Parti Keadilan Rakyat (PKR) punya keunikan tersendiri. Mata-mata penggemar politik sering disorotkan drama-drama berepisod di dalam PKR.
Sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) juga punya pengkisahan sendiri yang menarik. Ezam Mohd Noor ketika menerajuinya telah (tanpa sengaja?) meletakkan satu piawai yang anak muda memang geraknya mesti menggegarkan. Anak muda sifatnya agresif, responsif dan penuh idea.
Masa pantas beredar. Era reformasi bertukar babak. Demonstrasi jalanan yang selalu dijadikan kayu aras mengukur keberanian melepasi era baru; era pasca menang pilihanraya. Dengan kata lain agenda reformasi (sepatutnya) sudah dibawa ke dewan rakyat mahu pun sidang negeri. Shamsul Iskandar sudah melepasi umur AMK dan hari ini ahli parlimen Bukit Katil. Pengkritik politik melihat anak muda PKR di bawah Shamsul lemau, malas, selesa dan berangan jadi orang besar. Laungan slogan reformasi semakin perlahan apatah lagi untuk menzahirkan slogan tersebut menjadi praktikal, sangat perlahan. Agaknya berjangkit dengan kelesuan pemimpin pemuda PAS. Kelemahan ini menyebabkan beberapa kumpulan berlaku dan bersaing sesama sendiri. Tidak boleh menunggu pemimpin anak-anak muda ini bergerak sendiri. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) diketuai Badrul Hisham Shaharin, Jingga13 di bawah Fariz Musa berputar keliling negara membawa isu masing-masing. Masing-masing bina kem dan kerap juga bertelagah sesama sendiri.
Tidak mahu berceloteh panjang, tiga anak muda menawarkan diri bertanding pada pemilihan kali ini. Amirudin Shari, Nik Nazmi dan Mohd Nazree Yunus. Kata seorang pemerhati politik "anak-anak muda debab" yang bertanding kali ini mesti pulihkan kembali imej AMK yang dilihat lembab, kurang bersifat anak mudanya, elitis tidak mesra rakyat dan pembodek Anwar Ibrahim.
Amirudin Shari telah melalui zaman perit reformasi. Bergaul rapat dengan kelompok Institut Kajian Dasar (IKD) yang 'banyak membaca' pimpinan Khalid Jaafar, pernah bersama kumpulan di bawah Hishamuddin Rais di Universiti Bangsar Utama (UBU) bersama rakan seangkatan Khairul Anuar Ahmad Zainuddin (Jonah), Rahmat Haron dan lain-lain. Penglibatan Amir juga di dalam seni ada. Amir pernah memegang peranan utama dalam teater Tok Ampoo persembahan UBU sekitar 2001. Hari ini menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Adun (Adun) Batu Caves dan punyai pengalaman menjaga perihal belia serta sukan dan permainan. Kepetahan berbahas memang diketahui umum sejak dulu. Cuma umum melihat ada Azmin di belakang Amir terutamanya mereka yang punya sentimen anti-Azmin. Tanpa imej Azmin di belakang, Amir dikatakan lebih hebat. Bahkan kata mereka Amir sudah sebelah kaki menang.
Nik Nazmi Nik Ahmad munculnya sama seperti Amir di dalam parti dan lingkaran sejarah reformasi. Ketika masih menuntut sudah menulis kolum di majalah Siasah keluaran IKD. Agak kurang pandai bergaul mesra tetapi terkenal sebagai 'budak pintar'. Satu-satunya calon yang menulis dan dua buah buku telah dihasilkan sementara sebuah buku 'Jiwa Merdeka' kompilasi tulisan anak muda AMK yang diterbitkan bulan lalu adalah suntingannya. Hari ini menjadi Adun Seri Setia dan Timbalan Speaker Dun Selangor.
Nazree Yunus dibawa Shamsul Iskandar ke dalam PKR. Kemasukannya dipandang penuh ragu kerana sebelum ini ahli Umno dan dikenali sebagai budak Ezam ketika menerajui sebuah NGO yang diasaskan Ezam -Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK). Nazree bertanding di Kuala Pilah pada PRU13 yang lalu dan punya keistimewaan sendiri. Menariknya barisan pasukan yang dikemukakan Nazree adalah anak muda yang kuat dalam era reformasi seperti Ginie Lim, disokong juga oleh Jonah dan Saifullah Zulkifli bekas pembantu Nik Nazmi. Jika sentimen bosan dengan 'YB' menebal, Nazree yang dilihat 'underdog' berpeluang menang.
Apa pun, anak muda yang mahu menjadi pemimpin tidak harus menghadkan gerakan membawa seberapa ramai menyertai parti tetapi mendidik anak muda di dalam parti menjadi anak muda yang punya ilmu dan jelas hala tuju perjuangan. Bukan sekadar berpolitik kepartian tetapi mestilah meresap masuk ke dalam lorong-lorong yang didiami anak-anak muda, juga menjayakan seni dan budaya. Jika tidak lebih hebat sekurang-kurangnya mereka setara tinggi dengan Suhaizan Kayat yang sudah mencuci imej 'poyo' pemuda PAS.
Foto dari kiri: Amir, Nazree dan Nik Nazmi
No comments:
Post a Comment