Politik Malaysia tidak akan ke mana-mana untuk tempoh sepuluh tahun mendatang. Perubahan kerajaan yang diidam-idamkan penyokong Pakatan Rakyat dalam PRU13 yang lalu tidak kesampaian dan angan-angan kosong merapu itu terus didamba-dambakan pada pilihanraya yang akan datang. Dan pastinya akan terus tidak kesampaian.
Kerana apa? Kerana tidak ada garis perbezaan langsung walau sehelai rambut pemahaman hakikat bersiasah jika dibandingkan dengan penyokong umno. Kecelaruan pemikiran, serabut ideologi dan ketaksuban tahap dewa terhadap kepala parti yang dianuti menebal sekali. Bingkai pemahaman logikal terlalu sempit dan ketat.
Politik di Malaysia adalah politik isu. Naik turun gelombang di kertas graf keputusan pilihanraya banyak bergantung kepada isu, bukan kerana kecerdikan. Pemimpin politik terlalu sibuk mencaturi kedudukan mereka, jawatan apa di dalam parti, siapa nak disusun di dalam anak syarikat kerajaan negeri sehingga tiada masa mentarbiah ahli di bawah. Kalau ada pun kelas, bengkel, kursus atau sekolah seakan berbentuk indroktrinasi menyokong kem-kem tertentu.
Usah dicari rasional di dalam kamus politik kepartaian yang kecil dan kaku. Bertegang urat di leher menegakkan hujah-hujah hukum Tuhan di dalam Al Quran wajib dijalankan untuk mencegah kejahatan tetapi menerima masuk pula tokoh korup yang entah bila mengisytihar diri taubat dan memulangkan semula harta yang dicuri. Alasannya itulah tadi - sudah bertaubat. Boleh pula? Habis hukum Hudud untuk siapa? Pencuri-pencuri yang bukan ahli? Orang bersumpah Quran kita marah! Cuba perhatikan beberapa kejadian lagi yang dinilai 'double standard'.
Penyokong parti tidak kiralah ideologi apa pun yang kasihannya terlalu percaya kepala parti mereka ini sesuci sabun. Harapan terlalu tinggi disangkut di bahu mereka. Apa gerak yang mereka lakukan, huruf apa yang keluar dari pemimpin mereka bagi mereka pastilah tepat, benar dan strategi. Tidak boleh dakwa-dakwi. Melemparkan secara rambang jala tuduhan orang itu sesat orang ini bermasalah moral pun bagi mereka itu betul. Membuli pihak yang lemah, itu permainan.
Sebab itu selagi api reformasi atau revolusi tidak berlaku di MINDA terlebih dahulu, lupakan panggang. Jauh panggang dari api! Begini lagilah kita. Diperguna apabila perlu, memuja muji tak ingat esok, selepas itu seperti daun kari yang sebelum menggulai sangat dicari apabila gulai tersedia di meja hidang daun kari terlepek di dinding mangkuk.
3 comments:
like
mereka sokong sang ketua tak kira apa..mereka ni pun dikatakan parti serpihan dari parti yang itu..
aymy8888
Bhai Fendi @ PapaRON 97...
Hahaha... terbaek.. satu kupasan yang memang lengkap dan terbaek... Hahaha... sesuai bagi yang ader akai la ... bagi yang takder akal... mesti tak nampak aper yang diceritakan....
Hahahaha.... terbaek...
Post a Comment