Tuesday, October 16, 2012

kata Tok

"Dalam hidup ni kita tak boleh menunggu aje kamu tahu?" kata Tok sambil turun dari basikalnya. Aku yang membonceng di belakang melompat turun. Basikal diangkat Tok masuk ke dalam bot penambang untuk menyeberangi Sungai Perak menuju bandar Kuala Kangsar.
"Kita kena tahu, belajar mengenal bukan menghafal...sebab apabila kita mengenal maka barulah kita faham. dan kemudian kita akan dicuba dengan kefahaman kita. dari situ akan timbul keyakinan dan dari keyakinanlah akan datang nikmat."
"Bukan nikmat datang baru kita yakin?" tanya aku yang baru lepas SRP.
"Itu tangga lain dalam bab yakin." kata Tok sambil duduk.
Pemandu bot menghidupkan enjin. Aku memandang Kampung Sayong Lembah yang ditinggalkan bot menuju ke seberang. Sayup dari jauh nampak Istana Bukit Chandan dan Masjid Ubudiah, kampung Tok sebelah mak.

"banyak orang hari ini bercakap tapi tak merasa sebenarnya apa yang dicakapkan. ia dimulut sahaja. kamu tahu sifat Allah ada dua puluhkan? Yang pertama apa?" tanya Tok.

"Wujud" pantas sahaja aku menjawab."Maknanya ada?"

"Mana maujudnya? Kalau ada asma'  mesti ada dzat,sifat dan afa'al..tapi di mana maujud bagi kewujudanNya? Dan sifat Allah itu bersalah-salahan dengan makhlukNya yang baharu ..Mukhalafatuhu lil hawadis" kata Tok.

"Maksudnya kalau sifatnya Wujud maka ia mestilah bersalah-salahan dengan makhluknya. Maknanya makhluk atau kita ini tak wujud? tapi kita ini wujud Tok?" tanya aku menggaru kening.

Bot penambang sampai ke tebing. Tok mengangkat basikal dan membayar empat kupang. sekupang untuk dirinya, sekupang untuk aku dan dua kupang harga basikal.

Tok dan Pah bersama aku (duduk kiri) dan sepupuku Arip

"Man arafa nafsahu faqad arafa rabbahu" kata Tok. Aku membonceng basikal dan kami berhenti di sebuah gerai tepi jalan bandar Kuala sambil pekena ais kacang dan laksa...

1 comment:

Cicit kulup sakah said...

Bila tgk gambar Rindu kt tok ngan opah