Dengan menganggap semua sudah tahu berita ini atau ringkasnya 13 rakyat Malaysia termasuk seorang wanita dihukum penjara dua tahun mandatori SERTA MERTA kerana berhimpun membantah rampasan kuasa di Perak oleh Najib Razak dan Barisan Nasional terhadap kerajaan Pakatan Rakyat yang menang dipilih rakyat pada PRU 2008. Ke semuanya dibawa ke Penjara Tapah.
Bad Latif , Kak Nashita serta anak-anak mereka Anas (belajar di Jordan,), Ammar, Asma dan Asiah akrabnya seperti keluarga kami sendiri. Mendengar berita ini kami terus menghubungi Kak Nash. Kami mengambil Ammar di rumah yang tidak ikut pada perbicaraan hari itu kerana bersekolah dan langsung mahu terus ke Tapah. Mujur Al Kerrango menumpangkan kami semua dengan van yang dipandunya. Selepas solat Jumaat kami bergerak dengan bekalan nasi arab kak Hasnah Al Amin Food Corner, seorang lagi kakak angkat kami. Hujan lebat dan dijangka kesesakan lalu lintas mungkin berlaku dan agakan itu tepat beberapa jam kemudiannya.
Kami minum di Pekan Tapah sementara menantikan Lan dan Ustaz, 'orang kita di Tapah' yang dikenali Al Kerrango menguruskan bilik sewaan. Kak Nashita bersama dua anaknya Asma dan Asiah sampai. Mereka kelaparan dan makan di sini. Dalam hati siapa bisa menelah kedukaan yang mereka rasa apabila ketua keluarga dipenjara tetapi semangat keluarga ini luar biasa. Bisa bergurau.
Kemudian salah seorang isteri yang dipenjara iaitu Puan Norlailawati isteri Haji Isha Rizuan bersama anaknya juga singgah makan. Mereka juga mengambil keputusan bermalam di tempat sama. Kak Laila juga luar biasa tabahnya. Katanya Haji Isha menghidap kanser tiroid dan memerlukan ubat. Dia akan cuba memberi ubat. Kak Laila bercerita yang anaknya menghidap telesemia. Aku berasa pilu. Inikah harga sebuah pengorbanan? Tetapi Kak Laila masih boleh bercerita sambil ketawa.
Sham mengambil butir-butir isteri atau waris OKT.
Kawan-kawan aktivis dari Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang dan seratanya menuju ke mari. Ayah Adam Adli yang mesra dipanggil 'Ayah' atau 'Ayah Halim' sampai bersama Abu Nawas yang ditemani anaknya. Ayah Halim menginap bersama aku dan Al Kerrango. Kami ke pintu masuk Penjara Tapah. Yong, budak perempuan yang mengangkat tanda 'peace' dalam foto di bawah sanggup bermotosikal dari Kuala Lumpur ke Tapah menziarahi Kak Nashita. Yong aktif membantu Kelab Kartunis Indipenden dan dari situ akrab.
Pengawal pintu masuk Penjara Tapah mula bertanya kenapa kami di depan dan gamat mengambil foto. Dia tidak senang. Ayah Halim dan Al Kerrango berunding lembut. Aku sudah mula marah-marah. Ketua warder datang setelah dihubungi pengawal tersebut. Mereka mengatakan ini kawasan larangan tetapi setelah berunding dia akur dan pergi.
Kami makan di warung berdekatan di situ. Mat Samankati, Cenangau Daunkari, Imran Baihaqi, budak-bukak Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Perak, Singa Selatan, mahasiswa, aktivis-aktivis lain yang aku tak perasan mula berkumpul. Datuk Seri Nizar Jamaluddin memberi ucapan sokongan dan semangat. Antara lain beliau menyatakan alasan demi kepentingan awam dan menghormati institusi raja tidak ada kena mengena dengan apa yang dilakukan oleh 13 tahanan ini. Ini kezaliman.
Beberapa aktivis dari Kuala Lumpur dan sellatan Perak sampai lewat kerana kesesakan lebuhraya. Haizal, Eddy Gordo, Han's Tokey, Wasfi Why dan lain-lain pulang malam itu juga kerana punya urusan.
Pagi Sabtu kami masuk ke dalam kawasan penjara. Seorang pelawat dibenarkan membawa lima orang. Sewaktu mendaftar Kak Nashita ditunjukkan dengan foto terbaru abang Bad,
"Inikah?" tanya pegawai.
"Bukan!" kata kak Nash.
"Abah botak!" jerit Asiah.
Kak Nashita kata ke semua mereka dalam kategori kolar merah iaitu kesalahan berat dan hanya boleh dilawati sekali dalam masa empat minggu. Aduh!
Entah apa malangnya, kad pengenalan aku tertinggal di rumah. Aku tak dapat masuk. Al Kerrango, Ayah Halim, Sham mengikut keluarga Kak Nashita dan Kak Norlailawati.
Al Kerrango mengakui turut menangis kerana sebak dan sedih apabila ke semua mereka bertemu. Biasalah, siapa yang tidak sedih. Dua tahun lama. Sekelip mata kehidupan hari ini sudah tidak sama dengan semalam. Dan begitu juga hari-hari mendatang.
Namun begitu mereka kuat. Kami juga pilu mengenangkan Puan Suhana satu-satunya wanita yang dipenjara. Dia ibu tunggal, bekerja sebagai pencuci di Masjid Ubudiah Kuala Kangsar dan mempunyai anak OKU. Mujurlah kakaknya sudi menjaga anak tersebut. Itulah ucapan kakaknya di luar pagar apabila kami semua sekali lagi berhimpun setelah keluar.
Di luar selain Pas kawasan tersebut dan negeri, aktivis-aktivis turut hadir. Kumpulan Kartunis Indipenden Zunar bersama isterinya Alin, Haili, Azman MatNoh, Shem dan isteri Noky, Lawrence, Azmie Taha serta seniman Pyanhabib turut hadir.
"Teruskan perjuangan!" Pesan abang Bad dari dalam.
"Teruskan perjuangan!" pesannya lagi.
p/sTuanku Sultan,
patik berharap tuanku mengambil tahu akan kes ini. Ini tiada kena mengena dengan menghina institusi raja atau menghina tuanku. Mereka rakyat Malaysia yang berhimpun secara aman mengikut hak yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Di harap Tuanku ambillah tahu.
3 comments:
lain lain ok tp bab ps tu nak tergelak rasanyer....kelakarlah...hahaha..
lain lain ok tp bab ps tu nak tergelak rasanyer....kelakarlah...hahaha..
aku nak komen tapi takut dikategorikan menghina institusi diraja..lemahnya aku..
Post a Comment