Saturday, November 30, 2013

Gaji Adun Selangor naik, nasib Anak OKU terlantar macam taik!

Jika 10% gaji Adun PKR dimasukkan ke Tabung Pendidikan Anak Selangor KeADILan maka anak-anak OKU Terlantar tetap tidak dapat menikmatinya kerana Anak-anak OKU Terlantar dinafikan hak mendapat pendidikan. Tiada sekolah bantuan penuh kerajaan. Beginilah nasib mereka di Malaysia. Menteri tolak sana tolak sini, di Selangor pula Exco. Rodziah Ismail dua kali mengelak untuk menjawab ketika ditanya secara lisan oleh Adun PAS Paya Jaras malah soalan bertulis berbunyi "Mengapa kerajaan Selangor dilihat kurang mengambil berat terhadap OKU walhal mereka juga pengundi" telah digugurkan.

KENYATAAN MEDIA
30 November 2013

WAKIL RAKYAT KEADILAN SELANGOR SUMBANG SEBAHAGIAN KENAIKAN GAJI KE TABUNG PENDIDIKAN

Saya telah menerima pandangan semua pihak mengenai kenaikan gaji yang melibatkan wakil rakyat Selangor. Saya juga telah mendapat penjelasan dari YAB Tan Sri Khalid Ibrahim mengenai rasional kenaikan gaji tersebut.

Pun begitu, KEADILAN sebagai parti yang membawa semangat reformasi perlu terus sensitif dengan kesempitan hidup yang dihadapi rakyat terbanyak.

Oleh itu, setelah berbincang dengan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim, saya bersetuju bahawa satu Tabung Pendidikan KEADILAN Anak Selangor akan ditubuhkan bertujuan mengagihkan biasiswa pendidikan kecil dan mengendalikan program pendidikan terutamanya di peringkat sekolah menengah dan pra-universiti.

Setiap wakil rakyat KEADILAN akan menyumbang RM1,000 sebulan atau 20% dari jumlah kenaikan gaji bulanan yang diumumkan untuk membiayai pemberian biasiswa kecil dan program pendidikan di bawah Tabung Pendidikan KEADILAN Anak Selangor.

Jumlah sumbangan wakil-wakil rakyat KEADILAN dari Selangor kelak dijangka mencecah setengah juta setahun dari kenaikan gaji mereka yang dapat membantu keluarga berpendapatan rendah dalam bidang pendidikan.

Anwar Ibrahim
Ketua Umum KEADILAN.

Malam semalam dan tadi bersembang dengan rakan lama dalam era reformasi 98 termasuklah juga beberapa Ahli Parlimen. Mereka tak bersetuju dengan kenaikan 'melampau' gaji dan elaun Adun Selangor dan mencadangkan rakyat terus bersuara. Ya kita tidak menentang kenaikan itu tetapi yang kita tidak setuju adalah ia terlalu tinggi dan hujah gaji tinggi untuk elak rasuah adalah hujah jenaka. Di bawah ini adalah kenyataan media Anwar Ibrahim yang mencadangkan YB ini menyumbang RM1k dari gaji mereka untuk Tabung Pendidikan. Bukankah sepatutnya ia dimasukkan dalam bajet dan tak perlu masuk gaji mereka dulu kemudian baru masuk tabung tersebut?

Friday, November 29, 2013

Minggu depan terbit!

Buku Surat Untuk Anak ini cetakannya terhad. Ikut kemampuan. Catatan pahit manis aku menempuh hidup dengan dua puteri Cerebral Palsy. Bukan hendak menunjuk bagus hanya mahu berkongsi rasa dan bayangkan bagaimana lagi keadaan orang yang lebih memerlukan dari kita? Hanya RM30 sebuah.
Kenali insan-insan misteri yang hadir tanpa disangka membantu ketika kami kesulitan.
Apa pula cabaran hidup? Jual kuih? Berniaga secara 'rambo' di Pasar Malam. Mengapa aku tidak menangis ketika Annisa meninggal dunia? Berapa lama aku bertahan? Mengapa aku bising-bising menuntut pendidikan untuk anak-anak aku?

Kata pengantar oleh Faizal Riduan. Komentar oleh Brigitte F Bresson,Hasan Suyut pengarang buku Kembara Atiq Wazif. Juga tulisan Rosli Ibrahim tentang OKU.

Boleh order sekarang. Bayar RM30+Rm5= RM35 ke akaun maybank Raja Rohaisham 162021363678. Buktikan slip pembayaran di kutubkhanah112@gmail.com
Jangan lupa beri juga alamat pos dan nombor telefon di emel tersebut.






Thursday, November 28, 2013

Isu naik gaji/elaun Adun Selangor: Khalid Ibrahim ajak siapa main perang?

Pemerhati politik tanahair melihat kenaikan gaji dan elaun Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor yang 'melampau' sehingga mencecah lebih 200% adalah langkah perang politik paling berani yang dipertaruhkan Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim. Di kalangan ahli ( ahli disebut Anggota di dalam PKR)  Parti Keadilan Rakyat selalu menyebut bahawa Khalid Ibrahim tidak pandai berpolitik. Mereka silap. Jika tidak pandai main politik pun ramai terlupa Khalid Ibrahim seorang tokoh korporat yang biasa bertarung dengan ombak risiko sehingga adakalanya mengancam kariernya sendiri. Ini hakikat.

Imbas Sejenak Khalid Ibrahim

Khalid Ibrahim menjadi terkenal kerana kejayaannya membawa balik syarikat perladangan negara Kumpulan Guthrie Bhd. (Guthrie) dari London dalam satu projek yang diberi nama Projek ‘Serbuan Waktu Subuh (Dawn Raid). Projek ‘serbuan waktu subuh adalah suatu usaha membawa balik Guthrie, yang sebelum itu dikenali sebagai Guthrie Corporation PLC diserahkan kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) iaitu sebuah institusi pelaburan bumiputera yang baru ditubuhkan. Ia suatu usaha pada awalnya dimulakan pada zaman Tun Abdul Razak agar mengambil kembali semua syarikat Malaysia yang disenaraikan di Bursa Saham London termasuklah Guthrie. Ringkasnya Khalid yang pada masa itu pengurus pelaburan PNB diberi tugas memantau, bekerjasama dengan pemegang-pemegang saham serta mencari penyelesaian masalah agar usaha tersebut tidak tersangkut. Dengan kecekapan Khalid, PNB akhirnya berjaya menguasai 51% syer Guthrie Corporation PLC daripada Bursa Saham London pada 8 September 1981dan membawa pulang semula Guthrie.

Kumpulan yang menggelarkan diri mereka 'Reformis' di dalam PKR juga menyatakan Khalid Ibrahim bukan reformis dan tidak ada ketika gelombang Reformasi tercetus. Khalid dikatakan hanya muncul selepas zaman senang. Ya! Memang benar kerana ketika Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada September 1998, Khalid bukan orang politik. Yang turun memprotes kebanyakannya rakan Anwar di dalam politik, selain rakyat yang simpati. Tetapi Khalid Ibrahim mencatat sejarah 'reformasi' sendiri sebagai korporat yang 'berani mati'. Ketika Anwar Ibrahim di dalam penjara Sungai Buloh, Khalid telah menganjurkan majlis berbuka puasa di Penjara Sungai Buloh untuk mencari peluang bertemu 'rakannya' Anwar. Selepas peristiwa itu, Khalid telah ditendang. Pada 2007 Khalid menyertai PKR dan tidak dapat dinafikan imej PKR melonjak dan rentak parti menampakkan pembaharuan. Kemudian terus ke hadapan memegang jawatan penting dalam parti. Tewas di Pilihanraya Kecil Ijok pada 2007 tetapi menang di Dun yang sama pada PRU 2008dan terus menjadi Menteri Besar Selangor. Mentadbir negeri ala syarikat korporat dan tidak mesra dengan parti membuatkan orang parti marah. Kedekut kata mereka. Khalid mendapat keyakinan rakyat dan ISTANA kerana berjaya mengumpulkan rezab dengan banyak jauh meninggalkan prestasi kerajaan Barisan Nasional sebelumnya. Pada PRU 13, Khalid menang di Dun Pelabuhan Klang. Pas dan DAP yang mendapat kelebihan kerusi menaruh kepercayaan kepada Khalid Ibrahim dan sudi menyerahkan kerusi Menteri Besar kepada PKR jika Khalid menerajuinya.

Saingan dengan Azmin

Penyokong Azmin mahu Azmin menjadi Menteri Besar walaupun Pas dan DAP mahukan Khalid. Banyak kelemahan Khalid dibentangkan. Antaranya tidak mesra parti, hanya pandai kumpul duit tetapi kedekut berbelanja, masih memberi peluang orang Umno cari makan dan macam-macam lagi.Anwar turut juga mengkritik Khalid yang lembab tidak seperti Lim Guan Eng yang menerajui Pulau Pinang. Kesan peperangan ini menjadi dua kelompok. Menjadi penyokong Khalid dan penyokong Azmin. Imej Azmin juga tercalar kerana digambarkan kemaruk jawatan. Sedikit pergeseran juga dengan Ketua Umum Anwar Ibrahim yang menyokong Khalid menjadi MB. Exco yang dilantik pun dilihat orang Khalid.
Tenang seketika kemudian. Masa untuk bekerja, masing-masing dilihat sudah menerima kenyataan. Tiba-tiba meletup lagi kontroversi apabila exco-exco, Adun-Adun Pakatan Rakyat dikatakan mula bengang dengan Khalid yang semakin kedekut berbelanja. Khalid sedar. Ura-ura hendak menggugurkan Khalid semakin kuat. Pemilihan parti PKR pun semakin hampir.

Strategi Perang Paling Gila

Sekali lagi dengan watak sebagai tokoh korporat yang berani bermain dengan risiko, Khalid melancarkan strategi. Gaji dan elaun Adun dinaikkan 'mendadak' sehingga melebihi 200%. Pemerhati politik melihat ini taktik maut Khalid untuk menutup mulut Adun yang mula tidak menyokongnya. Khalid sedar walaupun ada penyokong yang setuju tetapi ini juga akan menaikkan kemarahan ramai  penyokong Pakatan Rakyat sendiri dan Khalid mungkin sudah menjangka Azmin akan muncul bersuara.
Syed Husin Ali bekas Timbalan Presiden PKR turut tidak bersetuju kenaikan gaji mendadak

Kucar-kacir kenyataan berlaku apabila kenaikan gaji dan elaun mendadak ini dikatakan atas desakan dan permintaan bertalu-talu Adun-Adun.

Tetapi memorandum yang dihantar kepada MB sebelum ini oleh Kelab Penyokong Kerajaan Selangor (Backbencher Club) tidak menyentuh pun bab naik gaji. Malah Azmin mengeluarkan kenyataan meminta tangguhkan dahulu.

" Anggota Parlimen Gombak, Azmin Ali menggesa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menangguhkan kenaikan gaji buat wakil rakyat Selangor yang akan berkuat kuasa mulai tahun depan.

Menurutnya, perkara tersebut diputuskan tanpa perbincangan dengan wakil rakyat lain dan kajian semula perlu dibuat agar kadar kenaikannya lebih munasabah." - Malaysiakini.com 28 November 2013.


Anwar Ibrahim juga melihat kenaikan ini terlalu tinggi. Khalid Ibrahim, dengan karektor ahli korporat dilihat degil mempertahankan keputusannya.

"Bercakap kepada pemberita di Shah Alam hari ini, Khalid berkata langkah Dewan Undangan Negeri meluluskan kenaikan gaji itu adalah muktamad.

Khalid berkata Azmin boleh menderma tambahan gajinya itu kepada badan amal jika beliau tidak puas hati.

Katanya, jika Azmin tidak mahu menerima kenaikan gaji itu, itu hak individu untuk menolaknya.

"Jika (beliau) tak mahu, tak apalah," kata Khalid.
(Malaysiakini.com 28 November 2013)

Inilah suatu kepelikan. Bagaimana ada dua situasi iaitu menurut Azmin tiada perbincangan awal manakala ia adalah permintaan dan desakan bertalu-talu? Khalid pula mengapa beria-ia benar hendak menaikkan gaji seperti memaksa sehingga mengatakan ia muktamad dan jika tak setuju boleh menolaknya? Soal gaji pun dipaksa?

Kenyataan Setiausaha Politik Khalid, Faekah Hussin di twitter " Keputusan sudah dibuat. Kalau ada Adun yg tidak mahu terima boleh kemuka surat & kita akan gunakan utk kebajikan rakyat." kelihatan bodoh kerana mengapa kenaikan gaji dilihat seperti berbentuk paksaan dan tergesa-gesa? Jika mahu guna gaji untuk kebajikan rakyat mengapa tidak dari awal memikirkan bajet itu untuk rakyat? Apakah yang setuju menerima gaji tersebut termasuk MB tidak mahu membuat kebajikan kepada rakyat? Apa muslihat semua ini jika tidak pertarungan politik?

Siapa menang perang?

Siapa menang adalah suatu perjudian. Khalid menang jika terus menegakkan keputusannya. Azmin yang dilihat cuba mencuri kerusi MB akan dilihat menang jika benar-benar menolak kenaikan gaji tersebut. Khalid mungkin juga boleh kalah teruk jika terus dengan keputusan ini kerana kenaikan mendadak ini melukakan hati rakyat yang sedang tertekan dengan kenaikan harga barangan. Azmin juga boleh berkemungkinan tewas apabila dianggap cuba ambil kesempatan dari bola tanggung Khalid. Pertandingan peribadi keduanya ini penuh risiko. Tokoh korporat yang berani main risiko melawan pakar matematik yang bijak mencatur.

Namun keputusan kalah-menang besar bergantung kepada Adun-Adun Pakatan Rakyat yang lain. Mereka adalah faktor menang atau kalah. Bayangkan semua Adun PR ini menolak, apa akan jadi pada Khalid? Jika menerima, tidaklah ada apa-apa pada Azmin sebaliknya Khalid makin kuat dan boleh mengisytiharkan menang dalam pertarungan ini.

Bagaimana pula jika semua ini adalah permainan dan bukan pertarungan?
Ah! Politik!

Wednesday, November 27, 2013

Kenaikan Gaji dan Elaun Adun Selangor melukakan rakyat.

Kenaikan 'melampau' gaji dan elaun Adun-Adun Selangor dilihat seperti menghina dan menabur garam di kaki rakyat yang luka bernanah. (rujuk carta di bawah)


Ia mengundang rasa marah rakyat dan kebanyakan penyokong Pakatan Rakyat sendiri. Kebanyakannya tidak membantah akan kenaikan itu kerana akur dengan beban kerja apatah lagi amalan beri wang tunai memang sudah sebati dengan budaya politik Malaysia tidak kira Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Tetapi kenaikan sehingga lebih 200% dilihat sangat melampau apatah lagi rakyat hari ini telah dibebani dengan berbagai kenaikan harga barangan termasuklah cukai GST yang akan muncul tahun mendatang. Ironinya beberapa minggu lalu ahli parlimen Pakatan Rakyat telah mencadangkan agar elaun menteri dipotong sebagai cara merasai kesusahan rakyat sehingga mengundang kemarahan luar biasa ahli parlimen Barisan Nasional tetapi di peringkat negeri Selangor kenaikan ini seperti tidak peka pula dengan apa yang berlaku hari ini.
Tokoh politik yang disegani yang juga bekas Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali di laman twitternya juga turut meluahkan rasa pelik malah kenyataannya penuh sinis menganggap kenaikan ini 'seolah-olah menghina'.
Sementara itu penyokong tegar Pakatan Rakyat pula menggunakan alasan kenaikan yang tinggi ini wajar bagi membendung gejala rasuah menular kepada wakil-wakil rakyat ini nanti. Hujah ini disangkal pula penyokong Pakatan Rakyat yang lain dengan alasan jika duit banyak rasuah boleh juga berlaku dengan menyogok wang di dalam pemilihan parti demi mengekalkan kedudukan. Bukankah lebih baik peruntukan itu disalurkan kepada pejabat Adun untuk melicinkan lagi kerja-kerja membantu rakyat? gaji dan elaun adalah hak peribadi. Tidak perlu menggunakan duit gaji sendiri dan untuk 'belanja' rakyat minum atau beri hadiah kenduri kahwin. Sistem tuntutan (claim) misalnya boleh ditambah peruntukan. Yang buat kerja lebih boleh buat tuntutan. Hari ini jika ada YB tidak bekerja pun, gaji dan elaunnya tetap mewah.
Spekulasi juga bermain menyatakan ini adalah mainan politik Khalid Ibrahim untuk menutup mulut Adun-Adun Pakatan Rakyat yang dikatakan tidak berpuas hati dan ingin membuat usul tidak percaya terhadap pentadbirannya.

Seperti politik Umno dan Barisan Nasional, pemimpin-pemimpin parti dari Pakatan Rakyat masih membisu, barangkali menunggu kenyataan dari Anwar Ibrahim sama ada senada atau tidak. Anwar Ibrahim sudah memberi komen yang kenaikan ini sangat tinggi.  (link di sini:- http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/anwar-mb-must-explain-why-selangor-salary-hikes-a-bit-high?utm_source=twitterfeed&utm_medium=twitter)

Sayap pemuda tiga parti Pakatan Rakyat iaitu Dewan Pemuda Pas, Angkatan Muda Keadilan dan DAPSY (DAP) juga masih tidak mengeluarkan kenyataan rasmi sama ada menyokong atau sebaliknya.

Isu ini juga sedang panas dimainkan Umno dan Barisan Nasional sehingga menenggelamkan isu GST dan kenaikan harga barang.

Inilah harga yang terpaksa ditempuhi rakyat. Mengundi memilih wakil-wakil yang akan menyusahkan mereka kembali. Makna politik di Malaysia.

Jangan Mewakilrakyatkan Ekonomi Selangor

Kenyataan Media
27 November 2013

Jangan Mewakilrakyatkan Ekonomi Selangor

Dalam keadaan rakyat masih terus bergelut dengan tekanan hidup yang memuncak ketika ini, ketika warga kota baru boleh menarik nafas lega dengan keputusan rejim Pemerintah menangguhkan kenaikan cukai taksiran, negara terus dikejutkan dengan tindakan pemain politik tempatan yang seolah-olah lupa akan keperitan hidup rakyat.

ADUN-ADUN Selangor bakal menikmati durian runtuh dengan pengumuman kenaikan elaun mereka sehingga 200% dan dalam masa yang sama Menteri Besar Selangor hanya mengumumkan imbuhan bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam negeri tersebut.

SAMM Johor melihat tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang ditunjangi Pakatan Rakyat ini tidak jauh bezanya dengan tindakan Kerajaan Negeri Sarawak naungan Barisan Nasional. Terus tidak mempedulikan jeritan rakyat yang semakin perit menanggung beban kehidupan seharian sebaliknya hanya memenuhkan kocek masing-masing. Tiada beza diantara rejim Pakatan Rakyat Selangor dan rejim Barisan Nasional Sarawak.

Malah, SAMM Johor masih ingat lagi beberapa minggu sebelum ini Kelab Penyokong Kerajaan Selangor (BBC) telah menghantar memorandum kepada Menteri Besar Selangor untuk meningkatkan perbelanjaan yang memberikan faedah kepada rakyat bukannya untuk menaikkan gaji dan elaun mereka yang berada di koridor kuasa semata-mata.

Mengapa jawatan Wakil Rakyat ini dijadikan satu kerjaya yang sungguh eksklusif dengan tangga gaji yang mewah? Ini sudah tentunya akan menggalakkan perebutan untuk jawatan tersebut kerana terpesona dengan aroma wang ringgit semata-mata, bukannya berlumba-lumba untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat. Angka berbelas ribu hingga berpuluh ribu elaun ini sudah pasti akan mengelabui mata rakyat.

Kenaikan drastik elaun ADUN-ADUN Selangor ini hampir menyamai elaun Ahli-Ahli Dewan Rakyat. Malah, elaun untuk Speaker DUN kalau pun tidak lebih namun ia sudah hampir menyamai elaun Speaker Dewan Rakyat. Adakah DUN Selangor sering bersidang seperti Parlimen Malaysia sehingga mewajarkan elaun ADUN dinaikkan. Jumlah Persidangan DUN juga lebih pendek daripada Dewan Rakyat, maka dimana kewajaran kenaikkan elaun yang dicadangkan.

SAMM Johor sangat kecewa dengan pengumuman kenaikan elaun tersebut. Tiadalah beza antara rejim Pakatan Rakyat dengan rejim Barisan Nasional. Kedua-duanya hanya akan memikirkan keuntungan diri sendiri di puncak kuasa sedang rakyat terpaksa memotong perbelanjaan harian kerana kos taraf hidup yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

SAMM Johor turut mendesak rejim Pakatan Rakyat Selangor untuk membatalkan kenaikan drastik ini sebaliknya menggunakan peruntukkan tersebut bagi memberikan lebih banyak faedah kepada rakyat. Jadilah sebuah Kerajaan Pemerintah yang sentiasa menjadikan rakyat sebagai keutamaan sejajar dengan Agenda MES, Merakyatkan Ekonomi Selangor bukan Mewakilrakyatkan Ekonomi Selangor. Ingatlah, jawatan yg disandang itu adalah amanah yg diberikan oleh rakyat, ianya bukan untuk menyenangkan kehidupan kamu.

Ahmad Anwar Asyraf
Penyelaras Bersama
Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor
SAMM Johor

Monday, November 25, 2013

Apa agama?

Dua pemuda yang menjual buku bertanya kepada Sham yang sedang mempromosikan majalah Posto sama ada mereka berminat menjualnya atau tidak, "Ada unsur agama tak buku tu?"

Sham tanya "Agama tu apa?"

Dua pemuda sedikit susah hendak menjawab. Sham meninggalkan persoalan dan memberi isyarat untuk aku meneruskan.

"Apa yang kita lakukan sesaat tidak ada kaitan dengan agama?" Tanyaku. "Sekelip mata yang kita buat di manakah agama tidak terlibat ."

Dua pemuda senyum dan perlahan berkata serentak, "Betul bang..."

Aku tidak kisah jika tidak bersetuju denganku dan boleh sahaja kita berbincang panjang dengan dada lapang persoalan ini. Aku sendiri boleh melawan hujah yang aku ucapkan itu. Hahaha!
Ya! Apakah maksud agama bagi anda? Jenama? Apakah Rasulullah datang membawa sebuah agama berjenama Islam menggantikan agama-agama sebelumnya?

Apakah Islam itu maksudnya Sejahtera dari segi lughah atau konsep?
Bagaimana agama Hanif dan syariat Nabi Ibrahim?
Ad-Din adalah cara hidup.

Itu sahaja dulu.




Monday, November 18, 2013

Al fatihah syuhada Memali

Komik ringkas aku lukis 2 tahun lepas untuk syuhada Memali 19 Nov 1985
http://kulupsakah.blogspot.com/2011/11/zionisa-untuk-syuhada-memali.html
















Saturday, November 16, 2013

Kembalikan Kuala Lumpur seperti 20 tahun lalu.

Aku 17 tahun waktu berhijrah ke Kuala Lumpur mencari kerja. Disember 1990 dua minggu selepas tamat SPM. Kuala Lumpur tidak asing bagi aku sebab kami sekeluarga selalu menziarahi pak cik-pakcikku di kota ini. Bentong ke KL hanya 69 kilometer dan tambang bas hanya RM2.80 sahaja. Tinggal menumpang di rumah sepupu di Wangsa Maju aku keluar rumah seawal jam enam pagi menaiki bas ke Petaling Jaya bekerja sebagai mekanik. Lewat sedikit akan tersangkut kesesakan yang teruk di Jalan Genting-Klang ke Jalan Pahang. Tapi kebanyakan warga kota memilih bas sebagai kenderaan awam kerana ia cukup efisien waktu itu. Dari Gombak, Ulu Klang dan Setapak ada bas Len Seng, dari Kuala Selangor, Sungai Buloh ada bas merah Selangor, bas Sri Jaya menuju Shah Alam, Tong Foong daerah Cheras, bas Foo Hup dari Seremban menuju KL melalui Mantin, Beranang, Semenyih dan Kajang. Belum kira bas mini lagi. Sangat banyak. Bas Kampung Pandan nombor 25 sahaja hampir setiap satu minit ada. Ke Bangsar, ke Petaling Jaya hendak ke pusat Bandaraya mahu pun ke Chow Kit sangat cepat. Dua kali bas sahaja. Tambang bas mini cuma 50 sen. Bas besar yang lain maksimum 70-80 sen. Yang rugged, yang kemas, yang biasa dan yang popular seperti artis pun boleh berkongsi tempat duduk dengan kita dalam bas mini. Tidur ternganga di dalam bas sewaktu pergi atau balik sangat seronok. Bersesak berhimpit itu biasa.

Acara paling meriah hujung minggu ialah Pasar Malam di Jalan Tunku Abdul Rahman tempat pasangan kekasih mahu pun keluarga atau mat solo mencuci mata. Bayangkan jalan utama nadi kotaraya itu boleh ditutup beri laluan untuk pasar malam. Panjang pasar malam dari Sogo ke panggung Coliseum. Sogo pun belum ada lagi. Panggung wayang banyak. Odeon, Rex, Capital dan macam-macam. Belum lagi ada cineplex. Mat rock, thrash, mat underground pot tingkat atas Central Market. Pertengahan 80an aku selalu dengar cerita Jalan Masjid India, Pasar Budaya meriah dengan acara bacapuisi bawah tiang lampu oleh angkatan seniman. Tahun 90an hanya ada sesekali di pentas belakang Central Market. Terisi juga hujung minggu. Band-band rock jamming di studio Do Re Mi, Pertama Complex. Pekena sup Jalan Dorai depan Kompleks Wilayah sebelah Kompleks Campbell, main roller blade di Galactica Semua House. Meriah! Seniman Jalanan di luar Central Market mengubat lelah menghibur kami warga kota yang penat bekerja. Lorong katak dekat CM gerai makan yang enak. Nasi campur lauk ikan cuma RM1.80. Ayam sekitar RM2.50. Teh tarik atau milo ais tak sampai seringgit. Bawa RM3 sudah cukup untuk melepak di KL.

Hari ini teruk. Bas tidak lagi penuh. Kalau ada pun jika kita naik, silap-silap kita dijeling seperti warga asing oleh penumpang-penumpang di dalam yang kebanyakannya orang luar. Sistem tren memang banyak. Berselirat landasan di perut kota tetapi tambang mahal. Komuter KTM lembab dan tak boleh dipercayai dari segi ketepatan masa. Nak makan apa RM3? Central Market hari ini jual barangan kraf dari luar negara. Betul-betul Pasar Budaya jadi pasar jual budaya. Entah apa pasal entah! Panggung wayang sudah diganti cineplex di dalam mall. Acara bacapuisi di kaki lima atau busking sudah tiada. Pelukis-pelukis di CM tersudut. Semua warga terkejar-kejar masa. Laju aje berjalan tidak menoleh-noleh. Benteng di belakang Selangor Mansion dulunya pot makan terbesar di KL, sudah tiada. Fesyen, baju, plastik, gajet, apa lagi entah semakin menguasai. Hendak percayakan orang sekeliling pun susah hari ini.

Dan dosa paling besar kerajaan pada warga kota Kuala Lumpur hari ini pada pandangan aku adalah menghapuskan bas-bas mini sekaligus membunuh sistem pengangkutan awam di kotaraya. Atas alasan menyeragamkan sistem dan demi kelancaran kononnya, syarikat kroni mengambil alih tugas bas-bas mini ini dengan memakaikan cantik-cantik pemandunya. Tambang 90 sen mesti dibayar di dalam mesin yang tidak reti memulangkan baki jika anda bayar RM1. Dan syarikat kroni ini akhirnya tersungkur gagal! Kesannya terus merebak ke hari ini. Warga kotakurang meyakini sistem pengangkutan awam. Lebih suka masuk bandar dengan kereta sendiri. Jalan semakin sesak dan sendat sehingga menyemputkan nafas.

Kembalikan Kuala Lumpur seperti dulu! Aku rindu KL 20 tahun dulu!




Tuesday, November 12, 2013

kuil, hudud dan politik bangang

Melihat insiden ini di Malaysiakini

Hindraf: Kuil bukan urusan kamu, Ku Nan
2:29PM Nov 12 2013  
Persatuan Hindraf Malaysia menyelar Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berhubung kenyataannya yang mempertahankan perobohan kuil Sri Muneswarar Kaliyaman di ibu negara.

Pengerusinya P Waythamoorthy berkata, beliau tidak mempunyai urusan untuk mentafsirkan sama ada tempat itu sebuah kuil atau hanya tempat pemujaan.

NONESetelah lama senyap, Waythamoorthy (kanan) yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Tengku Adnan juga tiada urusan untuk mengeluarkan kenyataan kepada umum berkaitan agama Hindu.

"Sebagai menteri persekutuan, beliau patut hormati perasaan dan sensitiviti orang Hindu, bukan mewajarkan tindakan tidak berhati perut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)

Tengku Adnan semalam berkata, kerja-kerja perobohan DBKL di kuil di Jalan P Ramlee itu sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk "mencantikkan" kuil.

Beliau juga menggelar tempat itu hanya sebagai "tempat pemujaan" dan bukannya kuil.

kemudian :-
Mengulas dakwaan Tengku Adnan yang mendakwa kuil itu hanyalah tempat pemujaan dan bukan kuil sebenar, Surendran berkata ia bukan urusan Tengku Adnan untuk menentukan sama ada bangunan itu adalah kuil atau bukan.

"Saya tak tahu sejak bila Tengku Adnan jadi pakar Hinduisme.

"Kalau dia pakar, dia letak jawatan dan jadi samilah. Bukan bidang beliau untuk bercakap tentangnya.



Inilah politik cap bangang dipersembahkan di Malaysia!

Pertama : Berkenaan perobohan kuil ini, tidaklah jelas statusnya sama ada wajar atau tidak dirobohkan tetapi jawapan Tengku Adnan ia untuk mencantikkan dan itu bukan kuil tapi tempat penyembahan adalah jawapan politik bangang. Jelas bangang!

Kedua : Respon Timbalan Menteri  JPM "Tengku Adnan juga tiada urusan untuk mengeluarkan kenyataan kepada umum berkaitan agama Hindu dan Surendran ""Saya tak tahu sejak bila Tengku Adnan jadi pakar Hinduisme. Kalau dia pakar, dia letak jawatan dan jadi samilah. Bukan bidang beliau untuk bercakap tentangnya" juga kelihatan bodoh kerana baru sedar apabila terkena batang hidung kamu tahu pula marah. Sebelum ini apabila Hudud dibincangkan untuk dilaksanakan di negara ini yang mana hanya melibatkan orang Islam sahaja tiba-tiba ramai pula bukan Islam jadi pakar Islam. Mengapa tak suruh mereka jadi Ustaz dan imam? Apakah kamu ada urusan mengeluarkan kenyataan kepada umum berkaitan agama Islam?

Jadi:-

1) Aku tidak setujulah juga perobohan tempat ibadat seperti Al Quran melarang berbuat demikian. Tetapi dalam kes-kes lain, pembina tempat ibadat yang membina di atas tapak haram atau rezab ke harus akur jika tapak itu hendak digunakan, kena bertolak ansur. Surau pun begitu. Jangan ambil kesempatan main isu agama. 

2) Insiden ini jelas bahawa kita sesama kita tidak selesaikan lagi prasangka perkauman dan sensitiviti agama. Berpolitik sangat akan menjadikan suasana tegang. 

3) Ahli politik berhentilah jadi bangang!

Monday, November 11, 2013

30 SB di London. Buat apa?

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mengapa-negara-perlu-30-polis-cawangan-khas-di-london-soal-nurul-izzah



abang, tuhan ada?

"Abang! Tuhan ada?" tanya seorang adik baru cecah umur 20.
"Entah.." jawabku.

Adik ini selalu lepak-lepak minum dengan kami di Kajang. Ini sewaktu arwah Annisa masih ada. Hari ini aku sudah tidak nampak lagi adik ini.

"Kalau Tuhan ada mengapa dibiarkan penderitaan dan kejahatan terus berlaku?" tanyanya.

"Kerana dia ada-lah maka dibiarkannya terus berlaku supaya kita sedar tiada daya kita untuk mengubahnya..." kataku.

Adik tunduk. Mengacau ais dengan straw di dalam gelasnya yang berisi teh ais.

"Jika dia maha pengasih dan penyayang mengapa diciptanya kanak-kanak dengan kesakitan, juga macam Annisa dan An-Nur ini, OKU. Kenapa tiadakah sifat Ar rahman dan Ar rahim?Tak kasihankah Tuhan?" tanya adik lagi.

"Sifat rahman dan rahim itu diletakkan kepada kita untuk kitalah yang mengecapinya. Abanglah yang merasa nikmat kasih lagi mengasihani itu untuk Annisa dan An-Nur. Dan mereka yang menghayati sifat itu" kataku.

Adik senyum sedikit. "Saya bukan apa bang, saya takut sesat..."

"Sesat adalah permulaan sebuah pertemuan..." kataku.

Sham membayar minuman. Bersiap sedia untuk beredar. Sewaktu aku mendukung Annisa dan Sham mendukung An-Nur menuju kereta, adik mengekori dari belakang.

"Jadi, Tuhan ada bang?" Tanya adik.

"Kau rasa?" aku memulangkan soalan.

Adik diam. Agak sayu matanya memandang tepat mataku sehinggalah kereta kami makin menjauh...

Sunday, November 10, 2013

aktiviti cuti sekolah








Jika anda berminat mengadakan kelas asas melukis kartun untuk anak-anak anda atau pelajar jagaan anda sama ada di sekolah, pusat jagaan, pejabat, komuniti, persatuan atau sebagainya sila email ke raja_uda@yahoo.com

Wednesday, November 6, 2013

Menyembah agamawan

Disiplin mengaji ilmu apatah lagi ilmu agama yang menyentuh kerohanian sangat dititikberatkan. Tertibnya pun tidak boleh dinafikan wajib diikuti. Ia untuk kesedapan memperolehi ilmu yang akan membuahkan nikmat bagi membina tembok keyakinan yang hakiki. Ia bukan mudah dan tidak kecil dugaannya. Perjalanannya sangat sukar bak mendaki lembah licin.

Sejak zaman-berzaman kita akan terbaca bagaimana tokoh-tokoh ilmuwan tersohor dunia berguru melalui tingkat-tingkat disiplin. Perjalanan mereka panjang. Perguruan mereka lama. Ujian besar. Para sahabat sendiri berbeza-beza tingkat pemahaman mereka. Pembawaan Abu Bakr, Omar, Uthman dan Ali masing-masing berlainan malah adakalanya kelihatan bercanggah tetapi tidak pula salah, meskipun guru mereka satu yakni Rasulullah.

Rantai ilmu terus bersambung apabila ilmu diwarisi turun temurun. Berbaiah dengan berjazam di mana guru berjabat tangan memberi restu seikhlasnya sementara murid memohon penuh rendah diri. Duduk lutut bertemu lutut sebagaimana dikisahkan sirah ketika Jibril menerangkan apa itu Islam, Iman dan Ehsan.

Hari ini kelihatan semuanya mudah. Kita menganggap adat itu remeh dan tidak penting. Dalam hikayat Hang Tuah sendiri diceritakan bagaimana konsep perguruan yang berkat berjalan. Sang Adi Putra mengajar lima sekawan secara khusus dengan pemantauan rapi. Berjazam dan memberi ijazah. Guru tahu siapa lulus cemerlang atau sebaliknya kerana kenal rapat dengan murid. Bukan seperti sekarang peperiksaan, tugasan atau tesis pun plagiat, keluar mendabik dada mengajar orang. Jika ditanya tentang bab yang tidak dia arif, tetap juga menjawab walaupun main hentam kerana maklumlah ada sijil. Ulama besar dahulu jika mereka tidak arif, mereka jawab dalam bentuk cadangan dan pilihan sepert " Saya lebih suka begini....." atau "saya cadangkan ia mungkin lebih afdhal begini....". Itu jawaban ulama yang hasilkan kitab agung, bukan siri video kuliah seperti agamawan yang silap sikit terus haram itu, sesat ini.

Zaman ini tidak lagi diamalkan begini. Menghadiri ceramah dan program kuliah mendengar pidato ustaz dianggap sudah duduk penuh di dalam pengajian ilmu. Atau menonton di you tube sudah seperti menghadiri kelas pengajian. Menuntut mesti interaktif, bertemu mata. Akhirnya hanya terhibur dengan lawak jenaka berbentuk agama. Tak ubah seperti menonton komedi berdiri. Apa yang dibawa pulang untuk diamalkan? Ah! Lupakan.

Akhirnya kita memilih peribadi. Jika ada dua masjid mengadakan program ceramah agama, nescaya penceramah yang popular dan penuh sifat humor akan bersesakan. Yang serius dan kurang popular kurang sambutan. Ukuran apa yang kita guna?

Dan kita menyanjung gila mereka. Jangan dikritik pasti kita membela kerana mereka sempurna. Jika ustaz ini kadangkala menggunakan metafora yang secara tidak sengaja (sepatutnya seorang guru mesti peka dan faham kaedah berdakwah) mempersendakan individu atau golongan tertentu seperti orang cacat atau fizikal gemuk misalnya, tidak mengapa. Lupakan itu dan ambillah ilmunya.

Cuba kita bertanya kembali apa yang kita cari? Sosok atau ilmu? sedih juga apabila ada agamawan yang punya pengaruh besar tetapi gagal memainkan peranan mengangkat fikrah pengikutnya ke suatu tahap agar boleh berfikir secara kritis dan kreatif. Hanya bawa isu-isu rendah dan di takuk lama. Sudah satu dekad lebih alaf 21 cerita poligami, mandi wajib, solat sah atau tidak yang sepatutnya sudah selesai di peringkat sekolah masih dibawa. Bagaimana dan bila hendak sampai kepada bab makrifatullah? Ada yang main selamat. Ketika kemelut politik dan kerosakan sedang dilakukan oleh pemerintah seperti rasuah, pembaziran, peracunan fikiran, adu domba dan fitnah, agamawan cari makan ini mengunci mulut depan pengikutnya. Inilah tanggungjawab yang perlu dilunaskan.

Dan sejarah menyaksikan sang guru yang hebat selalunya hidup sederhana serta pengikutnya pun tidaklah ramai tetapi berkualiti sehingga karya limpahan ilmunya menggegar dunia.

Monday, November 4, 2013

Pahang juara!

Selepas 1992, kali ini barulah Pahang berjaya merangkul kembali Piala Malaysia untuk kali ketiga. Sebelumnya pada 1983. Tetapi Pahang antara pasukan yang banyak kali menjadi naib Juara. Tahniah!
Tetapi aku tetap akan mengenang legenda Pahang Yunus Alif, Abdah Alif, Jamal Nasir, Ahmad Yusof, penjaga gol Khairul Azman dan pemain simpanan yang pasti masuk menjaringkan gol sehingga digelar 'Supersub' Fazirul Anuar Wahab (aktif pertengahan 80an)


foto : mstar.com.my

Pas kekal kerusi PKR hilang kerusi

Pas kekal di DUN Sungai Limau sementara PKR hilang kerusi di DUN Kadamaian, Sabah apabila wakil rakyat mereka keluar parti menjadi BEBAS pro BN.
Syabas Pas dan padan muka PKR.
Presiden PKR, Timbalan Presiden dan Ketua Umum patut juga tengok prestasi YB lemau mereka yang menang setelah merompak tempat orang yang dah lama berkhidmat dan diterima rakyat kawasan tersebut.
Yb payung terjun ini pun khabarnya jenis liat hadir di dewan atau jenis yang senyap tak bercakap.


Nak buat camana. Jenis menjilat untuk dapat kedudukan, dah dapat tempat dahlah selamatlah dapat gaji. Pi mampuihlah nak berkhidmat ke hapa ke, PA ada.
Kalau PA bongok nasiblah....

PKR: antara YB katak dan YB lembab

YB PKR yang katak dan yang lembab,

KEADILAN: Adun Kadamaian pengkhianat rakyat
Nov 4 2013 / Keadilan Daily
Tindakan Jeremy Malazad, Adun Kadamaian, mengisytiharkan beliau telah melepaskan semua jawatan serta keluar dari KEADILAN hari ini tidak lain dan tidak bukan merupakan satu pengkhianatan besar kepada rakyat Sabah dan Malaysia. KEADILAN mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak beretika ini.

Pada masa yang sama, KEADILAN akan menghantar surat tunjuk sebab kepada Jelani Hamdan, Adun Matunggong, yang dipercayai turut merancang untuk mengkhianati amanah yang diberi rakyat Sabah.

Kenyataan bahawa mereka berdua telah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti hanyalah satu helah dan alasan biasa bagi mengiakan langkah-langkah pengkhianatan mereka ini.

Tindakan Adun lompat parti sebegini adalah modus operandi biasa Barisan Nasional di Sabah untuk cuba melemahkan semangat perjuangan rakyat yang menginginkan perubahan.

Oleh itu, KEADILAN menggesa rakyat Sabah untuk bersatu dan tidak biarkan taktik Barisan Nasional ini memecah-belahkan semangat perjuangan dan reformasi, demi Sabah yang lebih baik.

Bagi pihak Setiausaha Agung KEADILAN,
Tian Chua
Naib Presiden KEADILAN

Yahoo!
Syabas kerana keluar. Pihak pimpinan PKr bukan harus mencerca yang melompat aje malah sila dengar rungutan rakan parti dari PR dan penduduk setempat tentang prestasi YB yang menang di mana mereka ini calon payung terjun. Kerana berjaya membodek pimpinan calon yang dah lama buat kerja ditendang dan digantikan dengan mereka. Akibatnya menang tapi tak perform, lembab, banyak alasan.

Yalaaaaah! Takkan tak reti-reti lagi! Janganlah buat-buat pekak adun Kajang sama MP Batu Pahat laaaah!