Saturday, August 31, 2013

Gedung Kartun dan Merdeka

Setiap kali menyambut 31 Ogos aku teringat peristiwa pada bulan kemerdekaan 2009. Ketika itu majalah politik keluaran Sepakat Efektif, Gedung Kartun muncul dengan edisi sulungnya. Dengan muka depan lakaran Jonos idea oleh Zunar, hasil diskusi kami semua yang terpaksa mengubah idea asal. Sepatutnya muka depan adalah lukisan Oly tentang roh Teoh Beng Hock - anak muda yang ditemui mati secara misteri di Plaza Masalam selepas dipanggil SPRM untuk soal siasat kes rasuah seorang pemimpin Pakatan Rakyat. Beng Hock hanya saksi tetapi kematiannya penuh tandatanya sehingga hari ini gagal menemui jawaban malah kenyataan-kenyataan pihak kerajaan sangat memualkan. Kes itu sangat hot sehingga di dalam Gedung Kartun keluaran itu ada pembongkaran dalam bentuk kartun tentang teka-tekinya.

Lukisan Oly itu didapati tidak sesuai menjadi muka hadapan dan ia diletakkan di bahagian dalam majalah. Kami berbincang dan akhirnya kami bersepakat bersetuju dengan idea cover seorang lelaki berbaju PM mengibarkan bendera sambil menjerit Merdeka. Seorang kanak-kanak bernama Dol Kerepek menegur lelaki tersebut bahawa bendera yang dikibarnya itu bukan bendera Malaysia sebaliknya bendera Mongolia. Kami iaitu aku, Zunar dan Jonos mengakui ini idea paling lekeh dan ringan tetapi tak disangka ia sangat berat dan bahaya untuk kerajaan.

Selain rakyat Malaysia mendapat pengetahuan baru iaitu begitu rupanya bendera Mongolia, perkara yang Kementerian dalam Negeri fikir lebih membahayakan adalah kehadiran sebuah majalah kartun berkonsep baru ~ mengkritik terang-terang tanpa belas kasihan.

Semuanya sejarah. Gedung kartun dirampas. Diharamkan. Ketua pengarang dan penerbitnya, Zunar didakwa, mengangkat terus namanya sebagai wira. Kartun mula diiktiraf senjata dalam dunia politik. Kerajaan selepas itu turut juga mengeluarkan dana menggunakan kartun sebagai alat propaganda politik.

Gedung Kartun perintis sejarah. Pemecah tradisi. Siri seterusnya dimulakan - Perak Darul Kartun. Isu Dalam Kartun vol 1, 2 dan 3 lalu terus diharamkan. Kali ini KDN menakut-nakutkan pencetak, pengedar dan penjual. Kerana mereka mendapati pengurusan semakin teratur, sambutan makin baik. Itulah puncanya majalah kartun melawan ini mati di negara merdeka. Kata Hishamuddin Rais kepada aku dulu, "jentera yang kau orang lawan terlalu besar!".

Ya! Dan hari ini, di tanah merdeka, bukan Gedung Kartun sahaja malah kita semua terus dibuli penguasa yang berasa besar.

muka depan Gedung Kartun


kartun atas oleh A.J dan bawah oleh aku. Ramai kawan memberitahu kartun ini bahaya dan menakutkan mereka.

 ilustrasi Jonos apabila semua rakyat Malaysia mudah dapat gelaran Datuk


kajian kes oleh aku tentang misteri Beng Hock

pegawai KDN dserbu pejabat dan rampas majalah


Kisah  pembesar negara ditangkap khalwat dengan penyanyi popular di Port Dickson gabungan idea aku/zunar/oly 'based on true story'.