boleh menyembuhkan jika DIA mahu menyembuhkan. Namun DIA lebih tahu waktu dan ketikanya... Jangan berputus harap.

Jika kalian bukan orang yang SABAR, pastinya kedua anak ini sudah berada di dalam semak belukar dibuang atau digantung dipintu pagar Masjid, atau tindakan yang agak beradap sedikit di letakkan di rumah-rumah kebajikan atau apa juga cara kerana kalian juga perlukan kepada kehidupan yang sempurna disamping menjaga mereka yang tidak sempurna menjadikan hidup kalian hampir tidak sesempurna yang diimpikan.

Aku terdidik hari ini, kerana KESABARAN kalianlah yang menyebabkan kalian merasakan hidup kalian lebih sempurna dan bahagia walau bagaimana beratpun usaha yang terpaksa kalian gandakan, kalian tetap terus berusaha dengan TABAH dan SABAR untuk melihat anak-anak ini mampu berjalan bersama-sama anak lain kesekolah dan kemana jua langkah mereka untuk membina kehidupan yang sempurna.

Dan aku juga menitiskan air mata kerana KESABARAN kalian ini telah mengajarku tentang erti REDHA akan ketentuanNYA tanpa mahu berhenti dari berusaha... dan berusaha dengan yakin dan SABAR.


PAGE MEREKA DI FACEBOOK

Aku buatkan BANNER ini atas permintaan seorang rakan FB. Kepada semua kawan-kawan yang tahu erti SABAR dan REDHA, mari kita sama-sama kongsikannya di Wall FB, Twitter, Google+, Blog atau Web yang kalian ada. SABAR terhadap sedikit masa yang digunakan untuk BERUSAHA membantu dua anak ini, dan REDHA atas pilihan Allah bahawa KITAlah yang sepatutnya membantu mereka.

Aku (sekadar yang termampu) akan usahakan untuk masukkan RM1 ke akaun mereka dengan REDHA. Apalah makna RM1 bagiku... tetapi jika 1 juta rakyat Malaysia REDHA untuk membantu RM1 atau LEBIH, jumlah itu akan jadi BESAR. Hanya memerlukan KESABARAN untuk mengeluarkan duit yang kita sayang itu dengan REDHA. SABAR dengan menghabiskan masa kita ke bank untuk memasukkannya atau zaman lebih mudah boleh menggunakan Internet. Kita semua telah dapat bersama dengan KESABARAN kedua ibu ayah ini untuk membina sebuah pengharapan buat kedua anak yang sangat di kasihi Allah ini.

Sembuh atau tidak... itu bukan milik kita... Itu milik ALLAH.
SABAR dalam membantu milik kita, pasti kita mendapat REDHA Allah, kerana KEREDHAAN yang sangat bererti itu milik ALLAH...

SHAREKANLAH BAGI KAWAN-KAWAN YANG PUNYA RASA KASIH SAYANG...
JIKA TIDAK, TAK APA... KAMI TETAP HARGAI...




Friday, December 2, 2011

kami dan Hope2Walk


sejak Isnin lepas 29 november bersamaan ulangtahun ke 13 perkahwinan kami - Annisa masuk wad kerana sesak nafas, diikuti esoknya An-Nur. Hari ini Sabtu masih di sini - namun semakin baik. Aku dan Sham juga turut demam dan sakit. Mungkin kami tak selasak dulu.
10 tahun lagi jika semuanya panjang umur - Annisa akan 20 tahun dan An-Nur 18 tahun sementara kami menuju 50 tahun.
Sebab itu kami sedang berusaha membantu anak-anak kami mencapai tahap tertinggi yang mereka mampu. Moga Allah merestui. Ada yang memberikan pandangan mengguris hati mempertikaikan jumlah yang kami perlukan terlalu besar iaitu hampir setengah juta ringgit sedangkan katanya belum tentu pulih lagi. Mereka menasihatkan kami bersabar dan redha dengan takdir, terima hakikat dan bermacam-macam lagi.
Tak mengapa kawan, tentang redha dan sabar atau hakikat tak perlulah kau ajarkan kami. kami telah merempuhnya tanpa sesaat pun rasa kesal.
Tentang perabis duit sedangkan belum tentu sembuh - kami tak pernah harapkan sembuh tetapi jika keajaiban berlaku, bagaimana? Tak cuba pasti tak tau. kami telah jumpa bermacam-macam orang malah pakar perubatan pun pernah memberitahu kami yang umur Annisa hanya 3 tahun saja, mereka tak boleh melihat (buta) dan mereka akan makan minum menggunakan tiub selama-lamanya sehingga jika keadaan teruk, perut akan ditebuk. kami lawan semua itu dan berusaha walaupun pakar tersebut menyatakan "langit ke tujuh pun cari takkan ada ubat"
Ya! kami degil dan kedegilan itu telah membuat kami nekad mencabut tiub di hidung Annisa dan melatihnya makan dan minum oral. Hari ini Alhamdulillah- dia sudah 10 tahun. Sesiapa yang punya anak pasti mahukan anak mereka mendapat pendidikan terbaik. Walaupun pendidikan di negara kita cukup tetapi ada di antara kita menghantar anak ke luar negara kerana mereka mahu yang terbaik. Begitu juga kami yang punya anak OKU tetapi di dalam negara hampir TIADA keperluan untuk Annisa dan An-Nur.
Setakat ini kutipan baru menjangkau RM10 ribu - masih jauh lagi. Terima kasih kawan-kawan yang berusaha dengan bermacam-macam cara. Ada yang menderma dalam akaun hanya RM3 saja tapi kesungguhan untuk menderma itu mengharukan kami.
Percayalah - kami percaya - kami akan berjaya! sampai di sini dulu...ketemu lagi
Ayuh!
haiya'alalfalah!

wad 5a hospital serdang
11.46 malam - 2 nov 2011

Wednesday, November 23, 2011

Hope 2 Walk




Kempen mencari dana anak2 aku dinamakan "Hope 2 walk" yang diasaskan sukarela oleh Kecik, Bonai, Ustaz Wan Ji Al Bakistani dan disertai oleh Faizal Riduan ( penulis). Ummu Asiah dan Umi Zumrah isteri Dr.Badrul Amin juga memberikan khidmat. Di bawah ini dua amoi cun, Ki dan Shin Shin. Ki membuat design untuk fliers dan logo untuk kempen "Hope 2 Walk" Annisa dan An-Nur yang comel. Shin-Shin telah menterjemah website Erkang Hospital Beijing yang berbahasa Mandarin untuk memudahkan kami. Mereka adalah kawan Kecik.


Kecik (Tengah), Bonai (duduk) dan Ustaz Wan Ji Al Bakistani sedang merancang sesuatu untuk kempen ini. Kempen yang dinamakan "Hope 2 Walk" ini akan diluaskan ke facebook, twitter dan website yang mereka sedang usahakan.
Kemurahan tenagadan usaha mereka ini ,membuat kami terharu.

Selain itu ada juga yang telah menyumbangkan wang untuk pergerakan awal ini. Biar kecil nilainya tidak penting, keikhlasan itu yang mahal. Ada yang derma RM10 - tapi itu sudah baik untuk top-up aku.
Masa ini aku sangat sibuk dan jarang tengok blog. nama kalian yang terlibat akan kami masukkan satu demi satu nanti.
Doakan !

Tuesday, November 15, 2011

setapak langkah sebelum menjadi nyata...


foto: jika anda pandai mana satu Annisa dan mana satu An-Nur?

misi mengumpul dana rm500ribu untuk pembiayaan rawatan dan persekolahan untuk Annisa dan An-Nur ke luar negara sudah bermula. Apa sangatlah kelajuan aku suami isteri dengan membawa dua orang anak ke sana ke mari. Namun dengan pemberian laptop, blackberry dan beberapa bantuan oleh blogger Ummu Asiah sekeluarga walaupun mereka sendiri sibuk dengan urusan harian termasuk naik turun mahkamah kes Protes dahulu meringankan sikit kerja.
Juga abang Hasan Suyut yang sangat pantas bertindak mengirim bantuan dan maklumat untuk kami. ya! Beliau telah merasainya maka aku rasa sebab itulah beliau bersedia bekerjasama dengan cukup baik.
Sumbangan kawan-kawan pembaca blog ini aku hargai juga. Ada yang kecil tapi nilai bukan ukuran, keikhlasan kalian aku hargai. setitis jadikan laut sekepal jadikan gunung. Author Faethal, Faizal dari Canada, ada juga yang tak mahu bagi nama dan merahsiakan diri, terima kasihlah! bolehlah buat beli itu ini kertas, dakwat printer, petrol, tol bla..bla...
Siang tadi kami berunding dengan sahabat dari Yemen yang sudi mengiklankan di dalam majalahnya. Kami juga sedang berusaha mencari dana iklan di Arab kerana menurut sahabat ini, iklan di Arab efektif tetapi sangat mahal boleh menjangkau sehingga RM5k untuk satu hari saja. Kami akan cuba.
Terus mendapatkan kerjasama beberapa doktor pelatih seperti Dr.Kong yang berkomunikasi dengan Pusat Rawatan di China kerana masalah bahasa kita dengan pihak sana.
Malamnya melalui kawan aku si Kecik@Fiqtry, dia memperkenalkan Shin-Shin, amoi comel yang berusaha menterjemahkan website China ke dalam Bahasa Melayu dan Inggeris di The mInes tadi...
kepada yang terus beri sokongan, terima kasih! Aku mengaku berada di dalam situasi yang amat sensitif sekarang kerana sebarang komen yang berbentuk gurauan pun adakalanya mengguris walaupun mungkin kalian tak bermaksud begitu.
Beberapa rundingan sedang dijalankan lagi. Moga sinar itu cepat sampai ke alamku.

(kepada nama yang tercicir usah tersinggung, aku menulis dalam keadaan tergesa-gesa sebab banyak kerja dan agak letih. Aku akan kemaskini nanti)

Sunday, November 13, 2011

kau ilhamku, kau wiraku!

Tadi aku ke rumah Encik Hassan Suyut dan Cikgu Dora. Siapa mereka? Lihat buku ini:-

Atiq Wazif adalah anak lelaki mereka yang dilahirkan seperti Annisa dan An-Nur. Ketiadaan sekolah dan rawatan yang secukupnya untuk anak-anak Cerebral Palsy di Malaysia membuatkan Encik Hassan nekad mengorbankan pekerjaan mereka dan mengintai peluang ke luar negara yang menyediakan kepakaran yang cukup untuk Atiq Wazif. Mereka berusaha keras memanjat tangga ke sana ke mari, membuang perasaan segan demi melihat anak kesayangan mereka menikmati hak untuk mendapat rawatan. Berjumpa orang perseorangan, syarikat-syarikat, jabatan kerajaan dan swasta serta mana-mana yang difikirkan untuk mencari dana. Bukan sedikit yang diperlukan, hampir setengah juta ringgit Malaysia. Akhirnya berkat usaha yang gigih, bantuan penyumbang-penyumbang serta tenaga kerja ahli keluarga dan kawan-kawan, media-media ~ mereka berjaya mendapatkan dana. Mereka sekeluarga dengan anak-anak yang lain berangkat ke China untuk menjalani rawatan rapi dan latihan fisioterapi yang cukup tersusun. Satu hari Atiq Wazif dilatih selama 8 jam untuk tiga bulan pertama. Gambar di bawah menunjukkan keadaan Atiq pada awalnya dengan tulang belakang yang membengkok.

Tiga bulan dilatih, berehat sebulan dan menyambung latihan seterusnya sehingga setahun, akhirnya Atiq mampu berjalan. Suatu keajaiban!
Mereka sekeluarga kemudiannya ke Amerika Syarikat, meneruskannya di sana. Suka-duka, susah payah, ketawa, tangisan, persahabatan dan persaudaraan mewarnai kisah keluarga ini. Sesiapa yang mempunyai anak sebegini pasti dapat merasakan denyut syahdunya. Buku ini memaparkan perjalanan kisah mereka.

Buku cetakan pertama kisah mereka telah habis dijual dan sudah masuk cetakan kedua. Gambar di atas adalah senarai penderma-penderma yang terdiri daripada individu, syarikat, jabatan kerajaan dan swasta juga pertubuhan-pertubuhan. Antara yang turut menyumbang adalah Vincent Tan, bekas Menteri Besar Terengganu Idris Jusoh dan Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hassan (sekadar menyebut beberapa nama).
Atiq Wazif (berbaju serba biru) di samping Annisa, An-Nur dan Sham. Di belakang dari kiri adinda yang menemani kami Faizal Riduan (penulis majalah Milenia) juga Encik Hasan Suyut dan Cikgu Dora.

Kalian berdua adalah wira! Menyediakan syurga untuk Atiq dan syurga jualah untuk kalian.

Misi kami

Terangsang dengan ini, kami juga mempunyai impian yang sama. Ingin melihat Annisa dan An-Nur mencapai kejayaan tertinggi dalam hidup mereka. Ini impian setiap ayah dan ibu di dalam dunia ini. Bagaimana pun keadaan anak mereka, mereka mahu melihat anak-anak mereka berjaya. Setelah beberapa tahun sebelum ini kami merancang dan beberapa kali tertangguh, kali ini kami merasakan masanya telah tiba untuk kami lakukan perkara yang sama. Mentelah pula kesihatan Annisa dan An-Nur stabil sekarang dan mereka semakin peka. Kalau keperluan Atiq lebih RM300ribu, sudah tentulah kedua anak kami memerlukan sekurang-kurangnya RM500,000.
Apakah ini mustahil? Adakah aku ada wang sebanyak ini?
Sudah tentu tiada. Kami sedang berusaha menjual apa saja yang kami ada demi masa depan anak-anak kami. Kami akan menjual rumah, kereta, motorsikal, perabot dan peralatan dapur malah apa saja yang boleh dijual akan kami jual. Mungkin bersih kami masih tidak sampai RM100ribu, malah entah-entah tak sampai RM60 ribu agaknya. Kami akan cuba. Mulai hari ini, kami akan bergerak memanjat ke sana sini, menebalkan muka untuk kejayaan permata hati kami. Mungkin ada pihak yang akan malu dengan usaha kami ini, walau kau tentu takkan terfikir betapa malunya aku dan Sham hendak memulakan ini semua, tapi aku dah tak peduli. mungkin aku akan ditertawakan~ tak mengapa! Jika itu memuaskan hati mereka, aku rela puaskan. Kami akan bekerjasama dengan sesiapa yang sudi bekerjasama. Jika kalian ada cara untuk menjadikan misi ini berjaya, kemukakanlah di sini, di email aku : ronasina@gmail.com atau inbox di facebook aku : ronasina kartunis

kami juga mahu jadi wira untuk Annisa dan An-Nur seperti Hasan Suyut dan Kak Dora, wira Atiq Wazif.
Jika kalian mahu juga, aku alu-alukan! Mungkin jika suatu hari nanti kejayaan ini milik kita, akan aku rakamkan ia di dalam sebuah buku juga.

kau ilhamku, kau wiraku!

Wednesday, November 9, 2011

malam yang panjang, kala kau tak pulang...

aku suka tajuk entry ni~ bait lirik lagu oleh arwah Loloq Malam Yang panjang nyanyian Hattan (dan satu versi lagi oleh Arab)

Aku sebenarnya tak dapat tidur sepanjang malam gara-gara melepak dengan Tukar Tiub dan Sidiqin wartawan Suara keadilan tadi sampai 2 pagi. menghirup kopi di Brikfil - menonton pondan (hey hey LGBT?). Brikfil - pekan yang menggambarkan realiti dunia kerana semua jenis manusia ada di situ. OKU, Normal, lelaki, perempuan, pondan, gay, lesbian, hotel, rumah urut, pelacur, berbagai bangsa, masjid, kuil, tokong, gereja. kedai kopi, gerai, warung sampailah ke restoran. basikal, motor, kereta, bas dan tren.

Cerita pasal itu itu dan ini ini. balik rumah melihat Sham sedang melayari internet untuk mencari sesuatu yang kami sedang cari.....apa? meneruskan hidup.
An-Nur merengek-rengek sampai jam 4 buat aku ambil keputusan tak mahu tidur sampai subuh.
Capai blekberi apalagi....kacau adik aku si Najwan (oh ye! saksi misteri kes liwat tu) yang sedang belajar di jerman.
pot pet pot pet - dari kisah tempatan hingga ke zaman nabi - tautau dah subuh. ayam berkokok azan bergema syuruk menyingsing.

aku masih hidup..
selepas minum kopi, bermesra anak isteri - menggunakan teknologi sampai germany- hebat yang maha esa!

yang poyo aku, pergi kerja tak tidut - muka macam frankenstein!

Saturday, November 5, 2011

bayangkan... (dari fb aku)

Sila bayangkan dan tulis "Apa akan jadi jika Kaabah berada di Malaysia?"
aku mulakan:- 1) Telaga zam zam akan diswastakan.
2) Masuk masjidilharam dikenakan tiket RM50.
3) Tahun ini subsidi jemaah haji tempatan ditarik.

  • Ronasina Kartunis Puak Pakatan Rakyat nak tunai haji kena minta permit
    about an hour ago ·
  • Ronasina Kartunis kata Rafeah Mat Saat: Parking pun diswastakan
    about an hour ago ·
  • Chegu Fakta Auta Masuk tandas kena caj
    about an hour ago ·
  • Shahrul Azam Golongan muslimah diwajibkan memakai tudung tetapi perlu mempamerkan jambul macam Hajah Mah.
    about an hour ago ·
  • Ikbal Hamzah hehhehrehrherherher!!
    about an hour ago ·
  • Mohd Azizi ‎-dimana ada lukah disitu lubuk duit...kesatuan ummah katanya..
    about an hour ago ·
  • Mohsein Azmi satu batu lontar sepuluh sen. nak kena mina muzalifah dan arafah ada tol!!!
    about an hour ago ·
  • Hafiz Nong ‎-caj 5% dikenakan bg setiap barangan,makanan, serta cenderahati yg bakal dibawa pulang oleh peserta haji..
    about an hour ago ·
  • Hafiz Nong Bercukur pun kena caj....
    about an hour ago ·
  • Raja Badrol Hisham Diwajibkan beli bintang korban dari ladang menteri,
    about an hour ago · · 1
  • Jefrie Sharif ‎'kursus usahawan' utk jemaah2 dari luar selepas tamat ibadah haji...
    about an hour ago ·
  • Ikbal Hamzah air?
    about an hour ago ·
  • Hafiz Nong Kroni dpt projek pembersihan masjidilharam serta pengubahsuaian masjid..tp..akhirnye bocor & runtuh sane sini..
    about an hour ago ·
  • Sepatu Hijau batu melontarpun terpaksa dibeli......
    about an hour ago ·
  • Ronasina Kartunis pakaian ihram ditukar ke warna merah
    about an hour ago ·
  • Haf Dzi Sofi ‎..sebelah kaabah akan wujud lagi sebijik shopping komplek ala ala sunway piramid berbentuk piramid giza dgn spinx ternganga macam nak ngap kaabah.
    about an hour ago ·
  • Ronasina Kartunis penggiat agama TETAP kena ada tauliah
    about an hour ago · · 1
  • Hafiz Nong Hahaha.,.mesti menteri hal ehwal agama makin kayo kan bang?,..banglo riban2 la...
    59 minutes ago · · 1
  • Chegu Fakta Auta papa gomo dan seantero...dapat tapak niaga...
    39 minutes ago ·
  • Ikbal Hamzah Waha hahaha.. Nasib baik x di msia..
    30 minutes ago ·
  • Mat Saman Kati Aku takut...kaabah pun hilang.
    10 minutes ago ·
  • Ronasina Kartunis itu paling betul, bang MSK
    7 minutes ago ·
  • Ronasina Kartunis doa untuk Sultan tetap ada
    7 minutes ago ·
  • Muta Ligat Logo 1malaysia k0mp0m ada !!! Lagi satu signboard ''projek KERAjaan barisan nasional'
    A few seconds ago ·