Saturday, June 18, 2011

di pintu central market

"Ini classmate aku," Anis memperkenalkan kawannya kepadaku. Rutin kami akan berkumpul di tepi pintu CM sebelah gerai Mustika Ratu setiap petang lepas habis bekerja. Penat lelah bekerja kami legakan dengan menikmati alunan suara Adi Jagat atau Sidek yang mengamen saban petang di situ. Tiada sms atau telefon bimbit zaman itu, masing-masing setia dengan janji. Jika ada, adalah. Jika tak dapat datang, jumpa hari lain baru cerita.
Aku tersenyum menganggukkan kepala membalas senyumannya. Gadis tinggi lampai itu juga mengangguk. Lesung pipitnya menawan. Bias hijau t-shirtnya terpantul di kulit wajahnya yang putih. Dia tampak anggun dengan pakaian pejabatnya. Aku sempat membandingkan pakaianku yang comot dengan jeans lusuh dan berselipar. Jauh berbeza. Aku hanya buruh kilang haram di Taman Shamelin yang setiap hari bergaul dengan Minah Indon dan Mat Myanmar. Memotong besi, mengangkat logam dan menggerudi keluli. Sifat rendah diri dan kampung masih tebal.
Kami kemudiannya beramai-ramai ke pentas tepi sungai CM menonton acara bacasajak. Ada Imuda, Kamarul (Farouq dalam Gila-Gila Remaja), Sulaiman Yassin (Mat Over) dan Pyanhabib buat persembahan. Kali pertama aku melihat mereka ini buat persembahan 'live'.
Aku dan beberapa kawanku kemudiannya meninggalkan yang lainnya untuk kami ke Kotaraya menonton wayang dan bermain snooker. Gadis putih tinggi lampai itu kulihat gembira menikmati persembahan bacasajak itu bersama kawan-kawanku yang lain. Aku meninggalkan kumpulan itu. Tanpa perasaan apa-apa. Keesokannya dan hari-hari serta bulan-bulan seterusnya seperti itulah, lepak-lepak dan minum-minum di situ. Di lorong katak. Gadis putih tinggi lampai yang senyumnya memikat itu tidak pernah kuingat lagi sehinggalah......

7 comments:

Cikli said...

sehinggalah....

lu nak gua sambung ke apa ni lup.

anisayub said...

tak sangka gua sebahagian sejarah hidup lu..lup

Pena Marhaen said...

tak sabar nak tahu kesudahan kisah ini.

gua teka teka je said...

sehinggalah brader lup berkahwen ngan die..hehe..tol ke x bang tekaanku ini?

b.r.u.t.a.l.s.o.l.o said...

retro

AnakSemuaBangsa said...

retro..mkn pluh thun citer nie..
hp baling anjing pn tkder lg..

anun said...

gua sabar je..
harap lu sambung lepas raya nantilah