Dengan tagline 'Majalah Hiburan Alternatif' berbanding keluaran perdana sebelum ini yang muka depannya garang dan nampak politik, majalah Posto kedua ini mungkin bakal menimbulkan kemusykilan ramai mengapa ia dikatakan majalah hiburan?
Nanti dulu. Apa yang difikirkan apabila melihat perkataan hiburan? Sesuatu yang ringan, picisan dan tidak bermanfaat? Mungkin itu definisi yang lama disogokkan kepada kita. Hakikatnya hiburan adalah fitrah, naluri manusia amat memerlukannya. Ia penting kerana manusia perlukan peneman. Di dalam syurga sekalipun Adam duduk, tanpa teman untuk berhibur, syurga yang indah tak bererti apa pun. Maka itulah Hawa dicipta.
Posto cuba menjadi teman berhibur. Isu yang dibawanya adalah isu sekeliling. Berat atau ringan atau yang dekat tetapi tidak kita endahkan. Kita telah lama ditakutkan dengan label-melabel malah bahan bacaan pun menjadi mangsa label. Yang ini berat, itu ringan atau kadang-kadang sampai ke tahap apakah ia suci atau mungkin bahan bakar neraka labelnya.
Muka depan foto seniman jalanan (busker) atau disebut juga pengamen biasa kita lihat tetapi mata kita melihat mereka sebagai apa? Manusiakah mereka? Baik atau buruk? Bagaimana undang-undang melihat mereka? Sebab itu foto berwarna hitam putih. Itu penilaiannya. Jika hitam, hitamlah. Dan begitulah penilaian kita terhadap apa jua. Hitam dan putih. Foto itu sendiri membuka falsafah yang lebih besar. Tentang kita menilai sesuatu di hadapan kita. Siapa pula yang menilai kita? Muka depan Posto bak kesimpulan kepada semua isu yang dibawa di dalam keluaran kali ini. Tentang pendidikan yang bukan untuk menghafal tetapi untuk dihayati tulisan Lim Hong Siang yang pada mulanya terpaksa bertungkus lumus menguasai penulisan dan pertuturan dalam Bahasa Melayu demi untuk dicatatkan cemerlang di dalam sijil SPM. Tetapi hari ini beliau sedar ia lebih mudah apabila ada penghayatan. Juga tentang apa yang mahu diisi atas nama kemajuan? Gedung megah kota atau kesuburan jiwa? Tulisan Adam Adli bertanya tentang Membina Tamadun Dengan Kebodohan. Juga apa rasanya kita apabila melewati bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia pada Ogos dan September? Wak Dogol mencungkil persoalan ini. Dan banyak lagi isu. Termasuklah tempat Orang Kelainan Upaya dalam struktur komuniti kita tulisan Rosli Ibrahim, pemuda yang membaca banyak buku dengan gigih biarpun penglihatannya rosak. Kesungguhan beliau membaca dengan melekapkan buku yang tebal-tebal dekat dengan matanya itu sudah cukup memukul ego kita yang entah membaca atau tidak hatta sebuah buku pun pada tahun ini. Tentang 'cosa nostra' mafia Montreal oleh Mohd Faizal yang pernah menetap di sana. Cerpen ' Pintu Yang Mana Satu?'' oleh Aji Rondo. Sandy Indra Pratama menulis dari Jakarta tentang perlukah pendidikan yang memaksakan. Keletah manusia sekeliling yang kadangkala aneh lagi misteri dalam 'Siapa Jantan Itu?' oleh Hishamuddin Rais perihal dirinya yang sering terserempak dengan seorang 'mamat' aneh.
Itu hanya beberapa contoh. Ramai lagi penulis. Penulis-penulis di dalam Posto cuba mengajak kita berfikir dan merenung bahasa kehidupan. Foto hiasan juga menyampaikan ceritanya. Kita diajak melihat dengan dua mata. Zahir dan batin.
Namun jangan ketatkan fikiran. Bukankah Posto majalah hiburan? Bersedia menerima dengan terbuka. Posto juga sedang bergerak menuju arahnya. Khalayak jugalah yang mempengaruhi arah itu. Kita bersama. Berfikir, merenung dan berhibur.
Masih menganggap hiburan itu sesuatu yang kosong? ;-)
1 comment:
Aku suka dengan design cover depan Posto kali ni. Nampak lebih berbanding keluaran yang pertama dulu. Harap layout dalaman zine ni juga lebih kemas.
Post a Comment