Thursday, November 28, 2013

Isu naik gaji/elaun Adun Selangor: Khalid Ibrahim ajak siapa main perang?

Pemerhati politik tanahair melihat kenaikan gaji dan elaun Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor yang 'melampau' sehingga mencecah lebih 200% adalah langkah perang politik paling berani yang dipertaruhkan Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim. Di kalangan ahli ( ahli disebut Anggota di dalam PKR)  Parti Keadilan Rakyat selalu menyebut bahawa Khalid Ibrahim tidak pandai berpolitik. Mereka silap. Jika tidak pandai main politik pun ramai terlupa Khalid Ibrahim seorang tokoh korporat yang biasa bertarung dengan ombak risiko sehingga adakalanya mengancam kariernya sendiri. Ini hakikat.

Imbas Sejenak Khalid Ibrahim

Khalid Ibrahim menjadi terkenal kerana kejayaannya membawa balik syarikat perladangan negara Kumpulan Guthrie Bhd. (Guthrie) dari London dalam satu projek yang diberi nama Projek ‘Serbuan Waktu Subuh (Dawn Raid). Projek ‘serbuan waktu subuh adalah suatu usaha membawa balik Guthrie, yang sebelum itu dikenali sebagai Guthrie Corporation PLC diserahkan kepada Permodalan Nasional Berhad (PNB) iaitu sebuah institusi pelaburan bumiputera yang baru ditubuhkan. Ia suatu usaha pada awalnya dimulakan pada zaman Tun Abdul Razak agar mengambil kembali semua syarikat Malaysia yang disenaraikan di Bursa Saham London termasuklah Guthrie. Ringkasnya Khalid yang pada masa itu pengurus pelaburan PNB diberi tugas memantau, bekerjasama dengan pemegang-pemegang saham serta mencari penyelesaian masalah agar usaha tersebut tidak tersangkut. Dengan kecekapan Khalid, PNB akhirnya berjaya menguasai 51% syer Guthrie Corporation PLC daripada Bursa Saham London pada 8 September 1981dan membawa pulang semula Guthrie.

Kumpulan yang menggelarkan diri mereka 'Reformis' di dalam PKR juga menyatakan Khalid Ibrahim bukan reformis dan tidak ada ketika gelombang Reformasi tercetus. Khalid dikatakan hanya muncul selepas zaman senang. Ya! Memang benar kerana ketika Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada September 1998, Khalid bukan orang politik. Yang turun memprotes kebanyakannya rakan Anwar di dalam politik, selain rakyat yang simpati. Tetapi Khalid Ibrahim mencatat sejarah 'reformasi' sendiri sebagai korporat yang 'berani mati'. Ketika Anwar Ibrahim di dalam penjara Sungai Buloh, Khalid telah menganjurkan majlis berbuka puasa di Penjara Sungai Buloh untuk mencari peluang bertemu 'rakannya' Anwar. Selepas peristiwa itu, Khalid telah ditendang. Pada 2007 Khalid menyertai PKR dan tidak dapat dinafikan imej PKR melonjak dan rentak parti menampakkan pembaharuan. Kemudian terus ke hadapan memegang jawatan penting dalam parti. Tewas di Pilihanraya Kecil Ijok pada 2007 tetapi menang di Dun yang sama pada PRU 2008dan terus menjadi Menteri Besar Selangor. Mentadbir negeri ala syarikat korporat dan tidak mesra dengan parti membuatkan orang parti marah. Kedekut kata mereka. Khalid mendapat keyakinan rakyat dan ISTANA kerana berjaya mengumpulkan rezab dengan banyak jauh meninggalkan prestasi kerajaan Barisan Nasional sebelumnya. Pada PRU 13, Khalid menang di Dun Pelabuhan Klang. Pas dan DAP yang mendapat kelebihan kerusi menaruh kepercayaan kepada Khalid Ibrahim dan sudi menyerahkan kerusi Menteri Besar kepada PKR jika Khalid menerajuinya.

Saingan dengan Azmin

Penyokong Azmin mahu Azmin menjadi Menteri Besar walaupun Pas dan DAP mahukan Khalid. Banyak kelemahan Khalid dibentangkan. Antaranya tidak mesra parti, hanya pandai kumpul duit tetapi kedekut berbelanja, masih memberi peluang orang Umno cari makan dan macam-macam lagi.Anwar turut juga mengkritik Khalid yang lembab tidak seperti Lim Guan Eng yang menerajui Pulau Pinang. Kesan peperangan ini menjadi dua kelompok. Menjadi penyokong Khalid dan penyokong Azmin. Imej Azmin juga tercalar kerana digambarkan kemaruk jawatan. Sedikit pergeseran juga dengan Ketua Umum Anwar Ibrahim yang menyokong Khalid menjadi MB. Exco yang dilantik pun dilihat orang Khalid.
Tenang seketika kemudian. Masa untuk bekerja, masing-masing dilihat sudah menerima kenyataan. Tiba-tiba meletup lagi kontroversi apabila exco-exco, Adun-Adun Pakatan Rakyat dikatakan mula bengang dengan Khalid yang semakin kedekut berbelanja. Khalid sedar. Ura-ura hendak menggugurkan Khalid semakin kuat. Pemilihan parti PKR pun semakin hampir.

Strategi Perang Paling Gila

Sekali lagi dengan watak sebagai tokoh korporat yang berani bermain dengan risiko, Khalid melancarkan strategi. Gaji dan elaun Adun dinaikkan 'mendadak' sehingga melebihi 200%. Pemerhati politik melihat ini taktik maut Khalid untuk menutup mulut Adun yang mula tidak menyokongnya. Khalid sedar walaupun ada penyokong yang setuju tetapi ini juga akan menaikkan kemarahan ramai  penyokong Pakatan Rakyat sendiri dan Khalid mungkin sudah menjangka Azmin akan muncul bersuara.
Syed Husin Ali bekas Timbalan Presiden PKR turut tidak bersetuju kenaikan gaji mendadak

Kucar-kacir kenyataan berlaku apabila kenaikan gaji dan elaun mendadak ini dikatakan atas desakan dan permintaan bertalu-talu Adun-Adun.

Tetapi memorandum yang dihantar kepada MB sebelum ini oleh Kelab Penyokong Kerajaan Selangor (Backbencher Club) tidak menyentuh pun bab naik gaji. Malah Azmin mengeluarkan kenyataan meminta tangguhkan dahulu.

" Anggota Parlimen Gombak, Azmin Ali menggesa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menangguhkan kenaikan gaji buat wakil rakyat Selangor yang akan berkuat kuasa mulai tahun depan.

Menurutnya, perkara tersebut diputuskan tanpa perbincangan dengan wakil rakyat lain dan kajian semula perlu dibuat agar kadar kenaikannya lebih munasabah." - Malaysiakini.com 28 November 2013.


Anwar Ibrahim juga melihat kenaikan ini terlalu tinggi. Khalid Ibrahim, dengan karektor ahli korporat dilihat degil mempertahankan keputusannya.

"Bercakap kepada pemberita di Shah Alam hari ini, Khalid berkata langkah Dewan Undangan Negeri meluluskan kenaikan gaji itu adalah muktamad.

Khalid berkata Azmin boleh menderma tambahan gajinya itu kepada badan amal jika beliau tidak puas hati.

Katanya, jika Azmin tidak mahu menerima kenaikan gaji itu, itu hak individu untuk menolaknya.

"Jika (beliau) tak mahu, tak apalah," kata Khalid.
(Malaysiakini.com 28 November 2013)

Inilah suatu kepelikan. Bagaimana ada dua situasi iaitu menurut Azmin tiada perbincangan awal manakala ia adalah permintaan dan desakan bertalu-talu? Khalid pula mengapa beria-ia benar hendak menaikkan gaji seperti memaksa sehingga mengatakan ia muktamad dan jika tak setuju boleh menolaknya? Soal gaji pun dipaksa?

Kenyataan Setiausaha Politik Khalid, Faekah Hussin di twitter " Keputusan sudah dibuat. Kalau ada Adun yg tidak mahu terima boleh kemuka surat & kita akan gunakan utk kebajikan rakyat." kelihatan bodoh kerana mengapa kenaikan gaji dilihat seperti berbentuk paksaan dan tergesa-gesa? Jika mahu guna gaji untuk kebajikan rakyat mengapa tidak dari awal memikirkan bajet itu untuk rakyat? Apakah yang setuju menerima gaji tersebut termasuk MB tidak mahu membuat kebajikan kepada rakyat? Apa muslihat semua ini jika tidak pertarungan politik?

Siapa menang perang?

Siapa menang adalah suatu perjudian. Khalid menang jika terus menegakkan keputusannya. Azmin yang dilihat cuba mencuri kerusi MB akan dilihat menang jika benar-benar menolak kenaikan gaji tersebut. Khalid mungkin juga boleh kalah teruk jika terus dengan keputusan ini kerana kenaikan mendadak ini melukakan hati rakyat yang sedang tertekan dengan kenaikan harga barangan. Azmin juga boleh berkemungkinan tewas apabila dianggap cuba ambil kesempatan dari bola tanggung Khalid. Pertandingan peribadi keduanya ini penuh risiko. Tokoh korporat yang berani main risiko melawan pakar matematik yang bijak mencatur.

Namun keputusan kalah-menang besar bergantung kepada Adun-Adun Pakatan Rakyat yang lain. Mereka adalah faktor menang atau kalah. Bayangkan semua Adun PR ini menolak, apa akan jadi pada Khalid? Jika menerima, tidaklah ada apa-apa pada Azmin sebaliknya Khalid makin kuat dan boleh mengisytiharkan menang dalam pertarungan ini.

Bagaimana pula jika semua ini adalah permainan dan bukan pertarungan?
Ah! Politik!

3 comments:

C++ said...

Bhai Fendi @ PapaRON 97...

Hahahaha.... lama tak baca ulasan panjang-panjang kat blog lu nih... terbaek lar... Hahahaha

TheSniper said...

Berapa lama mike bertapa cari idea mantap ni yob pendi? Terbaik!

Anonymous said...


menteri besar dah belajar berpolitik tapi aku rasa dia masih tetap bodoh berpolitik,

menyamakan kerajaan negeri dengan syarikat swasta adalah kureng bijak...menjadikan gaji raja sarawak sebagai indikator juga sangat lawak

korupsi lepas ni wajar jadi indikator lak ha ha!

kalau kerajaan negeri diibaratkan seperti sebuah syarikat skang aku terasa seperti bekerja untuk mereka plak..

Baik BOS! Mari bekerja untuk terus kayakan bos bos kita yepeeeeee!!