Membaca bukan sekadar memandang ke arah buku. Bukan juga melihat huruf-huruf yang disusun menjadi perkataan dan membentuk ayat menjadi cerita mahu pun isi sesebuah penyampaian. Bukan sekadar itu. Membaca; barangkali juga yang diseru oleh Jibril di Gua Hira' itu meminta kita menghayati dalam-dalam, meneliti dan merasainya. Itu yang saya rasa (baca: baca).
Membaca bagi saya adalah proses, melihat dengan mata dan deria lain turut berjemaah menaakul dan menafsirkannya. Jika ayat pertama Al Quran itu hanya menyuruh kita membaca dengan melihat huruf seperti apa yang saya katakan awal tadi maka gagal habislah insan dalam menuju kejayaan.
Posto diusahakan dengan mempunyai niat semurni itu malah dengan yakin membawa tagline 'Meletakkan Kembali ke Tempat Asal' iaitu jika membaca Posto amat sangat diharap pembaca meneliti setiap huruf, helaian, tulisan, ayat mahu pun foto di dadanya. Bagaimana tafsirannya terpulanglah, tiada siapa boleh mengacau pandangan peribadi. Asalkan kita masih kenal dan tahu menggunakan akal yang sejahtera.
Boleh juga menafsirkan Posto ini majalah apa sebenarnya. Agama, Budaya, Seni, Falsafah, Hiburan malah Politik. Boleh. Tetapi jika politik kacau yang selalu kita telan hari-hari di media itu, Posto mohon tidak terbabit. Adakalanya rimas, lelah, laeh dan 'cemuih' dengan adu domba dan retorik yang membuang masa. Banyak ruang lain yang perlu diteroka jika mahu bercakap tentang reformasi atau transformasi. Semuanya menuju kerosakan. Ia disebabkan sistem. Sistem sudah berulat.
Posto masih awal. Nafasnya bergantung kepada sambutan khalayak. Semangat memang kuat. Hanya tiga orang bekerja menghidupkannya. Di bilik, di kedai kopi, di tepi jalan sahaja operasinya. Kantung pun tidak mewah. Pusing-pusing sahaja wangnya. Mujur penulis-penulis nama besar yang menyumbang juga punya semangat setiakawan. Mahu memberi pandangan mereka untuk dihayati. Mahu bersama meneroka dan membuka ruang yang bukan baru, pernah juga diterokai sebelumnya oleh angkatan sebelumnya tetapi mati. Dan kami menyambungnya dengan cara yang kami mahu.
Membaca - kata bijak pandai jika kita lakukannya kita hanya membaca sebuah buku tetapi jika tidak membaca sebuah buku itu kita telah hilang sejuta ilmu. Posto kecil, jika anda membacanya anda hanya membaca sebuah majalah enam puluh lapan muka surat termasuk kulit tetapi jika anda tidak membacanya anda hilang sebuah rasa, pengalaman, pengetahuan dan perkongsian pandangan.
mengupas, mencari dan luka mencari isi...
No comments:
Post a Comment